BN perlu kembali kepada rakyat tunjuk keyakinan
[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Sambil menyifatkan krisis politik Perak semakin kelam, bekas Naib Presiden Umno, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menegaskan, segala tindak-tanduk bercanggah dengan Perlembagaan demi kepentingan politik peribadi perlu dihentikan.
Justeru beliau turut menggesa agar kuasa dikembalikan kepada rakyat untuk membuat pilihan baru mereka bagi menyelesaikan krisis berusia lebih sebulan itu.
Bekas Menteri Kewangan itu menambah, "mereka yang secara acuh tak acuh mengingkari Perlembagaan bagi manfaat politik secara langsung memusnahkan lagi asas-asas negara ini bagi kepentingan politik mereka."
"Ini perlu dihentikan," kata beliau, yang telah beberapa kali mempersoalkan isu itu sebelum ini, dalam tulisan terbaru blognya.
"Situasi politik di Perak menjadi semakin kelam dari sehari ke sehari, dengan ego dan reputasi sudah berakar berumbi dalam kedudukan-kedudukan yang tidak harapan," kata beliau.
"Terdapat cara yang mudah dan terhormat untuk meredakan situasi (ini) buat selama-lamanya: kembali kepada satu-satunya sumber kerajaan yang sahih, kehendak orang ramai yang diluahkan menerusi pilihan raya yang bersih dan adil.
"Barisan (Nasional) kemungkinan ingin memperlihatkan sedikit kemurahan hati dan keyakinan dengan memanggil pilihan raya (baru)," katanya.
Pandangan yang sama diutarakan oleh Majlis Peguam lewat petang semalam.
Notis perintah larang diadakan DUN tidak sah diserah Speaker
Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan mengesyorkan agar diadakan pilihan raya baru untuk keluar daripada krisis politik Perak termasuk beberapa insiden membabitkan soal perundangan dan kehakiman semalam.
"Tidak ragu-ragu bahawa akan ada lagi kes (baru) yang difailkan di mahkamah. Dan, publik terpaksa melalui kesan ketidaktentuan (politik semasa).
"Situasi ini sukar dipertahankan dan memerlukan satu perkara yang akan menyelesaikan secara konklusif - pilihan raya baru.
"Kini ada pintu peluang bagi keadaan ini berlaku. Biarkan orang ramai memutuskannya," kata Ambiga.
Krisis politik tercetus apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasarudin Halim menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), komponen Pakatan Rakyat tetapi kembali ke Barisan Nasional (BN) beberapa hari kemudian.
Ia disusuli keputusan tiga ADUN Pakatan Rakyat yang mengumumkan bertindak sebagai wakil rakyat Bebas.
Perkembangan itu membawa kepada kedudukan ADUN di Dewan Undangan Negeri Perak yang seimbang - 28 bagi Pakatan Rakyat dan BN manakala wakil Bebas - Behrang, Changkat Jering dan Jelapang - menyatakan sokongan kepada BN.
Sultan Perak, Sultan Azlan Shah melantik ADUN BN, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang masih mempertahankan beliaulah Menteri Besar yang sah.
Ia membawa kepada beberapa kes difailkan di mahkamah dan tindakan Speaker memanggil sidang tergempar DUN, yang diadakan di bawah pokok selepas ADUN Pakatan Rakyat dilarang memasuki bangunan SUK semalam.
Dalam tulisannya, Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang memberitahu, langkah BN mengambil alih Perak telah mencetuskan rantaian reaksi mengenai soal ketidaksahihan yang menyebabkan kemungkinan Perak berakhir dengan ketiadan sahih.
"Salah satu negeri yang paling maju menjadi sebuah negara yang gagal," katanya.
"Satu pembohongan membawa kepada banyak pembohongan. Setiap tindakan buruk menuju ke arah kemusnahan khususnya pembohongan atau pelanggaran yang berkaitan dengan sesuatu yang paling asas.
"Ini adalah prinsip yang kita ajar kepada kanak-kanak. Ia adalah mudah tetapi kebenaran univeral yang dipertunjukkan di Perak sekarang," katanya.
URUTAN DETIK KRISIS POLITIK DI PERAK
GALERI GAMBAR KRISIS POLITIK DI PERAK
Anwar pertahan sidang DUN Perak bahawa pokok
Sidang tergempar DUN Perak bawah pokok tidak bertamadun - pemimpin Umno
0 comments:
Post a Comment