+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, July 1, 2008

Saiful datang pejabat minta surat sokongan – Najib

Utusan Online


Mohd. Saiful Bukhari Azlan bersama Khairil Anas Yusof seperti yang ditunjukkan oleh Dr. Wan Azizah Wan Ismail daripada telefon bimbitnya, semalam.


KUALA LUMPUR 30 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjelaskan, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, lelaki yang membuat dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwatnya, datang ke pejabat Timbalan Perdana Menteri tiga bulan lalu untuk mendapatkan surat sokongan bagi mendapatkan pinjaman daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Menurut Najib, lelaki terbabit merupakan seorang pemimpin pelajar dan adalah perkara biasa para pemimpin pelajar mengadakan perjumpaan dengan pegawai-pegawainya untuk mendapatkan sokongan.

“Mohd. Saiful juga ada mengambil gambar dengan menteri-menteri Kabinet lain,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.

Najib mengulas tindakan lelaki berusia 23 tahun itu membuat laporan polis di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 5.45 petang kelmarin dengan mendakwa Anwar meliwatnya di sebuah kondominium di Damansara pada 26 Jun lalu.

Semalam, isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyangkal pembantu khas Anwar itu. Wan Azizah mendakwa tuduhan Mohd. Saiful merupakan satu konspirasi politik terhadap suaminya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut menunjukkan gambar Mohd. Saiful bersama seorang pegawai khas pejabat Timbalan Perdana Menteri, Khairil Anas Yusof yang didakwanya diterima menerusi mesej khidmat pesanan ringkas (SMS).

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, perkara pokok dalam kes dakwaan liwat terhadap Anwar ialah sama ada kejadian terbabit berlaku atau sebaliknya.

‘‘Sama ada kejadian itu berlaku atau tidak terpulang kepada pihak polis untuk menentukannya. Ini soal undang-undang... biarlah undang-undang menentukannya,” kata beliau.

Berhubung keselamatan Anwar, Najib menegaskan, keselamatan pemimpin pembangkang itu dijamin oleh undang-undang Malaysia.

Mengenai tindakan pemimpin PKR itu berlindung di kedutaan Turki di ibu negara kerana bimbang ancaman keselamatan daripada ejen-ejen BN, Najib memberitahu, BN tidak pernah bertindak demikian.

‘‘BN tidak terlibat dalam mengugut atau mengancam ahli-ahli politik dan ia bukan amalan yang dilakukan oleh BN,” katanya.

Najib memberitahu, tindakan pemimpin PKR itu mendapatkan perlindungan di kedutaan Turki perlu dilihat dari segi undang-undang antarabangsa.

Jelasnya, kedutaan Turki merupakan kawasan milik negara tersebut tetapi beliau mempersoalkan apakah tindakan Anwar itu bertujuan untuk mendapatkan perlindungan politik atau lari daripada undang-undang negara.

‘‘Kerajaan perlu memastikan dahulu tujuan Anwar mendapatkan perlindungan di kedutaan Turki sebelum menentukan tindakan yang perlu diambil.

‘‘Perkara ini akan diserahkan kepada Kementerian Luar untuk mengambil tindakan berdasarkan undang-undang antarabangsa. Tindakan Turki ini tidak akan menjejaskan hubungan kedua-dua negara,'' katanya.

Read More...

Amerika tidak perlu campur tangan dalam hal ehwal Malaysia, kata Ali Rustam

Mstar Online

01-07-2008 07:25:57 PM

MELAKA: Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengingatkan Amerika Syarikat agar tidak campur tangan dalam hal ehwal Malaysia mengenai dakwaan liwat terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Amerika Syarikat tidak boleh mencampuri hal ehwal Malaysia yang merupakan sebuah negara merdeka dan berdaulat.

"Kita (Malaysia) sebuah negara yang merdeka, bebas dan demokrasi, kita bukan negara yang dijajah oleh Amerika Syarikat, jadi tidak ada sebab mereka hendak beri amaran kata dua kepada kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program pembekalan beras super tempatan 15 peratus hancur oleh Pemasaran Melaka Sdn Berhad kepada peruncit di sini, hari ini.

Mohd Ali mengulas kenyataan jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Tom Casey semalam yang menyatakan Amerika Syarikat menentang siasatan atau pendakwaan ke atas Anwar yang bermotifkan politik.

Seorang bekas pembantu Anwar telah membuat laporan polis pada Sabtu lepas mendakwa diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu di sebuah kondominium mewah di Damansara, Kuala Lumpur.

Anwar telah menafikan dakwaan itu yang dibuat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, dan telah mengemukakan saman terhadap lelaki itu.

Mohd Ali mempersoalkan siapa Amerika Syarikat untuk memberi amaran kepada Malaysia tidak boleh menjalankan undangundangnya sendiri.

"Kita bukan berada dalam zaman penjajahan di mana negara lain menentukan perundangan negara lain, kita hidup dalam negara yang bebas merdeka, kita ada undang-undang kita sendiri dan kita berhak menentukan negara dan nasib kita," kata Mohd Ali yang juga Ketua Menteri Melaka.

Beliau berkata campur tangan Amerika Syarikat itu berkemungkinan terdapat konspirasi dengan Anwar untuk menekan Malaysia.

Malaysia sebagai sebuah negara merdeka tidak perlu takut untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan undang-undang negara ini, katanya. BERNAMA


Read More...

Rosmah: Saya tidak takut apa-apa

Malaysiakini

Jul 1, 08 12:09pm

Isteri timbalan perdana menteri berkata beliau tidak bersalah dan "tidak ada apa-apa yang perlu ditakutkan" berhubung dakwaan terlibat dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

"Mereka yang tidak bersalah tidak perlu takut. Saya tidak ada apa-apa lagi hendak dikatakan dan saya telah memberikan keterangan kepada polis," kata Rosmah Mansor hari ini.

"Saya bukan seorang ahli politik dan saya tidak bertanding apa-apa jawatan. Saya hanyalah isteri seorang ahli politik (Datuk Seri Najib Razak)," tambahnya.

rosmah mansor and altantuya murder caseKenyataan ini kali pertama dibuat selepas dakwaan-dakwaan menggemparkan penulis blog popular Raja Petra Kamarudin dalam akuan berkanunnya pada 18 Jun lalu.

Rosmah membayangkan beliau tidak akan membawa dakwaan Raja Petra ke muka pengadilan.

"Saya tidak mahu menangani isu-isu tidak perlu. Saya ada perkara lebih penting untuk diuruskan demi rakyat dan negara ini," katanya selepas merasmikan persidangan Asia Pasifik mengenai penerbitan buku kanak-kanak di bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra pagi ini.

Rosmah menegaskan dakwaan-dakwaan itu tidak meresahkannya dan menambah "tidak perlu layan semua ini, jika anda tidak bersalah."

Rabu lepas, Najib menafikan isterinya terbabit dalam pembunuhan wanita Mongolia itu seperti didakwa oleh pengendali blog Malaysia Today minggu sebelumnya.

Najib juga berkata, Rosmah telah dipanggil memberi kenyataan kepada polis ekoran dakwaan terbaru dalam akuan berkanun penulis sensasi itu.

Najib berkata akuan Raja Petra itu satu "pembohongan dan sampah" semata-mata.

Najib juga menyifatkannya sebagai satu tindakan terdesak untuk mencemarkan imej politik beliau.

Raja Petra, dalam akuan berkanunnya, mendakwa Rosmah bersama dua lagi berada di tempat kejadian sebelum warga asing itu diletupkan.

Najib dan isterinya beberapa kali menafikan pembabitan mereka dengan kes ini, yang masih dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pengendali blog itu juga mendakwa perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerima maklumat tentang pembabitan tiga individu itu, termasuk Rosmah, dan menyerahkan laporan perisikan kepada menantunya dan juga naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Dalam perkembangan berkaitan, polis mengesahkan telah mengambil keterangan Rosmah dan dua lagi yang dikaitkan dengannya, seperti dalam akuan Raja Petra, yakni seorang yang didakwa berpangkat kolonel dan isterinya, yang juga pengawal peribadi isteri Najib.

Satu pasukan siasatan khas dari ibu pejabat polis Bukit Aman merakamkan keterangan Rosmah di kediamannya kelmarin, kata pengarah siasatan polis persekutuan Datuk Bakri Zinin hari ini, lapor Bernama.

Abdullah dan Khairy masing-masing telah menafikan dakwaan dalam akuan Raja Petra itu. Berita asal

Read More...

Dakwaan liwat Anwar: Amerika beri Malaysia amaran

, Mstar Online

01-07-2008 06:54:54 PM
Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB

(Dikemas kini) PETALING JAYA: Amerika Syarikat (AS) hari ini memberi Malaysia amaran agar tidak menjadikan dakwaan terbaru kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim satu siasatan yang 'bermotifkan' politik.

Malah, AS juga menggesa agar Anwar tidak dikenakan tuduhan liwat.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Tom Casey yang dipetik AFP berkata: "Perkara utama bagi kami ialah undang-undang seharusnya mengatasi soal politik."

"Dan, kami sudah pasti menentang sebarang bentuk penguatkuasaan undang-undang atau prosedur-prosedur kehakiman bagi apa jua tujuan selain daripada tujuan undang-undang itu sendiri."

Sambil menyatakan bahawa Anwar pernah berhadapan dengan tuduhan seumpama itu pada masa lalu tetapi telah diketepikan oleh mahkamah, Casey berkata: "Jadi, kami berharap paten yang sama tidak berulang."

Semalam Anwar keluar daripada berlindung di kediaman Duta Turki di Kuala Lumpur selama lebih 30 jam.

Read More...

LAGI GAMBAR ANWAR KETIKA MENINGGALKAN KEDUTAAN TURKI

Mstar Online

30-06-2008 08:34:05 PM





Read More...

Ezam: Jangan termakan cerita konspirasi Anwar

Utusan Online

KUALA LUMPUR 30 Jun – Orang ramai diminta tidak termakan dengan ‘cerita’ Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim konon wujud konspirasi untuk menjatuhkannya menggunakan laporan polis yang mendakwa beliau meliwat seorang pembantunya baru-baru ini.

Bekas Setiausaha Politiknya, Mohamad Ezam Mohd. Nor berkata, adalah mustahil kerajaan sengaja mereka-reka atau membuat konspirasi seumpama itu untuk menjatuhkan Anwar.

“Secara logiknya, tiada siapa hendak buat konspirasi dengan menggunakan ‘modal’ yang sama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini malam ini.

Menurutnya, perbuatan Anwar mengaitkan nama beberapa pemimpin negara dan kerajaan dengan konspirasi serta menuduh mereka membuat dakwaan itu untuk menjatuhkannya juga bercanggah dengan ajaran Islam.

“Jika Anwar tidak suka dirinya dituduh tanpa bukti, dia juga tidak harus berbuat perkara yang sama.

“Kalau ada bukti, tunjukkan. Jangan tuduh sembarangan dan kemudian pergi bersembunyi. Kenapa?” ujar Mohamad Ezam merujuk kepada tindakan Anwar berlindung di kedutaan Turki di ibu negara sejak awal pagi semalam.

Ketika ditanya mengenai dakwaan kejadian liwat yang membabitkan Anwar dan pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, Ezam memberitahu, apa yang berlaku “adalah antara Anwar, Mohd. Saiful dan Allah.”

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, Anwar merupakan seorang yang pandai bermain sandiwara bagi menutup kelemahan peribadinya.

Beliau berkata, bekas Timbalan Perdana Menteri itu sanggup melakukan apa sahaja bagi menutup kelemahan diri termasuk menggunakan kedutaan asing bagi meraih perhatian antarabangsa.

“Dia menggunakan alasan kononnya wujud konspirasi sekali lagi oleh kerajaan untuk menjatuhkannya sedangkan tuduhan itu tidak benar,” kata Mohd. Ali.

Beliau berkata tindakan Anwar menggunakan pelbagai pihak untuk bercakap bagi pihaknya dengan mendakwa kes itu sebagai konspirasi hanya memburukkan imej negara, kerajaan dan rakyat.

“Kalau beliau (Anwar) tidak bersalah, beliau patut berani hadapi pihak polis dan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Read More...

'Saiful ada pertemuan sulit dengan Rosmah berulang kali' - Anwar

Harakahdaily

Azamin Amin | Foto Wan Zahari Wan Salleh

Wed | Jul 02, 08 | 1:49:57 am MYT

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Hrkh) - Penasihat KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim memberitahu bahawa bekas pembantu beliau Saiful Bukhari Azlan yang membuat dakwaan liwat terhadapnya mempunyai hubungan rapat dengan Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor. Image

"Saiful ada pertemuan sulit dengan Rosmah berulang kali malah ada SD (Surat Akuan Bersumpah) tentang apa yang berlaku di pejabat Timbalan Perdana Menteri itu," katanya dalam satu sidang media di pejabat KeADILan jam 3.45 petang tadi.

Beliau mengadakan sidang media tersebut sebaik sahaja pulang dari ibu pejabat kontijen polis Selangor kerana memberi keterangan dan laporan terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Menemani beliau ialah beberapa peguam dan pemimpin KeADILan seperti Naib Presiden Sivarasa Rasiah, Bendahari parti William Leong dan Ketua Angkatan Muda Shamsul Iskandar Md Akin.

Turut hadir, ahli parlimen Padang Serai Gobalakrisnan dan exco kerajaan Selangor dan juga ahli majlis pimpinan tertinggi parti itu, Dr Xavier Jayakumar termasuk hampir 50 orang penyokong Anwar berada di luar pintu masuk IPKS. Image

Dalam pada itu beberapa ahli-ahli parlimen PKR termasuk anaknya Nurul Izzah Anwar hadir di depan pintu dan dihalang masuk ke ibu pejabat polis tersebut sehingga menimbulkan sedikit kekecohan dengan anggota polis untuk beberapa minit ketika ketibaan Anwar.

Anwar dan para penyokongnya meninggalkan bangunan IPKS jam 3.20 petang dan menuju ke ibu pejabat parti di Tropicana, Petaling Jaya.

Dalam sidang media itu juga, beliau sekali lagi menafikan dakwaan yang dibuat oleh Saiful tersebut dan mempunyai bukti kukuh dan alibi yang boleh mengaitkan tentang insiden berkenaan namun Anwar berkata beliau akan mendedahkan dakwaannya itu dalam masa terdekat.

"Saya ingin memberi amaran dan ingatan agar jangan sesiapa mengulangi konspirasi jahat ini," tegas di hadapan puluhan wartawan dalam dan luar negara. Image

Beliau juga menafikan Mohd Saiful seorang pegawai peribadinya dan akan menjelaskan pada jangka masa terdekat tentang tarikh dan tempat kejadian itu yang dikaitkan dengan beliau.

"Perkara itu tidak berlaku. Saya mempunyai bukti kukuh dan alibi tentang kes ini," katanya

Sementara itu satu ceramah penjelasan isu menggemparkan ini akan diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam pada 8.30 malam ini yang bakal dihadari oleh Anwar sendiri. _

Read More...

Laporan polis Anwar Ibrahim

Malaysiakini

Jul 1, 08 5:37pm

Berikut teks lengkap laporan polis yang dibuat di ibu pejabat polis kontinjen Selangor di Shah Alam petang ini:


Saya, Anwar bin Ibrahim (No K/P: 470810-07-5095), sesungguhnya di sini membuat laporan polis berikut berdasarkan maklumat yang telah saya perolehi baru-baru ini.

1. Laporan ini adalah berkaitan dengan siasatan terdahap serangan fizikal yang dilakukan ke atas saya oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor (“Rahim Noor”) pada 20hb September 1998. Saya percaya Tan Sri Rahim Noor, selepas didakwa, telah mengaku bersalah atas tuduhan serangan fizikal tersebut. Saya telah membuat laporan polis berkenaan serangan fizikal tersebut pada 27.9.98.

2. Berkaitan dengan penyiasatan terhadap serangan fizikal tersebut, saya percaya bahawa Pegawai Penyiasat, ACP Mat Zain bin Ibrahim (sekarang Datuk Mat Zain) telah melakukan satu penyiasatan yang mendalam dan menyeluruh dan menyediakan satu kertas siasatan (“IP”) yang telah kemudiannya pada Oktober 1998, menyerahkannya kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Mokhtar Abdullah (“Tan Sri Mokhtar”) serta pasukannya yang antaranya termasuklah Peguam Negara sekarang Tan Sri Gani Patail untuk tindakan lanjut.

3. Kertas siasatan tersebut telah menyimpulkan bahawa Tan Sri Rahim Noor adalah pelaku serangan fizikal tersebut ke atas saya. Kertas tersebut telah membuat kesimpulan setelah siasatan menyeluruh dilakukan, dengan mengambilkira laporan perubatan daripada pakar forensik daripada Hospital Kuala Lumpur seperti Dr. Ab. Halim Haji Mansar dan Dr. Zahari bin Noor dan kenyataan dari sekurang-kurangnya 60 orang saksi. Laporan perubatan tersebut menyimpulkan bahawa kesan kecederaan yang dilakukan ke atas saya adalah konsisten dengan satu serangan fizikal.

4. Walaupun kandungan kertas siasatan dan lapuran perubatan yang tersedia, Tan Sri Mokhtar dengan bantuan Peguam Negara hari ini dan, Tan Sri Gani Patail telah mendapatkan khidmat seorang pegawai perubatan bernama Dr. Abdul Rahman bin Yusof (Dr. Abdul Rahman).

5. Dr. Abdul Rahman dalam satu laporan tidak bertarikh menyediakan laporan kedua yang menyentuh “lakonan semula tempat kejadian” pada 14 Disember 1998. Saya percaya bahawa “lakonan semula tempat kejadian” tersebut tidak pernah berlaku.

6. Adalah satu fakta yang tidak disangkalkan bahawa laporan perubatan Dr Abdul Rahman berhubung serangan yang dilakukan terhadap saya disediakan tanpa langsung melakukan pemeriksaan fizikal ke atas saya terlebih dahulu.

7. Walaupun sudah ada kertas siasatan dan laporan kesihatan yang lengkap, Tan Sri Mokhtar dalam kenyataan akhbarnya bertarikh 5 Januari 1999, menerima pandangan yang diberikan oleh Dr. Abdul Rahman mengenai apa yang dikatakan sebagai “perkara-perkara tidak konsisten” dalam laporan perubatan doktor-doktor lain yang telah menjalankan pemeriksaan fizikal ke atas saya.

8. Kenyataan akhbar Tan Sri Mokhtar juga menyatakan siasatan yang telah dijalankan tidak dapat mengenalpasti individu atau mereka yang menyebabkan kecederaan ke atas saya. Ini sesungguhnya bercanggah dengan laporan siasatan yang selesai dilakukan menjelang Oktober 1998 yang menyimpulkan bahawa Rahim Noor menyerang saya. Tan Sri Mokhtar dan pasukannya dengan itu telah secara sengaja mengelirukan masyarakat. Apabila siasatan polis menjadi tidak lengkap, orang ramai menjadi resah dan menuntut ditubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja. Tan Sri Mokhtar juga telah membuat kenyataan palsu bahawa kertas siasatan telah diserahkan kepada beliau hanya pada 19.11.98. Saya percaya Tan Sri Gani Patail ada makluman penuh tentang kenyataan palsu yang terkandung dalam kenyataan akhbar tersebut.

9. Saya juga percaya Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Gani Patail telah hadir di Bukit Aman pada 20 September 1998 dan mengetahui mengenai serangan Tan Sri Rahim Noor terhadap saya. Tan Sri Musa dan Tan Sri Gani selanjutnya menyembunyikan fakta mengenai serangan terhadap saya dari pengetahuan umum sehinggalah mata saya yang lebam dan kecederaan yang saya alami didedahkan di mahkamah.

10. Saya percaya kedua-dua Tan Sri Musa dan Tan Sri Gani Patail secara aktif terlibat dalam menyediakan laporan kedua tidak bertarikh oleh Dr. Abdul Rahman yang telah membuat kesimpulan palsu dan pelik seperti “the pattern and nature of the injuries are not consistent with a direct blow” [“bentuk dan ciri kecederaan adalah tidak konsisten dengan pukulan secara langsung”], “accidental nature of the injuries could not be ruled out” [“kemungkinan kecederaan ini disebabkan oleh kemalangan tidak boleh ditolak”] dan “self-inflicted nature of the injury should be considered” [kemungkinan kecederaan disebabkan perbuatan sendiri harus diberikan pertimbangan”]. Mereka mengarahkan Dr. Abdul Rahman untuk menyediakan lapuran kedua ini dan bertindak di bawah pengarahan dan/atau bersama Tan Sri Mokhtar Abdullah.

11. Semua fakta-fakta ini menunjukkan Tan Sri Musa Hassan, Tan Sri Gani Patail dan SAC II Datuk Mat Zain bin Ibrahim (individu, yang menurut Dr. Abdul Rahman dalam lapurannya, telah mengiringi beliau ke sel di Bukit Aman di mana saya ditahan dan terlibat dalam apa yang didakwa ‘lakonan semula tempat kejadian’) telah berpakat dengan Dr. Abdul Rahman untuk menyediakan lapuran kedua ini. Ini telah dilakukan agar lapuran polis saya bertarikh 27.9.98 mengenai serangan tersebut akan dikira sebagai lapuran polis palsu dan saya boleh didakwa, atau sekurang-kurangnya merosakkan kredibiliti saya bagi memberi kesan buruk terhadap pembelaan saya dalam kes-kes jenayah yang mana saya telah didakwa melakukan ‘korupsi’ dan liwat bagi membolehkan saya didapati bersalah.

12. Saya ingin menyatakan bahawa Tan Sri Gani Patail adalah pegawai pendakwa kanan yang membantu Tan Sri Mokhtar dalam membuat pendakwaan ke atas saya. Tan Sri Musa Hassan adalah Pegawai Penyiasat dalam pendakwaan terhadap saya. Saya juga percaya, satu tindakan yang tidak pernah dibuat sebelum ini telah diambil apabila satu bilik operasi khusus telah disediakan di Bukit Aman untuk menguruskan pendakwaan saya dan di mana mereka akan berjumpa secara kerap.

13. Ini bukanlah kali pertama dakwaan mengenai pemalsuan bukti dibuat berkaitan Tan Sri Gani Patail. Saya dimaklumkan bahawa dalam keputusan Mahkamah Persekutuan Zainur bin Zakaria v Public Prosecutor [2001] 3 MLJ, Steve Shim, Hakim Besar, dalam penghakiman beliau menyatakan bahawa "... was he not justified, on a prima facie basis, in complaining that Tan Sri Gani Patail’s conduct at the meeting on 2.10.1998 was an attempt to get Nalla to fabricate evidence in order to perfect charges against him for other alleged sexual offences?"

Perkataan “he” dan “him” dalam ayat di atas merujuk kepada diri saya.

14. Berkenaan perkara di atas, saya merujuk kepada dokumen berkenaan bagi membantu siasatan polis:

a. Kenyataan akhbar Tan Sri Mokhtar yang dibuat pada 5.1.99.
b. Nota prosiding dalam lapuran Suruhanjaya DiRaja berkaitan keterangan Dr Abdul Rahman
c. Laporan Kesihatan kedua yang dibuat oleh Dr. Abdul Rahman yang terkandung dalam lapuran Suruhanjaya.

15. Saya memohon diadakan satu siasatan baru terhadap pemalsuan bukti yang mana saya telah dinasihati sebagai satu kesalahan di bawah seksyen 192 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 7 tahun. Saya memohon agar setiap individu yang terlibat dalam menyediakan laporan kedua oleh Dr Abdul Rahman ini iaitu Tan Sri Gani Patail, Tan Sri Musa Hassan, Dr. Rahman dan Datuk Mat Zain bin Ibrahim disiasat secara terperinci agar kebenaran diperolehi dan sebarang salah laku dihukum.

Anwar bin Ibrahim
1 Julai 2008


Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |