+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Sunday, March 1, 2009

Apabila DUN Perak Dihalang Bersidang...

Greenboc

Sebelum ini kita dah paparkan di dalam satu undian SMS, 97% menyatakan tindakan Speaker Perak yang memanggil sidang tergempar DUN sebagai SAH.

Kami juga membuktikan deretan justifikasi mengapa rakyat membuat keputusan sedemikian.

Tetapi petang ini Setiausaha Dewan Negeri Perak, Abdullah Antong Sabri dalam satu kenyataan akhbar di Kuala Lumpur hari ini berkata, cadangan Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, V. Sivakumar untuk memanggil satu sidang tergempar dewan itu pada Selasa ini adalah tidak sah.

Menurut kenyataan itu, ia tidak boleh diadakan kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak berdasarkan Perintah Tetap Dewan Negeri serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Bukan disebabkan kerana mahkamah masih belum membuat keputusan berhubung status kerajaan negeri itu seperti didakwa oleh Najib.

Berbelit-belit sudah alasan untuk menghalang sidang tergempar DUN ini.

Seorang pakar Perlembagaan dari UIAM, Profesor Dr Abdul Aziz Bari pernah mengulas mengenai hal yang sama sebelum ini.

Aziz berkata di bawah Perkara 16(1) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, Sultan diberi tanggung jawab untuk memanggil sidang dewan, termasuk mempastikan bahawa DUN bersidang sekurang-kurangnya sekali setiap enam bulan.

“Peruntukan ini sama dengan Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kewajipan yang sama ke atas Yang di-Pertuan Agong”, jelas beliau ketika dihubungi.
Profesor undang-undang itu berkata, memanggil sidang DUN tidak termasuk di dalam hal-hal yang menjadi budibicara dan beliau berpendapat bahawa Yang di-Pertuan Agong atau Sultan atau Yang di-Pertua Negeri tidak boleh menyekat atau menolak permohonan untuk memanggil sidang.

“Pada hakikatnya kuasa ini adalah kuasa formal dan adalah tidak munasabah untuk Sultan, dalam kes Perak ini, untuk menolak atau menghalang permohonan speaker itu,” tegas beliau lagi. Pakar perlembagaan itu berkata, hujah tersebut diperkuatkan oleh teori yang meletakkan ketua negara atau ketua negeri sebagai sebahagian daripada mekanisme yang melindungi perlembagaan dan semangatnya.

“Kalau Sultan menolak permohonan itu bermakna Sultan sudah menyekat demokrasi dan ini bertentangan dengan Konsep Raja Berperlembagaan yang mesti selari dengan tuntutan demokrasi,” tambahnya lagi.

Aziz berkata sidang DUN itu juga perlu kerana Perkara 16(2)(a) dan (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak menyebut soal sokongan majoriti di dalam DUN dan ini perlu ditunjukkan secara telus dan terbuka. Ditanya mengenai pendapat yang mengatakan bahawa sokongan majoriti itu boleh ditunjukkan di luar dewan, Aziz berkata “pendapat itu sebenarnya pandangan yang agak lemah dan hanya boleh diterima sekiranya ada pihak, contohnya kerajaan yang ada, yang dalam konteks Perak Dato Seri Nizar, enggan atau menghalang sidang DUN”.

Beliau berkata pendapat itu berdasarkan kes Adegbenro yang diputuskan pada 1963. Katanya kes yang lebih baik ialah kes Stephen Kalong Ningkan yang diputuskan pada 1966 yang menghukumkan bahawa ia perlu dibuat di dalam dewan.

Aziz menambah peruntukan yang sama juga ada dalam Perlembagaan Persekutuan, yakni Perkara 43(2)(a) dan 43(4). Sebab itu, tegasnya, adalah salah apabila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyekat permohonan Dato Seri Anwar Ibrahim.

Aziz menjelaskan, “Memang speaker mempunyai kuasa mutlak tetapi ini berhubung dengan keahlian, perjalanan dewan dan seumpamanya. Apa yang berlaku di Perak ialah Speaker Sivakumar mahu proses menunjukkan sokongan itu berlaku sedangkan Pandikar Amin bertindak sebaliknya. Ini menyebabkan peruntukkan perlembagaan, khususnya Perkara 43(2)(a) dan 43(4) tersekat. Itu sebab saya pernah mengatakan bahawa speaker tidak harus menyelamatkan kerajaan dari diuji sokongannya oleh dewan. Apa yang berlaku di Perak betul kerana speaker mahu kerajaan yang ada membuktikan bahawa dirinya mempunyai sokongan majoriti di dalam dewan.

Pandikar Amin dipetik di dalam media sebagai berkata speaker dewan harus adil dan tidak memihak.

Aziz menambah di sisi perlembagaan, Anwar sebenarnya tidak perlu menulis surat kepada Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 16 September 2008 kerana Abdullah adalah ketua kerajaan dan bukan ketua dewan.

“Mungkin apa yang Anwar lakukan itu sekadar strategi politik, tetapi ia bukan satu syarat. Bagaimanapun kita perlu sedar bahawa Malaysia mempunyai budaya politik yang ganjil dan tidak mesra perlembagaan dan strategi seperti itu perlu,” ujar Aziz. Abdullah bagaimanapun menolak mentah-mentah sidang tersebut. Pandikar Amin juga enggan memberi laluan.

Aziz berpendapat di dalam keadaan sedemikian, Yang di-Pertuan Agong bertanggung jawab menitahkan sidang kerana isu sokongan majoriti amat penting dan ia adalah nyawa bagi sesebuah kerajaan di dalam sistem demokrasi berparlimen seperti Malaysia.

“Pada saya ini selaras dengan kehendak peruntukkan yang berkenaan, khususnya Perkara 43(2)(a), 43(4) dan 55(1) di baca bersama,” tambahnya. Keadaan yang sama wujud di Perak sekarang, kata Aziz.

Beliau berkata “jika sidang DUN tidak dipanggil sukar bagi kerajaan hendak menjalankan pentadbiran; contohnya mendapatkan kelulusan perbelanjaan dan pelbagai urusan rutin yang memerlukan dana yang mesti diluluskan oleh DUN dan sebuah kerajaan yang sah, yakni yang mempunyai dokongan majoriti di dalam dewan.”

Ditanya mengenai perlantikan Dato Dr Zambry Abd. Kadir oleh sultan beliau berkata, “itu tidak mengapa; isunya di sini ialah perlantikan itu perlu dibuktikan benar-benar sah oleh DUN kerana dewan yang mempunyai kata putus sama ada penilaian Sultan itu tentang sokongan majoriti kepada Zambry itu betul atau sebaliknya.”

Aziz berkata sokongan majoriti itu terpakai kepada Zambry dan Mohamad Nizar. Beliau menjelaskan soal sokongan majoriti itu boleh dibangkitkan di dalam dewan bila-bila masa sebagaimana yang biasa dilakukan di United Kingdom umpamanya.

“Katakan Zambry kalah kali ini, beliau boleh lepas ini membawa usul undi tidak percaya terhadap Mohamad Nizar pula kalau beliau berasa sokongan ahli dewan terhadap beliau bertambah. Begitu juga dengan ahli dewan yang lain yang berasa mereka mempunyai sokongan yang cukup. Proses ini dizinkan malah dikehendakki oleh perlembagaan,” tegasnya.

Konklusinya: biarkanlah, apa-apa pun rakyat tetap berkuasa dengan undi yang ada nanti semasa pilihanraya. Makin bertambah nampaknya simpati dan sokongan rakyat kepada Nizar dan PR.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |