|
Oleh Bernama | |||
Sabtu, 23 Ogos 2008 | |||
PP: Sejak kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh bermula 16 Ogos lepas, kedua-dua calon utama, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat, dan Datuk Arif Shah Omar Shah dari Barisan Nasional jarang bertembung. Namun hari ini kedua-duanya bertemu dan bersalaman di Masjid Jamek Seberang Jaya dekat sini kerana sama-sama menunaikan solat Jumaat di situ. Jemaah yang menyedari kehadiran Anwar dan Arif Shah menunggu sehingga selepas selesai solat kerana ada ura-ura kononnya Anwar akan mengangkat sumpah laknat di masjid itu berhubung satu dakwaan liwat. Ketika jemaah berasak-asak menghampiri Anwar, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin yang juga Pengerusi Hal Ehwal Agama Negeri bangun berucap tanpa menggunakan pembesar suara. Ketika memulakan ucapan, Mohammad Fairus berkata, beliau tidak boleh menggunakan pembesar suara kerana tidak dibenarkan oleh pengurusan masjid. Dalam ucapan selama lima minit itu, beliau mengingatkan jemaah supaya tidak terpengaruh dengan gejala fitnah terutama yang mengaitkan Anwar dengan isu liwat itu. “Kita harus periksa kebenaran sebelum buat tuduhan,” katanya sebelum seorang anggota jawatankuasa pengurusan masjid itu muncul di hadapan Mohammad Fairus dan mengarahkannya menghentikan ucapan politiknya. Ucapan itu turut didengari oleh Arif Shah dan beberapa pemimpin UMNO termasuk Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin. |
0 comments:
Post a Comment