+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, November 3, 2008

Bantu promosi bahasa Melayu

Utusan Online




KUALA LUMPUR 2 Nov. – Kementerian Luar menyatakan komitmen untuk memainkan peranan positif dalam mana-mana persidangan antarabangsa bahasa Melayu bagi memastikan ia mampu menjadi bahasa dunia yang turut diiktiraf di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (gambar) berkata, sebagai permulaan bahagian Penerangan dan Diplomasi Awam kementeriannya akan bekerjasama dalam menjayakan Persidangan Bahasa Melayu Antarabangsa anjuran Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia (IPBMM) pertengahan bulan ini.

‘‘Kementerian Luar akan memberikan bantuan dari sudut lojistik untuk menggalakkan percambahan perhubungan antarabangsa serantau. Bahasa Melayu dituturkan oleh lebih 300 juta penduduk di kepulauan Nusantara namun ia tidak menjadi bahasa dunia.

‘‘Oleh itu, nasib bahasa Melayu perlu dibela bersama oleh semua pihak,’’ katanya ketika berucap merasmikan Alumni IPBMM di institut berkenaan di sini hari ini.

Rais yang juga bekas alumni dan kini penaung alumni tersebut berkata, perjuangan bahasa Melayu jika tidak diberi keutamaan akan menyebabkan masalah yang berlaku di Pulau Pinang berleluasa.

‘‘Penggunaan pelbagai bahasa di Pulau Pinang adalah kerana kelemahan kita dalam penegasan sesuatu, maka pihak berkenaan menganggap kita lemah dan menggunakan cara-cara untuk memecahkan penyatuan menerusi bahasa kebangsaan.

‘‘Memang tidak salah dari sudut beberapa undang-undang tetapi ia memperkecilkan Akta Bahasa Kebangsaan yang termaktub di Parlimen,’’ jelas beliau.

Tambah Rais, beliau tidak putus asa untuk melihat satu masa nanti semua pihak menggunakan bahasa kebangsaan dalam semua perutusan, papan tanda dan urusan-urusan rasmi.

‘‘Tetapi ini memerlukan satu kebangkitan. UMNO harus memperjuangkan fasa tiga ceraian lima dalam perlembagaannya iaitu bahasa dan budaya adalah satu perjuangan.

‘‘Jika tidak kita akan terus dalam keadaan terumbang-ambing seperti ini,’’ katanya.

Jelas Rais, kerajaan negeri Pulau Pinang mengutamakan cita rasa sosialisme berbanding semangat memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mengikut Akta Bahasa Kebangsaan negara.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |