+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, April 27, 2008

Pengalaman Nik Aziz dikongsi bersama ketua kerajaan Pakatan Rakyat

Harakahdaily

Lanjusoh

Sun | Apr 27, 08 | 4:04:19 pm MYT

MACHANG, 27 April (Hrkh) - Pengalaman Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mentadbir Kelantan selama lebih 18 tahun akan dikongsi bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri kerajaan Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu satu program khas yang kemungkinan dikenali sebagai Persidangan Kemuncak Ketua Kerajaan Pakatan Rakyat akan diadakan di Kelantan tidak lama lagi.

Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata, Menteri Besar Kelantan sudah menyatakan persetujuan untuk menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak tersebut.

"Tok Guru Nik Aziz boleh mendedahkan pengalamannya mentadbir Kelantan lebih 18 tahun, manakala Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pula boleh memberi pandangan dari aspek ekonomi.

"Begitu juga menteri besar lain boleh mendedahkan mengenai kepakaran masing-masing pada persidangan kemuncak tersebut," katanya pada ceramah di Kampung Dewan Besar, Pulai Chondong dekat sini, malam kelmarin.

Ceramah tersebut diadakan di kawasan kubu tradisi Umno di Machang. Padang tempat ceramah tersebut penuh sesak. Laluan ke tempat ceramah jam teruk.

Hadir sama pada ceramah itu, anggota Parlimen Pasir Mas, Dato' Ibrahim Ali, anggota Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail, Adun Pulai Chondong, Haji Zulkifli Mamat dan Adun Kemuning, Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman.

Sebelum itu, Anwar menghadiri ceramah di Kampung Kemuncut di Dun Temangan yang turut dihadiri ribuan penduduk tempatan.

Pada malam yang sama dua lagi program serupa diadakan iaitu anjuran Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah di Balai Islam, Lundang di Kota Bharu dan ceramah anjuran PAS serta KeADIlan di Kampung Badak, Bachok.

Anwar berkata, beliau telah mengemukakan cadangan mengadakan persidangan kemuncak ketua kerajaan PR kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada pertemuan pagi Jumaat lalu.

Beliau ketika itu dalam misi lawatan sehari ke Kelantan. Pada petang Jumaat Anwar merasmikan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Machang di Bukit Tiu.

Saifuddin pula berkata, sebelum ini hanya terdapat seorang sahaja Menteri Besar yang mewakili pembangkang.

"Namun sekarang sudah meningkat kepada lima orang. Ini merupakan satu pencapaian yang cukup menarik. Tok Guru Nik Abdul Aziz boleh menceritakan pengalamannya memimpin Kelantan selama lebih 18 tahun pada sidang kemuncak yang diadakan," katanya.

Sementara itu, persidangan serupa juga difahamkan bakal diadakan sebelum berlangsungnya Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu memandangkan Menteri Besar daripada pembangkang tidak pernah dijemput menghadiri mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dianjurkan kerajaan Persekutuan.

Menjadi kelaziman sebelum ini mesyuarat tersebut diadakan sehari sebelum mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu berlangsung.

Sepanjang 18 tahun lepas Menteri Besar Kelantan tidak pernah dijemput menghadiri mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat terbabit biasanya diadakan di Kuala Lumpur atau Selangor.

Bagaimanapun disebabkan pertambahan bilangan Menteri Besar dan Ketua Menteri daripada pembangkang membolehkan persidangan dianjurkan kerajaan BN turut diadakan Pakatan Rakyat. - mj

Read More...

Koleksi Video - Temuramah DSAI oleh Australia News Hours ( Bah. 2)

Sambungan temuramah dengan DSAI oleh Australia News Network pada 22/04/08.
Temuramah ini dikendalikan oleh Jim Midleton dalam rancangan News Hours with Jim Midleton. Terjemahan penuh temuramah terdapat di bawah.




JM : Bagaimana dengan isu undang-undang syariah? Apakah pendirian anda mengenainya?

DSAI : Kita dah perjelaskan. Undang-undang syariah telah dilaksanakan, pada isu kekeluargaan, ia telah diadakan, bukan itu saja, ia perlu diperbaiki, hakim-hakim mahkamah Islamik perlu dilatih, dengan prosedur kod jenayah, mesti ada ruang untuk melakukan aduan dan pertikaian bagi orang Islam. Kita tak akan benarkan, orang bukan Islam dihukum oleh mahkamah Syariah. Orang bukan Islam mesti diberi kebebasan untuk dihukum di mahkamah Sivil. Jadi, undang-undang Syariah hanya untuk undang-undang keluarga orang Islam. Dan dalam beberapa isu lain yang disenangi oleh orang Islam, tanpa melanggar hal-hal lain.

JM : Berbalik pada tahun-tahun lepas, melihat pada kacamata hari ini, 2008, mengapa Dr Mahathir bertindak menentang anda, semasa dalam kerajaan.

DSAI : Isunya pada masa itu, adalah kerana korupsi, nepotisme, kronisme, isunya pada masa itu, adalah berkenaan pentadbiran yang adil dan kebertanggungjawaban. Dan terdapat beberapa benda yang saya tidak bersedia untuk lakukan, termasuk menyelamatkan anak-anaknya yang mana saya tak mahu lakukan, secara umumnya rakyat Malaysia sedari hal itu. Dan sekarang sudah tentu dia akan katakan, saya pro Yahudi dan sesuai untuk jadi Perdana Menteri Israel. Jadi saya kata dia telah dimaafkan. Saya tak berniat untuk berbuat benda yang sama. Biarlah dia buat apa yang dia mahu.

JM : Anda katakan tadi Mahathir ini korup, atau telah lama korup, tapi adakah anda sebahagian daripada kerajaan ketika itu?

DSAI : Ya, jika anda tahu Mahathir, anda akan menyedari pada 1997, saya memperkenalkan perundangan yang ketat, Akta Anti-Korupsi. Itu adalah satu daripada isu-isu besar. Mengapa saya perkenalkannya? Kenapa saya sangat menekankannya? Mengkaji Suruhanjaya Korupsi di Hong Kong dengan teliti adalah kerana saya menyedari bahawa korupsi semakin menular. Semakin banyak anugerah dan kontrak diberi kepada anak-anak dan kaum keluarga Mahathir. Bila saya perkenalkan akta itu, ia telah menjadi. Perang besar antara saya pemimpinan (Mahathir). Ini salah satu sebabnya mengapa saya dikecam. Jadi untuk katakan tiada sebarang tindakan itu tidak benar, lihat pendirian saya pada suruhanjaya bebas, malah saya telah membuat kenyataan di hadapan ketua hakim, bahawa dia perlu memahami undang-undang. Bukannya setakat kenal-kenal seorang hakim.

JM : Apakah yang anda akan katakan pada orang yang mempertikaikan kerajaan pimpinan anda hanyalah seperti UMNO lagi satu?

DSAI : Saya liberal demokrat? Orang ramai boleh menganggap macam-macam. Tetapi kita di sini komited kepada satu agenda. Dan tidak akan 'patah balik'. 6 tahun dipenjarakan, telah banyak mengajar saya. Kita jadi matang dalam tempoh itu. Anda tahu mandat yang diberikan adalah mandat untuk perubahan. Bukanlah mandat untuk mengulangi, pendekatan cara UMNO. Tiada soalan lagi tentang Malaysia yang demokratik. Tiada soalan lagi tentang Badan Kehakiman Bebas, tiada soalan lagi tentang kebebasan media dan polisi yang adil, polisi sosial ekonomi untuk semua rakyat Malaysia.

JM : Anda punyai perbezaan dengan polisi ekonomi Mahathir, dia cuba untuk meminggirkan IMF tapi masih dapat menyelamatkan Malaysia daripada kegawatan ekonomi Asia. Jadi dia ada ukuran yang berjayakan?

DSAI : Isu IMF tak pernah timbul langsung. Ia telah dibuat, tidak ada langsung saya sebagai Menteri Kewangan inginkan IMF. Kita tidaklah seteruk kes di Indonesia, Thailand atau Korea Selatan, untk ambil jalan menggunakan IMF. Tetapi saya telah lakukan sedikit perubahan sebagai seorang Menteri Kewangan, melihat masalah kewangan ketika itu. IMF itu adalah, alasan oleh Mahathir untuk mengalihkan perhatian umum daripada korupsi besar dan salah guna kuasa. Bagaimana anda ukur sesuatu kejayaan itu dengan baik? Anda ukur pada tempoh pertengahan prestasi ekonominya. Dan anda akan ketahui selepas itu, selepas kejayaan awal jika dibandingkan dengan Indonesia, ia sangat teruk sekali. Indonesia dengan peruntukan, kekuatan ekonomi, pelaburannya adalah jauh di bawah Malaysia waktu itu. Jadi untuk membezakannya memanglah jauh berbeza sekali. Tetapi apa yang penting dalam fikiran saya, semua negara ini, Korea Selatan sudah melebihi kita (Malaysia), Thailand telah berjaya distabilkan, distabilkan ekonominya. Indonesia di dalam beberapa perkara, telah melepasi Malaysia, dalam FDI, dalam mendapatkan keyakinan. Malaysia tidak dapat bergerak melebihi tahap itu.

JM : Anda beritahu mengenai ekonomi Malaysia tadi pada awal temuramah ini, apakah pandangan anda mengenai halatuju Malaysia ketika ini?

DSAI : Sekarang saya ulangi. Pertama kita sudah hilang daya saing. Pada 1990-an, dengan banyak masalah, Malaysia masih berada pada no 1 dari segi FDI ( Pelaburan asing), no 1 dari segi pertumbuhan ekonomi, No1 dari segi daya saing di ASEAN. Sekarang dari segi FDI ( Pelaburan Asing), pertumbuhan (ekonomi), daya saing, kita sudah kalah. Kita sangat teruk dari segi kebebasan media. Kita sangat teruk dari segi badan kehakiman bebas dan korupsi. Ini juga bermaksud, kita perlukan perubahan. sekarang kita perlu bersaing, dengan jayanya untuk tarik pelaburan asing (FDI). Malaysia bukanlah sebuah negara yang tidak diketahui, di mana ia boleh berdiri terus hanya dengan pelaburan domestik (dalam negara). Kita perlukan banyak sokongan, memberikan keyakinan tinggi di kalangan negara jiran. Rakan di Australia, New Zealand, Eropah, Amerika, China, supaya dapat melihat Malaysiasebagai destinasi menarik untuk FDI (Pelaburan Asing).

JM : Apakah anda mempercayai polis dan tentera?

DSAI : Tentera ini, dikenali sepanjang sejarah sebagai pasukan yang lebih profesional, dan saya tidak ada alasan untuk mencurigai mereka. Tetapi polis telah dipergunakan sejak era Mahathir lagi, dipergunakan oleh pihak yang memerintah. Tetapi, saya juga rasakan banyak polis senior sedang meningkat lebih professional dalam pengendalian masalah (kes).

JM : Datuk Anwar, terima kasih kerana meluangkan waktu, diharap kita akan bertemu lagi.

DSAI : Terima kasih.

Read More...

Mukhriz: Najib pun boleh cabar presiden

Malaysiakini

Apr 26, 08 9:16pm

Ahli exco pergerakan Pemuda Umno Datuk Mukhriz Mahathir mengalu-alukan hasrat bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah bertanding jawatan presiden Umno pada pemilihan parti itu akhir tahun ini.

Beliau berkata, pertandingan itu mestilah dijalankan dengan syarat tanpa mengamalkan politik wang, berhemah dan tidak memecahbelahkan perpaduan parti.

"Bukan sahaja Tengku Razaleigh boleh bertanding untuk jawatan presiden tetapi juga timbalan presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan naib-naib presiden," katanya kepada pemberita di majlis 'Pilihanraya umum ke-12 Barisan Nasional hilang sokongan pengundi muda: Di mana silapnya', sebagai tetamu kehormat, di Machang hari ini.

Menurut laporan Bernama, ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh sebelum ini mengumumkan hasratnya untuk bertanding merebut jawatan presiden Umno.

Mukhriz berkata kesediaan mereka tidak perlu dihalang dan patut diberi peluang untuk membolehkan perwakilan Umno memilih calon yang benar-benar layak bagi memulihkan kekuatan Umno yang tercalar berikutan kekalahan teruk pada pilihanraya ke-12 pada 8 Mac.

Beliau sebelum ini mengisytiharkan akan bertanding bagi mengisi jawatan ketua pergerakan itu yang akan dikosongkan oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Read More...

"Dakwaan Anwar bukan cakap kosong" Ku Li

KLpos

Cetak E-mail
Oleh Bernama
Ahad, 27 April 2008

PJ: Hasrat Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengambil alih pentadiran negara dalam masa beberapa bulan akan datang tidak mustahil dan boleh menjadi kenyataan, kata Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata ini kerana memang ada kemungkinan anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) "menyeberang" ke pihak Pembangkang.

"Ini bukan cakap main-main, tak boleh kata ini tak boleh berlaku. Orang di Sabah tak begitu kuat rasa kecintaannya terhadap Umno, tak macam kita di sini yang lahir dan membesar dalam Umno dan segala benda yang kita sentuh ada kaitan dengan Umno.

"Saya juga tengok kebanyakan Anggota Parlimen yang terpilih adalah orang kuat (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dulu dan mereka masih berhubung rapat dengan Anwar," katanya semasa sesi pertemuan dengan anggota Umno dari cawangan-cawangan sekitar Subang Jaya di sini hari ini.

Anggota Parlimen Gua Musang itu juga yakin Anwar serius dengan hasratnya mahu mengambil alih kerajaan.

"Tadi kebetulan semasa datang ke sini saya naik satu kapal terbang dengan beliau dan saya tanya beliau sendiri, dan beliau kata beliau serius," katanya.

Tengku Razaleigh berkata berdasarkan kepada faktor-faktor itu, pemimpin BN wajar mengambil serius kenyataan Anwar kerana dengan hanya 30 kerusi Parlimen, kerajaan BN boleh tumbang.

"Jangan fikir kita boleh terus berkuasa. Kena ambil tindakan tegas untuk atasi masalah ini," katanya yang turut melahirkan kebimbangan dengan sikap pemimpin BN sekarang berhubung isu itu.

Mengulas lanjut perkara itu kepada pemberita kemudian, beliau berpandangan pemimpin BN sekarang bersikap seolah-olah pengambilalihan kuasa oleh pembangkang tidak akan berlaku.

Ditanya mengenai keyakinannya bahawa terdapat kemungkinan Anggota Parlimen dari Sabah menyertai PKR, Tengku Razaleigh berkata keyakinan itu berdasarkan "suara-suara" dari negeri itu yang antara lain mengatakan bahawa mereka masih kurang senang dengan keadaan sekarang.

"Daripada apa yang saya dengar, mereka tidak mendapat apa yang mereka minta, misalnya lebih banyak perwakilan, maka perkara ini perlu diselesaikan," katanya.

Kepada soalan lain, Tengku Razaleigh berkata beliau akan tetap bertanding jawatan presiden Umno sekalipun ketika pemilihan parti pada Disember nanti, jawatan itu telah dipegang oleh orang lain.

"Kalau saya diberi mandat saya akan bertanding," katanya sambil menambah setakat ini hasrat beliau disambut baik oleh kebanyakan bahagian Umno.

Read More...

Selamat bersidang YB

ESOK, 28 April 2008 bermulalah mesyuarat pertama, penggal pertama Parlimen kedua belas. Mesyuarat ini diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 berlangsung pada 8 Mac lalu. Mesyuarat pertama ini akan berlangsung sehingga 27 Mei atau melibatkan 16 hari. Mesyuarat kedua pula dijadualkan pada 23 Jun hingga 15 Julai selama 14 hari dan ketiga mulai 18 Ogos hingga 11 Disember melibatkan 41 hari. Setiap minggu mesyuarat akan berlangsung mulai hari Isnin hingga Khamis iaitu bermula pukul 10 pagi hingga 1 petang dan disambung semula mulai pukul 2.30 hingga 5.30 petang.

Apakah istimewanya mesyuarat bagi Parlimen ke-12 ini?

Sebaik saja keputusan pilihan raya umum diketahui pada 8 Mac lalu, ramai yang sudah menjangkakan persidangan pada kali ini lebih panas berbanding sebelumnya. Bukan sekadar komposisi penyokong dan pembangkang tetapi mereka yang mempunyai latar belakang yang pelbagai yang selama ini hanya lantang bersuara atau 'berkokok' di luar kini akan berada di dalam Dewan.

Antara mereka termasuklah aktivis sosial dan masyarakat yang sebelum ini sering turun di jalan-jalan raya mengadakan demonstrasi terutama di Kuala Lumpur. Ada di antara mereka ini juga pernah 'menyerbu' Parlimen untuk membuat bantahan. Lebih mencabar lagi kali ini ialah kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal memperoleh majoriti dua pertiga.

Keadaan ini tidak pernah berlaku dalam tempoh 50 tahun lalu. Begitu juga dengan kehadiran 99 muka baru daripada keseluruhan 222 wakil rakyat. Dan jumlah anggota pembangkang pula meningkat empat kali ganda iaitu seramai 82 orang berbanding pada penggal yang lalu hanya 20 orang.

Kali ini pembangkang membariskan hampir keseluruhan pemimpin utamanya - Presiden/pengerusi parti, timbalan presiden/timbalan pengerusi, naib-naib presiden/pengerusi serta setiausaha agung masing-masing. Begitu juga dengan barisan ketua-ketua pemuda dan wanita/muslimat parti pembangkang turut sama berada di dalam Parlimen.

Sementara BN pula kehilangan suara beberapa pemimpin utama parti komponennya seperti S.Samy Vellu (MIC), M. Kayveas (PPP) dan Dr. Koh Tsu Koon (Gerakan). Mereka semua tewas pada pilihan raya umum lalu.

Namun di pihak BN terdapat beberapa nama - muka baru - yang bakal menjadi tumpuan. Mereka termasuklah anak bekas Perdana Menteri, Mukhriz Mahathir, Khairy Jamaludin, Dr. Mohd Puad Zarkashi, Razali Ibrahim dan Chua Tee Yong.

Sementara di pihak pembangkang pula, selain nama-nama baru seperti Tian Chua, Azmin Ali, Nurul Izzah Anwar, beberapa muka lama akan turut memanaskan persidangan kali ini. Lebih-lebih lagi mereka yang pernah berada di dalam Dewan tetapi terkeluar pada penggal yang lalu dan kali ini kembali semula. Mereka sudah pasti akan menggunakan pengalaman yang ada untuk mengambil bahagian lebih aktif. Antara mereka termasuklah Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, Timbalannya Nasharuddin Mat Isa, Ketua Penerangan Mahfuz Omar, dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Taib Azamuddin Mohd Taib. Kali ini buat kali pertama juga tiga muslimat Pas akan turut serta. Begitu juga dengan kehadiran semula bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas,Ibrahim Ali, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Wee Choo Keong.

Jelaslah gandingan muka lama dan baru pada kali ini akan mencetuskan suasana yang lebih meriah di dalam Dewan Rakyat.

''Dengan muka baru dan jumlah anggota mereka yang ramai, sudah tentu pembangkang mempunyai semangat baru dalam sidang kali ini,'' kata Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz.

Beliau yang sudah tiga penggal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ini penggal ketiga sebagai Ahli Parlimen mengakui persidangan kali ini lebih mencabar dan menuntut perhatian yang lebih dari segi kehadiran serta perbahasan yang lebih bermutu.

Mohamad Aziz yang pada penggal lalu berjaya mencuri perhatian ramai bersama rakan-rakannya seperti Datuk Bung Mokhtar Radin (Kinabatangan) dan Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (kini ADUN di Perak) bagaimanapun yakin anggota BN juga mempunyai semangat yang sama.

Percaya''BN juga mempunyai orang muda yang bersemangat tinggi dan saya percaya mereka ini mampu mengambil bahagian yang lebih aktif dalam persidangan Dewan Rakyat kali ini,'' katanya.

Menariknya kali ini, Bung Mokhtar menjadi Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong BN yang diketuai oleh Tiong King Sing. Dan jika tidak ada perubahan tempat duduk, Mohamad Aziz diapit oleh King Sing dan Bung Mokhtar. Pastinya mereka ada strategi untuk 'mematahkan' serangan pihak pembangkang.

Dengan suasana yang dianggap tidak pernah berlaku dalam sejarah Dewan Rakyat sebelum ini, cabaran besar juga terletak di bahu Yang Dipertua Dewan Rakyat atau Speaker yang baru dilantik, Pandikar Amin Mulia.

Walaupun orang baru tetapi, ahli politik veteran ini pernah berada di dalam Dewan Rakyat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1999 hingga 2002). Beliau juga seorang yang lantang dan lucu dan berpengalaman sebagai Speaker DUN Sabah. Pandikar Amin juga pernah menyandang beberapa jawatan dalam Kabinet Sabah.

Pandikar Amin, 53, bagaimanapun meminta kerjasama semua anggota Parlimen supaya mematuhi peraturan ketika mengambil bahagian dalam perbahasan.

''Saya mahu bersikap adil kepada semua orang tetapi semua wakil rakyat sepatutnya tahu apa yang perlu mereka lakukan. Jika mereka mematuhi peraturan, semua orang akan gembira,'' katanya semasa mengulas pelantikannya baru-baru ini.

Turut menarik perhatian kali ini ialah ketua pembangkang yang baru iaitu Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang pada penggal yang lalu 'keseorangan'. Pada pilihan raya umum 2004, beliau adalah satu-satunya wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR). Dan kali ini bersamanya adalah anak perempuannya serta 'panglima-panglima' PKR.

Inilah kali pertama wanita diberi tanggungjawab sebagai ketua pembangkang. Mungkin ini secara kebetulan kerana beliau adalah Presiden PKR, parti yang menang lebih banyak kerusi berbanding parti-parti lain.

Sebelum ini parti politik yang memenangi lebih banyak kerusi dilantik sebagai ketua pembangkang seperti yang dapat dilihat pada penggal lalu apabila Lim Kit Siang yang juga Setiausaha Agung DAP ketika itu mengetuai barisan pembangkang. Pas juga pernah mengetuai barisan pembangkang melalui Presiden Pas ketika itu, Fadzil Noor (1999) apabila parti itu menang lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum.

Dewan Rakyat kali ini juga menyaksikan jumlah Menteri Kabinet yang berkurangan menyebabkan kehadiran setiap orang Ahli Parlimen terutama di kalangan penyokong kerajaan BN amat penting. Menyedari kepentingan itu juga, mesyuarat Kabinet yang biasanya berlangsung pada hari Rabu ditukarkan pada hari Jumaat sepanjang persidangan Dewan Rakyat berlangsung.

Menyentuh tentang anggota Kabinet, Mohamad Aziz juga berharap, Menteri dan Timbalan Menteri dapat memberi jawapan yang meyakinkan terhadap setiap persoalan yang dibangkitkan.

Beliau percaya dengan jawapan-jawapan yang tepat dan meyakinkan, suasana perbahasan akan lebih menarik.

Mesyuarat hari pertama esok akan bermula dengan upacara mengangkat sumpah jawatan Speaker serta ahli-ahli yang berhormat (YB) yang memenangi kerusi pada pilihan raya umum lalu.

Apakah akan ada kejutan seperti yang pernah berlaku pada majlis angkat sumpah pada tahun 1999?

Ketika itu, semua 43 ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar Dewan selepas berlaku kekecohan kerana mempertikaikan kesahihan mesyuarat.

Bagaimana pula dengan kejutan-kejutan lain yang sebelum ini menjadi bualan ramai selepas BN gagal memperoleh majoriti dua pertiga? Sama-samalah kita ikuti persidangan itu nanti yang buat kali pertama juga akan disiarkan secara langsung selama setengah jam oleh RTM bagi sesi soal jawab.

Kita akan melihat sejauh mana tingkah laku dan keupayaan wakil-wakil rakyat yang kita pilih pada 8 Mac lalu bertindak. Begitu juga dengan Menteri Kabinet dan timbalan mereka mengambil bahagian setelah mereka tidak lagi dibantu oleh setiausaha Parlimen.

Seperti kata Menteri Penerangan, Ahmad Shabery Chik, apabila sidang Dewan Rakyat disiarkan secara langsung walaupun sekadar setengah jam, tetapi ia ibarat seperti membuka pintu air.

''Ia seperti membuka pintu air, sudah tentu ada sampah yang keluar bersama-sama. Namun pada akhirnya penonton yang menapis baik buruknya,'' kata beliau yang dilantik sebagai menteri penuh kali ini.

Apa yang diharapkan, persidangan kali ini lebih fokus kepada isu tanpa ahli-ahli YB terbawa-bawa dengan isu-isu yang boleh menjejaskan imej institusi Parlimen. Pada masa yang sama, elakkan daripada mengeluarkan perkataan-perkataan yang kurang enak didengar, insiden memulaukan sidang, serta berucap dalam keadaan yang marah. Ikutlah peraturan dan hormatilah Speaker.

Seperti yang pernah dikatakan oleh Allahyarham Zahir Ismail: ''Kalau berucap hendaklah dengan nada tenang, jangan marah-marah. Ini kerana kalau marah, nanti tertinggal, lupa atau hilanglah fakta atau hujah bernas yang telah dihimpunkan sebelumnya.''

Satu lagi pesanan Allahyarham kepada Ahli-ahli Dewan ialah: ''Kita datang hendak bermesyuarat bukan bergaduh. Ini tugas negara. Kalau kita bergaduh, kita tidak menjalankan tugas.''

Justeru, ambillah bahagian sebaik mungkin. Buatlah penyelidikan sebelum bercakap supaya hujah yang hendak disampaikan tidak meleret-leret atau tidak berfaedah. Akhirnya banyak masa terbuang. Memang masa mesyuarat boleh ditambah tetapi setiap orang ada tugas masing-masing. Menteri-menteri mempunyai tugas mereka di kementerian yang perlu dibereskan dan tidak boleh bersidang untuk tempoh lama sehingga mengambil masa berbulan-bulan lamanya. Ahli-ahli YB, hargailah masa persidangan!

Read More...

Koleksi Video - Temuramah DSAI oleh Australia News Hours ( Bah. 1)

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Sila ikuti temuramah dengan DSAI oleh Australia News Network pada 22/04/08.
Temuramah ini dikendalikan oleh Jim Midleton dalam rancangan News Hours with Jim Midleton. Terjemahan penuh temuramah terdapat di bawah.


Anwar Ibrahim in Australian NewsHour With Jim Middleton P1/2



JM : Anwar Ibrahim, selamat datang ke News Hour.

DSAI : Terima kasih.

JM : Mari kita beralih seketika, mengapa kerajaan sebegitu teruk dalam pilihanraya lepas dan kenapa anda cemerlang sekali?

DSAI : Whoop...aaa....terima kasih. Dalam pilihanraya yang begitu palsu ini,mmm...kita berjaya menubuhkan dengan yakin..aaa...tapi, kita lakukan dengan sangat baik sekali, aaa...saya telah katakan, jika tiada pembatalan dakwat kekal, kita mungkin akan dapat majoriti mudah di parlimen. Tapi aaa, mereka dah lakukan, kerajaan Barisan Nasional kalah teruk kerana keangkuhan mereka, terang-terang sekali korup, tidak cekap. Dan aaa....Itu jelas daripada mandat rakyat.

JM : Dalam kejayaan ini, anda perlukan beberapa kerusi untuk mengambil alih kuasa, mengapa anda rasa ini boleh dicapai?

DSAI : Ia boleh dicapai, pertamanya kerana, ramai daripada...ahli parlimen yang telah menang, sekarang ini telah sedar, itu mmm....minat dan sokongan umum rakyat Malaysia, adalah bersama Pakatan Rakyat. Keduanya, yang berada di Sabah dan Sarawak, tidak punyai kesetiaan penuh, kepada kerajaan UMNO. Mereka mewakili kaum di Sabah yang sudah terpinggir. Dalam rancangan kita adalah nyata, sementara membantu ekonomi dan perkembangannya, kita tidak akan mengenepikan kaum-kaum yang terpinggir ini, golongan miskin dari pelbagai kaum. Saya rasa ini, ditambah dengan sokongan daripada Semenanjung, bukan sahaja daripada UMNO, tetapi juga ahli gabungan lain, orang Cina dan orang India, jadinya kita ada. Malah saya katakan pada 2 minggu lepas, bahawa kita sudah ada bilangannya. Isunya bila kita mahu bergerak, dan saya akan bersedia untuk bergerak, mmm....hanyaapabila kita rasakan, yang kita ada bilangan majoriti yang selesa.

JM : Jadi anda pilih untuk bersabar untuk bermain permainan tunggu menunggukan?

DSAI : Ya, sebelum....harap-harap tidak terlalu lama, kerana saya fikir keadaan ekonominya, ialah yang utama, ia masih merudum dan lembap berbanding negara jiran, secara politiknya tidak stabil. Kita rasa terhutang dengan rakyat Malaysia, untuk memperbaiki ekonomi dengan bertindak pantas.

JM : Anda juga katakan perbincangan itu memerlukan, memperoleh sokongan anda perlu...tawarkan wang untuk mempengaruhi orang ramai, itu tidak demokratikkan?


DSAI : Kita sudah perjelaskan, jika ada mana-mana ahli parlimen ada baru sebarang petunjuk menunjukkan minat untuk dibiayai, maka ia akan dibatalkan. Tidak ada sebab mengapa, rakan-rakan UMNO, tahu UMNO bermasalah, hilang sokongan, tak akan pilih untuk agenda reformasi. Tiada alasan lagi, bagi orang Sabah dan Sarawak, tahu keadaan kita berkaitan royalti petroleum, mempertanggungjawabkan kita dengan isu pendidikan dan kesihatan. Kebajikan umum untuk yang miskin terpinggir, tak dipedulikan selama 4 setengah abad. Tak ada sebab mengapa mereka tak patut sokong kita. Mandat yang diberi sangat jelas. Jika mereka bicara soal etika dan moral, biar saya beritahu mereka, seluruh pilihanraya yang diadakan adalah tidak jujur, ia tidak beretika dan tidak bermoral. Kita sepatutnya menang. Tiada sebab mengapa kita perlu berbincang lagi. Jadi isunya di sini ialah, rakyat Malaysia yakin sekali kita mempunyai mandat, dan kita mahu mencapainya. Jika ada perjanjian, selepas itu kita akan perjelaskan. Kita gariskan dengan jelas. Tiada isu korupsi dan rasuah. Yang mana ia telah menjadi amalan gabungan pemerintah sekarang ini.

JM : Bagaimana dengan parti major lain seperti PAS, bolehkah anda perolehi kuasa tanpa sokongan mereka?

DSAI : Sekarang gabungan parti pembangkang Pakatan Rakyat ialah PKR ( Keadilan), PAS (Parti Islam Semalaysia) dan DAP. Kita telah lalui beberapa siri mesyuarat. Kita sudah bina satu pakatan yang hebat, dan kita telah rangkakan agendanya. Tiada isu berkaitan, menukar Malaysia menjadi suatu yang lain daripada negara demokratik dan liberal dengan jaminan perlembagaan keselamatan, freedom of conscious, kebebasan bersuara, kedaulatan undang-undang, pasaran ekonomi dan keadilan teragih. Itu semua sudah dibincangkan.

JM : PAS telah mengundurkan diskriminasi positif untuk orang Melayu dan negara yang sedang dikawal mereka. Pada pandangan anda, adakah ia idea yang bagus?

DSAI : Sekarang, polisi kita ialah menuju kepada Agenda Ekonomi Malaysia Baru. Kita tidak akan membiarkan golongan yang terpinggir dan miskin, lebih-lebih lagi di kalangan orang Melayu akan dilindungi. Tetapi seluruh pendekatan ini perlu.....dalam pendekatan baru yang bakal diperkenalkan. Maknanya kita perlu bantu semua rakyat Malaysia. Inilah polisinya sekarang yang diambil PAS, DAP di Pulau Pinang dan KeAdilan (PKR) di Selangor.

JM : Apakah jangkaan anda mengenai kerajaan yang akan anda sertai, bakal menjadi lebih islamik atau kurang islamik?

DSAI : Apa?Itu ialah...pada saya....Soalan itu tak begitu relevan. Islamik dari segi, saya solat dan tak minum arak. Ya. Tapi saya tak ada hak, untuk paksa orang lain untuk solat dan tak minum arak. Sekarang mmm...ialah...islamik dari segi hal, kita akan benarkan kelas diadakn di dalam masjid. Kita akan benarkan pembinaan gereja dan kuil-kuil, tanpa gangguan diserang oleh pihak pentadbiran, seperti yang kita lihat pada masa lalu. Tiada soalan mengenai perobohan kuil hindu. Itu, pada saya adalah lebih Islamik dan sepatutnya lebih adil dan saksama.



bersambung bahagian 2......

Read More...

Ku Li: Wakil BN lompat Pakatan boleh berlaku

Malaysiakini

Nash Rahman | Apr 26, 08 7:36pm


Ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak menolak dakwaan kemungkinan PKR boleh mengalihkan sokongan 30 wakil rakyat Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat.

"Saya kenal banyak ahli parlimen (BN) yang terpilih baru-baru ini adalah orang kuat (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) sewaktu beliau masih berkuasa dahulu dan mereka masih rapat dengan beliau.

"Kemungkinan mereka akan berpihak kepada PKR jika kita tidak mengambil tindakan tegas untuk mengawal perasaan mereka," katanya ketika menjawab soalan dalam pertemuan dengan kira-kira 500 ahli Umno di sekitar Subang Jaya di sebuah hotel terkemuka hari ini.

Sebelum ini, bekas menteri kewangan itu menyampaikan ucapan bertajuk 'Hala Tuju Umno selepas pilihanraya umum ke-12' di wacana perubahan dan pemikiran anjuran pemimpin veteran Umno, Datuk Mazlan Harun.

Beliau menegaskan demikian ketika menjawab soalan hadirin berhubung kenyataan ketua umum PKR itu bahawa ahli-ahli parlimen BN di Sabah itu telah membuat keputusan untuk menyertai Pakatan Rakyat dan hanya menunggu masa yang sesuai berbuat demikian.

"Kita tahu PKR begitu serius hendak kalahkan kita, bukan di peringkat negeri sahaja tetapi juga di peringkat persekutuan.

Perasaan pada Umno


"Hingga sekarang pun PKR hendak tumbangkan kita. Dia sudah dedahkan cita-citanya itu seperti yang dilaporkan dalam akhbar.

"Dia sudah kata dia ada cukup bilangan kerusi parlimen untuk tubuhkan kerajaan, kalau tidak pada 31 Ogos, mungkin pada 16 September," tambah Tengku Razaleigh.

"Ini bukan cakap main-main. Perasaan orang Sabah terhadap Umno tidak seperti kita di sini. Kita di sini dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana Umno.

"Segala yang kita sentuh ada kaitan dengan perjuangan Umno. (Tetapi) perasaan orang Sabah tidak seperti perasaan orang Umno di sini, tidak tebal," tegasnya.

Sehubungan itu, Tengku Razaleigh berkata, beliau bimbang dengan sikap pemimpin Umno yang tidak mengambil serius tentang perkara tersebut.

Di samping itu, katanya, isu-isu yang membabitkan Sabah seperti mana yang dibangkitkan oleh pemimpin Umno di negeri tersebut masih belum diselesaikan sepenuhnya.

PKR serius


"Walaupun pemimpin kita telah melawat Sabah untuk menyelesaikannya, tetapi saya diberitahu bahawa tidak ada penyelesaian yang dicapai," tambahnya.

"Jangan fikir kita akan terus berkuasa... hanya 30 kerusi boleh ubah pemerintahan negara ini. Ini bukan sesuatu yang susah hendak dibuat," tegasnya lagi.

Tengku Razaleigh berkata beliau terserempak dengan Anwar dalam penerbangan dari Kota Bharu hari ini dan bertanyakan soalan itu kepada bekas timbalan perdana itu.

"Saya tanya beliau (mengenai perkara itu), jawabnya dia serius. Itu jawapan beliau kepada saya.

"Tidak terjamin kita boleh kekal, tidak terjamin, itulah sebabnya saya sendiri risau dengan sikap pemimpin kita (mengenai dakwaan tersebut)," tambah Tengku Razaleigh.

Umno perlu berubah

Sementara itu, dalam ucapannya, Tengku Razaleigh berkata, usaha memulihkan kekuatan Umno mesti bermula dari dalam organisasi itu sendiri.

"Umno perlu periksa semula sistem dan peraturan yang baik dikekalkan manakala yang tidak baik, yang boleh melemahkam Umno, perlu diubah dan diganti dengan yang lebih baik," katanya sambil menambah perubahan itu mestilah yang asasi dan bukan di luaran sahaja.

Katanya, salah satu perubahannya ialah mengembalilkan demokrasi dalam Umno dan segala peraturan yang menyekat kebebasan Umno memilih pemimpin dan membuatkan Umno lemah, hendaklah diubah sebelum parti menjadi mangsa kepada peraturan tersebut.

Di samping itu, katanya, Umno mesti mengekalkan semangat kebangsaannya untuk kepentingan negara jika mahu terus kekal dan relevan sebagai 'parti kebangsaan Melayu' dan 'parti kebangsaan negara'.

"Umno, walaupun parti Melayu, mesti bergerak atas dasar kebangsaan, tidak atas dasar perkauman. Dasar kebangsaan bererti dasar untuk kepentingan negara, tidak untuk kepentingan etnik," katanya.

Beliau berkata, jika Umno hendak mengatasi parti lain yang asasnya bercorak kaum, Umno mestilah mengamalkan visi, dasar dan matlamat yang bercorak kebangsaan, yakni merentas sempadan dan kepentingan etnik.

Katanya, beliau menimbulkan soal ini kerana tidak mahu Umno dianggap sebagai beban atau liabiliti oleh MCA, Gerakan dan MIC kepada BN.

'Anak hilang ibu'

Selain itu, katanya, kerajaan BN dan Umno juga tidak membenarkan suara orang Melayu dari badan bukan kerajaan (NGO) Melayu mengkritik dan cuba menyampaikan pandangan untuk kebaikan bangsa.

"Kadang-kadang mereka yang membantah dianggap pengkhianat kepada bangsa dan dituduh anti-kemajuan bangsa Melayu. Itulah budaya Umno sekarang," katanya.

Ekoran itu, tegasnya, NGO yang tidak sedikit jumlahnya yang pro-kerajaan, semakin lama semakin tidak aktif dan tidak berani serta tidak berkesan lagi sebagai suara alternatif bangsa Melayu.

"(Akhirnya) mereka kehilangan ibu seperti anak ayam kehilangan ibu... jadi mereka mencari ibu tiri dan menyokong perjuangan parti lain seperti PAS dan lebih ketara lagi PKR.

"Hari ini bila Umno dan BN tidak kuat lagi, NGO inilah yang bangkit mengadakan forum membincangkan tentang permuafakatan Melayu dan nasib bangsa Melayu selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu, tanpa melibatkan parti-parti politik," tambahnya.

Di samping itu, tegas Tengku Razaleigh, lebih ramai orang Melayu yang suka membaca blog dan tidak lagi membaca media perdana yang mereka anggap dikawal oleh kerajaan atau Umno.

Read More...

MB Selangor lawat PM

KLpos

Cetak E-mail
Oleh Agenda Selangor
Sabtu, 26 April 2008

SA: Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Seri Perdana, Putrajaya, hari ini.

Beliau diiringi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Industri dan Perdagangan Selangor, Teresa Kok dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali.

Beberapa perkara telah dibincangkan bersama Perdana Menteri terutama perkara berkaitan program penswastaan, Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Lapangan Terbang Subang, dan isu pekerja asing di Selangor.

Menurut kenyataan dikeluarkan Sekretariat Media Pejabat Menteri Besar, pada pertemuan itu, Abdullah menasihatkan supaya Kerajaan Negeri menghubungi Kementerian Pengangkutan dalam membincangkan dan menangani isu PKFZ serta cadangan penggunaan Lapangan Terbang Subang.

“Perdana Menteri memberi respon positif bahawa terdapat ruang untuk Kerajaan Negeri membangunkan kawasan tersebut.,” kata kenyataan itu.

Selain itu, dalam menangani isu air di Selangor, pihak Kerajaan Negeri Selangor diminta berbincang bersama Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi. Pertemuan dua hala itu juga membincangkan isu pekerja asing yang kian meningkat di Selangor.

Beberapa perkara lain yang berkaitan juga dibincangkan seperti kenyataan-kenyataan daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Menteri Pelancongan, dan Menteri Pelajaran yang tidak menyumbang kepada hubungan harmoni antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.

Read More...

Batu Pahat: Peralihan kuasa sebelum Dis

Malaysiakini

Apr 26, 08 9:48pm

Mesyuarat khas perwakilan Umno Batu Pahat mendesak pelan peralihan kuasa antara presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Razak dilaksanakan sebelum Disember ini.

Di samping itu, bahagian itu juga mendesak kepimpinan Umno mengkaji secara terperinci punca kemarahan rakyat terhadap parti itu dan bertindak segera mengatasinya, seperti tuduhan wujudnya penglibatan "keluarga" dalam urusan pentadbiran negara.

Di samping itu, ia juga mendesak Majlis Tertinggi (MT) Umno supaya menyediakan "pelan pemulihan parti" dengan segera untuk menarik sokongan rakyat kepada Umno berikutan prestasi terburuknya pada pilihanraya umum baru-baru ini.

Cadangan itu antara lima usul yang diluluskan dalam mesyuarat khas bahagian itu, lapor Bernama.

Ketua bahagian Umno Batu Pahat Dr Mohd Puad Zarkashi berkata usul-usul itu diluluskan sebulat suara oleh 365 perwakilan yang menghadiri mesyuarat itu hari ini.

Katanya terdapat dua soalan yang perlu ditanya selepas pilihanraya umum baru-baru ini iaitu, apakah tindakan drastik untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada Umno dan mengapa rakyat begitu marah kepada Umno.

Pikat semula sokongan

Mohd Puad yang juga ketua Penerangan Umno Johor berkata Umno memerlukan formula baru untuk memikat semula sokongan rakyat bukan sahaja orang Melayu dan bukan Melayu, tetapi juga generasi muda yang semakin kritis terhadap Umno.

Katanya Umno tidak lagi boleh berlengah dan perlu bertindak segera kerana ia mempunyai masa yang singkat untuk menghadapi cabaran empat tahun yang mendatang.

Beliau berkata ahli Umno tidak memerlukan pelbagai alasan dan penjelasan yang tidak menjawab soalan yang sebenarnya iaitu mengapa sokongan terhadap parti itu merosot dengan begitu teruk pada pilihanraya umum 8 Mac.

"Apakah isu sabotaj, isu wang peruntukan pilihanraya dan lain-lain menjawab soalan sebenar tentang mengapa rakyat begitu marah terhadap Umno," kata Mohd Puad.

Selain itu, katanya, Umno bahagian turut meluluskan usul mendesak MT Umno supaya menggunakan bidang kuasanya seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti untuk memanggil segera perhimpunan agung khas Umno.

Katanya, mereka turut meluluskan usul meminta kepimpinan parti supaya mengisi dan melaksanakan perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak bertolak-ansur terutamanya berhubung agama Islam dan hak-hak orang Melayu.

Mohd Puad berkata beliau akan menyerahkan keputusan yang dicapai oleh Umno bahagian pada mesyuarat perwakilan khasnya kepada Abdullah di Dewan Rakyat minggu depan.

Read More...

Isu keris tak jejas maruah Melayu: Najib


Berita Harian

Oleh Sariha Mohd Ali


UTAMA KEBERSIHAN: Najib mengambil air yang ditapis untuk diminum pada program Inisiatif Air Asas Kesucian di Masjid At-Taqwa Peramu Jaya, Pekan, sambil diperhatikan Noraini (kanan), semalam.

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata, tindakan Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memohon maaf berhubung isu menghunus dan mencium keris Panca Warisan pada Perhimpunan Agung Umno 2005 dan 2006, tidak akan menjejaskan maruah orang Melayu kerana keris hanyalah simbol semata-mata.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kecemerlangan orang Melayu dalam realiti sebenar bergantung kepada kejayaan mereka dalam pelbagai bidang strategik untuk terus bersaing dengan bangsa lain.

"Sebenarnya, maruah orang Melayu tak tersangkut pada soal keris, sebaliknya ia hanya akan terbela jika orang Melayu berjaya dalam pelbagai bidang termasuk politik, penguasaan ilmu, ekonomi dan sosial.


"Segala-galanya mesti memperlihatkan kemajuan orang Melayu pada tahap kecemerlangan yang mana kita boleh bersaing dalam negara dan di persada antarabangsa.


"Ketika itu, orang Melayu akan dilihat sebagai bangsa yang berjaya dan saya harap isu menghunus keris ini sudah tidak berbangkit lagi selepas Hishammuddin meminta maaf semalam (kelmarin)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program Inisiatif Air Asas Kesucian sempena program Masjid Gemilang Pahang, di Masjid At-Taqwa Peramu Jaya, dekat sini semalam.Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad yang juga Pengerusi Yayasan Hikmat Insan Malaysia (Yahim).

Kelmarin, Hishammuddin ketika mengemukakan permohonan maaf itu berkata, tindakannya menghunus dan mencium keris menyebabkan masyarakat bukan Melayu ditakutkan oleh politik persepsi dan gembar-gembur terhadap keris sebagai satu simbol, sedangkan itu bukan niatnya.

Beliau juga memohon maaf kepada orang Melayu kerana tidak dapat mempertahankan keris sebagai simbol warisan bangsa.

Najib berkata, tindakan Hishammuddin memohon maaf membuktikan keprihatinannya terhadap isu itu, selepas ia dimainkan pihak tertentu sehingga dilihat seperti bersifat perkauman.

"Dia sanggup meminta maaf walaupun ada pihak yang kata bukan niat dia nak isytihar perang atau mahu disabitkan dengan sebarang tindakan bersifat perkauman sebab keris ini satu senjata dalam konteks kebudayaan kita.

"Disebabkan ada pihak memainkan isu ini, jadi langkah yang diambil Hishammuddin itu akan diterima secara positif sebagai sesuatu yang ikhlas dan mulia supaya isu ini tak berbangkit lagi," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata tindakan Hishammuddin itu adalah hak beliau yang berasakan ia jalan terbaik menyelesaikan isu berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata permohonan maaf itu dilakukan mengikut budi bicara Hishamuddin untuk menyelesaikan isu berkenaan.

"Terserah kepada beliau (Hishamuddin) sama ada berpendapat apa yang dilakukannya menyebabkan kemarahan satu kelompok masyarakat dan dengan permohonan maaf itu boleh menyelesaikan masalah itu.

"Saya fikir beliau bukan mahu mencabar orang bukan Melayu atau menakutkan mereka kerana itu adalah sebahagian adat Melayu tetapi orang sudah memusing cerita sehingga menimbulkan kemarahan," katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan tebing Sungai Muar yang runtuh di pekan Panchor, di sini, semalam.

DI IPOH: Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, menyifatkan Hishammuddin seorang yang `gentleman' kerana sedia memohon maaf secara terbuka berhubung tindakannya itu dan meminta semua pihak tidak lagi membangkitkan isu berkenaan.

"Beliau (Hishammuddin) adalah seorang pemimpin muda yang bagus. Tindakannya selaras kata pakar motivasi terkemuka, Dale Carnegie yang menyatakan `jika awak melakukan kesilapan, akuinya segera dan tegas.

"Saya perlu nyatakan di sini beliau sebenarnya pemimpin yang sangat cekap dan bagus. Tanpa beliau, saya tidak fikir hari ini kita boleh membina 41 sekolah Tamil hampir serentak... ia adalah wang (peruntukan membina sekolah) yang diberi kepada saya ketika menjadi Menteri Kerja Raya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pelajar baru Pusat Pembangunan Kemahiran Evertronics di sini semalam.

Di GEORGETOWN, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, menyambut baik tindakan Hishammuddin itu.

"Saya sokong sepenuhnya tindakan Hishammuddin memohon maaf walaupun agak lewat. Semoga ia dapat dijadikan iktibar kepada semua dan diharap perkara yang meresahkan ramai orang itu tidak diulangi mana-mana pihak," katanya selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2007 peringkat Pulau Pinang di sini, semalam.

Read More...

Rafidah: Pembangkang guna perang psikologi raih untung

Mstar Online

26-04-2008 07:12:49 PM

KOTA KINABALU: Parti pembangkang menggunakan perang psikologi dalam usaha meraih keuntungan dalam politik, kata Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz hari ini, Sabtu.

Beliau berkata permainan yang dilakukan oleh pembangkang dalam arena politik adalah untuk memberi gambaran bahawa mereka semakin memperoleh sokongan.

"Memanglah pembangkang telah menang di lima negeri yang mereka sendiri pun tidak sangka.

"Mungkin kelemahan kami yang membolehkan mereka menang. Bagaimanapun kami tidak akan memandang ringan ancaman mereka," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Wanita Umno Sabah di sini.

Beliau berkata kemenangan di kelima-lima negeri itu memberikan pembangkang dorongan dan kekuatan tambahan untuk mengambil alih negeri lain juga.

Bagaimanapun, Rafidah berkata rakyat dan Anggota Parlimen BN tidak akan terpengaruh dan akan terus berdiri teguh supaya tidak terjebak dengan janji dan strategi lain yang digunakan oleh pembangkang.

Ketika diminta mengulas cadangan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim supaya sebuah suruhanjaya khas diwujudkan untuk mengenal pasti punca pencapaian buruk BN dalam pilihan raya lepas, Rafidah berkata penubuhan suruhanjaya itu tidak perlu memandangkan proses mengenal pasti punca kekalahan itu telahpun bermula dan sedang berjalan.

Beliau berkata bagi Wanita Umno, arahan dikeluarkan supaya mengenal pasti punca kekalahan di setiap kawasan pilihan raya dan di saluran peti undi.

"Sebagai contoh, jika kita tahu bahawa saluran empat dan lima, peti undi pengundi muda, adalah punca kekalahan BN, maka penawarnya ialah dengan meminta sayap Puteri dan Pemuda supaya mendekati golongan muda dengan lebih agresif.

"Jika ada masalah dalam lingkungan kawasan pilihan raya, maklumat itu juga akan dikumpulkan dan dibentangkan kepada presiden parti," katanya.

Beliau berkata maklum balas turut dikumpul di lima negeri yang dimenangi pembangkang. BERNAMA

Read More...

Monorel tidak jadi? - Jika tiada persefahaman Kerajaan Pusat, Pulau Pinang – Nor Mohamed

Utusan Online

PULAU PINANG 26 April – Projek monorel di Pulau Pinang tidak akan dilaksanakan jika tiada persefahaman antara Kerajaan Pusat dan negeri, kata Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata, perkara berkenaan bukan sahaja tertakluk kepada projek monorel malah projek-projek lain di bawah Kerajaan Pusat juga tidak akan dilaksanakan sekiranya tiada kerjasama dengan kerajaan negeri.

Ini kerana, katanya pelaksanaan projek tersebut akan melibatkan banyak perkara termasuk isu tanah dan mengikut perlembagaan, tanah adalah di bawah kuasa kerajaan negeri.

‘‘Semua projek yang akan dilaksanakan di bawah Kerajaan Pusat melibatkan isu tanah, jadi jika mereka tidak dapat memberikan kerjasama, macam mana kita hendak buat projek.

“Projek monorel masih dalam peringkat perancangan tetapi kalau kerajaan negeri tidak berminat atau mempunyai pendapat lain untuk melaksanakannya, maka projek itu tidak akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tindakan Persekutuan Negeri (MTPN) di Bangunan Persekutuan di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Khalid Ramli.

Beliau diminta mengulas perkembangan terkini projek monorel Pulau Pinang yang dianggarkan menelan perbelanjaan sebanyak RM1.2 bilion.

Projek berkenaan merupakan projek mega yang dirancang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, projek- projek di bawah RMK-9 yang bernilai berbilion ringgit akan dikaji semula pelaksanaannya berikutan masalah kenaikan kos.

Bagaimanapun katanya, pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang berharga RM3 bilion hanya mengalami kelewatan.

Menurut Perdana Menteri, pembinaan infrastruktur itu terlewat ekoran kos pembinaan yang meningkat selain masalah mendapatkan tanah dan reka bentuk yang terbaik.

Menyentuh pelaksanaan projek mega di negeri ini, Nor Mohamed berkata, Kerajaan Pusat ikhlas dan jujur untuk membangunkan negara dan memberi faedah kepada semua rakyat.

‘‘Dalam melaksanakan pelbagai projek yang telah dirancang itu, kita memerlukan kerjasama daripada kerajaan negeri secara ikhlas supaya tidak ada masalah yang akan timbul,” ujarnya.

Terdahulu, Nor Mohamed memaklumkan bahawa MTPN Pulau Pinang akan menggantikan Majlis Tindakan Negeri (MTN) yang dahulunya dipengerusikan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

MTPN, katanya dilaksanakan untuk memastikan lebih banyak projek yang memberi faedah kepada rakyat dilaksanakan di negeri-negeri yang dikuasai oleh pembangkang.

Beliau berkata, MTPN diperuntukkan kepada negeri yang bukan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) dan ia dipengerusikan oleh pegawai pentadbiran Persekutuan dan dianggotai pegawai-pegawai kanan Persekutuan serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih Kerajaan Pusat.

Read More...

Koleksi Video - Dialoq Di antara JKKK & Penghulu Bersama YAB Menteri Besar PERAK

Assalamualaikum,

Majlis dialog di antara Menteri Besar Perak dan JKKK serta penghulu di Perak. Dengarkan jawapan dan pandangan yang bernas yang diberikan oleh MB Perak berkenaan masalah yang diutarakan oleh wakil-wakil kampung ini. Memang mantap!!!!



Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |