+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, April 9, 2009

Bukit Gantang: Undi Melayu, Cina lebihi sasaran punca PAS menang

Mstar Online

TAIPING: PAS, yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang, memperoleh kira-kira 43 peratus pengundi Melayu - lebih daripada disasarkan parti itu.

Malah PAS juga memperoleh sokongan besar daripada pengundi-pengundi Cina kali ini untuk kekal di Bukit Gantang yang merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) sejak 1959.

"Sokongan kaum Cina dianggarkan naik daripada 65 peratus ketika Mac 2008 kepada 75 peratus kali ini," kata Pengarah Operasi Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang, Asmuni Awi hari ini.

"Dari segi sokongan pengundi Melayu, kami sebenarnya hanya menjangkakan kira-kira 40 peratus tetapi kami peroleh hampir 43 peratus, ia melebihi sasaran kami," kata beliau.

Nizar memperoleh 21,860 undi manakala calon BN, Ismail Saffian menerima 19,071 undi dan calon Bebas, Kamarul Ramizu Idris 62 undi.

Peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 41,626 (75 peratus) naik tiga peratus dengan undi rosak sebanyak 456.

Nizar, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, menang dengan majoriti 2,789 undi berbanding diperoleh Allahyarham Roslan Shaharum, dari PAS, sebanyak 1,566 undi. Mengenai sokongan pengundi India pula kata beliau, ia tidak jauh berubah dengan kekal dalam lingkungan 60 peratus berbanding 63 peratus ketika pilihan raya umum 2008.

Bahagian Parlimen Bukit Gantang terdiri daripada 55,562 pemilih dengan kaum Melayu mewakili kira-kira 63.5 peratus, diikuti masyarakat Cina 27.1 peratus, India 9.1 peratus dan selebihnya kaum lain.

Kata beliau, walaupun ada usaha untuk menghalang arah aliran sokongan pengundi Cina dan Melayu kepada PAS tetapi pihaknya berjaya memperoleh sokongan besar.

Dari segi prestasi mengikut bahagian Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau berkata, pihaknya menerima sokongan memuaskan di DUN Kuala Sepetang.

Kali ini PAS memengani tambahan satu peti undi berbanding lima tahun lalu di DUN Kuala Sepetang.

Di bahagian itu, PAS memperoleh 8,466 undi berbanding 7,490 manakala BN juga mengalami kenaikan iaitu daripada 6,193 kepada 6,259.

Di DUN Changkat Jering, kali ini PAS kehilangan satu peti undi kepada BN iaitu Changkat Jering.

Pada pilihan raya umum lalu PAS menguasai lapan peti undi di DUN Changkat Jering yang wakilnya telah keluar PKR dan Pakatan Rakyat lalu bertindak sebagai wakil rakyat Bebas.

Kedua-dua BN dan PAS memperoleh sokongan undi lebih baik kali ini.

PAS menerima 9,896 undi berbanding 9,163 Mac tahun lalu manakala BN pula 8,206 undi berbanding 7,939 undi.

Berhubung kedudukan di DUN Trong, yang dikuasai BN tahun lalu, PAS juga kehilangan satu peti undi. Tahun lalu kedua-dua BN dan Pakatan Rakyat menguasai masing-masing tujuh peti undi.

Dari segi undi sokongan, kedua-dua BN dan PAS menerima peningkatan undi.

Misalnya PAS merekodkan 3,367 undi berbanding 3,301 tahun lalu manakala BN memperoleh 4,124 undi berbanding 4,021 undi Mac 2008.

Dari segi undi diperoleh, PAS menguasai DUN Kuala Sepetang dan Changkat Jering.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |