msomelayu
KEMUNGKINAN sebelum menjelang 3:00 petang esok Najib Razak akan merombak dan mengemaskinikan beberapa kali lagi Kabinet sulungnya. Semalam Kabinetnya dikatakan telah pun disusun dan bakal diumumkan hari ini. Namun disebabkan ada tekanan dan berbagai -bagai pandangan Najib menangguhkan untuk mengumumnya.
Masalah Najib itu terselamat hari ini apabila beliau masih berbincang dengan dua lagi ketua parti komponen iaitu parti PBB dari Sarawak dan ketua parti MIC. Jadi penangguhan itu boleh dijadikan alasan menutup keserabutan Najib.
Ada yang mengatakan Mahathir Mohamad, Sanusi Junid dan juga Daim Zainuddin. Peranan ketiga ahli politik bertaraf "lesung hindik" ini tidak dapat disahkan. Samada Mahathir berperanan atau tidak ia terjawab esok. Dalam pada itu semasa perhimpunan agung Umno lalu nama Sanusi didondang-sayangkan sebagai penasihat keselamatan kepada kerajaan Najib.
Sekiranya Mukhriz menyertai Kabinet Najib samada sebagai, menteri atau timblan menteri atau setiasuaha parlimen maka jelas Mahathir ada saham dalam penyusunan Kabinet sulung perdana menteri ke 6 itu. Manakala kalau Mukhriz menyertai Kabinet maka Khairy Jamaluddin sudah tentu akan terpelanting. Ini bermakna kunjungan Mahathir untuk bersarapan dengan Najib selepas sehari Najib mengangkat sumpah itu ia bukan saja untuk makan 'soto Muar' tetapi ada perbicangan santai yang lain.
Siang tadi saya sempat menghubungi beberapa orang yang dikatakan akan dilantik dan mereka yang hampir dengan beberapa orang yang dikatakan akan dilantik atau dibawa masuk ke dalam Kabinet Najib. Mereka ini rata-rata mengunci mulut tidak mahu menceritakan apa yang berlaku hatta ke atas diri mereka sendiri.
"Tidak boleh sebut kerana belum angkat sumpah, segala-galanya boleh berlaku. Nak lantik menteri ini samalah nak pilih calon pilihan raya. Baik nama kita disenaraikan tiba-tiba boleh hilang begitu saja," kata seorang ahli Parlimen nun jauh dari Sabah.
Namanya juga disebut akan dilantik menjadi menteri. Daripada percakapan dan cara dia ketawa seakan dia sudah pasti namanya berada dalam senarai Kabinet Najib. Khabarnya dua muka baru di Sabah akan menyertai Kabinet Najib.
Kejutan juga bakal berlaku esok bila mana negeri Melaka yang ketiadaan wakil dalam jemaah menteri mungkin terisi. Timbalan Menteri Pengajian Tinggi besar kemungkinan akan dinaikan pangkat menjadi menteri penuh. Kalau jadi ia merupakan satu sejarah buat Melaka.
Manakala sehingga saat ini nama-nama menteri yang dikatakan kekal terbuang, Azalina Othman Said, Muhammad Mohd Taib, Syed Hamid Albar masih kekal 'dibuang' oleh Najib. Nama-nama turut yang akan terpelanting lain, Rais Yatim, Nur Mohammad Yaacob. Rais juga berada dalam kemungkinan sama ada dikekalkan sebagai menteri ataupun dilantik sebagai Setiausaha Agung Umno. Mereka itu dianggap sebagai orang Abdullah Badawi.
Menteri Wilayah Persekutuan, Zulhasnan Rafique yang juga dianggap orang Abdullah bagaimana pun masih kekal. Katanya pengekalan Zulhasnan itu memandangkan performancenya di Wialayah memberangsangkan. Selama memegang kementerian itu Zulhasnan berjaya membawa beberapa perubahan termasuk idea untuk membangun Bandaraya moden yang lengkap dengan kemudahan IT. Kejayaan lain ialah mengadakan lagu dan bendera khas Wilayah di samping memperkenalkan darjah kebesaran dan pingat.
Kedudukan Khairy Jamaluddin seperti sudah pasti tidak tersenarai dalam Kabinet Najib. Khabarnya Kahiry telah pun dimaklumkan! Jika ini berlaku ia sesuatu yang malang bagi Najib kerana jelas ketiadaan Khairy nanti menunjukkan beliau ditangani oleh Dr Mahathir Mohamad. Walaupun sejuta satu Najib menafikannya orang tidak akan mempercayainya seperti mana sukar orang untuk tidak mempercayai Najib tidak terlibat dengan kes Altantuya, bahawa ditekan oleh Mahathir.
Seperti dikatakan sebelum ini jika Najib tegal untuk melenyapkan Khairy dan menimbulkan Mukhriz ini bermakna Najib bakal berdepan dengan situasi politik yang tidak tenang untuk masa akan datang. Tindakan itu juga merombak tradisi sebelum ini di mana ketua pemuda, Hishamuddin dibawa ke dalam Kabinet. Keberanian menafikan hak ketua pemuda itu akan dilihat sebagai tindakan double standard Najib.
Saya tidak mengira Khairy akan mendiamkan diri begitu saja. Dan apa yang Najib kena ingat Khairy bukan bersendirian, kalau Mukhriz ada penyokong setianya, apa kurangnya dengan Khairy. Kuasa Khairy dan Mukhriz sama besar dan sama banyak iaitu satu suara dalam Parlimen. Apa kata kalau tiba-tiba Khairy jadi berjiwa kecil merajuk dan menyokong Pakatan Rakyat, takkah haru?
Masalah MCA juga dikatakan masih belum selesai dan ini juga memungkinkan Najib akan mengemaskan senarai Kabinetnya sehingga Subuh kelak.
Setakat ini yang dapat dipastikan dua muka baru dari Kelantan juga akan dibawa masuk dalam Kabinet Najib. Kedua nama itu sudah pun tercatat terang dalam senarai Najib sejak semalam tadi dan tidak berubah hingga kini. Siapa, cubalah teka? [d' kota kl 10:30 pm 08/04/09]
0 comments:
Post a Comment