Berita Harian
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
Maizawati akui Akhil Hayy suami yang romantik dan bapa penyayang
"WALAUPUN tidak menyalahkan sepenuhnya, saya berasakan Waheeda patut juga berasa bertanggungjawab dalam hal ini. Perkara ini tidak akan berlaku jika lelaki tidak digoda. Kalau lelaki itu yang memulakan, sebagai wanita, dia ada hak untuk menolaknya, tambahan pula dia tahu lelaki itu suami orang.
“Tindakannya ke hulu ke hilir bersama-sama suami orang adalah kurang manis. Kehidupan saya, anak-anak dan ustaz teraniaya sejak kehadirannya dalam hidup kami.
“Sebelum ini, rumah tangga kami bahagia, tidak pernah timbul sebarang masalah. Ustaz juga seorang suami yang romantik dan bapa penyayang, tetapi jadi masalah apabila ustaz bertemu dengan dia (Waheeda),” demikian luahan isteri Akhil Hayy, Maizawati Zainal ketika dibawa berkunjung ke Balai Berita, Isnin lalu.
Hadir berjubah rona biru tua dengan raut wajah yang agak tenang menghadapi masalah itu, ibu kepada enam cahaya mata ini juga dilihat sangat tabah. Tiada setitik air mata pun tumpah kerana mungkin dirasakan sudah terlalu banyak air matanya dibazirkan sepanjang dua tahun memendam rasa.
Bagaimanapun, Maizawati menegaskan, dia tidak mahu luahan hatinya disalahertikan sebagai hendak menagih simpati daripada mana-mana pihak.
PERSEMBAHAN daripada akhil dan Waheeda pada sambutan Maulidur rasul peringkat Kebangsaan 1430H/2009M di Dataran Merdeka. |
Katanya, dia sekadar hendak bersuara dengan apa yang terbuku dalam hatinya kerana tidak tahan lagi dengan sikap suaminya yang terus berdiam diri. Malahan sehingga perkara ini didedahkan kepada pengetahuan umum, Akhil masih tidak menghubunginya.
“Saya bukan hendak seronok-seronok membuat tuntutan cerai. Saya pun tahu perkara itu dibenci Allah. Saya bukannya tidak pernah bersabar. Tapi sudah bersabar selama dua tahun.
“Dalam tempoh itu, saya banyak mengkaji baik dan buruknya tindakan ini. Saya lakukan semuanya ini kerana tidak mahu membiarkan perkara tidak elok berterusan.
“Saya bukanlah minta apa-apa. Saya tidak minta lebih, saya cuma minta dia lepaskan saya. Saya anggap sudah tiada jodoh antara kami. Jika dia sudah tidak sudi lagi dengan saya, jangan simpan macam ini, supaya senang saya buat haluan sendiri dan meneruskan kehidupan bersama anak-anak.
Maizawati Zainal, isteri Akhil Hayy. |
“Saya percaya tidak ramai wanita yang boleh bersabar apabila suami pergi tanpa khabar berita. Sikap ustaz dulu tidak seperti ini. Ke mana dia pergi, dia pasti menghubungi saya. Kalau tak sempat sekalipun, paling tidak dia hantar SMS,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut perubahan sikap suaminya, Maizawati berkata, ia bermula sejak dipertemukan dengan Waheeda menerusi sebuah program TV kira-kira dua tahun lalu.
“Dia mula jarang balik rumah dengan alasan kerja. Saya menghormati alasan itu dan memberi kepercayaan sepenuh hati, tanpa rasa sebarang curiga.
“Lama -kelamaan, saya dapati sikapnya semakin berubah. Jarang telefon kami dan bertanya khabar kami anak beranak. Kadang-kadang saya menghubunginya tetapi jarang berjawab. Tahun ini dia pulang ke rumah hanya tiga hari, itu pun tidak lebih lima jam,” jelas Maizawati yang mengaku agak kecewa dengan perubahan sikap suaminya.
Lebih mengecewakan lagi, katanya, apabila dia mendapat tahu suaminya mempunyai masa menonton wayang dan bersantai di tepi pantai bersama wanita lain sedangkan sering mengatakan tiada masa langsung untuk bersama isteri dan anak-anak atas alasan sibuk dengan kerja.
“Sebagai isteri, saya berhak untuk dikasihani, disayangi dan dibelai oleh lelaki bergelar suami. Tapi ustaz sering beri alasan sibuk dengan kerja, sedangkan dalam tempoh itu dia boleh luangkan masa bersama Waheeda, bukan dengan keluarganya sendiri.
“Saya pening sebenarnya. Kenapa ustaz takut sangat nak mengaku kalau betul mereka sudah berkahwin. Adakah dia bimbang nanti saya minta supaya berlaku adil menyebabkan dia tidak berani mendedahkan statusnya?” katanya sambil menyatakan rasa kasihan melihat keadaan anak-anak yang merindui kepulangan bapa tersayang.
Failkan perceraian pada 2 Jun
MAIZAWATI berkata, hatinya sudah tawar untuk menerima kembali suami selepas mengambil keputusan untuk memfailkan tuntutan cerai di Mahkamah Syariah pada 2 Jun depan.
Katanya, sebenarnya dia sudah mula bertindak memfailkan tuntutan cerai pada awal bulan lalu, tetapi membuat keputusan untuk menarik balik kerana berasakan tidak mahu mengaibkan suaminya.
Dia berharap dengan tindakan menarik balik tuntutan itu, Akhil Hayy dapat balik ke Ipoh, Perak untuk membincangkan masalah rumah tangga mereka.
Maizawati menjelaskan, dia akhirnya membuat keputusan nekad untuk bercerai selepas suaminya tetap tidak muncul walaupun diminta untuk balik ke rumah.
“Hati saya sudah tawar untuk menerimanya semula. Bagi saya sudah terlambat untuk memulihkan hubungan ini,” katanya.
Jangan lupakan anak-anak
MAIZAWATI mengaku, dia tidak percaya suaminya sudah berkahwin dengan Waheeda kecuali ada pihak yang membuktikan sebaliknya.
“Kalau betul ustaz sudah berkahwin, kenapa hendak disorokkan. Tetapi setakat ini saya percaya mereka belum berkahwin. Selagi tiada bukti ustaz sudah berkahwin lagi, saya tidak akan mempercayainya (suaminya sudah berkahwin lagi). Tetapi kalau mereka sudah berkahwin, saya doakan mereka bahagia.
“Cuma saya hanya minta ustaz dapat menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa seperti biasa,” katanya.
Menurutnya, apa pilihan yang dia ada kalau suaminya benar-benar mahu mengahwini Waheeda tetapi paling penting ialah tidak mengabaikan tanggungjawabnya kepada anak-anak.
“Saya boleh terima kalau betul ustaz mahu berkahwin lagi, malahan saya sudah memberikan keizinan kepadanya ketika dia balik ke rumah pada awal tahun ini.
“Pada waktu itu juga, ustaz mengaku mahu memperisterikan Waheeda, tetapi sampai sekarang saya tidak tahu apakah kesudahannya hubungan mereka. Kalau dia mahukan suami saya, ‘minta’ cara baik.
“Saya berusaha untuk memahaminya kalau dia kata mereka tidak boleh berenggang. Cuma satu saja harapan saya kepada ustaz iaitu jangan lupakan anak-anak,” katanya.
0 comments:
Post a Comment