+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, September 24, 2008

Ahli sedih, pemimpin Pas suka ‘bergaduh’ di media massa

syukran.wordpress

Sedih dan kecewa, itulah gambaran perasaan ahli-ahli Pas diperingkat akar umbi bila melihat pemimpin tertinggi Pas ‘bergaduh’ di media massa. Pantang sahaja ada pertanyaan dari wartawan atau wakil media, pasti ada sahaja jawapan yang ingin dihamburkan.

Tanpa memikirkan kesannya kepada ahli, sesetengah pimpinan mengambil jalan mudah dengan melepaskan ‘tembakan rambang’ atau ‘tembakan tepat’ kepada sahabat pimpinan lainnya.

Beza pendapat adalah lumrah

Perbezaan pendapat dan juga pendirian adalah perkara lumrah. Namun hilangnya kewarasan dalam mencari ruang untuk melepaskan rasa tidak puas hati boleh mencederakan organisasi parti. Setiap pimpinan mempunyai pengikut dan peminat masing-masing.

Mereka inilah yang menyambung talian hayat setiap ungkapan pimpinan kesayangan mereka, hingga lupa bahawa pimpinan lain yang diserang itu adalah satu jamaah. Kadangkala terasa seperti sudah wujud kembali adegan berbilang jamaah atau jamaah dalam jamaah dalam organisasi parti.

Sesetengah pimpinan cuba tampil menjadi hero menceritakan apa yang mereka buat untuk jamaah.

Wujudnya sikap berpuak-puak

Bila seorang pimpinan menyokong pimpinan lain dan menyerang yang selebihnya maka secara tidak langsung akan wujud sekelompok opporturnis yang suka melabel hingga terciptanya gelaran ‘kumpulan erdogan’, ‘kumpulan Erbakan’, Syiah dan sebagainya dalam Pas. Kerakusan ini akhirnya menghalalkan perasaan berpuak-puak hingga menyalahi firman Allah yang bermaksud;

Wahai orang yang beriman Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain,(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan ke’aiban sesetengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik,)maka amatlah buruknya sebutan nama fasik(kepada seseorang) sesudah ia beriman,Dan(ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim.’
(Surah al-Hujurat:11)

Kadang kala terasa bodoh pula orang yang duduk dalam senario itu kerana membiarkan diri mereka hanyut pada sentimen pendapat masing-masing.

Muzakarah Pas-Umno, apa yang dikecohkan?

Kisah muzakarah Pas-Umno juga dijadikan modal untuk cabar mencabar hingga parti Pakatan lainnya memandang was-was pada Pas. Buruknya, ahli melihat perkara ini sebagai satu pengkhianatan, walhal menjadi tugas setiap ahli dan pimpinan Pas untuk berdakwah pada ahli Umno.

Bodohnya, kerana usaha yang disembunyikan itu dibocorkan oleh pimpinan yang terlibat. Saling tuduh menuduh dan tak mahu mengaku terlibat hingga akhirnya Presiden menjadi kambing hitam untuk dipersalahkan. Soalnya salahkah kita bertemu Umno untuk ajak mereka masuk Pas. Kita sudah tanam keyakinan pada pimpinan untuk dakwah pimpinan Umno, kenapa mesti ada ragu lagi?

Kalau PKR dan DAP boleh berunding dengan Umno, Gerakan dan MCA, kenapa kita tidak boleh. Kenapa ada pimpinan yang tidak bersetuju kalau Pas pun tarik pimpinan BN untuk sertai Pakatan. Seolah-olah hak untuk dakwah pimpinan BN aadalah hak mutlak PKR dan DAP. Peliknya pimpinan DAP tak kata apa, yang bising adalah sesama pimpinan Pas.

16 September cerita lama

Bila Mustafa Ali keluar kenyataan tidak yakin pada 16 September, ada pula puak-puak yang sengal kepala otak pergi hasut Nik Aziz untuk buat statement. Isunya adalah pandangan peribadi Mustafa, cuma yang silapnya pandangan itu disiarkan oleh akhbar parti hingga menyebabkan ahli keliru. Pimpinan harus bijak untuk mengeluarkan pandangan dan tidak menggunakan kedudukan mereka untuk memerangkap pimpinan lain dalam berbahas pendapat dengan mereka di media massa.

Bila Nik Aziz jawab, maka kecohlah satu negara. Seorang Tok Guru bertaraf Ulama’ dilihat tidak sehaluan dengan pimpinan kanan parti. Tidak cukup dengan itu, keluar pula tajuk baru…Mustafa gam Tok Guru dalam Harakah…walhal apa yang berlaku antara Tok Guru dan Mustafa hanyalah satu adegan bersoal jawab dan luahan pandangan. Tapi provokasi media menunjukan pada ahli seolah-olah mereka gaduh bermasam muka! Isunya adalah isu kecil. Hanya kerana pandangan peribadi kisahnya menjadi panjang.

Selangor lebih hebat dari Terengganu?

Selesai dengan Tok Guru, Khalid Samad pula masuk gelanggang. Seluruh negeri Terengganu diheret ke media massa untuk ditelanjangkan kegagalan mereka yang tidak menguasai Terengganu dalam Pilihanraya yang lepas berbanding dengan Selangor yang telah berjaya.

Kadang kala, hujah bertikam hujah mematikan hati kita dari mengingati adanya takdir Allah. Seolah-olah hebatnya manusia hingga mampu kalahkan takdir Allah. Kekalahan Pas Terengganu 8 Mac 2008 diulang tayang. Kisahnya dibakar semula untuk mencabar. Tapi cabar untuk apa? bukankah itu semua takdir Allah!

Apa perlunya perkara yang sudah berlalu itu dibangkit lagi. Kita sedang mara kehadapan. Perbaiki kesilapan.

Namun kekesalan itu tidak dapat dibendung kerana ada juga pimpinan masih tidak jemu mengeluarkan pandang panas mereka untuk menghangatkan pimpinan lain. Kadang kala ‘pergaduhan’ itu nampak lebih dahsyat lagi dari peperangan kita melawan Umno-BN.

Kembali rujuk perihal adab berjamaah

Oleh itu, diharapkan agar pimpinan Pas dapat menyelami diri dan membaca semula tentang adab-adab berjamaah. Ingatlah! apa yang anda buat itu mungkin akan menaikkan nama anda, tapi dalam masa yang sama imej jamaah akan dipandang hina oleh ahli. Ingatilah Hadis Rasulullah ini sebagai panduan;

Maksudnya:
Bersumber dari Abu Darda’ r.a., ia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda ‘Sesungguhnya bila ada seseorang mengutuk sesuatu maka kutukan itu naik ke langit tetapi pintu~pintu langit itu ditutup tidak mahu menerima kutukan tersebut,kemudian kutukan itu turun ke bumi tetapi pintu-pintu bumi itu ditutup tidak mahu menerima kutukan tersebut, kemudian kutukan itu lari ke kanan dan ke kiri; apabila kutukan itu tidak mendapat tempat maka ia mencari orang yang dikutuknya,apabila orang itu patut mendapat kutukan maka ia kembali kepada orang yang mengucapkan kutukan tersebut.’
(Riwayat Abu Daud)

Jangan biarkan kepentingan peribadi atasi menguasai jamaah. Jika ada masalah selesaikan secara musywarah. Tak dapat bermesyuarat, jumpalah secara peribadi. Segan nak jumpa, bolehlah telefon kalau ada yang tak puashati. Jangan rasa tidak puas hati itu dilontarkan ke media massa tau cerita pada orang ini dan orang itu…

Malulah pada Ahli. Anda pimpinan, tunjukanlah adab yang baik. Wajib bagi kita untuk terus mengerakkan dakwah ini dan menjadi contoh pada ahli.

Janganlah selepas ini anda membiarkan diri dimanipulasi oleh kumpulan berkepentingan termasuklah media massa yang ingin melariskan jualannya dengan gosip keretakkan hubungan pimpinan Pas.

Harakah jangan jadi batu api

Harakah sebagai lidah rasmi parti juga harus memainkan peranannya untuk menaikkan imej pimpinan bukannya menjadi batu api yang membakar organisasi Jamaah dengan menyiarkan berita-berita berkaitan perbezaan pendapat pimpinan secara melampau.

Apa yang dikeluarkan oleh Harakah, khususnya dalam isu ‘pergaduhan’ pimpinan sering ditiru oleh akhbar mainstream untuk mereka menyerang pimpinan Pas.

Sepanjang pemerhatian saya, isu panas antara pimpinan hanyalah berpunca dari perbezaan pendapat. Namun ianya telah diperbesarkan oleh media hingga menunjukkan suasana yang tidak terkawal.

Diharapkan agar pimpinan selepas ini tidak lagi jatuh ke dalam perangkap media atau sengal kepala untuk luahkan perasaan ketika berceramah!

Kita ceramah nak terangkan keburukkan Umno-BN bukannya nak ceritakan kelemaham sesama kita. Sesama kita kena baikilah kalau ada yang kurang bukannya malukan dihadapan seluruh rakyat dalam media dan ceramah!

Cukuplah setakat ini, saya sebagai pimpinan peringkat pertengahan pun bosan melihat gelagat segelintir pimpinan yang gedik nak jadi hero, inikan pula ahli yang berjuangan tanpa dikenali oleh pimpinan atasan ini.

Hormatilah Tok Guru-Tok Guru dalam Pas, Ulama’ kita dan juga pimpinan tertinggi. Sayangi ahli, semoga kita semua dapat bersama menikmati kemanisan berjamaah dalam erti kata yang sebenarnya. Jangan kerana kegelojohan kita dalam ‘bergaduh’ Allah tarik balik kemenangan yang dikecapi. Kembalilah pada Allah dalam apa jua permasalahan.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |