+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, November 6, 2008

Mengelak perangkap perkauman yang menjerat Pakatan Rakyat

Harakahdaily

Mohd Rashidi Hassan | rashidi@harakah.net.my
Thu | Nov 06, 08 | 7:32:59 am MYT

KEMENANGAN gabungan parti-parti pembangkang seperti PAS, KeADILan di lima negeri dan pembentukan Kerajaan Pakatan Rakyat, terdiri dari kalangan pelbagai kaum dan agama, benar-benar menggugat kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).

Hegemoni BN yang berkuasa sejak sebelum merdeka, bahawasanya mereka sahaja yang mampu mentadbir negara yang mempunyai masyarakat majmuk atau 'prural society' sudah dileburkan.

Selaku tunggak kepada BN, Umno sebagai parti yang berteraskan agenda Melayu, sentiasa memainkan 'racial card' atau sentimen perkauman, kononnya mereka adalah juara orang-orang Melayu.

Harapan Umno ialah supaya orang Melayu terus mempercayai bahawa parti itulah sahaja yang mampu memartabatkan kepentingan bangsa dan terus memberi sokongan kepada mereka.

Dalam masa yang sama anggota komponen BN yang terdiri daripada MCA, Gerakan dan MIC turut menyambut 'echo' Umno, dengan memainkan sentimen yang sama kepada bangsa mereka sendiri.

Hakikatnya selama lebih 50 tahun kerajaan BN dibentuk, pemimpin-pemimpin mereka sentiasa 'riding on racial sentiments' - menunggangi sentimen-sentimen perkauman, untuk meraih sokongan dan populariti.

Kerjasama rapuh ini sebenarnya semakin terserlah. Diskriminasi bangsa sentiasa wujud dalam pentadbiran BN.

Kebobrokan parti-parti komponen BN terserlah sejak zaman Kerajaan Perikatan, di mana wujud sentimen perkauman yang menebal, sehingga membawa kepada tragedi 13 Mei 1969.

Masalah perkauman dalam BN, yang diwujudkan oleh sesama anggota BN, untuk 'mencuri' pengaruh bangsa masing-masing, disambung dengan 'pertelagahan' terbuka Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dato' Seri Mohd Najib Razak dengan Timbalan Presiden MCA, Dato' Lee Kim Sai.

Perhimpunan 'racist' Umno dibalas oleh perhimpunan 'racist' MCA di sekitar tahun 1987. Perbalahan terbuka pemimpin Umno dan MCA disiarkan tanpa tapisan oleh media massa Pakatan Rakyato BN.

Sentimen kaum yang ditiupkan amat bahaya. Mereka bukan sekadar bertikam lidah, tuduh menuduh Umno (Melayu) menindas MCA (Cina), membangkitkan ketidakadilan DEB, menuntut TPM kedua berbangsa Cina, menuntut kuota lebih besar kaum Cina di IPT.

Malah ayat-ayat yang digunakan amat mengerunkan. "Kami sanggup mempertahankan bangsa kami, sehingga titisan darah yang terakhir," kata pemimpin Umno dan MCA.

Apakah maknanya di sebalik ungkapan kata-kata setajam ini? Tidak lain tidak bukan, ianya bertujuan untuk menyemarakkan kebencian antara kaum dan mencetuskan api pertumpahan darah yang amat membahayakan.

Namun, semua ini lakonan yang menjelekkan akhirnya dihentikan dengan memangsakan pemimpin Melayu, Cina, India dan lain-lain, dari kalangan pembangkang.

Pemimpin-pemimpin Umno dan MCA yang bergaduh, malangnya pemimpin PAS dan DAP yang disumbat dalam ISA. Inilah hasil kekejaman BN akibat daripada permainan 'racial card' yang membahayakan.

Kedangkalan BN tidak terhenti setakat itu sahaja. Mereka meneruskan lakonan sehingga sekarang ini. Pemimpin-pemimpin Umno, MCA dan Gerakan terus menyemarakkan api perkauman.

Tuduh menuduh antara sesama parti komponen BN diteruskan. Semangat kecintaan bangsa cuba disemai kembali dengan mendakwa Umno sebuah parti pembuli, Melayu menindas Cina, India dan sebagainya.

Umno turut terus memainkan semangat kemelayuannya. Sehingga ada pemimpin Umno yang mengelar kaum lain, yang parti mereka menjadi 'sahabat' dalam komponen BN, sebagai kaum pendatang.

Berbalah kepentingan kaum ini tidak terhenti. Melayu dengan semangat kemelayunya, Cina dengan semangat kecinaannya, malah kaum India juga begitu.

Matlamat BN yang pertama, ialah untuk meraih kembali sokongan bangsa masing-masing kepada anggota komponen BN yang sudah tercalar sejak Pilihan Raya Umum 8 Mac.

Matlamat kedua ialah untuk menarik sokongan atau mengajak parti-parti gabungan Pakatan Rakyat untuk menari mengikut 'echo' mereka. Ini yang amat membahayakan!

Usaha memecahbelahkan perpaduan Pakatan Rakyat

Tidak hairanlah BN sentiasa berusaha mencari jalan untuk memecahbelahkan kesatuan yang terbentuk dalam Pakatan Rakyat, khususnya di lima buah negeri.

BN dan media pengampu mereka tahu, PAS, KeADILan dan DAP mempunyai dasar perjuangan yang berbeza-beza. Malah suatu ketika, PAS dan DAP dianggap sebagai seteru politik dengan pelbagai isu yang diketahui bersama.

Perbezaan ideologi ini mudah untuk dimanipulasikan untuk kepentingan BN dan merosakkan kerjasama Pakatan Rakyat.

BN amat khuatir, jika lima buah negeri dari parti pelbagai ideologi yang bezanya 'bak langit dan bumi' ini, berjaya ditadbir dengan saksama, tidak mustahil rakyat akan terus memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke 13 nanti.

Malah mereka lebih bimbang, jika pengaruh keadilan dan kesaksamaan yang diamalkan di negeri-negeri Pakatan Rakyat, menular ke negeri yang berada di bawah 'jajahan takluk' mereka.

Justeru, tidak ada jalan lain sebaik daripada memecahbelahkan perpaduan di kalangan parti komponen Pakatan Rakyat.

Malangnya, tidak dinafikan kadang-kadang pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat sering 'terpengaruh' dengan sentimen perkauman yang ditiupkan BN, seperti yang dimainkan oleh media massa.

Banyak isu-isu yang 'menghantui' kerjasama serta kesepakatan Pakatan Rakyat, masih belum dapat selesaikan dengan baik.

Dengan usia kerajaan negeri Pakatan Rakyat (kecuali Kelantan) yang sudah mencecah lapan bulan, seharusnya isu-isu yang boleh memecahbelahkan gabungan tidak seharusnya timbul lagi.

Isu-isu seperti siapa harus terajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti PKNS, isu papan tanda, isu bahasa, isu azan dan sebagainya seharusnya diselesaikan dengan bijaksana.

Kadang-kadang ada antara isu terbabit dibangkitkan hasil daripada aduan-aduan dari kalangan rakyat. Namun selaku pemimpin politik, misalnya, mereka tidak harus memikirkan mereka akan disokong atau menjadi juara 'bangsa' atau 'agama' masing-masing dengan mengenengahkan isu terbabit di dalam media massa.

Kadang-kadang isu yang dibangkitkan ada logik dan rasionalnya mengikut keperluan penduduk setempat, tetapi apabila ia dibawa dalam media, ianya sudah menjadi isu nasional.

Isu nasional kadang-kadang amat bahaya kepada kaum dan agama tertentu, kerana ianya boleh mencetuskan reaksi dan persepsi yang berbeza.

Masalahnya, pihak yang membangkitkan isu barangkali ada rasionalnya yang tersendiri, namun, ianya membuka ruang kepada manipulasi media BN yang sentiasa mahu 'menangguk di air yang keruh'.

Sementara isu itu belum dapat diperjelaskan, ianya sudah menimbulkan pelbagai reaksi dan manipulasi media.

Reaksi wakil Rakyat Pakatan

Dalam isu perlantikan Pengurus Besar PKNS misalnya, apabila Harun Salim bersara 31 Oktober lepas, dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melantik Low Siew Moi, memangku jawatan, sementara menemui calon yang sesuai.

Sama ada PAS atau DAP dan KeADILan, harus mengambil pengajaran supaya ianya tidak menjadi pencetus kepada perpecahan.

Isu-isu ini boleh diselesaikan diselesaikan secara 'adik beradik'

Menyentuh isu ini, Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar berkata Pakatan Rakyat harus mengelak daripada perangkap isu perkauman adalah isu yang dimainkan oleh komponen BN.

"Sebenarnya jika kita kaji permainan isu perkauman ini jarang sekali menyelesaikan masalah sama ada kepada Melayu atau bukan Melayu, tidak kira sama ada dalam bidang politik, ekonomi atau sebagainya," kata Ahli Parlimen Tumpat itu.

Katanya, PAS ingin menyarankan supaya pendekatan perkauman tidak dijadikan asas dalam usaha parti politik untuk menyelesaikan masalah negara.

"Perlembagaan negara yang kita terima selama ini, telah menjamin hak-hak asasi kedudukan semua kaum dalam negara dan ianya tidak perlu dipertikaikan lagi," tegasnya.

Katanya, PAS dan Pakatan Rakyat perlu segera mengatasi masalah dalam negara yang diciptakan oleh BN selama ini dengan persefahaman dan kerjasama erat dan menghormati semua kaum dan agama yang ada dalam negara.

"Dalam kes Selangor ini, seharusnya pimpinan Pakatan Rakyat membentuk Jawatankuasa khusus di kalangan Exco bagi meneliti perlantikan jawatan penting dalam kerajaan negeri termasuk PKNS, supaya perbezaan pendapat di kalangan pemimpin tidak berulang lagi," ujarnya.

Bagi Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua pula berpendapat, seluruh syarikat GLC termasuk PKNS harus 'diperbaharukan.'

"Saya fikir kita kena lantik orang baru yang mempunyai sikap baru dan budaya baru untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan seperti Umno yang mengamalkan kronisme.

"Pada saya, jelas dalam pentadbiran PKNS sekarang ini, masih tidak dapat menyesuaikan diri dengan budaya politik baru yang diterapkan oleh Pakatan Rakyat," katanya yang juga Ahli Parlimen Batu.

Beliau mahu Kerajaan Negeri Selangor mengatasi kepincangan dalam GLC secepat mungkin.

"Siapa yang memimpin, bangsa mana tidak penting, yang penting apa yang dibuat untuk membantu golongan yang terpinggir, walaupun kerajaan BN dikuasai orang Melayu sebelum ini, rakyat yang ditindas dianiaya kebanyakannya Melayu.

"Saya rasa PAS 'under pressure apabila rakyat yang berbangsa Melayu terpengaruh dengan propaganda sentimen bangsa oleh media BN, tetapi perkara ini boleh diselesaikan dengan cara bermuafakat dan perbincangan, Pakatan Rakyat harus lebih transparen," tegasnya.

Bagi Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah, beliau mahu pemimpin Pakatan Rakyat menyedari bahawa gabungan dibentuk berdasarkan kerjasama politik dan nilai-nilai keadilan.

"Kita harus menolak pendekatan perkauman. Sebagai contoh, pendekatan dalam agenda ekonomi Pakatan Rakyat dibentuk, memberikan kesamarataan di kalangan pelbagai kaum

Katanya, pada asasnya perlantikan Pengurus Besar PKNS sepatutnya tidak dipolemikkan.

"Ia adalah perlantikan sementara sahaja, sementara kita menemui calon yang benar-benar layak. Tetapi desakan dari dalam dan luaran sudah menjadikan isu ini besar," katanya.

Sivarasa menegaskan Pakatan Rakyat Selangor harus memfokuskan masalah kegagalan BN menyempurnakan isu perumahan rakyat, misalnya terdapat 140 projek perumahan terbengkalai di zaman BN, yang menyebabkan lebih 60 ribu rakyat yang patut mendapat rumah kos rendah terabai.

Sementara AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berpendapat, dalam semangat Pakatan Rakyat, apa yang penting ialah memastikan GLC negeri ditadbir oleh kalangan pegawai berdasarkan kelayakan mereka.

"Mesti dipimpin oleh pemimpin yang terbaik, tidak perlu ambil 'former team', mesti 'fresh staff' yang ada kredibliti dan profesional.

"Kita tidak mahu masing-masing bercakap soal Melayu, Cina dan India sahaja," tegasnya.

Manakala Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof, mahu Mahu Pakatan Rakyat lebih pro aktif dalam menangani isu-isu perkauman.

Katanya, sudah tiba masanya Pakatan Rakyat memantapkan dasar-dasar fundamental kepelbagaian bangsa dan agama.

"Kita harus mempunyai dasar yang jelas dalam isu bahasa, ekonomi, kebudayaan dan seni kerana hanya dengan mempunyai dasar yang jelas mampu memberi ruang kepada rakyat untuk memahami apa yang cuba hendak disampaikan," katanya.

Dalam isu PKNS katanya, apa yang hendak dibuat sebenarnya ialah usaha untuk membuat kajian terhadap dasar pembangunan yang dijalankan oleh BN sebelum ini.

"Rakyat harus sedar bahawa pembangunan songsang, penuh dengan elemen penyelewengan dan rasuah oleh BN di Selangor, kita perlu mendefinasikan semula dasar pembangunan, dan menyusun semula struktur pentadbiran GLC, ini yang penting sebenarnya," kata beliau.

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Muhamad Hussin, berkata, jika Pakatan Rakyat hendak menolong orang Melayu, tidak semestinya dengan melantik Melayu sebagai ketua di mana-mana syarikat GLC.

Katanya, PKNS mesti diterajui oleh orang korporat yang profesional. Saya setuju dengan MB Selangor yang membuat perlantikan sementara.

"Kalau hendak dicadang staf PKNS yang sedia ada, belum tentu mereka akan melaksanakan dasar-dasar kerajaan ikut acuan Pakatan Rakyat.

"Kita harus ingat bahawa selama ini mereka digunakan untuk 'serve Umno'. Buat apa kita lantik Melayu jika dia jahat, perasuah serupa umno?," soal beliau.

Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang membuat kesimpulan terbaik dalam isu ini.

Katanya, rakyat harus sedar bahawa BN sebenarnya yang menggalakkan sentimen perkauman.

Menurut beliau, Pakatan Rakyat harus mengutamakan kepentingan nasional yang memberi manfaat kepada keseluruhan rakyat.

"Pakatan Rakyat mesti bertunjangkan lima prinsip utama dalam pentadbirannya iaitu, Kebebasan, Keselamatan, Keadilan, Kebajikan dan Ketakwaan kepada Tuhan," tegasnya. - mks._


1 comments:

Unknown said...

""Pakatan Rakyat mesti bertunjangkan lima prinsip utama dalam pentadbirannya iaitu, Kebebasan, Keselamatan, Keadilan, Kebajikan dan Ketakwaan kepada Tuhan," tegasnya. - mks."

Kenyataan di atas sudah cukup menggambarkan betapa hancurnya Pakatan Rakyat kerana perjuangan mereka tidak menjadikan "ketaqwaan kepada Tuhan" sebagai tunjang utama sebaliknya hanya diletakkan di tempat kelima... Apa maknya itu???...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |