+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, September 29, 2008

Undi tidak percaya bukan satu-satunya cara

Selangor today

[Terjemahan dari Artikel bertajuk “No-confidence vote not the only way” oleh Maria J. Dass di dalam akhbar The Sun 22 September 2008]

Premis bahawa parlimen mesti bersidang bagi membolehkan undi tidak percaya dibuat terhadap Perdana Menteri adalah terlalu simplistik, kata peguam kanan Tommy Thomas. Beliau memberi respons tersebut berikutan temu bual akhbar The Sun dengan pakar undang-undang perlembagaan, Prof Dr Shad Faruqi, baru-baru ini. Shad berkata, di bawah Perkara 43(4) perlembagaan persekutuan, hanya parlimen, bukannya Yang Dipertuan Agung, boleh memecat Perdana Menteri.

Perkara 43(4) tersebut berbunyi: Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri, melainkan jika atas permintaannya, Yang Dipertuan Agong membubarkan parlimen.

“Sekiranya tafsiran Shad mahu diguna pakai, maka peruntukan perlembagaan itu hendaklah dibaca begini: “ Jika Perdana Menteri dikalahkan melalui usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat, maka…” kata Thomas.

“Jika tafsiran Shad adalah tepat, maka ia jelas terhad hanya kepada satu corak dan keadaan sahaja – bahawa perkara itu harus dibawa ke Dewan Rakyat, sedangkan skop perlembagaan yang luas membenarkan kaedah-kaedah lain diguna pakai”, katanya lagi.

“Saya terima bahawa kaedah yang dikemukakan oleh Shad itu sebagai kaedah tradisi dan kaedah yang lebih digemari, namun saya juga menolak anggapannya bahawa ia merupakan satu-satunya kaedah yang ada”, kata Thomas dalam temu bual pada Jumaat lepas.

Thomas seterusnya berkata, Perkara 43 (4) mewakili deraf laporan Suruhanjaya Reid yang kekal dalam bentuk asalnya dan jelas merupakan prinsip perlembagaan Inggeris yang memberikan kepada YDP Agong kuasa yang sama yang diberikan kepada raja England.

Beliau juga berkata, kebanyakan negara Komonwel mempunyai seseorang yang diberikan kuasa dan kedudukan yang sama dengan raja Inggeris itu. India, sebagai sebuah republik, mempunyai seorang Presiden; Australia dan New Zealand pula mempunyai Gabenor yang mewakili Ratu Inggeris.

Jadi apakah kaedah lain yang ada selain daripada undi tidak percaya?

Thomas: Untuk menjawab soalan ini, kita perlu terlebih dahulu melihat kepada hakikat bahawa di kebanyakan negara Komonwel, terdapat seorang Ketua Tertinggi, iaitu seorang raja berlembagaan. Di Malaysia, ia merupakan Yang Dipertuan Agong seperti yang ditetapkan oleh Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan. Ketua Tertinggi ini mestilah berperanan melampaui kepentingan politik dan berperanan menstabilkan negara, terutama sekali dalam suasana krisis seperti sekarang ini.

Perkara 43(2)(a) menetapkan bahawa Yang Dipertuan Agong harus terlebih dahulu melantik seorang Perdana Menteri daripada kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat yang menurut pertimbangan baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli itu untuk mengetuai Jemaah Menteri. Ini menunjukkan bahawa pelantikan tersebut adalah tertakluk kepada budi bicara Yang Dipertuan Agong.

Menurut Perkara 40 (1) pula, Yang Dipertuan Agong mesti mendapatkan nasihat Perdana Menteri pada 99.999% masa, tetapi baginda juga boleh bertindak mengikut budi bicara dalam melantik Perdana Menteri dan untuk tidak memberikan persetujuan kepada permintaan untuk membubarkan parlimen (Perkara 40(2).

Dalam keadaan-keadaan tertentu, baginda tidak perlu menerima nasihat Perdana Menteri kerana nasihat tersebut mungkin bersifat berkepentingan diri. Dalam kes Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka nasihat berkepentingan diri itu mungkin bertujuan mengekalkan kedudukannya atau supaya beliau tidak dipecat.

Jadi dalam keadaan ini dan dalam keadaan-keadaan sukar yang lain, Yang Dipertuan Agong harus dan melihat dan menilai keadaan melampaui nasihat tersebut dan hendaklah bertindak bagi kepentingan negara.

Sebagai raja berpelembagaan, Yang Dipertuan Agong tidak boleh memecat Perdana Menteri melainkan baginda yakin bahawa beliau tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat seperti yang ditetapkan oleh Perkara 43(4) dan 40(3).

Sekiranya berlaku keadaan-keadaan yang disebut di bawah perkara 43(4), maka Perdana Menteri boleh dilucutkan jawatan sekiranya beliau tidak melepaskannya secara sukarela. Peruntukan-peruntukan perlembagaan ini memberikan Yang Dipertuan Agong kuasa budi bicara yang luas, namun baginda juga tidak boleh bertindak sebagai diktator kerana terdapat kekangan terhadap kuasa budi bicara itu.

Sebagai contoh, baginda tidak boleh melantik saya atau anda semata-mata sebagai Perdana Menteri sebab kita bukanlah ahli Dewan Rakyat. Ini jelas menunjukkan bahawa pilihan yang baginda miliki adalah terhad kepada 222 orang sahaja yang merupakan ahli dewan tersebut.

Bagaimanakah Yang Dipertuan Agong boleh melaksanakan kuasa budi bicara baginda itu jika tidak berlaku usul undi tidak percaya?

Melalui satu perisytiharan bertulis dan bertandatangan oleh majoriti ahli Dewan Rakyat yang menyatakan tidak percaya terhadap Perdana Menteri, yang dikemukakan kepada baginda oleh seorang ahli atau sejumlah ahli parlimen. Dokumen tersebut adalah sebagai bukti yang sah tentang sikap tidak percaya itu. Sekiranya Yang Dipertuan Agong berpuas hati dengan dokumen itu dan kesahihannya, maka baginda boleh menerimanya – sebagai satu cara untuk mengesahkan hilang kepercayaan itu.

Di sini, saya mahu memberi komentar tentang kenyataan Shad apabila beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi di Kucing yang menolak kaedah ini dalam kes Stephen Kalong Ningkan (1966).

Dalam hal ini, Shad gagal menyebut sebuah kes Majlis Privy sebelum itu (Kes Nigeria: Adegbenro lwn Akintola, 1963) dan sebuah kes Malaysia selepas itu yang memutuskan sebaliknya.

Dalam kes Nigeria, Gabenor Nigeria menerima surat atau dokumen sedemikian dan berdasarkannya, beliau memecat Ketua Menteri negara tersebut, tetapi menteri berkenaan berkata, “tidak ada undi tidak percaya terhadap saya, justeru saya tidak dipecat”.

Majlis Privy memutuskan bahawa pemecatan itu adalah sah dan Gabenor boleh bertindak mengikut pertimbangannya kerana kuasa budi bicara yang beliau miliki.

Pada tahun 1966, Hakim Harley dalam penghakimannya ke atas kes Stephen Kalong Ningkan berkata, beliau tidak akan mengikut kes Nigeria itu kerana negara tersebut adalah berbeza daripada Sarawak – ini bagi saya adalah pandangan yang amat simplistik.

30 tahun kemudian, kita ada sebuah kes yang melibatkan Datuk Amir Kahar Mustapha dan Tun Mohd Said Keruak – iaitu kes bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Joseph Pairin Kitingan, apabila beberapa beberapa ahli Dewan Negeri melompat parti selepas pilihan raya umum 1994. Akibatnya, Pairin hilang jawatan sebagai Ketua Menteri.

Pelantikan Ketua Menteri baru selepas itu telah dicabar di mahkamah. Fakta kes adalah serupa dan isu yang dibangkitkan ialah sama ada surat atau dokumen yang ditandatangani ahli-ahli dewan boleh diterima. Hakim Kadir Sulaiman telah menuruti kaedah dan keputusan kes Majlis Privy.

Lebih menarik, peguam yang hujahnya diterima oleh Hakim Kadir Sulaiman dalam kes Pairin itu ialah Peguam Negara kini, iaitu Tan Sri Gani Patail, yang ketika itu mewakili kerajaan Sabah.

Kelemahan kaedah ini ialah keperluan memastikan kesahihan tanda tangan ahli dewan terbabit. Kaedah ini juga menuntut Yang Dipertuan Agong bertindak dengan waras dan bertanggungjwab, bukannya sewenang-wenang. Justeru, baginda harus membuat siasatan sendiri dan harus berpuas hati dengannya, sekali gus memaklumkan secara terbuka langkah-langkah yang diambil untuk membuat keputusan tersebut bagi kepentingan negara.

Untuk tujuan itu, Yang Dipertuan Agong boleh memanggil ahli-ahli terbabit masuk menghadap bagi memastikan sama ada mereka berbuat demikian dengan rela dan waras. Ini sebagai pengesahan dan bukti yang sahih. Jika seseorang raja berperlembagaan mengambil langkah-langkah ini, maka baginda tidak boleh dikiritik atau dituduh mempunyai kepentingan politik dan lain-lain.

Kuasa YDP Agong dalam memecat Perdana Menteri

Senario pertama:

Pengundian dibuat di Dewan Rakyat dan usul tidak percaya dibawa. Perdana Menteri sediaada harus memaklumkan kepada YDP Agong bahawa beliau tidak lagi mendapat kepercayaan ahli dewan. Perdana Menteri memiliki kuasa budi bicara untuk memohon membubarkan parlimen bagi membolehkan pilihan raya diadakan bagi menguji kepercayaan dan mandat rakyat.

YDP Agong boleh menggunakan kuasa budi bicara baginda di sini. Sekiranya baginda bersetuju, parlimen akan dibubarkan dan kerajaan Perdana Menteri sedia ada akan dilantik sebagai kerajaan sementara. Tetapi jika YDP Agong menolaknya, maka Perdana Menteri mestilah meletakkan jawatan daripada kabinet. Sekiranya beliau enggan berbuat demikian, maka secara tersirat, YDP Agong boleh memecat beliau.

Senario kedua:

YDP Agong tidak bergantung kepada usul di dalam dewan, tetapi kerana berpuas hati bahawa Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan daripada majoriti ahli dewan, lalu mengarahkan Perdana Menteri supaya meletak jawatan dan menggantikannya dengan seorang calon lain yang menurut pertimbangan baginda adalah sesuai untuk mengisi jawatan itu. Jika Perdana Menteri enggan mematuhi arahan tersebut, maka perlembagaan mengisyaratkan bahawa beliau boleh dipecat.

Apakah yang bakal berlaku sekiranya usul undi tidak percaya ditolak oleh Speaker di Dewan Rakyat?

Pertama, ini melanggar perlembagaan. Tetapi kaedah ini hanya penting sekiranya ia dianggap sebagai satu-satunya cara yang ada. Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tampak mengambil langkah yang cermat dengan menggunakan kaedah ini terlebih dahulu, iaitu mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri. Dua usul sedemikian telah dikemukakan sebelum ini dan ditolak oleh Speaker.

Apakah yang bakal berlaku jika Anwar ditahan di bawah ISA?

Sekiranya Anwar ditahan, YDP Agong masih boleh meminta beliau dibebaskan untuk menghadap baginda – sekiranya baginda melihat beliau sebagai calon paling layak untuk menjawat jawatan Perdana Menteri.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |