+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, April 6, 2008

Pensyarah UM ingatkan BN jangan sekat blog dan bloggers

Harakahdaily

Tarmizi Mohd Jam

Sun | Apr 06, 08 | 11:10:41 am MYT


WALAUPUN saya antara pelajar yang kurang senang dengan Dr Abu Hassan Hasbullah waktu itu, tetapi saya tidak dapat membungkus rasa kagum penyampaiannya serta keletah bicaranya di mana-mana.

Sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Media, Abu Hassan yang sebaya saya, adalah seorang yang tegas dan "celupar" bila berdepan dengan pelajarnya termasuklah saya.

Itu adalah sikapnya. Dia berani dan berketrampilan. Dia tenaga pengajar kami untuk subjek Retorik, salah satu pendedahan dalam Pengajian Media, di Universiti Malaya hingga kini.

Dua hari lalu, Abu Hassan mengingatkan kerajaan agar tidak mengenakan sekatan ke atas blog tetapi perlu bersikap terbuka terhadap laman tersebut. Saya betul-betul memuji ketelusannya, mengingatkan kerajaan dalam perkara ini.

Ini kerana jarang kakitangan kerajaan di IPTA bersikap profesional dalam isu-isu berkaitan politik pemerintah. Abu Hassan antara mereka yang dilihat berani.

Bukan sahaja lantang mengkritik pada Rancangan RTM "Fenomena Seni" terbitan Norsham Noor tetapi terbukti berani bertindak demikian di luar kepompong itu.

Hujah Abu Hassan, satu gelombang besar politik mungkin akan berlaku sekiranya sekatan dikenakan ke atas laman-laman blog yang wujud pada masa ini.

Maknanya, BN akan terus menerima padah jika laman-laman blog ini disekat dengan apa-apa cara dan peraturan.

"Kemunculan blog ini merupakan satu perubahan budaya baru dalam bidang media yang berlaku di seluruh dunia yang tidak dapat dielak.

"Sekiranya ia disekat, maka akan menimbulkan ketidakpuasan dan mungkin akan membawa kesan yang dahsyat kepada para pemimpin," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Abu Hassan mengingatkan perkara ini ketika mengulas mengenai satu kajian yang menunjukkan terdapat hampir 500,000 blog yang aktif dalam negara.

Saya percaya, Abu Hassan sekalipun datang dari Kelantan, dia bukanlah ahli PAS tetapi dia bercakap dengan ilmunya sebagai tenaga pengajar profesional di sebuah IPTA di negara ini.

Kepercayaan Abu Hassan ialah kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya baru-baru ini dianggap sebahagian besarnya disebabkan pendapat beberapa pemimpin yang berhasrat untuk menyekat laman-laman blog itu.

"Kita harus bersikap terbuka dan biarkan masyarakat yang menilaikannya. Tindakan mengenakan kawalan ke atasnya hanya akan membawa kepada keburukan yang tidak diingini.

"Sekiranya pengendali blog terbabit hanya memaparkan sesuatu yang tidak betul atau sesuatu yang berunsur fitnah, maka mereka lambat-laun akan tenggelam kerana tidak dapat meraih kepercayaan daripada orang ramai," ujarnya.

Pada pandangan saya, penegasan Abu hassan agar penulis blog mesti dididik dengan etika yang sangat tinggi dalam menulis atau mengendalikan laman blog masing-masing, patut dihormati.

Memang benar, blog bukan satu saluran yang boleh digunakan sewenang-wenangnya demi sesuatu tujuan.

Tetapi pada masa ini, saya melihat, masih banyak blog yang menyiarkan pendapat atau tulisan caca merba, tiada nama penulis atau menggunakan pelbagai nama pena yang mencurigakan hingga sukar disahkan kebenaran sesuatu maklumat yang diterbitkan.

"Tiada kebaikan kepada mereka sekiranya memaparkan sesuatu dengan tujuan menjatuhkan mana-mana pihak. Mereka juga akan terima padah akhirnya akibat perbuatan mereka itu," jelasnya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |