+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, March 8, 2009

Himpunan bantah dasar bahasa Inggeris tukar ganas, 5 ditahan

Mstar Online

Samad Said, Hassan serah memorandum, perarakan surai selepas sejam

TINDAKAN POLIS... Pihak berkuasa keselamatan melepaskan tembakan gas pemedih mata untuk menyuraikan kumpulan yang menyertai perarakan menuju Istana Negara petang tadi.


SURAI... Anggota Pasukan Simpanan Persekutuan melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penyokong Perhimpunan 100,000 Rakyat hari ini.


BANTAH... Penyokong-penyokong Perhimpunan 100,000 Rakyat yang diadakan di ibu negara bagi membantah dasar bahasa Inggeris untuk mengajar subjek Sains dan Matematik di ibu negara hari ini.


BANTAH... SEBAHAGIAN daripada mereka yang menyertai Perhimpunan 100,000 Rakyat hari ini.

[DIKEMAS KINI, 8 MALAM] PETALING JAYA: Perhimpunan 100,000 Rakyat petang ini - dianjurkan bagi membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), bertukar ganas dengan lebih 5,000 penyokongnya merempuh sekatan polis untuk menuju ke Istana Negara.

Bagaimanapun perarakan itu berjaya disuraikan sebelum mereka tiba di kawasan Istana Negara.

Menurut kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM), lima orang ditangkap iaitu empat orang di Istana Negara dan seorang di Masjid Negara di bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967 dan Seksyen 341/353 Kanun Keseksaan.

"Polis Kuala Lumpur akan meneruskan siasatan ini dan akan memanggil beberapa individu yang terlibat dalam perhimpunan dan perarakan tersebut," kata polis dalam kenyataan itu.

Insiden itu juga menyebabkan kesesakan teruk di ibu negara pada sebelah petang.

Pihak polis telah memulakan sekatan di 16 lokasi di sekitar ibu negara sejak awal pagi tadi.

Beratus-ratus penyokong merempuh sekatan polis bermula di Masjid Negara, yang jauhnya kira-kira satu kilometer pada pukul 2 petang tadi untuk menuju ke Istana Negara.

Perhimpunan itu dianjurkan oleh Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP).

Kira-kira 20 minit kemudian mereka melepasi Jalan Kg. Atap menuju ke Jalan Istana.

Bagaimanapun mereka ditahan di laluan pertemuan Jalan Kg. Atap-Jalan Syed Putra daripada memasuki kawasan Jalan Istana.

Sebaik sahaja mereka tiba di kawasan pertemuan Jalan Syed Putra-Jalan Kg. Atap, anggota pasukan keselamatan melepaskan tembakan gas pemedih mata.

Mereka bertindak merempuh pintu besar Masjid Negara, Kuala Lumpur selepas tidak berpuas hati dengan keputusan polis yang sebelum ini hanya membenarkan tujuh wakil GMP ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum mereka kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pun begitu, kira-kira pukul 2.30 petang tadi, hanya Pengerusi Jawatankuasa Induk GMP, Datuk Dr. Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said yang berada di pintu masuk utama ke kawasan Istana Negara.

Hassan dan A. Samad memasuki kawasan Istana Negara pukul 2.35 petang dan keluar 15 minit kemudian.

Memorandum pihaknya diserahkan kepada Penolong Datuk Paduka Maharajalela Azuan Effendy Zairakithanini.

Sepatutnya tujuh orang dimaklumkan telah mendapat kebenaran untuk memasuki Istana Negara bagi menyerahkan memorandum.

Terdahulu mereka berhimpun di kawasan Masjid Negara walaupun berhadapan dengan hujan renyai-renyai.

Anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang ditempatkan di kawasan Masjid Negara juga tidak mampu untuk menahan kumpulan berkenaan daripada 'melepasi' garisan kawalan keselamatan.

Helikopter PDRM juga berlegar memantau pergerakan penyokong perhimpunan itu.

KOMEN KETUA POLIS NEGARA

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pada awalnya kumpulan tersebut yang diketuai Datuk Hassan Ahamd, A. Samad dan Dr. Shaharil MD Zain telah bersetuju bahawa mereka tidak akan mengadakan sebarang perhimpunan ataupun demonstrasi.

"Mereka telah bersetuju akan menghantar wakil ke Istana Negara selepas sembahyang Zohor tetapi apabila parti-parti politik seperti PAS dan PKR terlibat bersama, ia berubah menjadi perarakan haram.

"Kami tiada pilihan dan terpaksa menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan kumpulan yang mengingkari amaran polis," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |