Kosmo Online
KUALA LUMPUR - Tidak ubah seperti lagu Bangau oh Bangau. Kelmarin penjual telur tidak mahu dipersalahkan ekoran kenaikan mendadak harga bahan itu, sebaliknya meletakkan keadaan itu kepada pemborong.
Semalam, pemborong pula menuding jari kepada peladang pula yang didakwa menjualnya pada harga yang telah pun mahal.
Demikianlah kemelut di sebalik kenaikan mendadak sehingga 23 peratus harga telur pelbagai gred dalam pasaran tempatan ekoran kenaikan kos pengeluaran dan pengangkutan.
Rata-rata pemborong mendakwa, mereka juga tersepit dengan harga minyak dan hanya memperoleh keuntungan yang sedikit sahaja.
Lebih memeritkan, kebanyakan pemborong telur yang ditemui memberitahu, mereka hanya memperoleh modal pusingan daripada jualan bagi setiap telur yang dijual kepada peruncit sejak seminggu lalu.
Perkara tersebut diakui oleh seorang pemborong telur dari Pasar Borong Selangor, Chai Yoon Keong, 30, yang memberitahu, tindakan itu adalah semata-mata tidak mahu kehilangan pelanggan (peruncit) selain persaingan sengit pemborong lain.
Ketika ini katanya, harga bagi setiap papan telur gred A (30 biji) yang dijual kepada peruncit ialah RM8.40, gred B RM8.25, manakala gred C pula RM8.10, kenaikan sebanyak 60 sen bagi setiap papan.
Harga setiap papan telur gred A (30 biji) yang dibeli daripada peladang pula adalah RM7.65, gred B RM7.50, manakala gred C RM7.35.
Menurut Yoon Keong, harga peladang itu hanya mampu menampung kos untuk menggaji enam pekerjanya serta membeli beberapa keperluan lain termasuk beg plastik.
"Macam mana peruncit boleh salahkan kami pula sedangkan kami sendiri tak ada untung, hanya balik modal saja sejak beberapa hari lepas. Kalau ikutkan pemborong sebenarnya yang lebih tertekan.
"Kami perlu bagi harga ini sekarang kerana kalau tak pelanggan akan lari dan mereka sanggup mencari pemborong yang meletakkan harga yang lebih murah walaupun jauh," katanya.
Namun begitu, beliau tidak menyalahkan sepenuhnya peladang rentetan senario kenaikan harga telur, sebaliknya Yoon Keong berpendapat kenaikan itu juga ekoran kenaikan harga makanan ayam di pasaran dunia.
0 comments:
Post a Comment