+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, November 4, 2008

Enggan jawab soalan: Najib disifatkan "penakut," "tidak jujur"

Harakahdaily

Abdul Aziz Mustafa
Tue | Nov 04, 08 | 7:37:26 pm MYT

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Hrkh) - Ahli-ahli Parlimen pembangkang hari ini menyifatkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak "penakut" dan "tidak jujur".

Ketika keluar dewan beramai-ramai kerana memprotes keengganan Najib memberi ruang untuk penjelasan ketika menggulung perbahasan Bajet 2009, beberapa anggota pembangkang melaung-laungkan perkataan "penakut, penakut!" kepada Najib.

Para pemimpin kanan Pakatan Rakyat (PR) pula menyifatkan Najib "tidak jujur".

"Beliau mendakwa bajet tidak ditukar, (dakwaan) yang tidak benar. Bajet telah ditukar," kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam sidang akhbar ahli-ahli Parlimen PR yang diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di lobi Parlimen .

"Beliau membentangkan bajet yang disemak semula (revised budget) sambil mendakwa ia bukan bajet yang disemak semula. Beliau tidak jujur".

Dalam sidang akhbar ketika Najib meneruskan ucapannya tentang pakej ransangan ekonomi itu, Anwar menjelaskan bahawa ahli-ahli Parlimen pembangkang memprotes "sikap angkuh" Najib yang enggan memberi laluan untuk penjelasan ketika beliau berucap.

Menurut Ketua Umum PKR itu, ketika Yang Di-Pertua Dewan bertanya Najib adakah beliau akan memberi laluan kepada Ketua Pembangkang untuk membalas hujahnya, Timbalan Perdana Menteri menjawab, "tidak"

Najib juga berkata: "Itu hak saya (untuk tidak memberi laluan)."

"Kalau itulah caranya, apa guna kami berada di dalam Dewan," Anwar mempersoalkan.

Anwar juga mengkritik Najib yang dianggap tidak menghormati sama sekali prosedur Dewan. Pihak pembangkang, katanya, menunggu kemunculan Najib dengan bajet yang disemak semula sejak dua minggu lalu.

Ahli-ahli Parlimen pembangkang meradang, katanya, kerana mereka hanya diberikan beberapa minit sahaja untuk membincangkan bajet baru yang dipinda itu sebelum diluluskan.

Anwar juga hairan dengan tindakan Menteri Kewangan enggan memberi laluan untuk memohon penjelasan.

"Apa yang dipersoalkan ialah Najib mengemukakan angka baru dalam penggulungannya.

"Tiada makna kalau kami hanya datang untuk mendengar, kami boleh baca sendiri.

"Apa yang kami mahukan ialah penjelasan kepada angka-angka baru ini," katanya.

Ketika menyampaikan pembentangannya, bakal Presiden Umno itu tidak membenarkan percubaan beberapa Ahli Parlimen pembangkang mendapatkan penjelasan darinya dan hanya bersedia menjawab soalan apabila beliau menghabiskan ucapannya.

Pihak pembangkang juga tidak berpuas hati apabila begitu banyak statistik yang dikemukakan oleh Najib begitu berbeza dengan statistik yang dibentangkan September lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu Menteri Kewangan.

Percubaan Anwar untuk menafikan dakwaan Najib kononnya belanjawan yang dicadangkan oleh beliau mewakili PR bersifat menguncup (contractionary) juga tidak dibenarkan.

Ketika ahli-ahli pembangkang keluar beramai-ramai itu, Najib berkata, "Bagus, bagus" dan selepas itu berkata "aman sikit Dewan ni pembangkang tak ada".

Sebelum itu, dalam kekecohan berikitan keengganan Najib memberi laluan untuk penjelasan itu, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia memerintahkan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua keluar dewan. Tian Chua tidak dibenarkan berada dalam Dewan Rakyat sehingga esok._

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |