+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, April 6, 2008

DEB gagal dalam perlaksanaannya, PRU12 buktinya

Klpos

Cetak E-mail
Oleh BHS
Sabtu, 05 April 2008



Institut Pengajian Asia Tenggara (Iseas) telah mengadakan seminar bertajuk 'Dasar Ekonomi Baru (DEB) Malaysia: Ke Mana Arahnya Dari Sini?' Selasa lalu. Empat pemerhati politik dari sebarang Tambak telah diundang untuk mengolah isu tersebut dan isu-isu yang berkaitan dengannya, termasuk prospek masa depan hubungan antara rakyat dengan kerajaan Malaysia. DARWIS SAID melaporkan.

DASAR Ekonomi Baru (DEB) Malaysia dengan dua matlamat kembarnya untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula struktur sosial negara itu gagal dalam pelaksanaannya.

Ini sedang DEB mula melangkah masuk ke era 1990-an, kata satu panel pengamat politik dari Malaysia.

'Saya fikir jika anda melihat ke arah asal-usul dan falsafah serta teori di sebalik DEB, ia pertama sekali adalah untuk membasmi kemiskinan pada semua lapisan (masyarakat).

'Dan, keduanya, adalah untuk memisahkan sesuatu kaum daripada pekerjaan yang biasa dikaitkan dengan mereka,' kata Encik Tawfik Tun Dr Ismail, mantan Ahli Parlimen Sungei Benut, Johor, dan anak kepada mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman.

'Jadi, jika anda seorang Melayu, anda mungkin seorang drebar, jika anda orang India, anda mungkin pekerja kebun, jika anda seorang Cina pula, anda mungkin peniaga kecil atau pembantu rumah kepada pemilik ladang di Malaysia.

'Dan, itu antara perkara yang mahu dibasmi DEB, selain mengambil balik penguasaan asing dalam ekonomi Malaysia... 13 tahun selepas Malaysia merdeka,' jelas pakar runding Institut Pengajian Asia Tenggara (Iseas) itu lagi.

'(Namun) bagaimana ia dilaksanakan sejak itu menjadi bahan perdebatan hingga sekarang,' tegas beliau.

Menurutnya, walaupun DEB telah dihentikan secara rasmi pada 1990, ia masih menjadi 'frasa politik' dan sering digunakan Umno sebagai 'cara mengekalkan kuasa Umno', selain 'helah untuk mengagihkan apa yang perlu diagihkan dalam dunia komersial di kalangan mereka yang berbaikbaik dengan pemegang kuasa'.

'Walaupun ia sepatutnya bertujuan membasmi kemiskinan dan melenyapkan perbezaan kelas dan perkauman, (tetapi) perlaksanaannya kelihatan seperti menambahkannya (perbezaan itu) lagi,' tegas Encik Tawfik.

Itu sebab Barisan Nasional (BN), khususnya Umno, kehilangan banyak kerusi dalam pilihan raya 8 Mac lalu - bukan sahaja di kawasan bandar, malah juga di luar bandar, tambahnya.

'Ia kelihatan seperti menunjukkan adanya rasa tidak puas bahawa kerajaan tidak melakukan yang mencukupi, atau bahawa ia belum melakukan sesuatu terhadap golongan orang tertentu,' katanya.

Encik Tawfik, adalah salah satu daripada empat anggota panel pakar yang diundang Iseas dalam seminarnya bertajuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) Malaysia: Ke Mana Arahnya Dari Sini? di dewan seminar institut itu Selasa lalu.

Anggota panel lain terdiri daripada Datuk Din Marican, Pengarah Program Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Penasihat Datuk Seri Anwar Ibrahim; Encik Khoo Kay Peng, pengamat politik bebas dan Pengarah Eksekutif Institut Pembangunan dan Kajian Sosioekonomi (Sedar) Malaysia; dan Encik Wong Chin Huat, seorang pensyarah kewartawanan dari Sekolah Sastera dan Sains, Universiti Monash (Sunway) di Malaysia.

Bagi Datuk Din, era gemilang DEB, yang mendapat sambutan awam, sudah berlalu selepas 1990.

'Selepas 1990, keadaan sudah berubah... Jadi, kami fikir, sudah tiba masanya (dengan penuh kejujuran) bahawa dasar itu telah menggagalkan kita, ia melemahkan negara, dan kita masih lagi keterbelakang,' kata beliau.

Berdasarkan latar belakang itu, menurutnya, PKR telah melakarkan Agenda Ekonomi Malaysia (MEA) bagi menyediakan alternatif baru yang tidak didasarkan atas kriteria perkauman.

'Maka, parti saya menolak DEB sebagaimana ia dilaksanakan sekarang. Dan menawarkan satu agenda alternatif dan mendapat mandat rakyat Malaysia,' kata Datuk Din.

Encik Wong pula menyifatkan DEB sebagai 'ubat yang salah' bagi tujuan yang betul.

'Kami maklum bahawa ketidakseimbangan antara kaum dari segi pekerjaan, kekayaan dan pendidikan adalah terlalu berat untuk ditanggung oleh sebuah negara yang baru,' kata beliau.

Namun, Encik Wong berpendapat bahawa masalah membasmi kemiskinan boleh diatasi melalui 'sebuah negara kebajikan' atau welfare state, manakala isu penyusunan semula masyarakat boleh dicapai melalui penyusunan semula pekerajaan dan mewujudkan pusat pertumbuhan baru di beberapa wilayah - bukan melalui penyusunan semula pemilikan ekuiti.

'Bagaimanakah dengan penyaluran pemilikan ekuiti sebanyak 30 peratus kepada kaum Bumiputera boleh membantu orang-orang Melayu miskin yang menghadapi masalah kebuluran di Baling, Kedah, misalnya?' tanya Encik Wong, sambil menambah DEB seolaholah membuat andaian bahawa kaum Melayu yang kaya akan menyalurkan hartanya kepada golongan miskin di kalangan mereka.

'Bagi memastikan adanya golongan peniaga berjaya dan mewah di kalangan Bumiputera, anda perlu memilih mereka yang paling cekap.

'(Namun) bagi memastikan pendapatan yang diraih orang Melayu kaya akan disalurkan kepada mereka yang miskin, anda pula harus memilih mereka yang bersifat kemasyarakatan, bukan setakat yang paling cekap,' jelasnya.

Jika kedua-dua ciri itu tidak wujud, atau salah satu sahaja yang ditekankan, maka 'anda mengorbankan pertumbuhan ekonomi, dan pada masa yang sama, anda akan mewarisi ketidakseimbangan yang serius dalam kaum anda sendiri', jelas Encik Wong lagi.

'Itulah gambaran yang ada sekarang di Malaysia,' tambahnya.

Encik Khoo pula menganjurkan agar dibasmikan 'penyalahgunaan DEB' dan layanan istimewa yang berdasarkan kaum.

'Kita harus menghentikan penggunaan DEB untuk mendalamkan dan mengukuhkan lagi hegemoni politik.

'Ini amat genting dalam era Tun Dr Mahathir (Mohamad), dan turut digunakan secara wewenang dalam era (kerajaan) baru ini kerana setiap satu daripada mereka mahu meninggalkan warisannya sendiri,' kata beliau.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) Malaysia

Pelancaran dan matlamat
  • Dilancarkan pada 1971 oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Abdul Razak, untuk membasmi kemiskinan di kalangan rakyat Malaysia bagi menggalak perpaduan.
  • Ia juga bertujuan menyusun semula ekonomi bagi membasmi kaitan antara sesuatu kaum dengan fungsi ekonomi yang biasa distereotaipkan kepada mereka.
  • DEB diakhiri pada 1990 dan digantikan pula dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) Malaysia pada 1991, yang berjalan selama sedekad.

    Sekilas sejarah DEB
  • Di bawah jajahan Britain, kaum Melayu diberi hak istimewa berbanding kaum bukan Melayu dari segi kuota biasiswa awam dan tawaran pekerjaan dalam perkhidmatan awam.
  • Apabila Persekutuan Malaya diisytiharkan merdeka pada 1957, perlembagaannya mengandungi Artikel 153 yang memperuntukkan hak istimewa kepada kaum Melayu.
  • Suruhanjaya Reid, yang melakar perlembagaan itu, antara lain menyatakan bahawa hak tersebut akan dikurangkan 'dari masa ke masa dan akhirnya harus ditiadakan'.
  • Setelah Malaya bergabung dengan Singapura, Sabah dan Sarawak pada 1963 untuk membentuk Persekutuan Malaysia, perlembagaan barunya mengekalkan Artikel 153 itu. Istilah Bumiputera kemudian diluaskan kepada semua puak asli Sabah dan Sarawak di Timur Malaysia.
  • Artikel 153 bertujuan mengimbangi pemilikan ekuiti ekonomi antara kaum Melayu dengan Cina, tetapi selepas merdeka, perkongsian kaum Bumiputera hanya membentuk 2.4 peratus daripada ekonomi negara itu pada lewat 1970.
  • Secara rasmi, DEB sepatutnya berakhir pada 1990, tetapi ia kekal digunakan dalam beberapa dasar lain di Malaysia. Ini kerana pihak kerajaan percaya matlamat 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera masih belum tercapai.
  • Pada 2006, DEB diterapkan semula di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.

    Kesan dan Isu

  • Walaupun DEB disokong sesetengah pihak sebagai usaha yang berjaya mengurangkan ketidakseimbangan sosio-ekonomi antara kaum Cina minoriti dengan kaum Melayu majoriti, ada juga yang melihat pelaksanaannya sebagai menurunkan status kaum bukan Melayu ke tahap warga negara kelas dua.
  • Ia juga dilihat sebagai usaha Umno untuk terus memperkukuhkan konsep 'Ketuanan Melayu'.
  • DEB turut digunakan sebagai sebahagian daripada Agenda Melayu dan kemudian sebahagian daripada kontrak sosial dalam perlembagaan kerajaan Malaysia.
  • Ini memberikan hak istimewa kepada kaum Melayu, dan semakin kurang dipersetujui kaum lain di negara itu.
  • Malah, sejak akhir-akhir ini, DEB semakin dikritik hebat sebagai satu sistem kurang cekap yang menggalak penyalahgunaan di kalangan beberapa golongan Bumiputera, baik dalam pemilikan saham syarikat, perumahan dan peluang perniagaan.
  • Ia juga dilihat sebagai daya usaha yang telah menggalak ke arah lebih banyak diskriminasi perkauman oleh para pengkritiknya.
  • 0 comments:

    Carian dalam Tau Takpe

    masukkan je apa-apa yg nak dicari

    Tau takpe

    Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

    - OrangKita (OK) -

    Video mesti tengok!!!

    | Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |