+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, May 25, 2008

'Keputusan ICJ cetus pertindihan hak'


Berita Harian

JOHOR BAHRU: Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda semalam yang memberikan Singapura hak ke atas Pulau Batu Puteh, manakala Batuan Tengah menjadi milik Malaysia, mungkin boleh mencetuskan isu pertindihan hak kawasan antara kedua-dua negara.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata isu pertindihan hak kawasan antara Malaysia dan Singapura itu timbul berikutan kedudukan Pulau Batu Puteh dan Pulau Batuan Tengah yang terlalu hampir antara satu sama lain.

"Agak menarik keputusan ICJ kerana kedua-dua pulau ini berdekatan tetapi kedaulatan berlainan," katanya pada sidang media selepas merasmikan kedai rekaan landskap Massif Design di Taman Universiti, Skudai, di sini, semalam.

ICJ melalui pengundian 12-4 yang berpihak kepada Singapura terhadap hak kedaulatan Pulau Batu Puteh, manakala Malaysia pula melalui pengundian 15-1 diberikan hak kedaulatan Pulau Batuan Tengah.

Pulau Batu Puteh sebesar separuh padang bola sepak terletak kira-kira 12.8 kilometer (km) dari Pengerang, Johor dan 64 km ke Timur Singapura. Jarak antara Batuan Tengah dengan Pulau Batu Puteh ialah 0.96 km, manakala Terumbu Karang Selatan dengan Pulau Batu Puteh kira-kira 4 km.

Berikutan itu, kata Ghani, Johor menyerahkan kepada Kerajaan Pusat untuk membuat keputusan seterusnya terhadap pulau Batuan Tengah selepas sah ia menjadi hak Malaysia.Katanya, Kerajaan Pusat mempunyai kuasa penuh untuk melaksanakan apa juga bentuk pembangunan yang mungkin boleh dijalankan di pulau berhampiran Teluk Ramunia, Pengerang itu.

Ghani berkata, Johor berpendapat Malaysia dan Singapura perlu menunggu rumusan terperinci daripada Jawatankuasa Teknikal sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap kedua-dua pulau yang sah menjadi hak masing-masing itu bagi mengelak pertindihan hak kewilayahan.

"Saya percaya jawatankuasa itu akan membuat pertimbangan terbaik dan mengambil kira semua aspek, terutama berkaitan hak dan kawasan perairan serta kesannya terhadap subjek lain termasuk kegiatan nelayan di Pengerang.

"Johor menerima keputusan ICJ dengan hati terbuka dan yang jelas ialah kedaulatan Johor khususnya daripada segi sejarah adalah tepat dan benar terhadap semua pulau yang ada di situ dan Singapura sendiri. Daripada aspek sejarah, kedaulatan Johor diterima ICJ," katanya.

Selain Batu Puteh, beliau berkata setakat ini tidak ada lagi pulau di negeri ini yang mempunyai masalah berbangkit, terutama berkaitan tuntutan hak milik dan kedaulatan membabitkan Johor dengan negara lain.

Katanya, Pulau Pisang di Pontian tidak menghadapi masalah tuntutan hak dari negara lain kerana jelas pulau itu adalah hak milik Johor berdasarkan kepada pendaftaran tanah yang dilakukan di negeri ini.

"Kita tidak menghadapi masalah pertikaian hak dan kedaulatan berhubung Pulau Pisang kerana ia adalah sah milik Johor dan tidak boleh dituntut negara lain," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia berkata, proses menentukan garis sempadan baru antara kedua-dua negara mungkin mengambil sedikit masa.

"Sebelum ini Pulau Batu Puteh adalah garis sempadan yang memisahkan negara kita dengan negara jiran itu dan kini ia sudah pasti berubah," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Bagaimanapun, jurucakap itu mengakui tindakan segera perlu diambil bagi menentukan sempadan baru maritim negara.

"Saya percaya, ketika ini sudah pasti ramai nelayan yang tidak akan pergi ke kawasan sana (Pulau Batu Puteh dan Batuan Tengah) kerana bimbang kemungkinan tersilap masuk ke perairan negara jiran itu," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |