+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, August 24, 2008

2 Exco Perak didakwa


Berita Harian

Oleh Norfatimah Ahmad, Haika Khazi dan Ifwan Tun Tuah
bhnews@bharian.com.my




EXCO Kanan Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ngeh Koo Ham (duduk tengah) besama Kapt (b) Mohd Osman Mohd Jailu (duduk kiri) dan Jamaluddin Mohd Radzi (kanan) di sidang akhbar khas menafikan pembabitan dua orang exco dalam kes rasuah berkenaan dan meminta BPR menarik balik tuduhan yang dikenakan ke atas mereka, manakala media diminta memohon maaf, di Ipoh kelmarin. - Foto Ikhwan Munir.

BPR heret lima lelaki ke Mahkamah Sesyen Ipoh esok

KUALA LUMPUR: Lima daripada enam lelaki termasuk dua Exco Perak dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sebelum ini direman Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan satu projek perumahan di Seri Iskandar bernilai RM180 juta akan didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, esok.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, berkata Bahagian Perundangan serta Pendakwaan BPR berpuas hati dengan siasatan kes itu dan menganggapnya selesai.

"BPR ada cukup bukti dan saksi untuk menuduh lima yang terbabit di mahkamah. BPR sedang menghubungi mereka hadir ke pejabat BPR Perak pada pagi Isnin untuk dibawa ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan masing-masing," katanya di sini, semalam.

Rabu lalu, lima individu termasuk Exco Pelancongan, Pembangunan Insan dan NGO negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jering, Kapten (B) Osman Mohd Jailu dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota ditahan reman selama tiga hari oleh BPR, manakala seorang lagi iaitu Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perdagangan yang juga Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, ditahan keesokan harinya.

Semua yang terbabit ditahan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Sebelum ini, Ahmad Said berkata, pihaknya percaya mereka meminta suapan dalam bentuk wang ringgit dan ada juga yang meminta rasuah seks bagi mempercepatkan kelulusan projek perumahan itu.

Tindakan kerajaan Perak memberi tempoh 24 jam kepada BPR dan semua media cetak serta elektronik supaya membuat permohonan maaf terbuka, Ahmad Said berkata, perkara itu tidak timbul kerana dua Exco terbabit bersama tiga lelaki akan didakwa di mahkamah, hari ini.

"Kami tidak akan memohon maaf kerana BPR mempunyai cukup bukti, keterangan dan saksi untuk mendakwa mereka di mahkamah.

"Oleh itu, tidak timbul lagi soal ada pemimpin politik yang meminta BPR dan media memohon maaf terbuka berikutan laporan yang kononnya cuba mencemarkan nama baik dua Exco kerajaan Perak.

"Biar mahkamah membicarakan kes ini dan biar orang ramai menilai nanti kenapa BPR meneruskan tindakan terhadap mereka yang terbabit," katanya.

Ahmad Said berterima kasih kepada orang ramai dan media kerana sentiasa membantu BPR menangani gejala rasuah di negara ini selama ini.

Kerajaan Perak kelmarin memberi tempoh 24 jam kepada BPR dan semua media cetak dan elektronik untuk membuat permohonan maaf terbuka berikutan penyiaran laporan yang mencemarkan nama baik dua Exconya yang dikaitkan dakwaan rasuah.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata jika gagal kerajaan negeri akan mengambil tindakan undang-undang meminta ganti rugi daripada pihak terbabit yang membuat dan menyiarkan laporan berkenaan.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |