+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, December 6, 2008

Tragedi tanah runtuh Hulu Klang berulang

Mstar Online

DUA blok bangunan Highland Tower yang masih kekal tanpa dihuni selepas sebuah blok runtuh pada Disember 1993. Kejadian terbaru hari ini terjadi kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi Highland Tower.

KAWASAN Hulu Klang, tempat berlakunya peristiwa terbaru kejadian tanah runtuh iaitu di Taman Bukit Utama dan Taman Bukit Mewah di Bukit Antarabangsa awal pagi ini, merupakan kawasan yang sentiasa berdepan dengan kejadian tersebut.

Tragedi Highland Towers yang berlaku pada Disember 1993, kira-kira 1.5 kilometer dari tempat kejadian tanah runtuh hari ini, telah mengorbankan 48 nyawa apabila satu daripada tiga blok kondominium di Taman Hillview iaitu Blok A runtuh.

Insiden 11 Disember itu mengejutkan seluruh negara kerana ia merupakan peristiwa bangunan runtuh yang pertama dan yang terburuk dalam sejarah negara sejak merdeka.

Peristiwa itu berlaku selepas hujan selama beberapa hari dan telah menimbulkan kesedaran di kalangan orang ramai mengenai bahaya bangunan yang dibina di lereng bukit di negara ini.

Beberapa kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan itu dan antaranya pada 10 Disember 1985, dua rumah baru dua tingkat yang belum lagi diduduki di Taman Melawati, Hulu Klang runtuh ketika hujan lebat dalam kejadian 8.50 pagi.

Pada 17 September 1988, sebuah rumah di Hulu Klang, ranap akibat tanah runtuh berikutan hakisan tanah.

Dalam kejadian 29 Mac 1990, kejadian tanah runtuh berlaku di Taman Setia Wangsa di Hulu Klang melibatkan 80 keluarga yang mendiami dua blok flat.

LOKASI rumah bekas Panglima Angkatan Tentera, Jen (B) Tan Sri Ismail Omar di Taman Hill View yang musnah dalam kejadian enam tahun lalu.

Pada 25 Disember 1997, tiga orang terbunuh selepas tertimbus di bawah runtuhan tanah dan sampah dalam satu kejadian di Km 17 Lebuh Raya Ampang-Hulu Klang.

Dalam kejadian 15 Mei 1999 pula, ribuan penduduk di kawasan perumahan Bukit Antarabangsa dan Wangsa Ukay di Jalan Hulu Klang terperangkap apabila tanah runtuh sepanjang 100 meter berlaku dalam kejadian 5.20 pagi yang menimbusi satusatunya jalan keluar masuk ke kawasan perumahan berbukit itu.

Kejadian tanah runtuh juga dilaporkan berlaku selepas hujan lebat di Kampung Sri Damai dekat Taman Kencana, Ampang pada 24 Februari 2000, yang meragut nyawa seorang budak berumur empat tahun.

Pada 5 Oktober 2000, satu kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Antarabangsa berikutan hujan lebat berterusan tetapi tiada yang cedera.

Sebuah banglo di Taman Hillview milik bekas Panglima Angkatan Tentera, Jen (B) Tan Sri Ismail Omar, yang juga Pengerusi Affin Bank, ranap setelah dirempuh tanah runtuh dari bukit bersebelahan pada 20 November 2002.

Isteri Ismail, Puan Sri Azizah Abdul Aziz, anaknya Hijaz, dua menantu, dua cucu serta dua pembantu rumah Indonesia terkorban dalam kejadian 4.35 pagi itu.

Banglo itu hanya terletak kirakira 300 meter dari tapak Highland Towers.

Pada 31 Mei 2006, empat sekeluarga terkorban setelah tertimbus dalam runtuhan tanah yang memusnahkan 49 buah rumah di Kampung Pasir, Hulu Klang pada kirakira pukul 4.45 petang.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |