+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, November 6, 2008

Mufti Perlis: Azwira, Juanda ganti Dr Asri?

Malaysiakini

Jimadie Shah Othman | Nov 6, 08 11:10am

Dua tokoh agama dicadangkan kepada Raja Perlis sebagai calon mufti Perlis bagi menggantikan Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang tamat perkhidmatannya hujung bulan ini.

Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Azwira A Aziz dan bekas naib mufti Sarawak, Dr Juanda Jaya dicalonkan mengisi kerusi penting itu.

Sebelumnya bertugas sebagai ketua penolong mufti, anak Sarawak lulusan UKM dan Universiti al-Azhar itu kini ketua penolong pengarah di bahagian dakwah jabatan agama Islam negeri.

dr mohd asri zainul abidin perlis muftiPada 7 Oktober lalu, Dr Mohd Asri memutuskan bersara mengejut akibat "tidak selesa dengan permainan politik" oleh beberapa pihak dalam kerajaan negeri berhubung pengendalian kontrak perkhidmatannya.

Beliau menyifatkan cara pengurusan kontraknya "macam main silap mata".

Sehari selepas itu beliau diterima mengadap Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi menyatakan hasrat untuk bersara.

Difahamkan dua calon ini dipersembahkan kepada baginda dalam pertemuan itu.

Menjunjung titah baginda, tambah bekas pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM) itu, beliau melanjutkan tempoh perkhidmatannya selama sebulan sebelum bertolak ke United Kingdom bagi menjalankan kajian berkaitan pengajian hadis dan politik.

dr azwira a azizDihubungi semalam, Dr Azwira (kiri) mengesahkan telah dimaklumkan perkara itu oleh Dr Mohd Asri selepas pertemuan mufti popular itu dengan baginda.

Dr Azwira, 41, bagaimanapun belum membuat keputusan akan menerima pelantikan itu jika terpilih.

Pensyarah kanan di Jabatan al-Quran dan al-Sunnah itu merupakan pemegang doktor falsafah dari UKM, sarjana dari Jordan dan sarjana muda dari Universiti Islam Madinah.

Pengarang beberapa buku berkenaan akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah berkata akan menerima pelantikan itu jika mendapat sokongan padu daripada rakyat Perlis dan tidak terlibat dengan unsur-unsur politik seperti yang didakwa berlaku terhadap Dr Mohd Asri.

Bapa kepada lima orang anak itu juga berkata sedang menimbangkan faktor-faktor lain seperti sentimen kenegerian dan hal-hal peribadi melibatkan penghijrahannya ke negeri itu dan proses menamatkan perkhidmatannya dengan UKM.

Menjelaskan situasi kenegerian itu, beliau berkata:

"Dua minggu lepas saya ke Perlis. Saya lihat masih wujud sentimen kenegerian."

Anak kelahiran Kelantan itu kini menetap di Semenyih, Selangor. Dr Mohd Asri yang berasal dari Bukit Mertajam memecahkan tradisi apabila dilantik sebagai mufti Perlis dua tahun lalu.

Dr Azwira bagaimanapun tidak kisah sesiapa pun mengisi jawatan itu selagi mempunyai pemikiran dan fikrah Ahli Sunnah wal-Jamaah.

Ditanya fokus dan pendekatan beliau jika dipilih, beliau yang 16 tahun berpengalaman mengajar di UKM dalam bidang agama berkata:

"Saya ingin fikrah sunnah (Ahli Sunnah wal-Jamaah) diteruskan. Mungkin saya tidak setanding Dr Mohd Asri yang terkenal di peringkat nasional.

"Saya ingin fokuskan kepada aktiviti pemantapan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah di peringkat negeri."

dr juanda jaya perlis mufti candidate 081106Dihubungi Malaysiakini hari ini, Dr Juanda (kanan) berkata pencalonannya didengar daripada desas-desus rakan-rakan dekatnya.

Ia belum dimaklumkan secara rasmi oleh kerajaan negeri, tambahnya.

Beliau, 37, yang pernah bertugas sebagai anggota jawatankuasa syariah Perlis, enggan mengulas lanjut tentang perkara itu kerana ia berkaitan dengan kuasa istana.

Doktor falsafah dalam bidang pengurusan organisasi dakwah, Dr Juanda menghasilkan kira-kira 20 buah buku dalam pelbagai bidang agama.

mat isa sabu md isa sabuMenteri Besar Perlis Datuk Seri Mohd Isa Sabu pula ketika dihubungi semalam berkata kerajaan negeri belum dimaklumkan calon-calon untuk mengisi jawatan itu.

"Kita masih cari lagi (calon-calonnya)," katanya.

Majlis Agama Islam Perlis belum memaklumkan kepadanya berhubung calon-calon bagi mengisi jawatan itu, tambahnya.

Ditanya tentang ciri-ciri calon mufti baru yang diharapkannya, Mohd Isa berkata kerajaannya akan menerima siapa sahaja calon yang dicadangkan majlis itu dan yang diperkenankan Raja Perlis.

"Apapun bergantung kepada keputusan Tuanku. Baginda merupakan ketua agama Islam di Perlis," katanya.

Menurut prosedurnya, majlis agama Islam akan mencalonkan nama-nama pilihan sebelum dibentangkan dalam mesyuarat exco negeri.

Seterusnya, kata menteri besar, pelantikan akan dibuat jika mendapat perkenan baginda.

Bagaimanapun, wakil rakyat Bintong itu berkata, perkara itu belum dibincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri, termasuk semalam, tiga minggu sebelum jawatan itu kosong.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |