+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, November 6, 2008

Ku Li tewas akibat gagal sogok wang?

Malaysiakini

Muda Mohd Noor | Nov 5, 08 10:45am

Tengku Razaleigh Hamzah gagal mendapat cukup pencalonan untuk jawatan presiden Umno kerana enggan menyogok wang kepada para perwakilan, dakwa seorang pembantu bekas menteri kewangan itu.

Datuk Kamal Amir Kamal Hijaz mendakwa, wakil lebih 50 bahagian Umno yang hendak mengadakan mesyuarat perwakilan, datang menemuinya (Kamal) untuk meminta sogokan sebelum mesyuarat dijalankan.

"Ada yang datang meminta RM500 dan ada juga yang mahu bayaran sehingga RM1,500 seorang.

"(Tetapi) saya memberitahu mereka bahawa kami tidak ada wang. Tengku (Razaleigh) tidak mahu mengeluarkan wang untuk mendapatkan pencalonan.

ku li tengku razaleigh and umno agm 241106"Tengku hanya menawarkan diri supaya dinilai dan dipilih oleh para perwakilan dan bukannya memberi wang untuk mendapatkan pencalonan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sehingga ini, Datuk Seri Mohd Najib Razak memperolehi 141 pencalonan untuk jawatan presiden Umno daripada 142 bahagian yang telah mengadakan mesyuarat.

Manakala Razaleigh hanya mendapat satu pencalonan - di bahagiannya sendiri, Gua Musang yang mengadakan mesyuarat Sabtu lalu.

'Undi angkat tangan'

Berikutan itu, Najib yang kini timbalan presiden Umno menang tanpa bertanding jawatan presiden itu dalam perhimpunan yang akan diadakan pada 24 hingga 28 Mac tahun depan.

Sebanyak 50 bahagian Umno lagi akan mengadakan mesyuarat pada Sabtu dan Ahad ini, hari terakhir jadual mesyuarat perwakilan selama sebulan.

Kamal Amir berkata, 67 bahagian mencalonkan Tengku Razaleigh untuk jawatan presiden Umno.

Daripada jumlah tersebut, katanya, 66 daripada bahagian tersebut menjalankan pengundian secara terbuka melalui kaedah angkat tangan.

"Bahagian-bahagian tersebut termasuk di Kelantan. Hanya mesyuarat bahagian Muar (yang turut mencalon Ku Li) Ahad lalu, dijalankan secara undi sulit.

"Jika mesyuarat dibuat secara undi sulit, saya yakin keadaan pencalonan untuk Tengku (Razaleigh) boleh berubah," katanya.

Kamal Amir berkata, kebanyakan mesyuarat bahagian tidak membincangkan usul, sebaliknya perwakilan meninggalkan mesyuarat selepas selesai mengundi.

Ini, katanya, seolah-olah perwakilan hanya mahu mengundi dan tidak berminat untuk membahaskan usul seperti dalam mesyuarat perwakilan sebelumnya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |