+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, April 27, 2008

Pengalaman Nik Aziz dikongsi bersama ketua kerajaan Pakatan Rakyat

Harakahdaily

Lanjusoh

Sun | Apr 27, 08 | 4:04:19 pm MYT

MACHANG, 27 April (Hrkh) - Pengalaman Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mentadbir Kelantan selama lebih 18 tahun akan dikongsi bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri kerajaan Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu satu program khas yang kemungkinan dikenali sebagai Persidangan Kemuncak Ketua Kerajaan Pakatan Rakyat akan diadakan di Kelantan tidak lama lagi.

Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata, Menteri Besar Kelantan sudah menyatakan persetujuan untuk menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak tersebut.

"Tok Guru Nik Aziz boleh mendedahkan pengalamannya mentadbir Kelantan lebih 18 tahun, manakala Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pula boleh memberi pandangan dari aspek ekonomi.

"Begitu juga menteri besar lain boleh mendedahkan mengenai kepakaran masing-masing pada persidangan kemuncak tersebut," katanya pada ceramah di Kampung Dewan Besar, Pulai Chondong dekat sini, malam kelmarin.

Ceramah tersebut diadakan di kawasan kubu tradisi Umno di Machang. Padang tempat ceramah tersebut penuh sesak. Laluan ke tempat ceramah jam teruk.

Hadir sama pada ceramah itu, anggota Parlimen Pasir Mas, Dato' Ibrahim Ali, anggota Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail, Adun Pulai Chondong, Haji Zulkifli Mamat dan Adun Kemuning, Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman.

Sebelum itu, Anwar menghadiri ceramah di Kampung Kemuncut di Dun Temangan yang turut dihadiri ribuan penduduk tempatan.

Pada malam yang sama dua lagi program serupa diadakan iaitu anjuran Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah di Balai Islam, Lundang di Kota Bharu dan ceramah anjuran PAS serta KeADIlan di Kampung Badak, Bachok.

Anwar berkata, beliau telah mengemukakan cadangan mengadakan persidangan kemuncak ketua kerajaan PR kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz pada pertemuan pagi Jumaat lalu.

Beliau ketika itu dalam misi lawatan sehari ke Kelantan. Pada petang Jumaat Anwar merasmikan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Machang di Bukit Tiu.

Saifuddin pula berkata, sebelum ini hanya terdapat seorang sahaja Menteri Besar yang mewakili pembangkang.

"Namun sekarang sudah meningkat kepada lima orang. Ini merupakan satu pencapaian yang cukup menarik. Tok Guru Nik Abdul Aziz boleh menceritakan pengalamannya memimpin Kelantan selama lebih 18 tahun pada sidang kemuncak yang diadakan," katanya.

Sementara itu, persidangan serupa juga difahamkan bakal diadakan sebelum berlangsungnya Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu memandangkan Menteri Besar daripada pembangkang tidak pernah dijemput menghadiri mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dianjurkan kerajaan Persekutuan.

Menjadi kelaziman sebelum ini mesyuarat tersebut diadakan sehari sebelum mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu berlangsung.

Sepanjang 18 tahun lepas Menteri Besar Kelantan tidak pernah dijemput menghadiri mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat terbabit biasanya diadakan di Kuala Lumpur atau Selangor.

Bagaimanapun disebabkan pertambahan bilangan Menteri Besar dan Ketua Menteri daripada pembangkang membolehkan persidangan dianjurkan kerajaan BN turut diadakan Pakatan Rakyat. - mj

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |