Kosmo
KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) tetap dengan keputusan untuk memulaukan sambutan Hari Pekerja anjuran Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Perkhidmatan Awam bulan depan jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.
Presiden Cuepacs, Omar Osman berkata, tindakan tersebut terpaksa diambil kerana kecewa dengan kerajaan yang mereka dakwa mengambil masa terlalu lama untuk melaksanakan tuntutan.
"Bila ditanya, jawapannya 'sedang dikaji' dan sampai bila kami mahu menunggu?" katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurutnya, tindakan itu juga bagi memastikan kebajikan penjawat awam sentiasa terbela.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Noraini Ahmad kelmarin yang meminta Cuepacs tidak memulaukan sambutan berkenaan kerana ia untuk mengiktiraf pekerja sendiri.
Sebelum ini, Cuepacs yang mempunyai keanggotaan seramai 1.2 juta ahli menuntut bayaran honorarium sebanyak RM2,000 tanpa mengira pangkat, kenaikan Imbuhan Tetap Perumahan daripada RM180 kepada RM230 dan penambahbaikan Penilaian Tahap Keceka- pan (PTK).
Selain itu, mereka turut menuntut pemberian semula Elaun Kritikal bagi Kumpulan Sokongan Dua yang ditarik balik pada Februari lalu dan melanjutkan umur persaraan wajib daripada 56 tahun kepada 60 tahun.
Omar menambah, permohonan Cuepacs itu bukan satu isu baru kerana sudah lama mereka menghantar memorandum yang mengandungi lima tuntutan yang masih 'diperam' oleh kerajaan.
0 comments:
Post a Comment