+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, April 27, 2008

Ku Li: Wakil BN lompat Pakatan boleh berlaku

Malaysiakini

Nash Rahman | Apr 26, 08 7:36pm


Ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak menolak dakwaan kemungkinan PKR boleh mengalihkan sokongan 30 wakil rakyat Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat.

"Saya kenal banyak ahli parlimen (BN) yang terpilih baru-baru ini adalah orang kuat (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) sewaktu beliau masih berkuasa dahulu dan mereka masih rapat dengan beliau.

"Kemungkinan mereka akan berpihak kepada PKR jika kita tidak mengambil tindakan tegas untuk mengawal perasaan mereka," katanya ketika menjawab soalan dalam pertemuan dengan kira-kira 500 ahli Umno di sekitar Subang Jaya di sebuah hotel terkemuka hari ini.

Sebelum ini, bekas menteri kewangan itu menyampaikan ucapan bertajuk 'Hala Tuju Umno selepas pilihanraya umum ke-12' di wacana perubahan dan pemikiran anjuran pemimpin veteran Umno, Datuk Mazlan Harun.

Beliau menegaskan demikian ketika menjawab soalan hadirin berhubung kenyataan ketua umum PKR itu bahawa ahli-ahli parlimen BN di Sabah itu telah membuat keputusan untuk menyertai Pakatan Rakyat dan hanya menunggu masa yang sesuai berbuat demikian.

"Kita tahu PKR begitu serius hendak kalahkan kita, bukan di peringkat negeri sahaja tetapi juga di peringkat persekutuan.

Perasaan pada Umno


"Hingga sekarang pun PKR hendak tumbangkan kita. Dia sudah dedahkan cita-citanya itu seperti yang dilaporkan dalam akhbar.

"Dia sudah kata dia ada cukup bilangan kerusi parlimen untuk tubuhkan kerajaan, kalau tidak pada 31 Ogos, mungkin pada 16 September," tambah Tengku Razaleigh.

"Ini bukan cakap main-main. Perasaan orang Sabah terhadap Umno tidak seperti kita di sini. Kita di sini dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana Umno.

"Segala yang kita sentuh ada kaitan dengan perjuangan Umno. (Tetapi) perasaan orang Sabah tidak seperti perasaan orang Umno di sini, tidak tebal," tegasnya.

Sehubungan itu, Tengku Razaleigh berkata, beliau bimbang dengan sikap pemimpin Umno yang tidak mengambil serius tentang perkara tersebut.

Di samping itu, katanya, isu-isu yang membabitkan Sabah seperti mana yang dibangkitkan oleh pemimpin Umno di negeri tersebut masih belum diselesaikan sepenuhnya.

PKR serius


"Walaupun pemimpin kita telah melawat Sabah untuk menyelesaikannya, tetapi saya diberitahu bahawa tidak ada penyelesaian yang dicapai," tambahnya.

"Jangan fikir kita akan terus berkuasa... hanya 30 kerusi boleh ubah pemerintahan negara ini. Ini bukan sesuatu yang susah hendak dibuat," tegasnya lagi.

Tengku Razaleigh berkata beliau terserempak dengan Anwar dalam penerbangan dari Kota Bharu hari ini dan bertanyakan soalan itu kepada bekas timbalan perdana itu.

"Saya tanya beliau (mengenai perkara itu), jawabnya dia serius. Itu jawapan beliau kepada saya.

"Tidak terjamin kita boleh kekal, tidak terjamin, itulah sebabnya saya sendiri risau dengan sikap pemimpin kita (mengenai dakwaan tersebut)," tambah Tengku Razaleigh.

Umno perlu berubah

Sementara itu, dalam ucapannya, Tengku Razaleigh berkata, usaha memulihkan kekuatan Umno mesti bermula dari dalam organisasi itu sendiri.

"Umno perlu periksa semula sistem dan peraturan yang baik dikekalkan manakala yang tidak baik, yang boleh melemahkam Umno, perlu diubah dan diganti dengan yang lebih baik," katanya sambil menambah perubahan itu mestilah yang asasi dan bukan di luaran sahaja.

Katanya, salah satu perubahannya ialah mengembalilkan demokrasi dalam Umno dan segala peraturan yang menyekat kebebasan Umno memilih pemimpin dan membuatkan Umno lemah, hendaklah diubah sebelum parti menjadi mangsa kepada peraturan tersebut.

Di samping itu, katanya, Umno mesti mengekalkan semangat kebangsaannya untuk kepentingan negara jika mahu terus kekal dan relevan sebagai 'parti kebangsaan Melayu' dan 'parti kebangsaan negara'.

"Umno, walaupun parti Melayu, mesti bergerak atas dasar kebangsaan, tidak atas dasar perkauman. Dasar kebangsaan bererti dasar untuk kepentingan negara, tidak untuk kepentingan etnik," katanya.

Beliau berkata, jika Umno hendak mengatasi parti lain yang asasnya bercorak kaum, Umno mestilah mengamalkan visi, dasar dan matlamat yang bercorak kebangsaan, yakni merentas sempadan dan kepentingan etnik.

Katanya, beliau menimbulkan soal ini kerana tidak mahu Umno dianggap sebagai beban atau liabiliti oleh MCA, Gerakan dan MIC kepada BN.

'Anak hilang ibu'

Selain itu, katanya, kerajaan BN dan Umno juga tidak membenarkan suara orang Melayu dari badan bukan kerajaan (NGO) Melayu mengkritik dan cuba menyampaikan pandangan untuk kebaikan bangsa.

"Kadang-kadang mereka yang membantah dianggap pengkhianat kepada bangsa dan dituduh anti-kemajuan bangsa Melayu. Itulah budaya Umno sekarang," katanya.

Ekoran itu, tegasnya, NGO yang tidak sedikit jumlahnya yang pro-kerajaan, semakin lama semakin tidak aktif dan tidak berani serta tidak berkesan lagi sebagai suara alternatif bangsa Melayu.

"(Akhirnya) mereka kehilangan ibu seperti anak ayam kehilangan ibu... jadi mereka mencari ibu tiri dan menyokong perjuangan parti lain seperti PAS dan lebih ketara lagi PKR.

"Hari ini bila Umno dan BN tidak kuat lagi, NGO inilah yang bangkit mengadakan forum membincangkan tentang permuafakatan Melayu dan nasib bangsa Melayu selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu, tanpa melibatkan parti-parti politik," tambahnya.

Di samping itu, tegas Tengku Razaleigh, lebih ramai orang Melayu yang suka membaca blog dan tidak lagi membaca media perdana yang mereka anggap dikawal oleh kerajaan atau Umno.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |