+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, November 6, 2008

Tutup balai bukan takut penjenayah, kata menteri

Malaysiakini

Muda Mohd Noor | Nov 6, 08 3:19pm

Menteri Dalam Negeri, Datuk Syed Hamid Albar menafikan balai polis Lorong Haji Taib ditutup kerana anggotanya takut kepada penjenayah di kawasan tersebut.

syed hamid albar visit new chow kit police station 061108 04Sebaliknya, katanya, balai polis tersebut ditutup kerana premisnya telah diambil pemiliknya iaitu RHB untuk dijadikan kawasan perdagangan.

"Kalau kata begitu (takut kepada penjenayah) ia seolah-olah polis takut kepada penjenayah, sedangkan tugas polis tangkap penjenayah," katanya kepada wartawan selepas melawat balai polis Lorong Raja Bot di Chow Kit hari ini.

Syed Hamid berkata beliau juga memberi jawapan yang sama ketika menjawab soalan ahli parlimen Titiwangsa, Dr Lo'lo' Ghazali di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Dalam jawabannya kepada ahli Parlimen Titiwangsa itu, Syed Hamid dilaporkan berkata, balai polis Lorong Haji Taib ditutup demi keselamatan anggotanya kerana kawasan itu banyak kegiatatan jenayah.

"Saya mengakui telah memberi kesilapan fakta ketika menjawab soalan itu kerana ia ditutup disebabkan premis itu telah diambil balik oleh pemiliknya," katanya.

Walaupun balai polis itu ditutup, tetapi Syed Hamid berkata, masih terdapat balai polis Lorong Raja Bot di kawasan Chow Kit.

Tumpuan pendatang

Bagaimanapun, katanya, premis balai tersebut sempit dan hanya boleh menampung 10 anggota polis dengan empat kenderaan pelbagai guna.

syed hamid albar visit new chow kit police station 061108 01Berikutan itu, katanya, sebuah balai polis baru akan dibina di sebidang tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di situ.

"Walaupun balai polis ini kecil tetapi ia boleh mengawal keadaan jenayah di kawasan ini. Orang tidak menggunakan tempat ini (Chow Kit) sebagai transit untuk melakukan jenayah.

"Dulu Chow Kit tempat bermacam orang berkumpul tetapi tidak boleh dikategori sebagai kawasan hitam walaupun pelbagai aktiviti berlaku di sini," katanya.

Selain balai polis Raja Bot, katanya, kawasan sekitar Chow Kit juga di kelilingi balai polis lain, termasuk balai polis Dang Wangi.

Ditanya mengenai Chow Kit yang menjadi kawasan tumpuan pendatang, Syed Hamid berkata, polis akan mengambil tindakan ke atas pendatang tanpa izin.

"(Tetapi) saya tengok orang yang berniaga di sini, dari segi bahasanya, (mereka) orang dari pantai timur," katanya.

Read More...

Tahniah Barack Obama - PAS

Siasahdaily

Oleh SALMA HUSIN

KOTA BHARU, 5 Nov: Mursyidul Am PAS menyifatkan kemenangan Barack Obama dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat baru-baru ini merupakan satu perkembangan baru politik dunia.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, perkembangan itu membuktikan rakyat Amerika menolak cara agresif George W Bush yang sebelum ini menindas dengan rakus negara-negara umat Islam.

"Apa yang diharapkan semoga Obama membawa harapan baru rakyat di seluruh dunia, sesuai dengan imejnya yang merupakan orang kulit hitam pertama yang bakal menjadi Presiden Amerika," ujarnya sebagai reaksi pertama ekoran kemenangan Obama yang kini menghampiri White House.

Beliau memberitahu demikian ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kota Darulnaim di sini, Rabu lalu.

Di Washington Senator Barack Obama berjanji kepada rakyat Amerika Syarikat akan membawa negara itu ke era baru yang diharapkan semua pihak.

Beliau mencipta sejarah sebagai pemimpin pertama daripada masyarakat kulit hitam untuk mengetuai White House setelah ditunggu dalam tempoh begitu lama.

"Pilihan raya itu merupakan satu detik yang bermakna ke arah perubahan Amerika," kata Obama ketika berucap pada kemenangannya di hadapan kira-kira 240,000 penyokongnya di Chicago Rabu lalu.Manakala lawannya Mc Cain mengaku kalah dalam pemilihan tersebut.

Nik Abdul Aziz yang Menteri Besar Kelantan berkata, sebelum ini Amerika telah meninggalkan kesan yang buruk kepada masyarakat dunia ekoran tindakan agresif yang akan diteruskan McCain dari Parti Republikan.

"Bush sebelum ini 'minum' darah dengan melancar peperangan di Afghanistan, Iraq, Palestin dengan menggunakan kuasa tenteranya," ujar beliau.

Beliau juga mencadangkan Obama menolak fahaman membezakan warna kulit seseorang, sebaliknya dilayan dengan sama rata.

Beliau berkata, semua bangsa di dunia ini sama ada mereka berkulit putih atau hitam sama di sisi Allah, dan apa yang membezakan antara mereka ialah ketaqwaan terhadapNya.

"Sekarang rakyat Amerika dapat menerima seorang pemimpin kulit hitam dan diharap selepas itu serangan terhadap umat Islam juga berakhir tidak sebagaimana dilakukan Bush," ujarnya.

Beliau juga berharap perubahan ke arah itu benar-benar berlaku dan tidak menjadikan Islam sebagai musuh .Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa turut mengucapkan tahniah kepada Obama yang kini mendahului kemenangan dalam pilihan raya Amerika Syarikat.

Menurutnya, kemenangan Obama membuktikan rakyat Amerika sendiri menolak pemimpin yang angkuh serta tidak menerima pandangan rakyatnya.

Katanya, sebelum ini Bush begitu angkuh dengan mengenepikan pandangan orang lain terutamanya pemimpin negara umat Islam.

"Jadi kita berharap Obama tidak meneruskan gaya berkenaan, sebaliknya lebih bersikap tolak ansur dan berperikemanusiaan," ujarnya.

Read More...

Tak jamin harga turun




MAJORITI pengguna menyambut baik berita penurunan harga barang keperluan yang diumumkan kerajaan sejak kebelakangan ini sejajar dengan harga minyak yang semakin rendah.

Namun, ada juga yang mempersoalkan kenapa penurunan itu hanya melibatkan harga barangan tertentu di pasar raya besar sahaja.

Mengapa pengguna masih tidak dapat menikmati harga rendah untuk barangan keperluan lain yang dijual di kedai-kedai runcit yang mendominasi kawasan pinggir dan luar bandar?

Jika mengambil kira harga bahan api di negara ini yang telah diturunkan sebanyak 40 sen bagi petrol dan 38 sen bagi diesel dalam tempoh dua bulan lalu, manakala terbaru harga minyak dikurangkan sebanyak 15 sen, situasi itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan kenaikan harga barangan berpunca daripada lonjakan harga bahan api yang diumum kerajaan pada Jun lalu.

Ketika soalan ini diajukan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad baru-baru ini, menjelaskan masalah itu berlaku kerana peniaga masih menjual stok barangan yang dibeli pada harga sebelum penurunan harga minyak.

Justeru, katanya, kesan penurunan harga bahan api itu akan dinikmati sepenuhnya oleh rakyat dalam masa beberapa bulan lagi.

Bagaimanapun, Prof. Dr. Mohd Fauzi Mohd Jani dari Universiti Kebangsaan Malaysia, melahirkan keraguan harga barangan akan turun banyak, atau kembali kepada harga yang dinikmati pengguna pada tahun 2007, sekalipun harga petrol dan diesel terus turun.

Ini kerana, katanya, terdapat banyak faktor yang mempengaruhi harga barangan di pasaran, dan bahan api hanya satu daripada komponen dalam proses pengeluaran produk.

"Komponen bahan api merangkumi sekitar 40 peratus daripada proses pengeluaran dan ini merujuk kepada pengangkutan, sedangkan ada banyak faktor lain dalam proses pengeluaran ini," kata Mohd Fauzi, Dekan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UKM.

Antaranya ialah faktor tenaga kerja, ketidaktentuan pasaran global serta lokasi.

"Selain itu, struktur pasaran kita juga mempengaruhi harga. Ini kerana terdapat unsur monopoli pada setiap peringkat pasaran seperti pemborong dan peruncit.


PASAR raya besar telah mula menurunkan harga beberapa barangan tetapi bagaimana pula harga barangan di kedai runcit. - Gambar hiasan


"Unsur monopoli ini merujuk kepada jumlah peniaga yang tidak ramai sekali gus memberi mereka kuasa untuk menentukan harga. Misalnya peruncit, kita tengok tak ramai peruncit di satu-satu kawasan dan biasanya harga barangan di kedai-kedai mereka tidak jauh berbeza dan ini mungkin disebabkan mereka mengambil barangan daripada pembekal yang sama," katanya.

Cuaca juga mempengaruhi harga pasaran khususnya bagi produk segar seperti sayuran dan ikan.

Mohd Fauzi juga berpandangan, sekarang adalah tempoh untuk peniaga memperoleh semula margin keuntungan mereka yang hilang sewaktu harga petrol dan diesel dinaikkan.

"Saya tidak mengatakan sekarang ini mereka mengaut keuntungan besar sebab kita perlu mengambil kira bahawa semasa harga minyak dinaikkan dulu, ada yang terpaksa menyerap sebahagian daripada kos, kerana peniaga kecil tidak mampu membayar harga yang terlalu tinggi untuk mendapatkan bekalan.

"Jadi, bagi memastikan pengguna tetap memperoleh barang keperluan, peniaga terpaksa menanggung sebahagian daripada kos itu dan ini telah mengurangkan margin mereka," katanya.

Mohd Fauzi berpendapat, peniaga tidak akan terburu-buru menurunkan harga barangan sekalipun harga minyak di pasaran dunia kini telah jatuh hampir 60 peratus dalam tempoh tiga bulan lalu.

"Ini kerana keadaan pasaran dunia sekarang yang tidak menentu meningkatkan risiko dan pengusaha tidak akan bertindak terburu-buru untuk bergerak dengan harga semasa," katanya.

Penganalisis ekonomi kanan Bank Islam Malaysia Bhd, Azrul Azwar Ahmad Tajudin, berkata, pengguna sepatutnya sudah menikmati harga barangan yang rendah memandangkan harga petrol dan diesel masing-masing telah diturunkan sebanyak 40 sen dan 38 sen masing-masing sejak Ogos lalu dan terbaru, 15 sen.

"Mungkin betul pandangan bahawa ada peniaga yang terpaksa menyerap kos berlebihan semasa harga bahan api dinaikkan dahulu, tetapi saya berpendapat, peniaga sudahpun dapat memperoleh semula margin mereka dalam tempoh dua bulan ini," katanya.

Azrul Azwar berkata, bahawa dalam kes-kes tertentu, berlaku perbuatan pengambilan untung berlebihan.

"Kerajaan perlu mengawasi perkara ini kerana tempoh dua bulan adalah satu jangka masa yang lama untuk peruncit dan pembekal mendapatkan semula margin keuntungan mereka," katanya.

Beliau hairan kenapa hanya harga barangan tertentu yang diturunkan sedangkan kenaikan harga minyak melibatkan semua barang.

"Walaupun beberapa pasar raya besar telah menurunkan harga beberapa barangan, ini hanya memberi manfaat kepada pengguna di bandar.

"Bagaimana dengan pasar mini dan kedai runcit di pinggir bandar dan di luar bandar? Terdapat ramai pengguna mendapatkan bekalan harian mereka dari kedai-kedai ini yang masih menjual pada harga lama," katanya.

Untuk membolehkan rakyat benar-benar menikmati hasil daripada penurunan harga minyak, Azrul Azwar mencadangkan agar kerajaan menurunkan harga minyak dalam kadar yang besar.

"Saya rasa 50 sen akan memberi kesan dan bukan menurunkannya 10 atau 15 sen setiap kali," katanya.

Pada masa ini, harga minyak di pasaran dunia ialah AS$62 (RM217.00) satu tong berbanding AS$147 (RM514.50) setong pada Julai lalu.

Penganalisis mengunjurkan harga itu akan terus jatuh selaras dengan krisis ekonomi global sekarang. - Bernama

Read More...

Ke mana Najib larikan RM5 bilion?

Malaysiakini

Hishamuddin Rais | Oct 30, 08 7:47pm

Hari ini telah dipastikan bahawa sistem ekonomi kapitalis neoliberal telah berakhir. Krisis ekonomi yang melanda sistem kapitalis neoliberal ini sedang nazak. Secara bengong, hanya Najib Razak sahaja yang cuba menafikannya dan berkata Malaysia “terselamat.”

Dasar Ekonomi Bengong (DEB) ini akan membawa mudarat yang amat sangat kepada orang ramai. Justeru, mari kita memahami dasar ekonomi Najib ini.

Dua hari sebelum meninggalkan Kementerian Pertahanan, Najib telah menandatangani perjanjian membeli Eurocopter. Helikopter ini berharga RM2 bilion. Brazil telah membeli helikopter yang sama dengan harga 1 bilion ringgit. Apakah Malaysia ditipu 1 bilion ringgit?

Jawabnya - tidak. Harga helikopter ini sama. Tidak berubah-ubah. Tukang buat dan tukang jual ini tidak menipu. Kita rakyat Malaysia yang kena tipu oleh Najibk. Harga ini telah ‘dinaikkan’. Yang membayar nanti kita semua kerana yang membeli helikopter ini kerajaan.

Kerajaan itu orang ramai. Orang ramai itu kita semua.

Cara “menipu” ini samalah seperti cara Najib membeli jet pejuang Sukhoi (Rusia) dan kapal selam Scorpene (Perancis). Yang berbeza kali ini hanyalah tidak ada perterjemah cun dari Mongolia. Juga kali ini bukan syarikat perunding Razak Baginda yang menjalankan urus jual-beli.

Berita masih belum jelas syarikat kroni mana pula yang mendapat komisen 1 bilion ringgit membeli Eurocopter ini.

Dari mana agaknya duit-duit ini akan datang? Apakah duit ini juga datang dari punca yang sama? Dalam suasana gawat ini banyak persoalan timbul kenapa beli helikopter?

Pertanyaan ini terjawab pantas. Belum pun satu bulan menjadi menteri kewangan, Najib telah “melarikan 5 bilion ringgit” duit KWSP. Duit ini ialah duit simpanan kaum buruh dan kaum pekerja. Duit KWSP adalah duit simpanan yang wajib disimpan oleh semua pekerja.

Majikan juga diwajibkan menyumbang dalam dana KWSP. Duit KWSP ini untuk kegunaan di hari tua – sebagai pencen atau untuk diambil membuat rumah, pergi naik haji dan sebagainya.

Menurut DEB Najib, duit 5 bilion ringgit ini akan disalurkan kepada syarikat ValueCap Sdn Bhd. Penyaluran duit KWSP ini bertujuan menaikkan harga nilai saham syarikat-syarikat yang dianggap “jatuh nilai”.

Persoalan timbul - nilai saham ini rendah kerana orang ramai tidak yakin terhadap syarikat-syarikat ini. Memasukkan duit ke dalam syarikat ini tidak akan membawa apa-apa keuntungan. Untuk sementara waktu, kemungkinan nilai saham syarikat ini akan naik tetapi akhirnya akan jatuh terlingkup juga.

Apabila saham ini mendapat suntikan 5 bilion ringgit, maka nilai sahamnya naik. Apabila nilainya naik, maka makin ramai tuan empunya saham akan menjualkan saham mereka kerana ekonomi sedang gawat. Apabila saham banyak terjual, maka nilai saham ini akan jatuh kembali.

Hanya orang bengong sahaja yang tidak faham bagaimana spekulasi bergerak pantas di bursa saham Kuala Lumpur. Lima bilion ringgit ini akan dicekup oleh pemodal besar terutama dari luar negara.

Dalam masa yang singkat 5 bilion ringgit ini pasti akan hangus. Lima bilion ringgit ini adalah duit kita semua yang diperjudikan di Bursa Malaysia oleh Najib.

Lihat pula ekonomi kita. Harga bahan bakar petroleum telah jatuh. Ketika artikel ini ditulis, harga setong minyak mentah 62 dolar. Untuk mengeluarkan minyak dari perut laut, Petronas memerlukan 60 dolar. Ertinya, dalam satu tong kita hanya untung 2 dolar. Jika harga minyak jatuh lagi maka tidak berbaloi Petronas mengeluarkan minyak.

Lihat pula harga kelapa sawit. Harganya juga jatuh. Pada ketika ini harga setan minyak sawit kurang lebih 1,500 ringgit. Perbelanjaan mendapat setan minyak sawit dianggarkan antara 1,200 ke 1,700 ringgit. Dalam masa yang tidak lama kos pengeluaran – baja, buruh, pengangkutan – lebih tinggi daripada pendapatan.

Justeru, kerana menyedari semua ini Pakatan Rakyat meminta agar Belanjawan 2009 disemak kembali. Belanjawan yang dibentangkan di Parlimen sekarang berdasarkan harga minyak yang melebihi 100 dolar setong dan harga sawit hampir 3,000 ringgit setan.

Pendapatan negara yang dijadikan asas Belanjawan 2009 bergantung kepada hasil petroleum dan minyak sawit. Jika harga dua bahan eksport utama negara kita jatuh, ertinya pendapatan negara jatuh. Justeru Belanjawan 2009 wajib dikaji semula.

Najib yang menjalankan DEB (Dasar Ekonomi Bengong) telah menolak permintaan Pakatan Rakyat di Parlimen. Apa yang dilakukan oleh Najib ialah “melarikan duit KWSP.”

Selama lebih 30 tahun sistem ekonomi kapitalis neoliberal diperkenalkan oleh Amerika Syarikat. Kapitalis neoliberal bermakna “apa yang boleh jual akan dijual, apa yang boleh beli dibeli”.

Sistem ini mengetepikan peranan daulah. Kerajaan tidak dibenarkan memiliki hospital, sekolah dan universiti, janakuasa elektrik, sistem pengangkutan, air atau menyediakan subsidi untuk orang ramai.

Menurut falsafah neoliberal, jika kerajaan campur tangan, maka sistem ekonomi akan cacat.

Justeru gerombolan United Malays National Organistion telah turut mengamalkan sistem kapitalis neoliberal. Hasilnya – lembaga elektrik dijual pada kroni, lembaga agihan air dijual pada kroni, jalan raya dijual pada kroni, hospital dijual pada kroni.

Siapa kroni ini ? Mereka anak-beranak dan kaum keluarga gerombolan United Malays National Organisation.

Untuk menipu rakyat, maka gerombolan United Malays National Organisation mengatakan bahawa ini adalah Dasar Ekonomi Baru untuk menolong orang Melayu. Apabila ada kritikan muncul, maka gerombolan ini akan berselindung bawah Perlembagaan Persekutuan dan hak keistimewaan Melayu.

Jika kritikan datang daripada bukan Melayu, maka mereka akan mengatakan bahawa bukan Melayu tidak ada hak untuk membincangkan hak keistimewaan Melayu. Gerombolan ini akan mengancam mereka dengan tindakan undang-undang.

Tingkah laku dan perangai gerombolan United Malays National Organisation ini samalah seperti satu gerombolan perompak – selepas melakukan rompakan, mereka berselindung di masjid, kuil atau gereja.

Beginilah taktik yang telah dilakukan oleh gerombolan United Malays National Organisation berulang-ulang kali.

DEB Najib ini akan membawa mudarat yang maha besar kepada kita semua – Melayu dan bukan Melayu. Ekonomi kapitalis tidak pernah kenal kamu beragama apa, kamu berbangsa apa atau kamu bersembahyang di mana.

Apabila ekonomi kuncup, yang terpukul tenat ialah kelas bawahan – kaum pekerja, kaum buruh, kaum tani dan nelayan dipukul hebat. Ramai warga hilang pekerjaan dan mata pencarian.

Kita wajib menerima hakikat bahawa Malaysia turut sama mengamalkan sistem ekonomi kapitalis neoliberal. Sistem ini berpusat di Amerika Syarikat. Apabila ekonomi Amerika Syarikat menguncup, maka semua ekonomi kapitalis neoliberal dalam dunia ini juga akan turut menguncup.

Justeru Pakatan Rakyat tidak ada pilihan melainkan wajib mengambil alih kerajaan secepat mungkin untuk menyelamatkan negara daripada bencana kemelesatan ekonomi.

DEB Najib wajib digantikan secepat mungkin. Malah Najib sendiri wajib dihumbankan dalam tong sampah sejarah.

Langkah awal ialah konsep kembali ke bumi. Pertanian wajib dijadikan tulang belakang ekonomi Malaysia. Pertanian ini bukan hanya menanam sawit atau getah sahaja tetapi rakyat wajib dibantu untuk menghasilkan tanaman makanan.

Jika ekonomi meleset, orang ramai masih ada makanan. Makanan untuk diekspot bukan tujuan utama kerana pasaran makanan dunia juga sedang menguncup. Jika kita dapat mengekspot makanan, maka anggaplah ini sebagai bonus.

Kembali ke bumi bertujuan membeli masa agar kita dapat menyusun kembali struktur ekonomi kita yang selama 30 tahun ini telah diporak-perandakan oleh dasar kapitalis neoliberal.

Tidak dapat tidak penstrukturan baru ekonomi yang akan dibawa oleh Pakatan Rakyat tidak akan berpandukan keuntungan maksimum atau dasa “apa boleh jual, jual; apa boleh beli, beli”.

Struktur ekonomi baru wajib memperlihatkan peranan daulah yang lebih kuat. Wajib diwujudkan garis pemisah untuk mengasingkan pengaruh kaum pemodal dari politik negara.

Kuasa kaum pemodal menentukan dasar ekonomi negara berlandaskan neoliberal. Dasar ini sedang terbogel dan terbukti gagal. Dasar kapitalis neoliberal ini wajib ditinggalkan. Rakyat dunia memerlukan satu struktur baru yang berasaskan kekutaan kaum pekerja, buruh dan tani.

Read More...

Ekonomi: Najib - Anwar dicadang berdebat

Siasahdaily



KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar mencadangkan debat terbuka mengenai belanjawan negara antara Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Jika Najib merasa beliau tidak cukup masa dan kesempatan untuk memberi ruang pembangkang meminta penjelasan darinya di dalam Dewan Rakyat, satu debat terbuka mengenai belanjawan boleh diadakan antara beliau serta dua wakil di pihak Barisan Nasional (BN) dengan Anwar serta wakil dari PAS dan DAP di pihak Pakatan Rakyat (PR)," katanya.

Debat tersebut boleh dibuat di mana sahaja yang dipersetujui oleh Najib termasuk menggunakan kemudahan di Dewan Rakyat sendiri di luar waktu persidangannya dan disiarkan secara langsung untuk dinilai oleh rakyata, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

"Sebagai tokoh yang akan menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri, hentikanlah sikap jaguh kampung yang hanya berani membidas dan mengecam di belakang pembangkang tetapi tidak berani berbahas secara berhadapan mengenai belanjawan negara," kata Mahfuz.

Beliau juga meminta Najib menghentikan pelbagai dakwaan mengenai ekonomi negara.
"Najib terus-menerus membuat pelbagai kenyataan bercanggah mengenai ekonomi Malaysia.
"Sekejap kata Malaysia tidak akan terjejas, selepas itu kata Malaysia juga akan turut menerima kesan kemelut ekonomi dunia. Satu ketika mendakwa Malaysia mempunyai fundamental kukuh, selepas itu nak gunakan pula lagi RM7 bilion untuk menghadapi kesan kegawatan ekonomi. Najib seperti orang yang terpinga-pinga," katanya lagi.

Paling akhir, Najib tampil dengan dakwaan kononnya Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan ekonomi teknikal pada tahun hadapan.
Dakwaan itu bertentangan dengan jangkaan Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Emeritus Datuk Mohamed Ariff yang menjangkakan peratusan kemungkinan Malaysia akan menghadapi kemelesetan teknikal tahun hadapan meningkat sehingga 40 peratus, jika Amerika yang merupakan salah satu rakan dagangan utama Malaysia menghadapi kemelesetan.

"Ia bermakna pertumbuhan negatif untuk dua suku tahunan dan 30 peratus kemungkinan ia akan menjadi kemelesetan sebenarnya yang berpanjangan melebihi dua suku tahunan, bergantung kepada apa yang berlaku di Amerika," katanya.

Ahli Majlis Ekonomi Malaysia, Datuk Mohamed Azman Yahya pula mengingatkan bahawa kemerosotan ekonomi yang semakin hampir mungkin lebih mencabar dari krisis yang dihadapi pada tahun 1998
Dalam krisis kali ini, katanya, Malaysia menghadapi risiko stagflasi di mana pertumbuhan akan bergerak perlahan di dalam persekitaran yang tinggi kosnya.

Ia juga mungkin yang terburuk, katanya, dan apa yang lebih membimbangkan ialah kemerosotan kali ini ialah fenomena global.
Sebelum ini, laporan Political & Economic Risk Consultancy (PERC) yang berpengkalan di Hong Kong meletakkan Malaysia antara negara yang paling berisiko tinggi dalam menghadapi krisis ekonomi dunia yang dijangka akan bertambah buruk.

Read More...

Ex-gratia: Salleh Abas, 5 bekas hakim terima lebih RM10 juta

Mstar Online

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas (kanan)menerima ex-gratia daripada bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim pada 20 Jun lalu. (Foto oleh AZMAN GHANI).

KUALA LUMPUR:Kerajaan membayar ex-gratia sebanyak RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohd Salleh Abas dan lima lagi bekas hakim kanan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz.

Beliau berkata bayaran kepada Mohd Salleh melibatkan RM5 juta, Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh (RM2 juta) dan Tan Sri George Edward Seah Kim Seng juga RM2 juta.

Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer dan Tan Sri Azmi Kamaruddin pula masingmasing menerima bayaran berjumlah RM500,000, katanya.

Beliau berkata keputusan secara dasar telah dibuat Jemaah Menteri sama ada untuk membayar atau tidak ex-gratia kepada hakim berkenaan.

"Kita memutuskan untuk membayar dan soal menentukan berapa, perkara itu dilakukan oleh pihak ibu pejabat kewangan untuk tentukan berapa nilainya. Kita cuma berikan bayaran exgratia tapi jumlahnya ditentukan (diluluskan) oleh Kabinet," katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2008 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Selain bayaran ex-gratia, beliau berkata lima bekas hakim itu turut menerima pencen bulanan iaitu Mohd Salleh sebanyak RM5,102.16, Wan Suleiman (RM4,815), Eusoffe (RM4,815), Wan Hamzah (RM6508.59) dan Azmi (RM5,916.90).

Kepada soalan Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju) sama ada hakim berkenaan dipecat atau diarahkan berhenti lebih awal, Nazri berkata tidak pernah ada tribunal ditubuhkan di mahkamah yang memutuskan memecat mereka.

"Tidak pernah panel dipanggil dan dibentuk untuk memecat...soal pemecatan itu satu hukuman, soal syor berhenti awal juga satu hukuman..tidak ada tribunal dibentuk untuk memecat (mereka)," katanya.

Sementara itu, Nazri berkata kerajaan telah mengambil keputusan untuk melancarkan beberapa inisiatif untuk menguatkan kepercayaan rakyat kepada sistem kehakiman termasuk menambah baik pentadbiran pendengaran kes di mahkamah serta menubuhkan jawatankuasa pelantikan kehakiman.

Katanya, langkahlangkah tersebut bukan satu perkara yang mudah dan harus dilaksanakan satu persatu supaya kepentingan negara dan setiap kumpulan terpelihara.

Pada sidang akhbar kemudiannya di lobi Parlimen, Nazri sekali lagi menegaskan hakim berkenaan diminta bersara lebih awal dan dengan itu mendapat pembayaran pencen.

"Kalau dipecat, mereka tidak akan mendapat pencen. Mereka diminta bersara, barulah pencen dibayar," katanya.Nazri berkata keputusan kerajaan untuk

mendedahkan jumlah pembayaran exgratia itu adalah demi untuk menjaga kepentingan awam.

"Hakim berkenaan berpegang pada janji mereka kepada Perdana Menteri untuk tidak mendedahkannya tetapi oleh kerana anggota Parlimen tidak berpuas hati dan berhujah bahawa wang itu diambil daripada dana awam, kami tiada pilihan selain mendedahkan jumlahnya.

"Seperti yang saya katakan, wang itu bukan diambil dari poket Perdana Menteri, ia diambil daripada dana awam jadi kami perlu dedahkannya," katanya.

Persidangan Dewan Rakyat disambung Isnin.BERNAMA

Read More...

Cermin diri dulu kalau nak beristeri dua - Abby Abadi




KUALA LUMPUR - "Pergilah cari cermin besar, cermin diri dan tengok siapa diri sendiri. Dia mampu ke kalau beristeri dua?"

Demikian sindir pelakon jelita, Abby Abadi atau nama sebenarnya Arbaeyah Abdul Manan, 30, ketika ditanya mengenai hasrat suaminya, Norman Hakim yang tidak menolak untuk berpoligami.

"Suruh dia mengucap panjang dan ingat Tuhan," nasihatnya dengan nada bersahaja.

Bagaimanapun menurut Abby, jika benar Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 32, mempunyai keinginan untuk berkahwin lain dalam masa terdekat ini, ia bukan satu masalah kepada dirinya.

"Dia boleh kahwin, saya tak kisah. Apa pun, dia perlu 'lepaskan' saya dahulu," katanya lagi dengan tegas.

Semalam, akhbar menyiarkan kenyataan Norman yang memberitahu dia bersedia untuk berkahwin lagi jika itu ditakdirkan kepadanya.

Menurut Norman, dia tidak mampu menolak ketentuan dan bersedia bernikah dengan pelakon baru, Memey Suhaiza Suhaimi, 20, yang ditangkap atas dakwaan berkhalwat bersamanya baru-baru ini.

Mengenai kenyataan Norman semalam bahawa Abby dan Memey sama penting dalam hidupnya, Abby memberitahu, dia menyerahkan kepada masyarakat untuk menilai siapa sebenarnya yang menjadi punca keretakan rumah tangganya.

"Umum boleh fikirkan tentang sikap sebenar Norman kalau dia boleh bercakap sedemikian kerana bayangkan selama tujuh tahun saya berkorban segala-galanya untuk dia, namun dengan sekelip mata dia boleh buat pengakuan Memey dan saya sama penting dalam hidup dia," katanya.

Read More...

Kerajaan BN sembunyi situasi sebenar ekonomi negara - Husam

Harakahdaily

Salmah Mat Husain
Thu | Nov 06, 08 | 3:56:10 pm MYT

KOTA BHARU, 6 Nov (Hrkh) - Kerajaan Barisan Nasional tidak seharusnya berbangga dengan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion, sedangkan rakyat tidak mendapat gambaran sebenar ekonomi negara.

� Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, apa yang berlaku hari ini kerajaan belum memberikan gambaran sebenar kedudukan ekonomi negara, sebaliknya hanya mengeluarkan pelbagai kenyataan dengan mendakwa ekonomi masih kukuh.

"Apa yang berlaku adalah di sebaliknya di mana negara sedang menghadapi krisis ekonomi dunia akibat kegawatan yang kronik.

"Sebelum ini pernah berlaku pinjaman bank tidak berbayar setelah berlakunya krisis ekonomi pada 1978 - 1979 di mana pada ketika itu pasaran saham jatuh merudum.

"Sekarang fenomena itu berlaku lagi di mana pasaran saham menjadi tidak menentu," katanya di sini.

Beliau mengulas tindakan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak yang mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion pada persidangan Dewan Rakyat, Isnin lalu.

Menurut Najib, pakej itu bertujuan mengukuhkan lagi daya tahan negara dan mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dalam menghadapi persekitaran global yang semakin mencabar.

Husam berkata, apabila berlaku kejatuhan pasaran saham, pihak pelabur diminta membayar balik kepada bank, namun lazimnya mereka tidak mampu berbuat demikian.

"Jika perkara ini berlaku, akan terjadi pinjaman tidak berbayar sebagaimana sebelum ini dan ia akan menjejaskan sistem perbankan di Malaysia," ujarnya.

Oleh itu beliau berkata, kerajaan seharusnya memberi penjelasan secukupnya kepada rakyat terhadap krisis ekonomi dunia, di mana negara kita turut menerima kesannya. -mj/ mr/mks. _

Read More...

Mufti Perlis: Azwira, Juanda ganti Dr Asri?

Malaysiakini

Jimadie Shah Othman | Nov 6, 08 11:10am

Dua tokoh agama dicadangkan kepada Raja Perlis sebagai calon mufti Perlis bagi menggantikan Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang tamat perkhidmatannya hujung bulan ini.

Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Azwira A Aziz dan bekas naib mufti Sarawak, Dr Juanda Jaya dicalonkan mengisi kerusi penting itu.

Sebelumnya bertugas sebagai ketua penolong mufti, anak Sarawak lulusan UKM dan Universiti al-Azhar itu kini ketua penolong pengarah di bahagian dakwah jabatan agama Islam negeri.

dr mohd asri zainul abidin perlis muftiPada 7 Oktober lalu, Dr Mohd Asri memutuskan bersara mengejut akibat "tidak selesa dengan permainan politik" oleh beberapa pihak dalam kerajaan negeri berhubung pengendalian kontrak perkhidmatannya.

Beliau menyifatkan cara pengurusan kontraknya "macam main silap mata".

Sehari selepas itu beliau diterima mengadap Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menyatakan hasrat untuk bersara.

Difahamkan dua calon ini dipersembahkan kepada baginda dalam pertemuan itu.

Menjunjung titah baginda, tambah bekas pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM) itu, beliau melanjutkan tempoh perkhidmatannya selama sebulan sebelum bertolak ke United Kingdom bagi menjalankan kajian berkaitan pengajian hadis dan politik.

dr azwira a azizDihubungi semalam, Dr Azwira (kiri) mengesahkan telah dimaklumkan perkara itu oleh Dr Mohd Asri selepas pertemuan mufti popular itu dengan baginda.

Dr Azwira, 41, bagaimanapun belum membuat keputusan akan menerima pelantikan itu jika terpilih.

Pensyarah kanan di Jabatan al-Quran dan al-Sunnah itu merupakan pemegang doktor falsafah dari UKM, sarjana dari Jordan dan sarjana muda dari Universiti Islam Madinah.

Pengarang beberapa buku berkenaan akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah berkata akan menerima pelantikan itu jika mendapat sokongan padu daripada rakyat Perlis dan tidak terlibat dengan unsur-unsur politik seperti yang didakwa berlaku terhadap Dr Mohd Asri.

Bapa kepada lima orang anak itu juga berkata sedang menimbangkan faktor-faktor lain seperti sentimen kenegerian dan hal-hal peribadi melibatkan penghijrahannya ke negeri itu dan proses menamatkan perkhidmatannya dengan UKM.

Menjelaskan situasi kenegerian itu, beliau berkata:

"Dua minggu lepas saya ke Perlis. Saya lihat masih wujud sentimen kenegerian."

Anak kelahiran Kelantan itu kini menetap di Semenyih, Selangor. Dr Mohd Asri yang berasal dari Bukit Mertajam memecahkan tradisi apabila dilantik sebagai mufti Perlis dua tahun lalu.

Dr Azwira bagaimanapun tidak kisah sesiapa pun mengisi jawatan itu selagi mempunyai pemikiran dan fikrah Ahli Sunnah wal-Jamaah.

Ditanya fokus dan pendekatan beliau jika dipilih, beliau yang 16 tahun berpengalaman mengajar di UKM dalam bidang agama berkata:

"Saya ingin fikrah sunnah (Ahli Sunnah wal-Jamaah) diteruskan. Mungkin saya tidak setanding Dr Mohd Asri yang terkenal di peringkat nasional.

"Saya ingin fokuskan kepada aktiviti pemantapan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah di peringkat negeri."

dr juanda jaya perlis mufti candidate 081106Dihubungi Malaysiakini hari ini, Dr Juanda (kanan) berkata pencalonannya didengar daripada desas-desus rakan-rakan dekatnya.

Ia belum dimaklumkan secara rasmi oleh kerajaan negeri, tambahnya.

Beliau, 37, yang pernah bertugas sebagai anggota jawatankuasa syariah Perlis, enggan mengulas lanjut tentang perkara itu kerana ia berkaitan dengan kuasa istana.

Doktor falsafah dalam bidang pengurusan organisasi dakwah, Dr Juanda menghasilkan kira-kira 20 buah buku dalam pelbagai bidang agama.

mat isa sabu md isa sabuMenteri Besar Perlis Datuk Seri Mohd Isa Sabu pula ketika dihubungi semalam berkata kerajaan negeri belum dimaklumkan calon-calon untuk mengisi jawatan itu.

"Kita masih cari lagi (calon-calonnya)," katanya.

Majlis Agama Islam Perlis belum memaklumkan kepadanya berhubung calon-calon bagi mengisi jawatan itu, tambahnya.

Ditanya tentang ciri-ciri calon mufti baru yang diharapkannya, Mohd Isa berkata kerajaannya akan menerima siapa sahaja calon yang dicadangkan majlis itu dan yang diperkenankan Raja Perlis.

"Apapun bergantung kepada keputusan Tuanku. Baginda merupakan ketua agama Islam di Perlis," katanya.

Menurut prosedurnya, majlis agama Islam akan mencalonkan nama-nama pilihan sebelum dibentangkan dalam mesyuarat exco negeri.

Seterusnya, kata menteri besar, pelantikan akan dibuat jika mendapat perkenan baginda.

Bagaimanapun, wakil rakyat Bintong itu berkata, perkara itu belum dibincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri, termasuk semalam, tiga minggu sebelum jawatan itu kosong.

Read More...

Militan Islam berarak, protes hukuman mati tiga pengebom Bali

mstar online

Kira-kira 100 militan Islam berarak tanda protes terhadap hukuman yang dijatuhkan kepada tiga pengebom Bali. - foto AFP

[DIKEMAS KINI] JAKARTA: Pelampau Islam hari ini berarak di ibu negara Indonesia, di sini sebagai tanda protes dengan keputusan hukuman mati yang dikenakan ke atas tiga pengebom Bali, di mana peguam bela juga sedang meminta kebenaran agar ahli keluarga ketiga-tiganya dibenarkan melawat pada masa yang sama.

Sambil melaungkan "Allahu Akhbar", kira-kira 100 ahli militan menuju ke pejabat badan hak asasi kebangsaan di mana peguam-peguam pengebom itu berbincang dengan pegawai di sana bagi mendapatkan kebenaran tersebut.

Mereka mengutuk hukuman tersebut dan menyifatkan pengebom-pengebom tersebut - Imam Samudra, Amrozi Nurhasyim dan Ali Ghufron sebagai "pejuang suci".

Peguam bela Mahendradatta seperti yang dipetik AFP, menggesa agar badan hak asasi, Komnas Ham supaya menyokong permintaan ahli keluarga untuk melawat tiga militan itu, yang dijangka akan menjalani hukuman mati - ditembak oleh skuad khas, dalam waktu terdekat, bulan ini.

Menurut Pengerusi Komnas Ham, Ifdhal Kasim, tiga pesalah itu mempunyai hak untuk bertemu dengan keluarga masing-masing sebelum hukuman dijatuhkan.

"Pesalah yang menantikan hukuman dijatuhkan seharusnya diberikan peluang untuk bertemu ahli keluarganya," katanya.

Sementara itu, ahli keluarga tiga pengebom itu telah menulis surat kepada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono merayu agar hukuman tersebut ditangguhkan, kata seorang lagi peguam bela, Fahmi Bachmid.

Namun begitu, katanya, surat tersebut bukan permohonan untuk pengampunan. Tiga pengebom tersebut sebelum ini pernah berkata, mereka rela "mati syahid" untuk mencapai impian mereka mewujudkan utopia Islamik di Asia Tenggara.

BERITA TERDAHULU

JAKARTA: Sekumpulan ulama kanan Indonesia telah diminta supaya melawat tiga pengebom Bali, yang dijangka menjalani hukuman mati - ditembak oleh skuad khas, dalam waktu terdekat, bulan ini.

"Kami telah menerima surat daripada pejabat pendakwa raya Cilacap supaya menghantar sembilan orang ulama ke penjara untuk menjalankan khidmat kaunseling kepada ketiga-tiga mereka," kara Sahlan Natsir, seorang anggota badan ulama Islam tempatan, yang terletak berhampiran dengan penjara.

Bagaimanapun beliau yang dipetik AFP tidak menyatakan bila mereka diminta mengadakan pertemuan dengan ketiga-tiga pengebom tersebut - Imam Samudra, Amrozi Nurhasyim dan Ali Ghufron.

Kelmarin paderi Katolik Australia merayu agar mereka tidak dihukum mati.

Paderi Timothy Harris dari Brisbane, pada minggu lalu telah melawat bekas kariah yang didapati bersalah mengedar dadah, Scott Rush, yang kini menunggu hukuman mati di Bali, dan Michael Czugaj yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan yang sama.

Isnin lalu, Mahkamah Agung Indonesia berkata, rayuan terbaru saat-saat akhir daripada keluar pengebom Bali itu tidak akan menyelamatkan mereka daripada hukuman mati.

ABC melaporkan spekulasi bahawa pelaksanaan hukuman ditangguhkan sehingga Putera Charles menamatkan lawatan ke Indonesia semalam.

Malah, katanya, pihak berkuasa Indonesia juga mahu menggunakan liputan meluas media pemilihan Presiden AS, yang sedang berlangsung, yang dipercayai akan mengalihkan tumpuan ke atas hukiman mati.

Minggu lalu kerajaan Indonesia mengumumkan bahawa hukuman ke atas mereka akan dijalankan awal bulan ini.

Mereka dijadual menjalani hukuman dalam waktu terdekat bulan ini.

Justeru, mereka telah dipindahkan ke bilik pengasingan di penjara Nusakambangan dan lokasi menjalani hukuman telah disediakan.

Ketiga-tiga militan berkenaan akan menjalani hukuman pada waktu yang sama tetapi dilokasi yang berlainan.

Sejak Jumaat lalu, pihak berkuasa Indonesia telah meningkatkan tahap keselamatan bimbang pelaksanaan hukuman akan mencetuskan kekacauan.

Semua hukuman mati di Indonesia dilaksanakan oleh skuad penembak dan biasanya dilakukan di lokasi dan waktu yang tidak dinyatakan.

Read More...

Wang Rasuah RM750 Juta Dibawa Dengan Jet Persendirian

msomelayu

SEBAIK Parlimen berhenti rihat tengah hari tadi, seorang kawan ajak untuk makan tengah hari di luar. Pekena kepala ikan kari. Mula janji nak makan dengan seorang ahli Parlimen Pas, kebetulan YB itu kena uruskan bininya, temujanji itu dibatalkan.

Tempat kepala ikan bukan jauh sangat. Tetapi kerana jam, perjalanan memakan masa hampir satu jam. Dalam tempoh satu jam, macam-macam yang sempat dibualkan.

Kawan itu bertanya apa yang saya postkan dalam blog hari ini (semalam). Rupanya kawan ini belum lagi jenguk blog saya. Dia adalah antara penjenguk setia blog saya. Begitulah dakwanya.

"Belum baca lagi?" tanya saya dan terus memberi tahu bahan yang dipostkan pagi tadi sebelum turun rumah menuju Parlimen. "Umno sebuah universiti rasuah," kata saya.

Kawan itu ketawa besar. Ketawa ala orang Umno, kaya, berkuasa dan tidak hairan kepada sesiapa. Kalau nak dengar gaya orang Umno ketawa silalah ke coffee house. Dia ahli Umno yang tegar dan tebal dengan cauvinis Melayu. Dua lagi kawan hanya diam membisu. Kawan di sebelah tersenyum, dia sudah membaca catatan saya pagi ini. "Betul yang kau tulis, Umno sudah teruk," balas kawan di sebelah mengiyakan apa yang saya luahkan dalam tulisan.

"Memang Umno sudah berada di peringkat paling (dia menekankan suaranya) palinggggg....parah.! Parah... Ti..." katanya terus memandu di celah-celah kesesakan lalulintas. "You tahu berapa wang yang digunakan pada setiap persidangan Umno bahagian," kata kawan itu. Semua telinga tertumpu kepada cerita kawan ini.

"Ha berapa?' tanya kawan yang berada hadapan penuh minat.

"Banyak... *** **, banyak. Untuk satu kawasan di Kelantan dia orang minta RM150.00 untuk seorang perwakilan. Cuba kali dengan 500 perwakilan, sudah jadi RM75,000. Kalaulah semua bahagian meminta jumlah itu berapa yang harus kena bayar?," katanya.

"Itu harga paling rendah, tetapi ada sesetengah perwakilan dibayar hingga RM500 sampai RM1,000 seorang. Bayangkanlah..." katanya kawan itu lagi kesal.

"Iya ke...!?" tanya kawan itu hairan.

"Iya... I tahu I terlibat. Dalam satu bahagian I berjumpa dengan orang bahagian, setiausaha ada, ahli jawatakan kuasa PUN ada. Mereka berterusn terang kalau bagi sekian-sekian baru mereka akan calonkan... kalau tak dak... maka tak daklah," jelas kawan itu lagi yang mengakui telah turun ke 80 bahagian Umno sejak dua tiga bulan Lepas kagi. Apa yang dicakapnya mungkin betul sebab dia adalah pengurus kempen kepada seorang calon jawatan tertinggi.

"Kalau macam ni teruklah Umno," tekan kawan di hadapan bimbang.

"Memang sudah teruk. Umno sudah punah jahanam," kata kawan itu lagi. Saya dan kawan di belakang hanya jadi tukang dengar.

"Dari mana dia orang dapat duit begitu banyak?" tanya kawan di hadapan buat-buat tidak tahu.

"Inilah *** **, kerja Umno. Umno sudah nak menjual negara ini. Semua pakai duit..." dia berhenti kerana sebuah kereta melintas liar di hadapannya. "Cis.... ha ini orang Umnolah ni... kalau orang Pas dia tak bawa kereta macam ni...," sumpah kawan itu marahkan kereta yang tidak beradat.

"Macam mana you cam orang Umno," tanya saya.

"Hai... Ustaz.... takkan tak kenaL!" kawan itu memperli saya dan terus bercerita.

"*** ** tahu macam mana dia orang bawa balik duit dari luar negera? RM750 juta....duit dari Switzerland dibawa balik.... " Kawan itu terngangga dan saya juga terkejut. Percaya dengan tidak bercampur gaul.

"Macam mana tu? Mana boleh bawa begitu saja?" tanya kawan di sebelah saya yang hanya diam membisu. Sejak tadi asyik menggaru-garu gatal dibetisnya.

"Dia orang ada kemudahan *** **. Duit itu diangkut ke Singapura. Semua duit dalam not Singapura. Dibawa masuk dengan menggunakan jet tentera!"

"Ha..." kawan itu terkejut beruk sekali lagi.

"Jet tenteraaaa....*** **. Kalau dah masuk dengan jet tentera.... sapa nak ganggu? Begitu juga orang yang ke Switzerland tu pakai jet persendirian..... Ini Umno... bukan Pas!" jelasnya lagi.

Saya tidak terbayangkan dengan apa yang diceritakan kawan itu. Dalam hati berdoa semoga ianya tidak benar. Kalaulah begitu lagak Umno tidak ada apa yang boleh diharapkan lagi. Suara untuk menghapuskan politik wang hanya sia-sia sahaja. Ia hanya sebuah retorik yang panjang saja.

Kalau dengar cerita para taukeh judi melambakkan duit kepada tokoh-tokoh tertentu yang hendak bertanding dalam pilihan raya memang biasa dan pernah nampak dengan mata sendiri. Kerja angkut duit dalam karung guni macam penyamun memang dibuat oleh Umno pun.

Sesampai di restoran kepala ikan kami baham dua ketul kepala ikan sebesar buah kelapa muda. Kelazatan dan kesedapan kari kepala ikan menyebabkan cerita tentang bagaimana wang sebanyak RM750 juta dikatakan dibawa masuk itu sudah tidak ingat lagi. Sambil makan terbetik dalam hati saya, jangan-jangan wang yang hendak dibayar kepala ikan itu nanti juga termasuk wang RM750 juta itu. Jangan! [wm.kl. 10:00 pm 04/11/08]

Read More...

Ahli Parlimen Batu Gajah dan Bandar Kuching digantung sidang

Mstar Online

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan dan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chien Jen digantung daripada persidangan Dewan Rakyat sepanjang hari ini kerana tidak patuh kepada arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Keputusan penggantungan kedua-dua ahli Parlimen DAP itu dibuat oleh Pandikar Amin kira-kira pukul 3.35 petang tadi semasa sesi perbahasan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2009 di peringkat jawatankuasa di sini hari ini.

Fong ketika ditemui media selepas diarahkan keluar dari Dewan menyatakan yang beliau berasa sakit hari dengan arahan itu.

Fong berkata, beliau hanya ingin mendapatkan penjelasan daripada Speaker kerana mendakwa tidak diberi peluang untuk turut serta dalam sesi perbahasan peringkat jawatankuasa tersebut.

"Saya cuma ingin tahu mengapa saya tidak dipanggil dan diberi peluang untuk berucap, saya tidak dipandang.

"Saya berasa sangat aneh kerana sejak semalam malah saya pun ada tarik perhatian Speaker," katanya.

Ketegangan mula berlaku apabila Fong bangun mengemukakan Peraturan Mesyuarat 35(2) yang menyatakan bahawa apabila lebih daripada dua orang ahli Dewan yang bangun serentak maka Speaker harus memanggil ahli dahulu sekali dipandang olehnya.

Bagaimanapun Pandikar Amin memberikan alasan bahawa beliau tidak nampak Fong berdiri untuk mendapatkan peluang berhujah.

"Yang Berhormat sila duduk...terlalu ramai yang berdiri, saya tidak nampak," kata Pandikar Amin.

Fong bagaimanapun tidak boleh menerima alasan yang diberikan dan terus bercakap meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan jawapan Speaker.

"Saya sukar terima bila Tan Sri Speaker kata 'saya tidak nampak'," katanya.

Tindakannya itu seolah-olah ingkar dengan arahan supaya duduk dan tidak terus mencetuskan kekecohan hingga memaksa Pandikar Amin membuat keputusan untuk menggantung Fong sehingga Parlimen kembali bersidang minggu depan.

Dalam pada itu, Chong yang cuba memprotes keputusan Speaker itu bangun bagi memohon penjelasan sebab Fong perlu digantung.

Namun Pandikar Amin mengarahkan Chong supaya tidak masuk campur dengan apa yang berlaku kerana perkara tersebut tiada kaitan dengannya.

"Bandar Kuching...duduk. Soal ini tidak ada kena mengena dengan Bandar Kuching," katanya.

Arahan tersebut tidak diendahkan oleh Chong yang terus bercakap dan akhirnya Pandikar Amin membuat ketetapan bahawa beliau turut menerima nasib yang sama dengan Fong.

Semasa ketegangan itu, Ketua Pembangkag, Datuk Seri Anwar Ibrahim bangun untuk membela kedua-dua ahli Parlimen Pakatan Rakyat itu.

"Tan Sri Yang Dipertua, saya kira yang salahnya ialah soal tidak nampak. Jadi kalau boleh Tan Sri pertimbangkan semula keputusan itu," katanya.

Pandikar Amin bagaimanapun kekal dengan pendiriannya dan tidak akan menarik balik keputusannya itu.

Bagi Chong, beliau sendiri hairan mengapa Speaker mengambil tindakan tersebut terhadapnya.

"Saya sendiri hairan, saya tak cakap banyak pun...hanya berdiri dan ingin dapatkan pembelaan bagi Batu Gajah.

"Sepatutnya Speaker beri dulu tiga kali amaran sebelum beliau ambil keputusan ini," katanya.

Insiden digantung daripada menghadiri persidangan adalah kali kedua berlaku dalam minggu ini selepas Tian Chua (PKR-Batu) turut digantung pada Selasa lalu kerana kesalahan yang sama iaitu ingkar dengan arahan Speaker semasa sesi ucapan penggulungan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Read More...

Eurocopter: 'Game high profile' yang ranapkan wang rakyat?

Harakahdaily

Wan Nordin Wan Yaacob
Thu | Nov 06, 08 | 1:38:23 pm MYT

Pengumuman Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) bahawa urusan pembelian Eurokopter EC725 Cougar tiada berlakunya penyelewengan mengundang pelbagai reaksi daripada pelbagai lapisan kepimpinan.

Sebelum pengumuman itu pun, banyak pihak mempertikaikan beberapa kenyataan dua pemimpin utama negara, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Dato' Seri Najib Razak yang sangat bercanggah antara mereka.

Pada mulanya, 27 September 2008, Abdullah mengumumkan bahawa syarikat pengeluar helikopter, Eurocopter Malaysia Sdn. Bhd. telah memenangi tender terbuka antarabangsa untuk menggantikan helikopter Nuri dengan Eurocopter EC725 Cougar.

Ramai yang melihat pengumuman tersebut memberikan sedikit kelegaan kepada keluarga angkatan tentera khususnya kepada yang ahli keluarganya pernah terkorban dalam kemalangan melibatkan Nuri.

Pada hemat rakyat dan ahli keluarga mangsa mungkin sekurang kurangnya pengorbanan keluarga mereka diberi perhatian dengan kerajaan mengambil keputusan tidak lagi menggunakan 'keranda terbang' Nuri.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa bahawa India membeli 197 unit EC725 Cougar pada harga yang sama dengan jumlah wang yang dibayar Malaysia untuk hanya mendapat 12 buah.

Sementara MT KeADILan, Badrul Hisham Shaharin memetik dalam www.defenseindustrydaily.com yang melaporkan mengenai pembelian Kerajaan Korea untuk model yang sama tetapi dengan harga yang juga lebih murah berbanding Malaysia.

Skandal ini mendapat perhatian sebagai skandal berprofail tinggi apabila pendedahan berserta bukti oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengenai terdapat skandal dibelakang pembelian ini.

Terdapat banyak percanggahan mengenai harga pesawat tersebut antara Timbalan Menteri Pertahanan, Dato' Wira Abu Seman Yusop yang berkata harganya RM1.6 bilion.

Sementara Setiausaha Kementerian Pertahanan, Abu Bakar Abdullah berkata harganya RM 1.1 bilion.

Paling menarik perhatian, ketika berucap di Parlimen Abu Seman mendedahkan keputusan pembelian helikopter pengganti Nuri hanya dibuat hanya berpandu kepada katalog.

Malangnya, dengan merujuk kepada katalog ini pembelian dengan harga yang berlipat kali lebih mahal dari yang dibeli oleh kerajaan lain diiktiraf PAC dengan mendakwa ianya mengikut prosedur.

Luluh hati rakyat dibuatnya, malah isu tersebut yang pada pandangan Anwar boleh dibawa ke Parlimen ketika Najib menggulung perbahasan Belanjawan 2009, akhirnya tidak kesampaian kerana sikap Najib menutup ruang perbahasan.

Gegak-gempita Dewan Rakyat pada 4 November lalu ketika seluruh anggota Parlimen Pakatan Rakyat bertindak keluar dewan selepas melihat ruang demokrasi disempitkan oleh Najib.

Beberapa ahli Parlimen yang bangun termasuk Anwar, Dato' Kamaruddin Jaffar (PAS Tumpat); Mahfuz Omar (PAS Pokok Sena); Azmin Ali (KeADILan Gombak); Salahuddin Ayub (PAS Kubang Kerian); Saifuddin Nasution (KeADILan Machang); Tian Chua (KeADILan Batu) dan ramai lagi mendesak Najib membuka ruang tidak diendahkan.

Malah, ketetapan yang dibuat Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung Peraturan Mesyuarat 37 (2) dengan pengakuan Najib bahawa tidak akan memberi ruang sehingga selesai membacakan cadangan menyebabkan dewan panas dan berbalam dengan reaksi berang tindakan 'boikot' pembangkang.

Pastinya seperti kata Mahfuz Omar, Najib bimbang dengan segala pendedahan mengenai skandal membabitkannya termasuk isu Eurokopter menjadi bahan perbahasan pada petang 4 November lalu.

Najib seolah-olah sudah membaca rentah dan hati Anwar yang sememangnya akan melayangkan soalan tersebut bagi dijawab sendiri oleh Presiden Unmno yang baru itu.

Pastinya kemarahan rakyat pada pilihan raya umum ke-12 lalu yang disemarakkan Anwar dengan isu-isu penyelewengan pembelian Sukhoi dan Scorpene membayangi Najib berdepan dengan Anwar.

Paling pelik dalam skandal burung besi baru yang diidamkan Najib sebelum ini (ketika menjadi menteri Pertahanan) dimana 23 hari selepas umumkan pembelian Ec725 Cougar Abdullah badawi terpaksa umumkan 'penangguhan' pembelianya atas alasan ekonomi antarabangsa tidak stabil.

Namun pastinya persepsi umum tidak terlepas dari melihat bahawa pengumuman pembatalan dibuat dua minggu selepas keputusan dibuat dan lebih pelik ialah ia dibuat sehari sebelum PAC bersidang untuk menyiasat skandal tersebut.

Rela atau tidak, Najib pastinya tidak lupa dengan kenyataannya sendiri yang mengatakan faktor ekonomi tidak wajar dijadikan pengukur tunggal untuk membuat keputusan perbelanjaan untuk pertahanan negara.

Beberapa pemerhati politik dan Ketua Pemuda PAS sendiri melihat kenyataan Najib seolah terus mempertahankan usaha pembelian Eurocopter.

Pastinya tidak terjangkau oleh pemikiran rakyat bahawa sebenarnya mungkin percanggahan ini sebenarnya bibit 'perang' antara dua pemimpin tertinggi negara ini.

Malah bak kata Salahuddin, skandal ini dan keputusan PAC pastinya perlu diteliti semula kerana ianya membelakangi Parlimen, polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang sekaligus menimbulkan tanda tanya adakah ini 'game high profile'? - mks. _

Read More...

Sidang akhbar Razak Baginda dibatalkan

Malaysiakini

Jimadie Shah Othman | Nov 6, 08 10:36am

abdul razak baginda postponed pc event 061108 02Kira-kira 50 wartawan tempatan dan luar negeri kecewa apabila sidang akhbar penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, yang dijadualkan diadakan di sebuah hotel di ibunegara pagi ini dibatalkan.

Wartawan tersebut berkumpul di situ sejak jam 8 pagi. Sidang akhbar berkenaan dijadual bermula jam 9.30 pagi.

Apabila ditanya oleh wartawan, pihak pengurusan hotel bersebut berkata pihaknya dimaklumkan sidang akhbar tersebut telah ditunda.

Bagaimanapun mereka tidak tahun butiran lanjut mengenainya.

Difahamkan, keputusan untuk membatalkan sidang akhbar tersebut dibuat malam tadi.

abdul razak bagindaSementara itu, anak perempuan beliau, Rowena dalam sebuah kenyataan, meminta maaf di atas penangguhan sidang akhbar tersebut.

“Beliau (Abdul Razak) sedang menyesuaikan diri sebagai seorang yang bebas, selepas berada di dalam penjara hampir dua tahun. Beliau fikir beliau dapat membuat penyesuaian sejurus selepas dibebaskan, tetapi perkara itu ternyata memakan sedikit masa," katanya.

Rowena berkata, Abdul Razak juga mengambil kira kesihatan dirinya dan akan berada di Malaysia untuk beberapa minggu lagi.

Pada 31 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Abdul Razak daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Read More...

Najib tiada semangat ‘Keparlimenan’ - Anwar

Suara Keadilan

oleh Syukree Hussain

Anwar, Timbalan Presiden Pas Nasaruddin Mat Isa dan Penasihat DAP Lim Kit Siang keluar daripada parlimen sebagai tanda protes terhadap Menteri Kewangan Najib Razak (gambar mstar).

KUALA LUMPUR, 5 November (SK) - Ketua Pakatan Rakyat Anwar Ibrahim menganggap Menteri Kewangan Najib Razak bertindak di luar daripada batasan semangat Parlimen.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu berhubungan dengan tindakan kerana bakal Presiden Umno itu enggan membenarkan sebarang celahan, pertanyaan dan penjelasan sewaktu beliau menggulung perbahasan Belanjawan 2009.

“Selaku Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah tentu sedar ucapan penggulungan beliau akan memberi kesan kepada negara, justeru amat penting ucapan tersebut dibahaskan dengan teliti oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat,” jelasnya ketika ditemui oleh Suara Keadilan Online sejurus sidang media di lobi Parlimen semalam.

Namun, tambahnya, keengganan beliau amat dikesali kerana beliau sanggup membelakangkan kepentingan umum.

“Satelah berulangkali menuntut jawapan, dan menunggu selama satu jam, Timbalan Perdana Menteri tetap berdegil dan enggan memberikan laluan,” ujar Anwar yang juga merupakan Ketua Umum KeADILan.

Sambungannya, sejarah Parlimen Malaysia yang sudahpun menjangkau usia separuh abad, tapi buat pertama kalinya, menyaksikan Menteri Kewangan enggan dan gagal melayani perbahasan belanjawan.

“Adalah malang sekiranya Dewan Rakyat yang menjadi tempat undang-undang dibentuk dan polisi nasional dibentangkan tidak lagi dihormati,” kata beliau dalam kenyataan yang turut disiarkan dalam blognya.

Semalam, semua ahli Parlimen Pakatan Rakyat bertindak keluar dewan selepas satu jam menunggu Najib membenarkan untuk sebarang celahan semasa beliau membuat penggulungan bajet 2009.

Read More...

Obama - Lelaki kulit hitam pertama

Pemuda keturunan Afrika-Amerika yang pernah terjebak dalam ‘lorong gelap’ dan datang daripada keluarga yang berpecah-belah, Obama akhirnya membuktikan bahawa perbezaan warna kulit bukan satu halangan untuk menjadi Presiden AS.




KETUA Setiausaha Kabinet Jepun, Nobutaka Machimura pernah berkata, Barack Obama tidak akan memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) kerana beliau berkulit hitam.

Menurutnya, beliau percaya majoriti rakyat AS bersikap sangat konservatif dan tidak akan menerima Obama.

Namun, sekitar pukul 9 malam (waktu tempatan), Machimura terpaksa menelan kata-katanya itu. Lelaki yang bernama Barack Hussein Obama Jr., merobohkan sentimen perkauman yang masih menebal di kalangan masyarakat AS.


STANLEY (kanan) dan Madelyn antara pendorong kejayaan Obama.


Calon Parti Demokrat itu membuktikan warna kulit bukan lagi penghalang kepada sesiapa untuk mencapai kejayaan.

Lebih manis, lelaki yang dianggap mentah dalam dunia politik kerana usianya baru menginjak umur 47 tahun, turut membuktikan betapa masyarakat AS juga semakin terbuka dalam melihat status agama.


DALAM pelukan ibunya sebelum Obama diserahkan kepada datuk dan nenek.


Semalam selepas apa yang disifatkan pertembungan paling menarik dalam sejarah pilihan raya AS, Obama dinobatkan sebagai Presiden Kulit Hitam Pertama AS apabila berjaya menewaskan calon Parti Republikan, John McCain.

Lebih manis lagi, Obama mendapat kemenangan itu dengan penuh bergaya apabila kiraan undi Badan Perwakilan Pemilih (undian elektoral) setakat pukul 7 malam tadi (waktu tempatan) mendapati beliau memperoleh 349 undi lebih sekali ganda meninggalkan McCain yang sekadar mengutip 147 undi.

Namun, perkataan 'lelaki kulit hitam pertama' sebenarnya bukanlah asing untuk lelaki yang menjadi adikuasa baru negara paling berpengaruh di dunia itu. Obama adalah antara pelajar lelaki paling menonjol semasa zaman pengajiannya di Universiti Harvard.


RAKAMAN foto perkahwinan Obama dan Michelle pada tahun 1992.


Ketika itu kecemerlangan Obama menyebabkan beliau dipilih sebagai Presiden Harvard Law Review, jurnal rasmi bagi pelajar Undang-undang Harvard. Obama adalah pelajar kulit hitam pertama dipilih memegang jawatan itu sepanjang lebih 300 tahun penubuhan universiti tersebut.

Namun, apa yang dikecapi oleh Obama bukanlah datang bergolek. Lelaki biasa yang mempunyai ketinggian 1.87 meter itu bukanlah datang daripada keluarga bangsawan, politik, ahli perniagaan mahupun jutawan AS.

Malah, hidupnya juga pernah terumbang-ambing seperti kebanyakan pemuda Afrika-Amerika lain.

Obama sebenarnya adalah lelaki yang dilahirkan hasil penyatuan cinta dua benua. Dilahirkan di Pusat Perubatan Kapi'olani Wanita dan Kanak-kanak di Honolulu, Hawaii, beliau adalah anak kepada lelaki Islam dari Kogelo, Wilayah Nyanza, Kenya, Barack Hussein Obama Sr. dan wanita kulit putih dari Wichita, Kansas, Ann Dunham.


KELUARGA paling berpengaruh di AS. Dari kiri: Obama, Sasha, Malia dan Michelle.


Kedua-duanya bertemu sewaktu belajar di Universiti Hawaii di Manoa, ayahnya merupakan pelajar luar negara. Bagaimanapun, sewaktu Obama berusia dua tahun, ibu bapanya bercerai. Bapanya kemudian pulang ke Kenya.

Obama Sr. hanya berjumpa Obama Jr. sekali selepas itu sebelum meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya pada tahun 1982.

Beberapa tahun selepas itu, Dunham berkahwin untuk kali kedua dan sekali lagi dengan lelaki Islam, Lolo Soetoro dari Indonesia. Obama mengikut ibu dan bapa tirinya tinggal di Indonesia pada tahun 1967.


OBAMA bersama datuk, Stanley (dari kiri), ibu dan adik tirinya, Maya Soetoro.


Pada usia 6 tahun, Obama dihantar ke sekolah tempatan dan tidak ketinggalan menerima pendidikan Islam. Bagaimanapun, di Jakarta, Obama turut menerima pendidikan di sekolah Katolik.

Pada usia 10 tahun, Obama dihantar pulang ke Honolulu untuk tinggal bersama datuk dan neneknya sambil bersekolah di Sekolah Punahou sehingga tamat sekolah tinggi pada tahun 1979.

Dunham kembali ke Hawaii pada tahun 1972 untuk beberapa tahun sebelum pulang semula ke Indonesia untuk menghabiskan kerja lapangan kedoktoran. Bagaimanapun, Dunham meninggal dunia pada tahun 1995.

Menempuh alam remaja, Obama menyifatkan ia merupakan antara fasa kegagalan dan paling pahit dalam hidupnya.

"Saya pernah terlibat dengan marijuana, kokain dan alkohol. Ia adalah kegagalan moral paling buruk dalam hidup saya," ujarnya dalam ucapan satu Forum Sivil baru-baru ini.


DARI kiri: Bapa tiri Obama; Lolo Soetoro, ibu, adik tiri; Maya Soetoro dan Obama ketika di Jakarta, Indonesia.


Terselamat daripada terjebak dalam 'lorong gelap' seperti kebanyakan pemuda Afrika-Amerika yang datang daripada keluarga pecah-belah, Obama yang dibimbing datuk dan neneknya berjaya menyambung pengajian di Occidental College di Los Angeles.

Lantaran itu, bukanlah menghairankan, air mata seorang pemimpin sejati dunia ini akhirnya tumpah tatkala neneknya, Madelyn Payne Dunham meninggal dunia dua hari sahaja lagi sebelum beliau dinobatkan sebagai Presiden AS.

"Mendiang adalah sebahagian daripada wira yang kita miliki di negara ini iaitu mereka yang bekerja keras untuk masa depan keluarganya," ujar Obama menggambarkan jasa wanita itu.




Selepas tamat kolej, Obama belajar ke Columbia University di New York dengan major dalam bidang Sains Politik dan pengkhususan dalam Hubungan Antarbangsa. Tamat pengajian dari Columbia, lelaki yang mempunyai beberapa gelaran sejak kecil hingga zaman universiti seperti Barry, Bama, Rock dan The One mula bekerja di Business International Corporation selama setahun dan Kumpulan Penyelidik Minat Awam New York.

Selepas empat tahun di New York, lelaki ini berpindah ke Chicago dan ditawarkan dengan jawatan baru sebagai Pengarah Projek Pembangunan Komuniti iaitu sebuah komuniti berasaskan gereja.

Di situlah sebenarnya pada usia lewat 20-an, Obama mendekati agama Kristian. Ketika nama Obama melonjak sejak pertengahan tahun lalu sewaktu mencabar bekas wanita pertama AS, Hillary Clinton, ramai warga dunia tertanya berhubung status agama beliau terutamanya perkataan Hussein pada pertengahan namanya.

Dalam buku tulisannya, In The Audacity of Hope, Obama memberitahu, beliau tidak dibesarkan dalam sebuah keluarga yang menekankan tentang keagamaan.


SASHA dalam dakapan bapanya, Obama.


Obama menggambarkan ibunya sebagai tidak mengamalkan ajaran Methodist dan Baptist; ayahnya, ateis (tidak percaya kewujudan Tuhan) manakala ayah tirinya, melihat agama itu sesuatu yang tidak penting.

"Semasa saya bekerja dengan komuniti gereja saya melihat kuasa agama untuk menggubah sosial manusia terutamanya Afrika-Amerika," katanya yang gemar bermain bola keranjang dan daun terup.

Mengimbau hidupnya bergelar raja dalam hati seorang wanita, Obama berkongsi hidup dengan Michelle Robinson pada tahun 1992. Michelle yang kini memegang status Wanita Pertama AS itu, ditemui Obama sewaktu bertugas bersama di sebuah firma undang-undang di Chicago.

Pasangan itu dikurniakan dua puteri iaitu Malia Ann, 10 dan Natasha, 7. Pada Disember 2007, majalah Money menganggarkan keluarga Obama mempunyai pendapatan AS$4.2 juta, berbanding AS$1 juta 2006 dan AS$1.6 juta 2005. Bagaimanapun kebanyakan hasil itu datang daripada jualan buku yang melonjak di pasaran selepas beliau bertanding untuk kerusi Presiden Demokrat.

Yang pasti, kemenangan Obama sememangnya disambut penuh kegembiraan, keterujaan dan debaran seluruh penduduk dunia. Gembira kerana tumbangnya era Bush, teruja kerana kejayaan seorang lelaki kulit hitam biasa menjadi presiden dan debar apakah dasar terbaru lelaki itu.

Dengan slogan pilihan raya, Perubahan (Change), mampukah Obama mengubah dasar hubungan luar AS dengan negara lain terutamanya negara-negara Islam?

Read More...

Mengelak perangkap perkauman yang menjerat Pakatan Rakyat

Harakahdaily

Mohd Rashidi Hassan | rashidi@harakah.net.my
Thu | Nov 06, 08 | 7:32:59 am MYT

KEMENANGAN gabungan parti-parti pembangkang seperti PAS, KeADILan di lima negeri dan pembentukan Kerajaan Pakatan Rakyat, terdiri dari kalangan pelbagai kaum dan agama, benar-benar menggugat kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).

Hegemoni BN yang berkuasa sejak sebelum merdeka, bahawasanya mereka sahaja yang mampu mentadbir negara yang mempunyai masyarakat majmuk atau 'prural society' sudah dileburkan.

Selaku tunggak kepada BN, Umno sebagai parti yang berteraskan agenda Melayu, sentiasa memainkan 'racial card' atau sentimen perkauman, kononnya mereka adalah juara orang-orang Melayu.

Harapan Umno ialah supaya orang Melayu terus mempercayai bahawa parti itulah sahaja yang mampu memartabatkan kepentingan bangsa dan terus memberi sokongan kepada mereka.

Dalam masa yang sama anggota komponen BN yang terdiri daripada MCA, Gerakan dan MIC turut menyambut 'echo' Umno, dengan memainkan sentimen yang sama kepada bangsa mereka sendiri.

Hakikatnya selama lebih 50 tahun kerajaan BN dibentuk, pemimpin-pemimpin mereka sentiasa 'riding on racial sentiments' - menunggangi sentimen-sentimen perkauman, untuk meraih sokongan dan populariti.

Kerjasama rapuh ini sebenarnya semakin terserlah. Diskriminasi bangsa sentiasa wujud dalam pentadbiran BN.

Kebobrokan parti-parti komponen BN terserlah sejak zaman Kerajaan Perikatan, di mana wujud sentimen perkauman yang menebal, sehingga membawa kepada tragedi 13 Mei 1969.

Masalah perkauman dalam BN, yang diwujudkan oleh sesama anggota BN, untuk 'mencuri' pengaruh bangsa masing-masing, disambung dengan 'pertelagahan' terbuka Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dato' Seri Mohd Najib Razak dengan Timbalan Presiden MCA, Dato' Lee Kim Sai.

Perhimpunan 'racist' Umno dibalas oleh perhimpunan 'racist' MCA di sekitar tahun 1987. Perbalahan terbuka pemimpin Umno dan MCA disiarkan tanpa tapisan oleh media massa Pakatan Rakyato BN.

Sentimen kaum yang ditiupkan amat bahaya. Mereka bukan sekadar bertikam lidah, tuduh menuduh Umno (Melayu) menindas MCA (Cina), membangkitkan ketidakadilan DEB, menuntut TPM kedua berbangsa Cina, menuntut kuota lebih besar kaum Cina di IPT.

Malah ayat-ayat yang digunakan amat mengerunkan. "Kami sanggup mempertahankan bangsa kami, sehingga titisan darah yang terakhir," kata pemimpin Umno dan MCA.

Apakah maknanya di sebalik ungkapan kata-kata setajam ini? Tidak lain tidak bukan, ianya bertujuan untuk menyemarakkan kebencian antara kaum dan mencetuskan api pertumpahan darah yang amat membahayakan.

Namun, semua ini lakonan yang menjelekkan akhirnya dihentikan dengan memangsakan pemimpin Melayu, Cina, India dan lain-lain, dari kalangan pembangkang.

Pemimpin-pemimpin Umno dan MCA yang bergaduh, malangnya pemimpin PAS dan DAP yang disumbat dalam ISA. Inilah hasil kekejaman BN akibat daripada permainan 'racial card' yang membahayakan.

Kedangkalan BN tidak terhenti setakat itu sahaja. Mereka meneruskan lakonan sehingga sekarang ini. Pemimpin-pemimpin Umno, MCA dan Gerakan terus menyemarakkan api perkauman.

Tuduh menuduh antara sesama parti komponen BN diteruskan. Semangat kecintaan bangsa cuba disemai kembali dengan mendakwa Umno sebuah parti pembuli, Melayu menindas Cina, India dan sebagainya.

Umno turut terus memainkan semangat kemelayuannya. Sehingga ada pemimpin Umno yang mengelar kaum lain, yang parti mereka menjadi 'sahabat' dalam komponen BN, sebagai kaum pendatang.

Berbalah kepentingan kaum ini tidak terhenti. Melayu dengan semangat kemelayunya, Cina dengan semangat kecinaannya, malah kaum India juga begitu.

Matlamat BN yang pertama, ialah untuk meraih kembali sokongan bangsa masing-masing kepada anggota komponen BN yang sudah tercalar sejak Pilihan Raya Umum 8 Mac.

Matlamat kedua ialah untuk menarik sokongan atau mengajak parti-parti gabungan Pakatan Rakyat untuk menari mengikut 'echo' mereka. Ini yang amat membahayakan!

Usaha memecahbelahkan perpaduan Pakatan Rakyat

Tidak hairanlah BN sentiasa berusaha mencari jalan untuk memecahbelahkan kesatuan yang terbentuk dalam Pakatan Rakyat, khususnya di lima buah negeri.

BN dan media pengampu mereka tahu, PAS, KeADILan dan DAP mempunyai dasar perjuangan yang berbeza-beza. Malah suatu ketika, PAS dan DAP dianggap sebagai seteru politik dengan pelbagai isu yang diketahui bersama.

Perbezaan ideologi ini mudah untuk dimanipulasikan untuk kepentingan BN dan merosakkan kerjasama Pakatan Rakyat.

BN amat khuatir, jika lima buah negeri dari parti pelbagai ideologi yang bezanya 'bak langit dan bumi' ini, berjaya ditadbir dengan saksama, tidak mustahil rakyat akan terus memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke 13 nanti.

Malah mereka lebih bimbang, jika pengaruh keadilan dan kesaksamaan yang diamalkan di negeri-negeri Pakatan Rakyat, menular ke negeri yang berada di bawah 'jajahan takluk' mereka.

Justeru, tidak ada jalan lain sebaik daripada memecahbelahkan perpaduan di kalangan parti komponen Pakatan Rakyat.

Malangnya, tidak dinafikan kadang-kadang pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat sering 'terpengaruh' dengan sentimen perkauman yang ditiupkan BN, seperti yang dimainkan oleh media massa.

Banyak isu-isu yang 'menghantui' kerjasama serta kesepakatan Pakatan Rakyat, masih belum dapat selesaikan dengan baik.

Dengan usia kerajaan negeri Pakatan Rakyat (kecuali Kelantan) yang sudah mencecah lapan bulan, seharusnya isu-isu yang boleh memecahbelahkan gabungan tidak seharusnya timbul lagi.

Isu-isu seperti siapa harus terajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti PKNS, isu papan tanda, isu bahasa, isu azan dan sebagainya seharusnya diselesaikan dengan bijaksana.

Kadang-kadang ada antara isu terbabit dibangkitkan hasil daripada aduan-aduan dari kalangan rakyat. Namun selaku pemimpin politik, misalnya, mereka tidak harus memikirkan mereka akan disokong atau menjadi juara 'bangsa' atau 'agama' masing-masing dengan mengenengahkan isu terbabit di dalam media massa.

Kadang-kadang isu yang dibangkitkan ada logik dan rasionalnya mengikut keperluan penduduk setempat, tetapi apabila ia dibawa dalam media, ianya sudah menjadi isu nasional.

Isu nasional kadang-kadang amat bahaya kepada kaum dan agama tertentu, kerana ianya boleh mencetuskan reaksi dan persepsi yang berbeza.

Masalahnya, pihak yang membangkitkan isu barangkali ada rasionalnya yang tersendiri, namun, ianya membuka ruang kepada manipulasi media BN yang sentiasa mahu 'menangguk di air yang keruh'.

Sementara isu itu belum dapat diperjelaskan, ianya sudah menimbulkan pelbagai reaksi dan manipulasi media.

Reaksi wakil Rakyat Pakatan

Dalam isu perlantikan Pengurus Besar PKNS misalnya, apabila Harun Salim bersara 31 Oktober lepas, dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melantik Low Siew Moi, memangku jawatan, sementara menemui calon yang sesuai.

Sama ada PAS atau DAP dan KeADILan, harus mengambil pengajaran supaya ianya tidak menjadi pencetus kepada perpecahan.

Isu-isu ini boleh diselesaikan diselesaikan secara 'adik beradik'

Menyentuh isu ini, Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar berkata Pakatan Rakyat harus mengelak daripada perangkap isu perkauman adalah isu yang dimainkan oleh komponen BN.

"Sebenarnya jika kita kaji permainan isu perkauman ini jarang sekali menyelesaikan masalah sama ada kepada Melayu atau bukan Melayu, tidak kira sama ada dalam bidang politik, ekonomi atau sebagainya," kata Ahli Parlimen Tumpat itu.

Katanya, PAS ingin menyarankan supaya pendekatan perkauman tidak dijadikan asas dalam usaha parti politik untuk menyelesaikan masalah negara.

"Perlembagaan negara yang kita terima selama ini, telah menjamin hak-hak asasi kedudukan semua kaum dalam negara dan ianya tidak perlu dipertikaikan lagi," tegasnya.

Katanya, PAS dan Pakatan Rakyat perlu segera mengatasi masalah dalam negara yang diciptakan oleh BN selama ini dengan persefahaman dan kerjasama erat dan menghormati semua kaum dan agama yang ada dalam negara.

"Dalam kes Selangor ini, seharusnya pimpinan Pakatan Rakyat membentuk Jawatankuasa khusus di kalangan Exco bagi meneliti perlantikan jawatan penting dalam kerajaan negeri termasuk PKNS, supaya perbezaan pendapat di kalangan pemimpin tidak berulang lagi," ujarnya.

Bagi Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua pula berpendapat, seluruh syarikat GLC termasuk PKNS harus 'diperbaharukan.'

"Saya fikir kita kena lantik orang baru yang mempunyai sikap baru dan budaya baru untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan seperti Umno yang mengamalkan kronisme.

"Pada saya, jelas dalam pentadbiran PKNS sekarang ini, masih tidak dapat menyesuaikan diri dengan budaya politik baru yang diterapkan oleh Pakatan Rakyat," katanya yang juga Ahli Parlimen Batu.

Beliau mahu Kerajaan Negeri Selangor mengatasi kepincangan dalam GLC secepat mungkin.

"Siapa yang memimpin, bangsa mana tidak penting, yang penting apa yang dibuat untuk membantu golongan yang terpinggir, walaupun kerajaan BN dikuasai orang Melayu sebelum ini, rakyat yang ditindas dianiaya kebanyakannya Melayu.

"Saya rasa PAS 'under pressure apabila rakyat yang berbangsa Melayu terpengaruh dengan propaganda sentimen bangsa oleh media BN, tetapi perkara ini boleh diselesaikan dengan cara bermuafakat dan perbincangan, Pakatan Rakyat harus lebih transparen," tegasnya.

Bagi Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah, beliau mahu pemimpin Pakatan Rakyat menyedari bahawa gabungan dibentuk berdasarkan kerjasama politik dan nilai-nilai keadilan.

"Kita harus menolak pendekatan perkauman. Sebagai contoh, pendekatan dalam agenda ekonomi Pakatan Rakyat dibentuk, memberikan kesamarataan di kalangan pelbagai kaum

Katanya, pada asasnya perlantikan Pengurus Besar PKNS sepatutnya tidak dipolemikkan.

"Ia adalah perlantikan sementara sahaja, sementara kita menemui calon yang benar-benar layak. Tetapi desakan dari dalam dan luaran sudah menjadikan isu ini besar," katanya.

Sivarasa menegaskan Pakatan Rakyat Selangor harus memfokuskan masalah kegagalan BN menyempurnakan isu perumahan rakyat, misalnya terdapat 140 projek perumahan terbengkalai di zaman BN, yang menyebabkan lebih 60 ribu rakyat yang patut mendapat rumah kos rendah terabai.

Sementara AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berpendapat, dalam semangat Pakatan Rakyat, apa yang penting ialah memastikan GLC negeri ditadbir oleh kalangan pegawai berdasarkan kelayakan mereka.

"Mesti dipimpin oleh pemimpin yang terbaik, tidak perlu ambil 'former team', mesti 'fresh staff' yang ada kredibliti dan profesional.

"Kita tidak mahu masing-masing bercakap soal Melayu, Cina dan India sahaja," tegasnya.

Manakala Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof, mahu Mahu Pakatan Rakyat lebih pro aktif dalam menangani isu-isu perkauman.

Katanya, sudah tiba masanya Pakatan Rakyat memantapkan dasar-dasar fundamental kepelbagaian bangsa dan agama.

"Kita harus mempunyai dasar yang jelas dalam isu bahasa, ekonomi, kebudayaan dan seni kerana hanya dengan mempunyai dasar yang jelas mampu memberi ruang kepada rakyat untuk memahami apa yang cuba hendak disampaikan," katanya.

Dalam isu PKNS katanya, apa yang hendak dibuat sebenarnya ialah usaha untuk membuat kajian terhadap dasar pembangunan yang dijalankan oleh BN sebelum ini.

"Rakyat harus sedar bahawa pembangunan songsang, penuh dengan elemen penyelewengan dan rasuah oleh BN di Selangor, kita perlu mendefinasikan semula dasar pembangunan, dan menyusun semula struktur pentadbiran GLC, ini yang penting sebenarnya," kata beliau.

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Muhamad Hussin, berkata, jika Pakatan Rakyat hendak menolong orang Melayu, tidak semestinya dengan melantik Melayu sebagai ketua di mana-mana syarikat GLC.

Katanya, PKNS mesti diterajui oleh orang korporat yang profesional. Saya setuju dengan MB Selangor yang membuat perlantikan sementara.

"Kalau hendak dicadang staf PKNS yang sedia ada, belum tentu mereka akan melaksanakan dasar-dasar kerajaan ikut acuan Pakatan Rakyat.

"Kita harus ingat bahawa selama ini mereka digunakan untuk 'serve Umno'. Buat apa kita lantik Melayu jika dia jahat, perasuah serupa umno?," soal beliau.

Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang membuat kesimpulan terbaik dalam isu ini.

Katanya, rakyat harus sedar bahawa BN sebenarnya yang menggalakkan sentimen perkauman.

Menurut beliau, Pakatan Rakyat harus mengutamakan kepentingan nasional yang memberi manfaat kepada keseluruhan rakyat.

"Pakatan Rakyat mesti bertunjangkan lima prinsip utama dalam pentadbirannya iaitu, Kebebasan, Keselamatan, Keadilan, Kebajikan dan Ketakwaan kepada Tuhan," tegasnya. - mks._


Read More...

Memey teman profesional - Norman Hakim





NORMAN cuba menenangkan Abby.


Air mata seorang suami akhirnya gugur di pipi tatkala perpisahan dipinta oleh isterinya yang tidak mampu lagi menanggung derita pergolakan yang berlaku dalam rumah tangga mereka.

Semua ini umpama drama realiti apabila adegan tangisan pasangan suami isteri Norman Hakim dan Abby Abadi disaksikan oleh sekumpulan pihak media serta krew produksi drama Gerak Khas.

Selepas gagal mendapatkan tuntutan cerai, Abby terus ke lokasi penggambaran drama Gerak Khas di Wangsa Maju bersama-sama pihak media.

Perjumpaan yang tidak dijangka Norman ini berlangsung dalam suasana serius sehingga menyebabkan penggambaran drama tersebut dibatalkan setelah dua jam tergendala.

Apa yang hendak Norman jelaskan tentang hal ini?

Sekarang ini ada dua isu dalam hal ini. Yang pertama, mengenai kes khalwat dan saya masih berbincang dengan pihak berkenaan. Kalau boleh, tak perlulah kes ini dibawa ke mahkamah. Kedua, saya perlu selesaikan masalah rumah tangga saya. Saya sedih sangat bila kita cari jalan putus dengan bercerai.

Abby menuntut cerai, apa komen Norman?

Saya tak boleh ceritakan terlalu mendalam sangat mengenai hal rumah tangga kami. Takkan saya tak serik-serik dengan apa yang pernah berlaku sebelum ini?

Paling penting, seperti yang saya cakapkan pada Abby tadi, kita perlu pertahankan rumah tangga kita kerana anak-anak.

Kalau boleh saya tak mahu perkara ini (cerai) berlaku. Saya cuba berbincang dengannya tetapi dia tetap dengan pendiriannya.

Saya faham dirinya sebagai isteri, tetapi sebagai lelaki, ego saya pun tercabar juga. Takkan nak ceritakan benda-benda tak elok macam ini.

Norman dikatakan tidak pulang ke rumah selepas insiden itu, kenapa?

Walaupun saya dituduh tidak bertanggungjawab, sebenarnya saya ada keutamaan saya iaitu keluarga. Saya bekerja siang dan malam untuk memberi makan kepada keluarga, isteri dan anak-anak serta menjaga kebajikan rumah.

Tapi saya reda dengan apa yang berlaku. Saya doa dan minta petunjuk kepada Allah. Mungkin lepas ini saya akan balik dengan pakaian yang lebih kemas.

Bila saya tengok semula rentetan mengenai rumah tangga kami dari minggu lepas, saya rasa macam...... (Norman sebak seketika dan air mata mula menitis. Beberapa minit kemudian, dia kembali bersuara): Saya perlu akur dengan kerja wartawan yang perlu mencari bahan kerana wartawan pun ada mulut untuk disuap. Sama juga seperti saya. Beri saya ruang.

Apa hubungan Norman dan Memey sebenarnya?

Hubungan saya dan Memey sekadar teman profesional. Kalau Memey bukan artis, saya pasti perkara ini tidak menjadi spekulasi. Saya akui, saya yang bagi tahu Memey untuk tidak buat sebarang kenyataan kepada media kerana takut bercanggah. Saya merasa begitu terhina dan saya bukan menegakkan benang yang basah tetapi mengharap dapat menarik benang dalam tepung.

Memang sekarang ini spekulasi diluar mengatakan kami sedang bersandiwara. Saya cuba mencari jalan untuk selesaikan masalah kami.

Saya memang agak terkejut bila Abby menghantar mesej kepada saya yang dia mahu failkan cerai dan saya pun balas mesejnya sampai lapan muka surat. Saya harap sangat-sangat, janganlah anak-anak yang akan menjadi mangsa atas kejahilan ibu bapa mereka.

Adakah kalian memerlukan sesi kaunseling?

Ya, Saya memang mengalu-alukan pandangan dan nasihat sesiapa sahaja. Kita masih perlu dibimbing. Kalau ada sesiapa yang hendak beri nasihat, Insya-Allah kami akan mendengarnya, mengambil mana-mana yang baik.

Apa yang membuatkan Abby terkilan ialah sikap Norman yang seolah-olah mempertahankan Memey, mengapa?

Saya tak nafikan dalam hal sekarang saya cuba pertahankan Memey. Dia seorang wanita yang naif. Dia pun ada mak dan ayah. Malu keluarga dia nanti.

Ketika ini Abby mencelah dan bertanya: Jadi siapa abang untuk dia?

Banyak lagi muka yang saya kena jaga. Abby masih lagi isteri saya. Saya percaya dalam masa terdekat ini, adalah jalan penyelesaian yang terbaik. Nak ikutkan, saya boleh memberi kerjasama untuk mengisi maklumat itu. tetapi kita perlu masa untuk berdepan dengan situasi ini. Saya tahu masalah utama saya ialah rumah tangga, biarlah selesai cara baik.

Abby: Kenapa abang asyik macam ini sekali? Abang asyik cerita Memey itu, Memey ini?

Norman: Saya cerita dari sudut kemanusiaan.

Abby: Habis saya ni apa? Saya isteri awak tau!

Norman: Dia ada mak bapak.

Abby: Saya tak ada mak bapak?Apa lebihnya dia dari saya? Buruk sangat ke saya ni? Ceraikan saya, kat sini pun tak apalah.

Norman: Selama ini pun saya jumpa mak dan ayah tentang masalah ini. Maaf ya, abang kena cakap benda ni (Norman berpaling kepada Abby yang semakin kuat menangis). Abang kena cakap, maaf ya....... (bagaimana pun Norman tidak dapat meneruskan kata-kata dan membiarkan apa yang mahu diluahkan hanya berlegar dalam fikirannya).

Abby: Tipu! dahlah selama ini susah sangat nak bawa berbincang. (Abby kemudian sekali lagi ditenangkan wartawan tetapi menolak dan sambil menahan tangisan berkata semula) Saya tak nak. Saya susah nak jumpa dia. Langsung dia sudah tak nampak saya dalam hati dia. Asyik nak bercakap pasal perempuan tu sahaja!

(Norman juga dinasihati oleh wartawan supaya beredar untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan. Abby ditenangkan oleh Datuk Yusof Haslam yang hadir mengejut di lokasi setelah dimaklumkan mengenai insiden berkenaan.)

Datuk Yusof: Abby, kamu kena beri dia sedikit masa. Beri ruang untuk dia dan kamu selesaikan hal ini dalam masa seminggu ini. Kalau kamu tekan dia sangatpun, kamu tak akan dapat apa-apa.

Abby: Saya harap saya dapat selesaikan masalah saya. Saya rasa malu sangat bila suami asyik sibuk dengan perempuan lain. Kalau diri sendiri tak betul, macam mana dia nak betulkan orang lain. Minta maaf pada semua, saya tak boleh tahan dengan perangai dia.

Read More...

Ku Li tewas akibat gagal sogok wang?

Malaysiakini

Muda Mohd Noor | Nov 5, 08 10:45am

Tengku Razaleigh Hamzah gagal mendapat cukup pencalonan untuk jawatan presiden Umno kerana enggan menyogok wang kepada para perwakilan, dakwa seorang pembantu bekas menteri kewangan itu.

Datuk Kamal Amir Kamal Hijaz mendakwa, wakil lebih 50 bahagian Umno yang hendak mengadakan mesyuarat perwakilan, datang menemuinya (Kamal) untuk meminta sogokan sebelum mesyuarat dijalankan.

"Ada yang datang meminta RM500 dan ada juga yang mahu bayaran sehingga RM1,500 seorang.

"(Tetapi) saya memberitahu mereka bahawa kami tidak ada wang. Tengku (Razaleigh) tidak mahu mengeluarkan wang untuk mendapatkan pencalonan.

ku li tengku razaleigh and umno agm 241106"Tengku hanya menawarkan diri supaya dinilai dan dipilih oleh para perwakilan dan bukannya memberi wang untuk mendapatkan pencalonan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sehingga ini, Datuk Seri Mohd Najib Razak memperolehi 141 pencalonan untuk jawatan presiden Umno daripada 142 bahagian yang telah mengadakan mesyuarat.

Manakala Razaleigh hanya mendapat satu pencalonan - di bahagiannya sendiri, Gua Musang yang mengadakan mesyuarat Sabtu lalu.

'Undi angkat tangan'

Berikutan itu, Najib yang kini timbalan presiden Umno menang tanpa bertanding jawatan presiden itu dalam perhimpunan yang akan diadakan pada 24 hingga 28 Mac tahun depan.

Sebanyak 50 bahagian Umno lagi akan mengadakan mesyuarat pada Sabtu dan Ahad ini, hari terakhir jadual mesyuarat perwakilan selama sebulan.

Kamal Amir berkata, 67 bahagian mencalonkan Tengku Razaleigh untuk jawatan presiden Umno.

Daripada jumlah tersebut, katanya, 66 daripada bahagian tersebut menjalankan pengundian secara terbuka melalui kaedah angkat tangan.

"Bahagian-bahagian tersebut termasuk di Kelantan. Hanya mesyuarat bahagian Muar (yang turut mencalon Ku Li) Ahad lalu, dijalankan secara undi sulit.

"Jika mesyuarat dibuat secara undi sulit, saya yakin keadaan pencalonan untuk Tengku (Razaleigh) boleh berubah," katanya.

Kamal Amir berkata, kebanyakan mesyuarat bahagian tidak membincangkan usul, sebaliknya perwakilan meninggalkan mesyuarat selepas selesai mengundi.

Ini, katanya, seolah-olah perwakilan hanya mahu mengundi dan tidak berminat untuk membahaskan usul seperti dalam mesyuarat perwakilan sebelumnya.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |