+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, November 3, 2008

Razak Baginda boleh ditahan, direman - Karpal

Harakahdaily

Mon | Nov 03, 08 | 4:37:21 pm MYT

PUTRAJAYA, 3 Nov (Hrkh) - Penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda menghadapi kemungkinan ditahan semula dan direman sementara menunggu keputusan sekiranya pendakwaan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap pembebasannya, kata peguam Karpal Singh hari ini.

Bernama melaporkan, Karpal Singh, yang merupakan peguam pemerhati bagi keluarga wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, berkata pendakwaan boleh membuat permohonan itu mengikut Seksyen 56A Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk menghalang Abdul Razak daripada melarikan diri.

Katanya, peruntukan itu membenarkan pendakwaan memohon kepada Mahkamah Rayuan untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Abdul Razak dan meremannya sementara menunggu keputusan rayuan itu.

Seksyen itu juga membenarkan pendakwaan mengemukakan permohonan untuk membebaskan Abdul Razak dengan ikat jamin sementara menunggu keputusan rayuan itu, katanya.

Abdul Razak, 48, dibebaskan tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan bersubahat dalam pembunuhan Altantuya oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd Zaki Md Yasin pada Jumaat lepas.

Abdul Razak, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, dituduh bersubahat dengan dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Insp Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, dalam pembunuhan Altantuya di Wilayah Persekutuan antara 9.54 pagi, 18 Okt, 2006, dan 9.45 malam keesokannya.

Azilah, dan Sirul Azhar diperintah membela diri terhadap pertuduhan membunuh ibu dua anak lelaki yang berumur 28 tahun itu di Mukim Bukit Raja, Selangor, antara 10 malam, 19 Okt 2006, dan 1 pagi keesokannya.

Mereka menghadapi hukuman mati jika sabit kesalahan.

Semasa memutuskan pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap Abdul Razak, mahkamah menerima afidavit Abdul Razak yang mengandungi kenyataan pembuktian tidak bersalah yang menurut mahkamah telah menyangkal dan membatalkan tuduhan bersubahat yang dihadapinya.

Sementara itu, bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev, telah menghantar surat kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail menggesa beliau mengemukakan rayuan terhadap pembebasan Abdul Razak.

Karpal Singh berkata beliau menyerahkan surat itu bagi pihak Dr Shaariibuu, kepada Abdul Gani tengah hari ini.

Katanya beliau turut menghantar surat itu melalui faksimili ke Pejabat Peguam Negara pada Jumaat lepas. Mengikut undang-undang, pendakwaan diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan. Tempoh itu tamat 17 Nov.

Dalam surat itu, Karpal Singh berkata Shaariibuu dan Setiausaha Kedua Kedutaan Mongolia di Thailand, Siizkhuu Sainbileg, bertemu dengannya pada tengah hari keputusan itu disampaikan, memintanya menulis surat kepada Abdul Gani memintanya memfailkan rayuan.

"Kami berpendapat wujud kes prima facie terhadap Abdul Razak Baginda dan beliau patut diperintah membela diri. Oleh kerana kes perbicaraan ini telah menarik perhatian antarabangsa dan dalam negara, kami amat berbesar hati jika notis rayuan difailkan secepat mungkin," katanya dalam surat itu. - mks._

2 comments:

Unknown said...

Saya rasa adalah lebih baik jika Razak Baginda ditahan reman semula sehingga keputusan perbicaraan diumumkan. Ini dilihat lebih adil dan profesional...

Unknown said...

kesian pada razak baginda.baru saja nak jadi "free man" dah kena attack semula dengan karpal singh.haha.

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |