+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, May 28, 2009

Ekonomi merosot bawah -6 peratus

Malaysiakini

May 27, 09 5:35pm

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku tahun pertama Malaysia menguncup lagi 6.2 peratus selepas pertumbuhan perlahan 0.1 peratus suku terakhir tahun lepas.

Penguncupan itu lebih rendah daripada yang diramalkan sebelumnya, antara -4.5 peratus dan -5.0 peratus.

Gabenor Bank Negara berkata penguncupan itu akibat kemerosotan ketara dalam permintaan luar negeri susulan kemelesetan meruncing dalam negara-negara maju, lapor Bernama.

"Permintaan eksport terus lemah dan keadaan masih mencabar. Walaupun wujud tanda-tanda awal peningkatan, suku kedua dijangka sama dengan suku pertama (2009)," Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dilapor berkata ketika mengumumkan prestasi ekonomi negara hari ini.

"Malaysia dijangka menyaksikan perubahan ketara dalam suku ketiga tahun ini dan pertumbuhan positif pada tahap yang lebih tinggi pada suku keempat, yang akan berterusan pada tahun depan.

"Peningkatan akan berlaku, namun ia juga bergantung kepada persekitaran domestik dan luar negara.

"Jika langkah yang diambil oleh ekonomi lain tidak menunjukkan perubahan, maka suku kedua akan lebih teruk."

Mengulas lanjut mengenai penguncupan suku pertama, Dr Zeti berkata ia disumbangkan oleh ambilan iventori yang besar, terutama dalam sektor pekilangan dan komoditi.

Pelaburan tetap merosot disebabkan sentimen peniagaan yang lemah.

Perbelanjaan awam bagaimanapun memberikan sedikit sokongan kepada pertumbuhan.

Dari segi penawaran, kesemua sektor mengalami pengucupan, kecuali sektor pembinaan, lapor agensi berita itu lagi.

Sektor perkilangan merosot dengan ketara sebanyak 17.6 peratus (suku keempat tahun lalu: -8.8 peratus), didorong oleh pengucupan 23.1 peratus dalam industri berorientasikan eksport.

Industri elektrik dan elektronik merosot sebanyak 41.4 peratus.

Sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan yang mendatar dengan kemerosotan kecil 0.1 peratus (suku keempat tahun lalu: +5.7 peratus) terjejas terutamanya oleh subsektor yang berkait rapat dengan sektor perkilangan.

Sektor pertanian merekodkan penguncupan sebanyak 4.3 peratus (suku keempat tahun lepas: +0.5 peratus) disebabkan pengeluaran minyak sawit dan getah yang lebih rendah.

Kemerosotan dalam sektor perlombongan sebanyak 5.2 peratus (suku keempat 2008: -5.7 peratus) disebabkan kejatuhan harga minyak mentah dan pengeluaran gas asli.

Sementara itu, sektor pembinaan pulih untuk mencatat pertumbuhan yang positif sebanyak 0.6 peratus (suku keempat tahun lalu: -1.6 peratus) berpunca daripada peningkatan dalam pembinaan segmen ruang pejabat dan segmen bernilai tinggi dalam subsektor kediaman.

Kadar inflasi menyederhana kepada 3.7 peratus pada suku pertama (suku keempat 2008: 5.9 peratus) disebabkan inflasi yang lebih rendah dalam kategori makanan dan minuman tanpa alkohol dan pengangkutan.

Inflasi terus menjadi sederhana kepada 3.0 peratus pada April.

Dr Zeti berkata penyederhanaan selanjutnya dijangkakan dalam dua suku berikut dengan kadar inflasi di bawah 2.0 peratus bagi tahun ini.

Sementara itu, agensi berita nasional itu turut melaporkan Tan Sri Amirsham Abdul Aziz dilantik sebagai pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara, yang bertaraf menteri tetapi bukan anggota kabinet, berkuatkuasa Isnin ini.

Perdana menteri berkata majlis itu akan melapor terus kepada beliau, termasuk menasihati kerajaan dalam membentuk satu model baru ekonomi negara yang berteraskan kepada inovasi, kreativiti dan nilai tambah yang tinggi.

"Ia selaras dengan strategi untuk melonjakkan status ekonomi negara
yang berpendapatan sederhana kepada berpendapatan tinggi dan seterusnya ke arah status negara maju pada tahun 2020 nanti," kata Datuk Seri Mohd Najib Razak hari ini.

Anggota-angota lain majlis itu yang terdiri daripada pakar ekonomi dari dalam dan luar negara akan diumumkan tidak berapa lama lagi.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |