|
|
IPOH - "Kedudukan Beta di atas politik. Selepas titah ucapan, anda boleh teruskan.''
Itulah yang dibisikkan oleh Pemangku Sultan Perak, Raja Dr. Nazrin Shah kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang kemudiannya mendorong kumpulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat akur untuk mengambil tempat duduk.
Ia menamatkan sementara kekecohan pada sidang Dewan kelmarin dan membolehkan Raja Dr. Nazrin merasmikan mesyuarat pertama penggal kedua sidang itu selepas hampir enam jam menunggu di Kamar Diraja.
Mohammad Nizar berkata, Raja Dr. Nazrin juga meminta semua ADUN Pakatan Rakyat menghormati titah ucapan baginda.
"Tuanku said he is above politics and he said later on after the speech you can go on,'' kata beliau pada sidang akhbar lewat petang kelmarin yang turut dihadiri ADUN Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham.
Penjelasan itu dibuat berikutan tanda tanya umum selepas melihat Mohammad Nizar dan Koo Ham dipanggil menghadap sebelum baginda merasmikan sidang Dewan.
Sebelum kedua-duanya dipanggil menghadap, mereka berada dalam kelompok 28 ADUN Pakatan Rakyat berkumpul di tengah Dewan untuk menyampaikan rasa tidak puas hati terhadap apa yang berlaku apabila bekas Speaker, V. Sivakumar diangkut keluar dari Dewan.
Selepas menerima titah tersebut, Mohammad Nizar memberi arahan kepada semua ADUN Pakatan Rakyat supaya kembali ke tempat duduk masing-masing dan mendengar titah ucapan Raja Dr. Nazrin.
0 comments:
Post a Comment