+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, March 30, 2008

10,000 sambut Agong

Utusan online


Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail (tengah), Tengku Muhammad Mua’az (depan) dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berdoa sejurus selepas tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, semalam. – Gambar Fauzi Baharudin.


KUALA TERENGGANU 29 Mac – Lebih 10,000 rakyat Terengganu daripada pelbagai lapisan masyarakat menyambut keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dari ibu negara di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini hari ini.

Sambutan itu sebagai menyatakan sokongan kepada Tuanku Mizan dan institusi raja berikutan kontroversi pelantikan Menteri Besar yang berakhir dengan penerimaan Datuk Ahmad Said yang merupakan calon pilihan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO kelmarin.

Laungan ‘Daulat Tuanku’ bergema beberapa kali sebaik sahaja Tuanku Mizan dan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Ismail berangkat tiba di LTSM di sini kira-kira pukul 10 pagi.

Difahamkan, ini merupakan perhimpunan terbesar pernah diadakan di Terengganu bagi menyambut keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong dan Sultan dalam tempoh 20 tahun lalu.

Rakyat memenuhi setiap jalan dan pekarangan LTSM sejak pukul 8 pagi untuk menyambut keberangkatan tiba Tuanku Mizan.

Keberangkatan tiba Tuanku Mizan disambut oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, pembesar dan kerabat istana serta pegawai kanan kerajaan negeri.

Kesemua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) hadir kecuali bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati orang ramai akur dengan arahan Ketua Polis Terengganu, Datuk Ayub Yaakob supaya tidak membawa kain rentang yang mengandungi perkataan sensitif sepanjang perhimpunan tersebut.

Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang perhimpunan yang dikawal ketat oleh anggota polis itu.

Perhimpunan menyambut keberangkatan pulang Tuanku Mizan adalah anjuran Majlis Permuafakatan Terengganu (Mampat) yang diadakan bertujuan menunjukkan sokongan dan kesetiaan rakyat Terengganu kepada Tuanku Mizan.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |