+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Saturday, April 5, 2008

Ku Li bidas pemimpin lulusan Oxford

Malaysiakini

Apr 4, 08 2:10pm

Tidak jelas arah kritikannya tetapi Tengku Razaleigh Hamzah dipercayai secara lembut membidas menantu perdana menteri Khairy Jamaluddin - serangan pertama secara terbuka terhadap pemimpin kanan Pemuda Umno itu.

"Ada orang boleh jadi geliga otaknya, lulusan dari Oxford, Harvard dan sebagainya, tetapi tidak bijak, tidak pandai, tidak cerdik budaya.
"Orang ini tidak layak diangkat oleh Umno untuk menjadi pemimpin mereka.

"Mengapa? Sebabnya mereka tidak mempunyai ‘roh atau semangat Melayu’ yang cukup dalam dadanya, tidak bijak, tidak pandai bercakap dan berhujah dengan rakyat," kata Tengku Razaleigh di mesyuarat khas perwakilan bahagiannya Gua Musang pagi ini.

Mesyuarat itu dipanggil bagi membincangkan ketewasan mengejut Umno dan BN dalam pilihanraya umum 8 Mac - dan masa depan parti itu.

Ia juga meluluskan cadangan pemindaan 13 perkara - sebahagian besar melibatkan pelantikan pemimpin atasan - dan empat fasal baru.
Beliau, yang dikenali juga Ku Li, berkata, "jadi, untuk menyelamatkan Umno, kita kena buang segala anggota Umno di (barisan) atas itu yang jahat, yang korup, yang tidak berbudaya dan berakhlak tinggi, dan yang tidak bijaksana."

"Mereka mungkin layak menjadi penyelidik akademik, tetapi tidak layak menjadi pemimpin bagi bangsa Melayu-Islam yang mempunyai nilai-nilai ketimurannya yang tersendiri, yang perlu difahami oleh sesiapa yang hendak menjadi pemimpin orang Melayu," tambahnya.

Ku Li juga menyifatkan parti itu "kapal yang sedang rosak dan bila-bila masa boleh tenggelam kerana nakhodanya lemah, dan seringkali meninggalkan kemudi atau menyerahkannya kepada anak-anak kapalnya."

Beliau sebelum itu menyifatkan kelakuan buruk pemimpin Umno, khususnya ketika berkempen baru-baru ini, antara punca pengundi menolak parti itu.

"Kita perhatikan dalam kempen pilihanraya umum ke-12, kelakuan beberapa calon Umno tidak beradab. Mereka sombong, bercakap besar, riak, dan suka menabik dada.

"Seorang calon parlimen Umno memberitahu media bahawa matlamat dia ialah untuk memastikan lawannya hilang deposit. Calon ini mengalami kekalahan teruk, diajar oleh pengundi Melayu," katanya.

Ku Li juga menyifatkan strategi kempen Umno untuk merampas Kelantan seumpama "perang salib" terhadap PAS dan gayanya seakan-akan peperangan presiden Amerik Syarikat, George Bush terhadap negara Islam.

"Di Kelantan kita dengar bagaimana seorang calon parlimen yang dekat dengan kuasa atasan di Kuala Lumpur memaki-hamun dan menggunakan kata-kata biadab terhadap PAS, khususnya terhadap Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menteri besar Kelantan.

"Bahkan seluruh jentera Umno digerakkan untuk melancarkan semacam ‘perang salib’ terhadap PAS, gayanya seperti perang yang dilakukan oleh Bush terhadap negara Islam."

Tentang parti pembangkang, ahli parlimen Gua Musang itu berkata pengundi melihat PAS sebagai parti yang adil kepada semua kaum dan pemimpinnya tidak mengamalkan rasuah - berbeza dengan imej Umno yang dilihat mementingkan Melayu sahaja dan korup.

"Mereka berkata orang PAS takut kepada Tuhan; jadi mereka takut hendak bercakap bohong atau melakukan dosa kepada makhluk Allah, tidak kira bangsa dan agama.

"Mereka berkata, Tok Guru Nik Aziz jauh lebih baik, bersih dan amanah daripada kebanyakan pemimpin Umno Kelantan," katanya.

Tentang PKR pula, menurut tafsiran Ku Li, pengundi semua kaum melihat parti itu – termasuk orang Melayu generasi baru – sebagai parti yang dasarnya ialah keadilan kepada semua rakyat berdasarkan keadaan dan keperluan asas mereka.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |