Malaysiakini | |||
|
Bendahari PKR Hulu Selangor, Dr Halili Rahmat hari ini mengumumkan keluar daripada PKR dan menyertai Umno.
Dr Halili Rahmat (foto:kiri) merupakan seorang pakar bedah saraf dan rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana pernah menjadi doktor peribadi ketua umum PKR itu.
Sebelum ini, beliau disebut-sebut antara yang disenaraikan untuk bertanding mewakili PKR dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.
Bagaimanapun, Anwar kemudiannya mengumumkan pemilihan penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim untuk bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut.
Anak kelahiran Ulu Yam, Dr Halili pernah dua kali bertanding dalam pilihan raya umum sebelum ini pada 1999 (Hulu Selangor) dan 2004 (DUN Batang Kali), tetapi tewas kedua-duanya.
Bercakap dalam sidang akhbar dengan ditemani bekas setiausaha agung PKR, Salehuddin Hashim, beliau berkata:
"Saya menyedari akan ada yang menuduh bahawa tindakan saya ini kerana kecewa tidak terpilih sebagai calon PKR bagi pilihan raya kecil parimen Hulu selangor kali ini.
"Saya tidak pernah meminta atau menawar diri untuk dipilih menjadi calon PKR dalam pilihan raya ekcil Hulu Selangor ini, dan saya juga tidak pernah mengatakan saya menerima pelawaan untuk menjadi calon, walaupun ada pemimpin PKR yang telah mencadangkan demikian."
Dr Halili berkata, walaupun beliau pernah bertanding atas tiket PKR dalam pilihan raya 1999 dan 2004, tetapi "bagi pilihan raya kecil kali ini, saya merasa berat kerana realiti di peringkat masyarakat bawahan kini sudah berubah."
"Saya juga membuat kenyataan ini pada hari ini semasa kehangatan kempen pilihan raya Hulu Selangor dengan tujuan tidak mahu nama saya digunakan oleh PKR untuk memancing undi seolah-olah pendirian saya terhadap PKR masih sama seperit di zaman Deklarasi Permatang Pauh," tambahnya.
Sebagai anak jati Hulu Selangor yang masih berkampung di Ulu Yam, Dr Halili berkata amat sukar baginya untuk mempertahankan kredibiliti PKR.
Beliau mendakwa, ia memandang tidak ada apa pun yang telah dibuat oleh PKR untuk kesejahteraan pengundi Hulu Selangor dalam masa dua tahun parlimen ini dikuasai oleh PKR dan Pakatan Rakyat memerintah Selangor.
"Saya mengetahui dan faham bahawa allahyarham wakil rakyat sebelum ini, uzur tetapi menghairan saya kenapa PKR tidak berbuat sesuatu bagi membantu pejabat beliau untuk memberi khimdat kepada pengundi di Hulu Selangor," tambahnya.
Sehubungan itu, Dr Halili berkata, terbukti yang PKR hanya sibuk merayu undi pada waktu pilihan raya sahaja tetapi mengabaikan amanah rakyat seperti yang dijanjikan masa kempen pilhan raya.
"Perkara sedemikian tidak ssepatutnya berlaku dan saya diberitahu oleh orang kampung saya bahawa mereka akan memastikan ia tidak akan berlaku lagi," tambahnya.
Sebab masuk Umno
Dr Halili juga mendakwa bahawa PKR hari ini dikuasai oleh kumpulan kecil pemimpinnya yang berfikiran sempit dan memajukan ideologi-ideologi berhaluan kiri yang tidak disenangi oleh orang Melayu khususnya dan rakyat Malaysia umumnya.
Sehubungan itu, beliau mendakwa bahawa sudah nyata lagi jelas, PKR bukan lagi sebuah wadah parti politik perjuangan "tetapi lebih condong kepada parti yang pentingkan kuasa, hingga tidak memperdulikan kesejahteraan rakyat walaupun diberi mandat untuk mentadbir di beberapa buah negeri."
Sebaliknya, kata beliau, pada masa yang sama, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk membawa perubahan politik untuk Umno dan BN.
Ini, katanya, mendorong beliau terus membuat keputusan untuk menyertai Umno.
'Mungkin diberi bedah hidung pula'
Dr Halili juga berkata keputusannya keluar parti dan menyertai Umno sudah lama dibuat.
Ditanya kenapa beliau hadir pada hari pengumuman calon PKR pada 13 April lalu, beliau hanya menjawab:
"Mungkin nama saya dicalonkan, dinaikkan saya kena datanglah. Ingin tahu, kerana kamu juga yang tulis dalam suratkhabar media, anak tempatan, perkara macam itu," katanya,.
Beliau juga memberitahu, itu kali terakhir beliau bertemu Anwar.
Sejak disebut-sebut disenarai pendek menjadi calon PKR, ini merupakan kali pertama Dr Halili bersemuka dengan media membuat kenyataan mengejutnya itu.
Bagaimanapun, pengumumannya yang dibuat sehari selepas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membayangkkan membayangkan perkara itu, menimbulkan tandatanya sama ada beliau ditawarkan 'imbuhan' untuk itu.
Dr Halili bagaimanapun menafikannya dengan separuh berjenaka: "Saya sekarang ini (pakar) bedah otak, mungkin dia beri saya bedah hidung. Tak tahulah," kata Dr Halili.
Bagaimanapun, tambahnya, jika terdapat pihak yang akan menuduhnya dibeli, itu terpulanglang kepada mereka.
"Memang adatlah. Tetapi kita masyarakat sivil, sangat tamadun, ada demokrasi. Jadi macam-macam pandangan ada. Jadi kita kena hormatilah pandangan yang berbeza," katanya
Beliau juga enggan mengulas mengenai pencalonan Zaid dan calon BN P Kamalanathan atau akan turut serta berkempen di Hulu Selangor.
Sebaliknya, jelas Dr Halili, beliau akan berlepas ke Melbourne, Australia selepas ini bagi menghadiri konvokesyennya di Universiti Monash - satu keputusannya yang didakwa sudah lama dibuat dan "bukan untuk lari".
Dalam sidang media kira-kira 25 minit itu, Dr Halili bagaimanapun kelihatan sedikit 'gugup' dengan mengabaikan beberapa soalan media, kerap meneguk air dan kerap kali mengambil masa dan berbisik kepada Salehuddin sebelum menjawab soalan.
Malah di pertengahan sidang media beliau sempat berkata: "tak pernah dapat banyak kamera sebelum ini."
Bagaimanapun, di penghujung sesi itu beliau kelihatan lebih yakin apabila meminta soalan tambahan walaupun Salehudin sudah mahu menamatkan sidang media itu.
"Seronok juga, boleh tanya dua lagi, bukan selalu boleh macam ni," katanya disambut gelak ketawa kira-kira 70 petugas media.
0 comments:
Post a Comment