KUALA LUMPUR 21 Nov. - Harga minyak mentah dunia telah jatuh ke paras terendah sejak tiga tahun lalu kepada AS$48.54 (RM174.74) setong berikutan kebimbangan berterusan terhadap kemelesetan ekonomi dunia yang memberikan kesan kepada permintaan tenaga.
Di New York, kontrak hadapan minyak bermutu tinggi Light Sweet bulan Disember susut AS$4.00 (RM14.40) setong sebelum ditutup pada paras AS$49.62 (RM178.63) di New York Mercantile Exchange, semalam.
Minyak mentah Brent North Sea juga berada di bawah paras psikologi AS$50 setong apabila jatuh AS$0.48 (RM1.72) kepada AS$47.60 (RM171.36) setong, dan ditutup rendah AS$3.64 (RM13.10) kepada AS$48.08 (RM173) setong semalam.
Kejatuhan harga minyak di bawah paras AS$50 (RM180) menguatkan dakwaan tentang kaitan pasaran minyak dengan permintaan.
''Pasaran sedar dengan keadaan kemelesetan ekonomi akan memberi kesan ketara kepada permintaan minyak di negara-negara pasaran baru yang meningkatkan pasaran minyak mentah,'' kata Jason Feer, penganalisis pasaran tenaga Argus Media Ltd. di Singapura.
Penganalisis itu berkata, sentimen diburukkan lagi dengan laporan pengangguran di Amerika Syarikat (AS) negara pengguna minyak terbesar dunia.
Kadar pengangguran AS meningkat ke paras tertinggi sejak 16 tahun menguatkan lagi andaian bahawa negara ekonomi terbesar dunia itu berdepan dengan kemelesetan ekonomi.
Kesatuan Eropah (EU) juga sedang dihantui oleh kemelesetan ekonomi.
''Krisis ekonomi yang melanda menyebabkan harga tenaga berada di bawah tekanan sepanjang malam, dan kerugian dipercepatkan lagi,'' kata John Kilduff penganalisis MF Global.
Kebimbangan terhadap pertumbuhan perlahan ekonomi global dan kesannya kepada permintaan tenaga telah menyebabkan harga minyak menjunam daripada paras tertinggi melebihi AS$147 (RM529) setong pada Julai lalu.
''Apa yang mengejutkan adalah.... kepantasan kejatuhan harga yang berlaku,'' kata Feer.
''Minyak mentah semakin sukar untuk dijual.
''Pasaran saham dunia yang menjunam terutamanya di Asia, tiada berita positif yang dapat mengembalikan keyakinan kepada pasaran minyak,'' kata Simon Wardell, penganalisis minyak dengan IHS Global Insight.
Para penganalisis berkata, mereka menjangkakan harga pasaran akan terus lemah.
0 comments:
Post a Comment