Ulama anggap perjuangan pengebom Bali sia-sia
JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) memutuskan pengebom Bali yang menjalani hukuman ditembak mati kelmarin, tidak boleh dikategorikan sebagai 'mati syahid' kerana mereka tidak berjuang mempertahankan agama.
"Sesiapa pun yang membunuh orang lain tidak mati syahid, kecuali berjuang dalam peperangan atas nama agama. Mereka bukannya berjuang untuk agama," kata Ketua MUI, Umar Shihab.
Sehingga ke saat akhir, Amrozi, Ali Ghufron atau Mukhlas dan Imam Samudra tidak menunjukkan sebarang berasa kesal atas apa yang berlaku ke atas mangsa 'kafir' mereka sambil mendakwa ingin 'mati syahid'.
Mereka mengimpikan satu wilayah pemerintahan khalifah di sebahagian besar kawasan di Asia Tenggara.
Mahkamah di Indonesia menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka pada 2003, yang dicabar sekurang-kurangnya empat kali, menyebabkan pelaksanaan hukuman itu tertangguh dan mendapat liputan meluas media.
Ratusan penyokong mereka bertempur seketika dengan polis apabila jenazah Mukhlas dan Amrozi yang dinamakan sebagai 'pembunuh tersenyum', tiba dengan helikopter di kampung mereka di Tenggulun di Jawa Timur, kelmarin.
Sementara itu, pasukan keselamatan Indonesia mengambil langkah berjaga-jaga selepas tiga pengebom Bali itu menjalani hukuman kerana bimbang kemungkinan berlaku tindakan balas penyokong mereka.
"Kami mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kekacauan yang mungkin tercetus selepas pelaksanaan hukuman itu," kata jurucakap polis kebangsaan, Abu Bakar Nataprawira.
Indonesia mempertingkatkan langkah keselamatan di pusat pelancongan dan kedutaan asing sebelum pelaksanaan hukuman. Pengeboman di Bali mengakibatkan 202 terbunuh, sebahagian besarnya rakyat negara asing.
Amrozi, abangnya, Mukhlas dan Imam Samudra menjalani hukuman mati ditembak sejurus selepas tengah malam kelmarin.
Pengebumian yang dilakukan di kampung halaman mereka bertukar menjadi perhimpunan dipenuhi laungan melancarkan perang jihad terhadap Barat, walaupun sebahagian besar penduduk Islam Indonesia bersikap sederhana.
Polis menahan sekurang-kurangnya dua penyokong pengebom berkenaan kerana mengancam untuk meletupkan bom, lapor laman web berita Detik.com.
"Sekurang-kurangnya dua orang ditahan di luar Jakarta. Mereka berkata, ancaman itu dilakukan kerana menentang pelaksanaan hukuman ke atas pengganas," kata Ketua Polis Jakarta.
Kedutaan Australia dan Amerika Syarikat serta beberapa hotel dan pusat beli-belah juga menerima ancaman bom. Australia, yang kehilangan 88 rakyatnya dalam serangan itu disusuli dengan kejadian pengeboman kereta pada 2004, memberi amaran kepada rakyatnya supaya tidak ke Indonesia sekiranya tidak perlu. � AFP
0 comments:
Post a Comment