+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, March 27, 2008

Sultan Mizan murka pada Idris Jusoh kerana Tragedi Batu Burok?

Harakahdaily

Abdul Halim Mohd Rashid
Thu | Mar 27, 08 | 5:17:02 am MYT


KUALA LUMPUR, 27 Mac (Hrkh) - Selain penggunaan Wang Ehsan, Sultan Terengganu juga dilaporkan tidak senang dengan bekas Menteri Besar, Dato' Seri Idris Jusoh berhubung beberapa isu dan dasar lain termasuk peristiwa berdarah di Batu Buruk pada September tahun lalu, lapor Malaysiakini.

Perkara itu ditegaskan ketika Perdana Menteri yang dituntut berundur, Dato' Seri Abdullah Badawi menghadap baginda semalam.

Berbeza dengan layanan lemah lembut polis kepada tunjuk perasaan para penyokong Idris baru-baru ini yang antaranya membawa sepanduk yang dilihat menghina Sultan dengan kata-kata "Kami nak Idris, natang (binatang)," dalam tragedi berdarah di Batu Burok, pihak polis mengganasi rakyat tidak bersenjata dengan peluru hidup kononnya kerana berhimpun secara haram.

Dari laporan Malaysian Insider pula, pertemuan antara Sultan Mizan Zainal Abidin yang juga Yang di-Pertuan Agong dan Abdullah jelas memuktamadkan baginda tidak mahu menerima Idris sebagai Menteri Besar.

Menurut laman berita itu, walaupun Abdullah mengemukakan Dato' Mohamed Awang Tera sebagai calon tolak ansur, tetapi Sultan Mizan dengan tegas menyatakan baginda tetap dengan pilihannya supaya Datuk Ahmad Said menjadi Menteri Besar.

Malaysian Insider juga memetik sumber istana yang menyatakan, Sultan Mizan telah memperlihatkan rasa tidak senang baginda kepada Idris sejak hujung tahun lalu lagi.

Sumber itu menyenaraikan beberapa episod dan polisi yang tidak disenangi baginda.

Blogger Ahirudin Attan (rockybru.blogspot.com) pula menyatakan, sumber-sumber beliau memberitahu, Abdullah dititah supaya menerangkan bagaimana Wang Ehsan digunakan oleh kerajaan di bawah pimpinan Idris.

Sejak Barisan Nasional (BN) merampas pemerintahan dari PAS dalam pilihan raya umum 2004 yang lalu, kerajaan pusat memberikan Wang Ehsan kira-kira RM1 bilion setahun kepada kerajaan Terengganu. Wang Ehsan tidak diberikan ketika PAS memerintah Terengganu dari 1999 hingga 2004.

Terengganu mempunyai jumlah penduduk miskin yang kedua paling ramai selepas Sabah.

Menurut Ahirudin, Abdullah juga dititahkan supaya bertemu dengan Ahmad.

Dalam perkembangan berkaitan, sebuah akhbar harian semalam melaporkan kata-kata Setiausaha Perhubungan Umno Terengganu, Dato' Rosol Wahid yang dilihat seolah-olah terus mencabar keputusan Sultan melantik Ahmad sebagai Menteri Besar.

Akhbar tersebut melaporkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil itu menyatakan bahawa 22 dari 24 Adun BN Terengganu telah mendesak Abdullah supaya berkeras untuk melantik Idris sebagai Menteri Besar.

Dengan keyakinan bahawa berita yang baik berada di sebelah pihak mereka, Rosol yang berada di Kuala Lumpur bersama-sama Idris dan 21 Adun lain, lapor akhbar itu, menyatakan, "kami begitu kuat sekarang".

Beliau juga mendakwa, kesemua 22 Adun itu yang dilaporkan pulang ke Terengganu semalam berdiri teguh di belakang Idris.

"Kami hanya menerima arahan daripada Perdana Menteri atau Idris," tegas beliau. - abmr/mr

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |