oleh Syukree Hussain
Anwar, Timbalan Presiden Pas Nasaruddin Mat Isa dan Penasihat DAP Lim Kit Siang keluar daripada parlimen sebagai tanda protes terhadap Menteri Kewangan Najib Razak (gambar mstar).
KUALA LUMPUR, 5 November (SK) - Ketua Pakatan Rakyat Anwar Ibrahim menganggap Menteri Kewangan Najib Razak bertindak di luar daripada batasan semangat Parlimen.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu berhubungan dengan tindakan kerana bakal Presiden Umno itu enggan membenarkan sebarang celahan, pertanyaan dan penjelasan sewaktu beliau menggulung perbahasan Belanjawan 2009.
“Selaku Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah tentu sedar ucapan penggulungan beliau akan memberi kesan kepada negara, justeru amat penting ucapan tersebut dibahaskan dengan teliti oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat,” jelasnya ketika ditemui oleh Suara Keadilan Online sejurus sidang media di lobi Parlimen semalam.
Namun, tambahnya, keengganan beliau amat dikesali kerana beliau sanggup membelakangkan kepentingan umum.
“Satelah berulangkali menuntut jawapan, dan menunggu selama satu jam, Timbalan Perdana Menteri tetap berdegil dan enggan memberikan laluan,” ujar Anwar yang juga merupakan Ketua Umum KeADILan.
Sambungannya, sejarah Parlimen Malaysia yang sudahpun menjangkau usia separuh abad, tapi buat pertama kalinya, menyaksikan Menteri Kewangan enggan dan gagal melayani perbahasan belanjawan.
“Adalah malang sekiranya Dewan Rakyat yang menjadi tempat undang-undang dibentuk dan polisi nasional dibentangkan tidak lagi dihormati,” kata beliau dalam kenyataan yang turut disiarkan dalam blognya.
Semalam, semua ahli Parlimen Pakatan Rakyat bertindak keluar dewan selepas satu jam menunggu Najib membenarkan untuk sebarang celahan semasa beliau membuat penggulungan bajet 2009.
1 comments:
Najib yang tidak menghormati dewan atau Anwar dan gerombolannya yang tidak hormat dewan?... Tak payah pusing-pusing ceritalah Anwar... Dah jelas lagi terang, siapa yang keluar dewanlah yang menghina dan tidak menghormati dewan...
Post a Comment