Harakahdaily Fri | Aug 22, 08 | 10:10:54 am MYT | |
Seluruh dunia menghalakan fokus ke Permatang Pauh. Melihat dan meninjau pilihan raya kecil yang bakal mengubah lanskap politik di negara ini. Tidak hairanlah Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak bersungguh sungguh mengekang kemaraan Anwar. Ikuti wawancara eksklusif WAN NORDIN WAN YAAKOB, AZAMIN AMIN serta MOHD SABRI SAID dengan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang juga calon KeADILan bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh di Yayasan Aman Permatang Pauh, pada 19 Ogos lalu. HARAKAH: Buat pertama kalinya selepas sekatan politik yang dikenakan berakhir, Dato' Seri boleh menyertai pilihan raya kecil. Walaupun Umno cuba gagalkan penyertaan Dato' Seri dengan isu-isu liwat dan percubaan menahan Dato' Seri, bagaimana situasi ini dihadapi? ANWAR: Alhamdulillah, walaupun tekanan kuat dan muslihat Umno untuk menghalang saya dengan apa cara juga ternyata kita dapat lepas dari keadaan ini. Saya dapat bantuan dari sahabat-sahabat dan saya sangat bernasib baik kerana berkat doa sahabat-sahabat untuk meneruskan perjuangan dan saya sangat bernasib baik dengan kerjasama Pakatan Raayat walaupunkita difitnah tetapi kita terus bersama dan dengar bekerja dengan penuh komitmen dan keazaman. Bagaimana Dato' Seri melihat sambutan terhadap siri kempen setakat ini? Umumnya sangat baik kerana jentera kita berkesan, jentera KeADILan dan PAS di Kawasan Melayu sangat kuat di Penang. Malah Kedah dan Kelantan turut membantu dengan sepenuhnya dan di beberapa kawasan seperti Seberang Jaya. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberikan kerjasama dan sokongan yang cukup kuat. Namun masalahnya kita bimbang dengan tindakan pihak lawan yang mengambil salinan kad pengenalan (MyKad) para pengundi di sini yang sudah merebak dan kita curigai motif mereka. Kita akan laporkan kepada kepada SPR selain membuat laporan polis.(Dato' Seri Anwar, tenang berbicara - gambar) Kita juga minta provokasi ke atas anak-anak muda dapat dibendung dan kita harapkan dapat dikawal. Seterusnya semasa kempen saya didatangi pemimpin-pemimpin Umno tempatan yang mengingatkan saya supaya berhati-hati dengan strategi jentera Umno akan masuk ke rumah untukmenabur wang. Sampai begitu sekali kempen yang mereka jalankan. Kita lihat isu liwat dan pengakuan sumpah laknat Saiful Bukhari dimainkan di Permatang Pauh walaupun Saiful sendiri kata kononnya isu ini bukan kerana politik, apa pandangan Dato' Seri? Ini memang isu politik yang dirancang begitu rupa sebaik sahaja saya ambil keputusan nak bertanding. Kes di bawa ke mahkamah sehari selepas pengumuman SPR, sumpah Saiful pula seharisebelum hari penamaan calon. Saya percaya beberapa hari lagi sepanjang kempen Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Tun Razak akan tentu mainkan isu itu sebagai isu besar mereka. Sekarang ini Najib muncul seolah-olah macam ahli agama cakap seperti seorang agamawan walaupun, berbeza dengan ulama lain, baik Mufti-mufti, baik Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat atau Yusuf Qardhawi atau ulamak-ulamak lain. Pandangan dia (Najib) seolah-olah macam dia sebagai jaguh dalam agama dan nampak macam nak kepada Islam. Kita nampak ini satu politik. Namun saya juga pergi ke beberapa tempat di kampung-kampung. Nampaknya penduduk tak nak isu (liwat dan akuan sumpah Saiful) ini tetapi mahu kepada isu agenda pembaharuan yang kita bawa sebab Permatang Pauh ini 10 tahun telah dihumban daripada arus pembangunan oleh kerajaan BN yang lalu. Saya juga diasak dengan propaganda dengan VCD pengakuan sumpah Sukma Dermawan dan Dr Munawar Anees, berhubung isu dahulu. Ini semua dimainkan semula dan diedar kepada lebih 50,000 rumah pengundi di sini walaupun dalam isu ini semua pengakuan tersebut pengakunya telah menarik semula akuan mereka. Ini masih dimainkan. Dan kempen mereka cukup lucah dan menghina serta mengata orang. Budaya fitnah ini sudah menjadi budaya Umno. Walaupun ramai di kalangan orang Umno di sini kurang minat dengan penggunaan isu ini. Tiba-tiba Akta DNA dibawa ke Parlimen pula. Ini langkah yang sama dalam perancangan mereka (Umno). Tetapi saya tak mahu ditarik untuk beri komentar tentang isu-isu ini. Mereka bicarasoal 'rules of law'. Siapa yang percaya dengan 'rules of law' di negara ini? Siapa yang yakin? Kes bunuh, kes Altantuya, kes rasuah ratusan juta, kes hilangnya dadah di balai polis dan siapa yang nak sebut kes ini? Ini tidak pula dimainkan media arus perdana. Isu perpaduan dan hak Melayu diungkit semula, kononnya kalau Anwar menang, Melayu akan susah di Penang kerana Penang ditadbir DAP. Apa pandangan Dato' Seri? Melayu miskin. Bahasa Melayu direndahkan martabatnya. Agama Islam direndahkan dan penghayatannya tidak berjalan. Maksiat berkembang, jenayah bertambah, rasuah merebak,pemimpin Umno kaya melimpah, rakyat pula terabai. Ini semua siapa yang buat? Sepatutnya pemimpin Umno kena tanya diri mereka sendiri. Mereka penuh kuasa melimpah kekayaan ini. Dia nak salahkan siapa lagi. (Anwar ditemuramah Wan Nordin (kanan) dan Azamin - Gambar) Saya nak tegaskan bahawa kita di Pakatan Rakyat telah menetapkan agenda yang cukup jelas,dan soal kedudukan Melayu dan martabat Islam tak pernah keluar daripada kerangka kita. Yang kita tekankan untuk menjamin keadilan kepada semua. Kita usaha angkat Melayu dan tinggikan martabat Islam tanpa bermaksud untuk pinggirkan kaum dan agama penganut lain. Umno pula sebaliknya gunakan kedudukan Melayu untuk hanya perkayakan diri mereka. Kontrak kerajaan berapa banyak dianugerah kepada anak menantu, keluarga dan kroni. Saham bumiputera pula puluhan juta ringgit diagihkan kepada sanak saudara mereka untuk memperkayakan mereka. Mereka memainkan kononnya kini Ketua Menteri Pulau Pinang ini Cina DAP. Tetapi sedarkah mereka bahawa selama ini pun Ketua Menteri Penang Cina? Lima bulan di Pulau Pinang apa yang dilakukan kerajaan negeri? Adakah rugikan Melayu? Kerajaan negeri telah luluskan peruntukan dalam soal mengimarahkan masjid dan tingkatkan mutu serta elaun guru Kafa. Kerajaan negeri ini juga menjalankan program membasmi kemiskinan termasuk kepada majoriti Melayu yang miskin tegar di sini tanpa kesampingkan orang Cina dan India. Komen Dato' Seri terhadap kenyataan tegas Presiden PAS yang akan terus bersama dengan Pakatan Rakyat? Media Umno tentunya akan perbesarkan pandangan yang akan berlaku dalam kongres KeADILan dan DAP kerana KeADILan di Kedah dan Perak mungkin ada rasa tidak puas hati dengan kerajaan di sana, seperti juga PAS di Pulau Pinang yang tidak puas hati kepada kerajaan negeri. Ini soal biasa yang bukan isu besar yang boleh sebabkan ketegangan. Namun, ini dilaporkan oleh media arus perdana untuk mencetus kemelut kononnya. Isu ini sebenarnya isu yang boleh dirundingkan dan pandangan mereka yang tidak berpuas hati itu hanyalah sekadar pandangan mereka dan ini bukanlah mewakili parti secara keseluruhannya. Soal adanya kritikan dalam muktamar baru-baru ini, itu terpulang kepada kebijaksanaan pimpinan parti dalam Pakatan dan saya lihat cuma ada kekeliruan. Itu sebab ada kerja fitnah akhbar arus perdana, mereka besarkan isu itu. Di Permatang Pauh ini sendiri, sebenarnya mereka fitnah kononnya PAS tidak membantu kempen sedangkan kalau tengok jentera bantuan ketara sekali dan kerjasama PAS cukup baik. Dalam satu majlis baru-baru ini, ramai pemimpin PAS datang. Takkan mereka ini dah tukar parti. Saya kata kepada pemimpin Umno bahawa inilah sokongan yang PAS berikan. Tetapi ini tak dilaporkan media. Kalau tengok bahawa Nik Aziz telah memberi penegasan terhadap sokongan kepada Pakatan Rakyat di sini dan datang pada hari penamaan calon. Selain itu kalau dengar doa Ketua Dewan Ulamak, Ustaz Mohd Daud Iraqi, dia berdoa sangat kuat supaya kerjasama dalam Pakatan semakin kukuh. Ini satu 'signal' yang jelas bagisaya. Cara mereka hormati kami dalam muktamar cukup baik tetapi media tak perbesarkan. Seruan dan harapan Dato' Seri kepada pengundi? Mereka adalah sebagai keluarga, sahabat dan rakan-rakan saya sejak sekian lama. Bila saya terperpenjara mereka tetap setia kepada saya. Mereka beri laluan kepada Azizah (Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail). Justeru, saya menaruh keyakinan mereka akan terus bersama mendukung agenda Pakatan Rakyat. Mereka ini sahut seruan kita supaya untuk kemerdekaan iaitu kebebasan minda, ekonomi yang selama ini dicengkam golongan kaya Umno. Saya harap pengundi menyokong kerana rakyat Malaysia mengharapkan Permatang Pauh memberi lonjakan baru kepada agenda Pakatan Rakyat memulihkan sistem pentadbiran kerajaan yang dirosakkan Umno-BN. Saya harap mudah-mudahan mereka menggunakan peluang ini untuk perubahan dengan memberi sokongan kepada kita. - mr_ |
Saturday, August 23, 2008
Abdullah, Najib main isu liwat untuk sekat saya - Anwar
Posted by
Sang Pemantau
at
10:31 PM
Labels: DSAI, Harakahdaily, wawancara
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment