+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, December 6, 2008

17 Januari mengundi

Berita Harian

Oleh Wan Hazmir Bakar
wanhazmir@bharian.com.my


SIDANG media yang dihadiri Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar (kiri), mengenai Pilihan Raya Kechil P.036 Kuala Trengganu, menyampai Writ Pilihan Raya kepada, Pegawai Pengurus, Datuk Mat Razali Kassim (kanan) sambil diperhati Timbalan Setiausaha (OPS), Datuk Nordin Che Ngah (tengah). - Foto David Khoo

Penamaan calon pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada 6 Januari

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Januari depan sebagai tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu, manakala 17 Januari tarikh mengundi, menjadikan tempoh kempen selama 11 hari, jika ada pertandingan.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, ketika mengumumkan perkara itu dalam sidang media di Ibu Pejabat SPR di sini semalam berkata, seramai 80,229 pemilih berdaftar layak mengundi pada pilihan raya kecil berkenaan.

Daripada jumlah itu, katanya, 79,194 ialah pengundi biasa manakala 1,035 lagi pengundi pos dan angka itu dibuat berdasarkan penggunaan Daftar Pemilih yang sudah diperakui semula kelmarin serta diwartakan semalam.

Katanya, SPR menerima makluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung kekosongan kerusi Parlimen itu pada Selasa lalu dan menetapkan esok sebagai tarikh keluar writ, manakala 21 Disember sebagai tarikh keluar notis pilihan raya kecil.

"Kita memilih 17 Januari sebagai hari mengundi selepas membincangkan pelbagai faktor... kita juga mendapat pandangan daripada Jabatan Meteorologi kerana keadaan cuaca mungkin tidak menentu dalam masa terdekat ini.

Datuk Razali Ismail

"SPR mempunyai tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan untuk mengadakan pilihan raya kecil ini dan tiada sebab kita perlu mempercepatkannya. Mengambil kira faktor akhir tahun, 70 peratus daripada petugas yang akan kita lantik adalah guru yang sedang bercuti akhir tahun.

"Saya rasa 17 Januari itu sangat sesuai kerana ia memberi peluang kepada semua pihak yang terbabit, khususnya parti politik yang akan meletakkan calon mereka untuk membuat persiapan," katanya.

Pilihan raya kecil P036 iaitu Parlimen Kuala Terengganu diadakan selepas kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Razali Ismail, Jumaat lalu.

Razali yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, meninggal dunia selepas rebah dipercayai akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki (IAB), Genting Highlands.

Pada pilihan raya umum Mac lalu, Allahyarham menewaskan calon Pas, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusof, dalam pertandingan tiga penjuru dengan majoriti 628 undi.

Wan Ahmad juga mengumumkan pelantikan Datuk Bandar Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT), Datuk Razali Kassim sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya, manakala enam pegawai MBKT lain sebagai Penolong Pegawai Pengurus.

"SPR akan melantik 877 petugas bagi mengendalikan pilihan raya kecil itu yang membabitkan 36 pusat mengundi dan 143 saluran," katanya.

Wan Ahmad berkata, SPR juga bersetuju menubuhkan dua pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang akan bertanggungjawab memantau semua aktiviti kempen serta menguat kuasa peraturan pilihan raya.

Wan Ahmad berkata, SPR juga bersetuju membenarkan Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (Mafrel) melakukan pemerhatian perjalanan pilihan raya kecil itu dengan syarat yang ditetapkan SPR.



0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |