penarikbeca
Kenapa majoriti Cina Bukit Gantang tak nak Barisan Nasional (BN)? Nak bunuh kuasa Melayu? Berikut saya siarkan sebahagian artikel saya yang saya hantar kepada akhbar Siasah. Sebahagian sudah disiarkan dalam blog ini. Saya pun tak tau masuk tak masuk dalam akhbar itu. Kalau tak masuk, boleh baca di sini:
Ketika berucap pada Majlis Menyambut Kepulangan Lim Guan Eng di Bukit Mertajam 29 September 1999 di Dewan Moral Uplifting Society yang dirakam Pemuda Umno, Naib Presiden Keadilan ketika itu, Marina Yusuf dilaporkan berkata:
"Saya nak cakap pada orang Melayu, Cina, India, punca 13 Mei dimulakan oleh Umno. Masa itu dirancang oleh pemimpin-pemimpin Umno dan Selangor diketuai oleh Datuk Harun (Idris).
"Jadi orang Cina jangan ingat dia sokong Barisan (Nasional) itu bagus kerana dulu orang Umno dalam Barisan yang membunuh orang Cina."
Dalam suatu wawancara pada April 1979 menjelang ulang tahun ke-10 peristiwa 13 Mei (Nadi Insan, 1 Mei 1979), jelas Tunku Abdul Rahman menganggap bahawa Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein telah mengkhianatinya (dikutip daripada prakata buku 13 Mei: Sebelum dan Selepas, 1969 terbitan Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd - gambar di sebelah adalah buku asal terbitan Utusan).
Dalam bukunya May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969, Kuala Lumpur, Dr Kua Kia Soong mendakwa, rusuhan tersebut adalah satu pakatan yang dirancangkan oleh kelas pemerintah kapitalis menentang kelas aristokrat yang dipimpini Tunku. Beliau seterusnya mendakwa, gerakan yang mahu menjatuhkan kepimpinan Tunku diketuai oleh timbalannya, Tun Abdul Razak.
Apa yang menjadi persoalan ialah kenapakah Marina dan Dr Kua tidak dibicarakan habis-habisan serta dijatuhkan apa jua hukuman berikutan dakwaan mereka itu? Apakah yang dibimbangi oleh pihak yang mahu mendakwa?
Saya bangkitkan perkara ini berikutan apa yang saya alami di Bukit Gantang semalam. Apabila disebut nama Datuk Seri Najib Tun Razak, penduduk di kawasan itu bukan sahaja dengan spontan menyebut "Altantuya" (ada menyanyikan lagu Najib Razak, Najib Razak, Altantuya...), malah ada yang mengaitkan beliau dengan ayahandanya dan peristiwa 13 Mei.
Saya hanya melaporkan sahaja dan tak berani kata apa-apa. Takut! (Sila klik imej Utusan Malaysia di atas untuk besarkan)
Memang, kita takut untuk membicarakan peristiwa hitam itu. Takut itu berlanjutan sejak 1969 lagi ketika saya dan kawan-kawan yang melanggar perintah berkurung lari lintang pukang apabila orang menjerit "Iban! Iban!" Kami takut sangat dengan askar Iban dari tentera Renjer yang berpengkalan di Taiping ketika itu.
Abang saudara saya di Batu 5 1/2, Changkat Jering pernah menceritakan kononnya askar-askar Iban pernah berkata, "Siapa langgar curfew (perintah berkurung), Tun Razak suruh tembak". Saya tak tahu sama ada benar atau tidak Tun Abdul Razak pernah mengeluarkan arahan itu. Tapi, kalau askar Iban mari, kami mesti lari.
Ketika itu, ketegangan akibat rasukan perkauman menjalar ke seluruh negara. Namun semua itu hampir tidak berlaku di Kelantan. Kalau ada pun, cetusan itu cepat-cepat dipadamkan oleh kerajaan PAS di Kelantan ketika itu.
Tidak dinafikan bahang rusuhan kaum itu mendorong kira-kira 50 hingga 60 orang pemuda berkumpul di atas Jambatan Yahya Petra. Menurut bekas Setiausaha Agung PAS yang juga pembantu kanan Menteri Besar Kelantan ketika itu, Ustaz Salahuddin Abdullah, dengan penuh semangat pemuda-pemuda itu dibakar dengan kata-kata "jangan biar orang-orang Melayu di Selangor dianiayai dan tak ada pembelaan kita".
Salahuddin mendakwa, pemuda-pemuda itu, termasuk dari Umno dan PAS, diapi-apikan beberapa pemimpin Umno Kelantan.
Mendengar kekecohan itu, Allahyarham Tan Sri Asri Muda yang ketika itu menjadi Menteri Besar Kelantan meminta Salahuddin dan beberapa yang lain pergi memujuk para pemuda itu. Setelah dipujuk, mereka dibawa ke kediaman Menteri Besar yang terkenal dengan panggilan JKR10.
Ketika di bawa ke JKR10, kira-kira 100 orang berhimpun termasuk pemuda-pemuda yang dipujuk itu. "Mereka dijamu dengan mee dan nasi lemak," kata Salahuddin.
Asri menjelaskan kepada mereka bahawa PAS yang ketika itu memerintah Kelantan berjuang berdasarkan landasan Islam. PAS, katanya, sentiasa tunduk kepada ajaran Islam. Beliau menasihatkan mereka supaya berwaspada dan jangan terjebak dengan perkara-perkara yang dilarang oleh Islam termasuk hasutan rusuhan perkauman.
Ketika pertemuan itu berlangsung, seorang kontraktor yang banyak melaksanakan projek-projek membuat jalan di Kelantan tanpa sebarang bayaran awal dari kerajaan negeri ketika itu (dia buat dahulu, kira hutanglah tu), Chua Say Paw, datang le JKR10. Sebelum datang ke kediaman Menteri Besar itu, beliau tidak tahu-menahu tentang kejadian yang berlaku dan datang kerana urusan lain.
Asri terus memanggil beliau ke hadapan dan memberitahu jika berlaku kejadian menganiaya kaum Cina di mana-mana tempat di Kelantan, beliau akan pegang penghulu tempat berkenaan. Menteri Besar itu tak mahu dengar apa-apa berlaku.
Sambil memandang Chua yang dianggap tauke besar di Kelantan ketika itu, Asri juga memberi jaminan tidak ada apa-apa yang akan berlaku ke atas kaum Cina di Kelantan di mana PAS memerintah.
Selepas itu, kehidupan seharian di Kelantan berjalan seperti biasa.
Benarlah kata Menteri Besar Kelantan kini, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sepanjang rusuhan perkauman pada tahun 1969 itu, "bulu roma orang Cina pun tak gugur di Kelantan".
Thursday, April 9, 2009
Kenapa Cina tak nak BN?
Posted by
Sang Pemantau
at
9:56 AM
Labels: bloggers united, tolak BN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comments:
Assalamualaikum, artikel saudara benar2 membuka minda dan pandangan tentang betapa besarnya faktor sejarah tanah air memainkan peranan dalan senario politik Malaysia sekarang.
tkasih
Post a Comment