+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, July 7, 2008

Sumpah: Anwar sudah rujuk Ulama dalam, luar negara

KLpos


Cetak E-mail
Oleh Bernama
Isnin, 07 Julai 2008

PJ: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak mahu mengangkat sumpah atas nama Allah dalam kes tuduhan liwat ke atasnya oleh bekas pembantunya 28 Jun lepas kerana dinasihatkan oleh ulama dalam dan luar negara supaya tidak berbuat demikian.

Beliau mendakwa 10 tahun lepas, beliau pernah bersumpah atas tuduhan liwat tetapi tetap dituduh, diterajang, dipukul dan dipenjarakan yang kesemuanya tidak mengikut Islam dan al-Quran.

"Saya nak jawab perkara ini setelah merujuk dengan ulama dalam dan luar negara. Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria juga mengulas perkara ini dan begitu juga bekas Mufti Wilayah Datuk Hashim Yahaya," katanya semasa berucap pada perhimpunan 'Protes Sampai Turun Harga Minyak 2008' di Stadium MBPJ di Kelana Jaya Ahad malam.

Beliau berkata sekiranya perkara itu hendak dibawa pertuduhannya di bawah Mahkamah Syariah, Anwar berkata beliau sudah mencadangkannya pada 1998 apabila pertuduhan liwat dikenakan ke atasnya.

"Saya meminta empat orang bukti dan saya sedia didakwa. (Sekiranya tidak) saya anggap kes ini tidak ada asas sama sekali," katanya.

Katanya beliau tidak mahu ada pemimpin Umno yang mahu mendabik dada meminta beliau berbuat demikian kerana bersumpah atas nama Allah bukan perkara politik tetapi mengikut kaedah syarak dan memerlukan nasihat oleh ulama yang berwibawa.

Read More...

Perhimpunan Protes: Sekatan dan dakwaan batal bantut sasaran 1 juta

Utara OnlineBerita

PERHIMPUNAN Aman membantah kenaikan harga minyak anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) yang sedang hangat berlangsung di Stadium MBPJ Kelana Jaya dijangka tidak mampu memenuhi sasaran penyertaan seramai satu juta rakyat.



Ini berikutan tindakan pihak polis mulai semalam telah mengadakan sekatan jalanraya dan membuat pemeriksaan setiap kenderaan bukan sahaja yang memasuki kawasan susur masuk stadium berkenaan tetapi juga turut melibatkan jalan-jalan negeri .


Perkara ini didedahkan sendiri oleh beberapa pemimpin Protes termasuk penyelarasnya, Dr Hatta Ramli yang melihat lima sekatan diadakan sepanjang perjalanannya dari Kuala Krai.

Tidak kurang juga ada kalangan rakyat yang awalnya begitu berkobar-kobar turut serta dalam perhimpunan ini kemudiannya was-was untuk mengamatkan suasana perhimpunan selepas menerima perkhabaran bahawa ia telah dibatalkan dan dianggap satu perhimpunan haram kerana tidak mendapat kelulusan permit dari pihak polis.

Selain itu ada juga yang menganggap pertukaran lokasi beberapa kali dalam tempoh singkat turut menjadi faktor yang menjadikan sasaran penyertaan rakyat jauh menyimpang ditambah lagi kontroversial penarikan diri 700 anggota Unit Amal PAS yang ditugaskan mengawal perhimpunan ini.

Acara kemuncak

Justeru, tidak hairanlah andai penyertaan hanya mampu mencapai lingkungan 100, 000 orang sahaja menjelang jam 9.00 malam sebelum bermulanya kemuncak program ucapan perdana para pemimpin tertinggi komponen Pakatan Rakyat yang terdiri daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Md Isa dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Ketika ini, Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri yang mewakili negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kedah sedang menyampaikan ucapan masing-masing manakala Perak dan Kelantan diwakili Datuk Nga Kor Ming dan Datuk Husam Musa.

Dalam hal ini, kita tidak harus menyalah atau menunding jari kepada pihak Protes semata-mata kiranya sasaran yang diharapkan gagal dicapai angkara halangan-halangan kecil ini kerana setiap persiapan kearah itu giat dijalankan setiap hari termasuk roadshow dan majlis penerangan di seluruh negara.

Read More...

GAMBAR SEKITAR HIMPUNAN PROTES HARGA MINYAK

Mstar Online

06-07-2008 04:09:13 PM

Senarai gambar perhimpunan yang diadakan bagi membantah kenaikan harga minyak di Stadium Kelana Jaya hari ini.

ANTARA peserta perhimpunan bantah kenaikan harga minyak di Stadium Kelana Jaya hari ini. - foto Bloomberg News

MELAHIRKAN protes dalam perhimpunan bantah kenaikan harga minyak di Stadium Kelana Jaya. - foto Bloomberg News

GERAI jual cenderamata juga menjadi tumpuan hadirin.

MENUNJUKKAN risalah yang diedarkan di Stadium Kelana Jaya.

SEBAHAGIAN daripada hadirin di Stadium Kelana Jaya pagi tadi.

BERLATARBELAKANGKAN kain rentang menggesa kerajaan menurunkan balik harga minyak.

DENGAN mengenakan kemeja-T berwarna merah melaungkan seruan meminta harga minyak diturunkan.

PERKEMBANGAN SEMALAM:

PENGANJUR menghiaskan Stadium Kelana Jaya sejak petang tadi.

KESESAKAN ekoran sekatan jalan di Jalan Ipoh.

ANGGOTA polis turut diletakkan di kawasan padang Jalan Timur, Petaling Jaya iaitu lokasi awal pilihan penganjur untuk mengadakan perhimpunan protes.

PEMERIKSAAN polis melibatkan semua jenis kenderaan.




Read More...

"Bersumpah...saya akan lakukan" - Anwar


Harakahdaily


Mon | Jul 07, 08 | 7:10:58 am MYT

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Hrkh) - "Jika mahu saya bersumpah dengan nama Allah, insya-Allah saya akan lakukan,"demikian kata Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan oleh Malaysiakini sewaktu berceramah di hadapan lebih 30,000 orang di Stadium MPPJ, Kelana Jaya malam tadi.

Menurutnya, beliau sanggup bersumpah dan dibicarakan di mahkamah syariah terhadap tuduhan liwat terhadapnya, dengan syarat ia mengikut undang-undang syariah sepenuhnya.

"Saya mencabar mereka memberikan bukti-bukti sebelum menuduh dan mengaitkan saya.

"Saya sedia menerima apa sahaja hukuman jika dibuat mengikut undang-undang yang adil.

"Saya akan tunduk jika mereka boleh memberikan bukti tuduhan terhadap saya.

"Jika mahu saya bersumpah dengan nama Allah, insya-Allah saya akan lakukan," tegasnya diikuti tepukan gemuruh para hadirin.

Malaysia mesti diselamatkan

ImageUcapan beliau malam tadi merupakan acara kemuncak perhimpunan rakyat membantah kenaikan harga minyak semalam.

Menurut Anwar lagi, pada 1998, katanya, beliau dituduh dengan kes yang hampir sama.

"Saya telah bertanya kepada ulama-ulama, mereka melarang saya bersumpah.

"Tetapi saya tetap bersumpah, namun saya dipukul dan dipenjarakan.

"Mengapa kes ini dibangkitkan sekarang? Kerana kita maju ke depan. Kamu main drama 'Sivaji The Boss', kita main drama 'Sivaji The Boss'.

"Malaysia mesti diselamatkan, Malaysia mesti diselamatkan, Malaysia mesti diselamatkan," ulang Anwar sambil disambut temukan gemuruh dan laungan reformasi.

Pada 28 Jun lalu, pembantu khas Anwar, Saiful Bukhari Azlan membuat laporan polis mendakwa mantan timbalan perdana menteri itu meliwatnya di Kondominium Desa Damansara, beberapa kali sekitar bulan Jun lalu.

Sebelum ini, Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan supaya isu liwat yang mengaibkan itu diselesaikan secara mubahalah atau "sumpah" sekiranya ia tidak dapat diselesaikan secara perundangan dunia.

Manakala, Pergerakan Pemuda Umno Terengganu meminta mufti Perlis itu tampil sebagai orang tengah bagi membawa mereka yang terbabit dalam mubahalah dengan alasan Dr Mohd Asri tidak dipengaruhi mana-mana badan politik.

Dan semalam, Dr Mohd Asri mencadangkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi orang tengah yang akan membawa Anwar dan Saiful untuk "mubahalah" atau 'bersumpah' sebagai jalan penyelesaian isu liwat yang kini menjadi tumpuan nasional.

Saya akan bongkar habis-habisan

ImageDalam ceramahnya juga, Anwar mendakwa beliau tidak mahu isu tuduhan liwat ini menjadi isu peribadi beliau.

"Tetapi (ia) diulang dengan jahat dan (dengan) fitnah yang kejam. Kita tidak terima ini.

"Saya akan bongkar habis-habisan. Siasatan polis tidak seteruk tahun 1998-1999 tetapi akan beri kerjasama penuh untuk siasatan," kata Anwar lagi.

Anwar berkata, jika beliau dipukul, ditangkap dan dipenjarakan lagi, ia tidak akan menyelesaikan masalah.

Beliau bertanya selama enam tahun beliau di dalam penjara, adakah politik baik, rasuah turun dan harga minyak turun?

Anwar menambah, politik sudah tidak terkawal dan kerajaan Pakatan Rakyat mahu memulihkan keyakinan pelabur.

Mengenai dakwaan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hamid Albar bahawa beliau memberi maklumat kepada Amerika Syarikat, Anwar berkata:

"Kalau ada bukti saya telefon dan surat yang saya hantar kepada Amerika Syarikat, saya boleh diambil tindakan.

"Jika tidak saya akan saman kamu," katanya disambut tepukan gemuruh pada hadirin.

Anwar juga berkata, beliau sedia berdebat dengan Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Shabery Cheek pada 15 Julai ini berhubung isu kenaikan harga minyak.

Bagaimanapun, katanya, lebih baik debat itu dengan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi atau Timbalannya, Dato' Seri Najib Tun Razak. - mks._

Read More...

Mufti Perlis cadang Nik Aziz jadi orang tengah

Malaysiakini

Jul 6, 08 1:24pm

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan Mursyidul Am Pas menjadi orang tengah yang akan membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan untuk "mubahalah" atau 'bersumpah' sebagai jalan penyelesaian isu liwat yang kini menjadi tumpuan nasional.

nik azizKatanya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga menteri besar Kelantan mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat terutama di kalangan para penyokong PAS dan sudah semestinya, beliau layak untuk menjadi orang tengah itu.

Ketika dihubungi Bernama di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini, Dr Mohd Asri berkata, beliau sebolehnya tidak mahu terbabit dalam sebarang isu politik tetapi terpaksa mengeluarkan pandangan apabila menyentuh perkara yang berkaitan agama.

"Saya percaya dengan pengaruhnya, Nik Aziz berupaya menjadi orang tengah," katanya yang baru selesai menjalani pembedahan kecil di IJN dan dibenarkan keluar dari institut itu hari ini.

mohd asri zainul abidinDr Mohd Asri sebelum ini mencadangkan supaya isu liwat yang mengaibkan itu diselesaikan secara mubahalah atau "sumpah" sekiranya ia tidak dapat diselesaikan secara perundangan dunia.

Semalam, Pergerakan Pemuda Umno Terengganu meminta Mufti Perlis tampil sebagai orang tengah bagi membawa mereka yang terbabit dalam mubahalah dengan alasan Dr Mohd Asri tidak dipengaruhi mana-mana badan politik.

Tidak perlu modal

Bagaimanapun, Dr Mohd Asri berkata, apa yang lebih penting ialah tokoh yang menjadi orang tengah itu mempunyai pengetahuan agama yang tinggi dan diterima masyarakat meskipun beliau merupakan pemimpin politik.

Beliau turut menegur kesilapan fakta berhubung mubahalah yang dikaitkan sebagai kaedah "menjunjung al-Quran" sedangkan menurutnya dalam mubahalah, setiap orang akan memohon kelaknatan Allah ke atas dirinya jika berada di pihak yang salah.

Mufti Perlis itu percaya mubahalah yang tidak memerlukan wang atau modal akan menghapuskan prasangka dan hukumannya adalah adil.

Dalam mubahalah, seseorang yang dikaitkan perlu menyebut "Ya Allah! Jika aku lakukan apa yang dituduh ke atasku, maka laknatilah aku" manakala satu pihak lagi perlu menyebut " Ya Allah! Jika dia tidak lakukan apa yang aku tuduh itu, maka laknatilah aku."

Katanya, dalam isu yang melanda negara kini, seeloknya bermubahalah agar orang ramai tidak berbalah dan bertelingkah.

"Selepas bermubahalah, kita serah keputusan kepada Allah," katanya.

Read More...

Anwar cabar kerajaan buktikan beliau hubungi Amerika

Harakahdaily

Suhaimi Taib

Sun | Jul 06, 08 | 2:57:15 pm MYT

Kerajaan Malaysia sepatutnya mengheret bekas Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim ke mahkamah sekiranya terdapat bukti beliau menghubungi mana-mana pihak yang ada hubungannya dengan Amerika Syarikat (AS) dalam kes keselamatan diri dan yang berkaitan.

Tidak wajar pemimpin Umno hanya berani menuduh Anwar dalam media milik parti itu tetapi tidak berani berdepan secara undang-undang dengan membawa kes berkenaan ke mahkamah.

Tindakan sedemikian membolehkan orang awam membuat telahan bahawa pemimpin Umno kini takut dengan bayang-bayangnya sendiri.

Sebaliknya Anwar pula berani menyaman sesiapa sahaja yang menfitnah beliau termasuk bekas pembantu khasnya, Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa beliau diliwat Anwar.

Satu saman berkenaan sudah difailkan di sebuah mahkamah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Walaupun banyak pihak tidak yakin dengan ketelusan mahkamah, namun banyak kes menandakan mahkamah mahu bersikap adil dan memutuskan untuk menolak kes dakwaan yang tidak cukup bukti seperti kes tuduhan liwat ke atas Anwar tahun 1998.

Najib perlu membersihkan dirinya dari sebarang tuduhan yang mencalari imej dan kredibilitinya sebagai pemimpin negara dengan mengemukakan bukti dan memberi keterangan di mahkamah bahawa beliau tidak terbabit dengan sebarang jenayah dengan mana-mana orang di dalam negara dan luar negara.

Jika tidak ada bukti direkodkan di mahkamah, ia boleh didakwa sebagai usaha menyembunyikan sesuatu dari pengetahuan umum tentang apa yang berlaku di sebalik kejadian yang menggembarkan negara termasuk pembunuhan wanita Mongolia, tuduhan liwat dan konspirasi politik terhadap Anwar.

Sementara itu, Bernama melaporkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Dato' Seri Anwar Ibrahim mencabar kerajaan Malaysia membuktikan bahawa beliau ada berhubung dengan wakil kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk meminta bantuan daripada negara itu.

Anwar berkata sekiranya kerajaan mempunyai bukti bahawa beliau ada berbuat demikian bekas Timbalan Perdana Menteri itu sedia untuk tampil ke mahkamah.

"Saya tidak buat panggilan, saya tidak menulis surat dan (isterinya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) sendiri pun tidak menghubungi mana-mana pihak dari kerajaan AS. Tetapi ada beberapa pemimpin Islam dari luar negara yang menghubungi saya dan meminta saya bersabar serta mereka mendoakan keselamatan saya.

"Saya sudah beritahu saya akan hadapi perkara ini, kalau mereka (kerajaan) ada bukti, bawalah saya ke mahkamah. Saya bersedia," katanya dalam ceramah perdana di sini Sabtu malam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Syed Hamid Albar yang mengatakan campur tangan terbaru AS yang menentang sebarang penyiasatan atau pendakwaan bermotifkan politik terhadap Anwar jelas membuktikan bahawa Anwar adalah 'tukang lapor' kepada kuasa besar itu.

Katanya sikap Anwar yang cepat menggelabah untuk memberitahu AS membuktikan beliau tidak layak untuk memimpin negara ini kerana seorang yang tidak bebas.

Sebagai seorang yang beragama Islam, Anwar berkata Syed Hamid perlu meminta maaf kepadanya sekiranya tuduhan yang mengatakan beliau menjadi ejen AS, tidak benar.

Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata tuduhan liwat terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah isu peribadi dan tidak harus dipolitikkan hingga menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan di kalangan rakyat.

Beliau berkata cara Anwar menangani masalah hingga melibatkan hampir seluruh rakyat di negara ini dalam isu peribadi beliau telah meletakkan rakyat dalam keadaan tidak tentu arah atau keliru.

"Saya dapat maklumat, sudah ada kebimbangan di kalangan rakyat bahawa Dato' Seri Anwar akan mengulangi episod-episod lama tahun 1998 dahulu. Rakyat juga tidak faham ada pengakuan bersumpah dikemukakan tetapi ditarik balik, semuanya berbangkit kerana kes Dao' Seri Anwar," katanya.

Akibatnya, perkara ini menimbulkan situasi kurang selesa dalam negara apatah lagi ketika rakyat sedang menghadapi masalah kenaikan harga barang ekoran harga minyak global, katanya selepas merasmikan Bengkel Usahawan Wanita dan pelancaran Direktori Usahawan Wanita Malaysia 2008, di sini.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata beliau dimaklumkan bahawa laporan media barat menggambarkan seolah-olah Malaysia sedang menghadapi kegawatan politik sehingga ada tanggapan bahawa ekonomi negara diteraju secara 'auto pilot' sedangkan ia sebenarnya ditadbir oleh kerajaan. - mns_

Read More...

'Debat minyak 'live' Anwar-Shabery 'On'

KLpos

Cetak E-mail
Oleh Agendadaily, Bernama
Isnin, 07 Julai 2008

PENASIHAT Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim Ahad malam umum dalam ucapannya di depan 30,000 orang di Stadium Kelana Jaya beliau sedia sertai debat anjuran Agendadaily dengan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Katanya pada Himpunan Sejuta Orang anjuran Protes bagi membantah kenaikan harga minyak, kalau boleh beliau nak berdebat dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri atau dengan setengah kabinet sekali pun tak apa.

Sekitar 30,000 orang berhimpun hadir pada acara kemuncak Himpunan Sejuta Orang anjuran Protes di Stadium Kelana Jaya Ahad malam.
Debat dibawah tajuk 'Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak' yang dicadang disiarkan secara live di televisyen itu akan diadakan pada malam 15 Julai ini di Dewan Bahasa dan Pustaka, KL.

Ahmad Shabery sebelum ini telah menyatakan persetujuannya untuk berdepan dengan Anwar dalam debat itu.

Ini adalah kali pertama debat sesuatu isu negara antara dua tokoh pembangkang dan kerajaan akan disiarkan secara langsung di televisyen.

Sementara itu Bernama melaporkan, walaupun tidak berpuas hati kerana permintaannya mahu berdebat dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri mengenai harga minyak tidak dipenuhi, Anwar berkata debat dengan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek yang dijadualkan 15 Julai ini juga memadai.

"Lebih baik debat dengan PM dan TPM, separuh kabinet pun boleh. Ini bukan masalah politik biasa tetapi ini masalah rakyat yang membebankan. Biar dengar betul-betul (cara nak turunkan harga minyak)," katanya.

Perhimpunan Protes

Sekitar 30,000 orang berhimpun hadir pada acara kemuncak Himpunan Sejuta Orang anjuran Protes di Stadium Kelana Jaya Ahad malam. Selain Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berucap ialah orang kuat DAP, Lim Kit Siang.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Walaupun tidak berpuas hati kerana permintaannya mahu berdebat dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri mengenai harga minyak tidak dipenuhi, Anwar berkata debat dengan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek yang dijadualkan 15 Julai ini juga memadai.
Bagaimanapun Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat yang dikatakan akan hadir pada acara itu tidak hadir.

Macam Jom Heboh TV3

Suasana di himpunan yang dinaungi oleh parti-parti pembangkang dan beberapa NGO untuk membantah kenaikan harga minyak itu adalah seperti karnival Jom Heboh.

Ada gerai jual macam-macam dan sebagainya.Kehadiran orangramai sepanjang ia bermula dari jam 10 pagi pasang surut. Pada sebelah awal tengahari ada sekitar 5,000 orang di kawasan stadium.

Waktu itu dipercayai melihat tidak ramai orang,pihak penganjur telah buat pengumuman meminta hadirin keluarkan telefon bimbit mereka dan sms segera rakan-rakan mereka ajak ke situ.

Tidak nampak sebarang kehadiran polis yang ramai di kawasan sekitar stadium.

Kecoh penyanyi rock tunjuk punggung

Sementara itu pada jam 7 malam berlaku kekecohan sekejap bila seorang penyanyi rock yang buat persembahan diselang seli ucapan-ucapan telah tonggeng bontot pada para hadirin.

Ramai yang marah dan baling botol air mineral. Ada juga yang nak naik pentas pukul dia. Penganjur terpaksa bergegas kawal keadaan.

Jawab Syed Hamid

Beliau mencabar Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar supaya membuktikan tuduhan bahawa beliau menghubungi kerajaan Amerika Syarikat berhubung amaran daripada Jabatan Negara negara berkenaan yang menolak segala tuduhan dan siasatan ke atasnya yang bermotifkan politik.

"Sekiranya ada bukti saya hubungi atau ada surat kepada mereka, saya sanggup didakwa... buktikan dan jika tidak saya akan saman," katanya.

Foto-foto oleh Reuters, AFP

Malaysia de facto oppositon leader Anwar Ibrahim speaks during ...

Malaysia de facto oppositon leader Anwar Ibrahim speaks during ...

Supporters of Malaysia opposition parties shout slogans during ...

Malaysia's opposition supporters gather to protest against ...

Read More...

Perhimpunan Protes anjuran Pakatan Rakyat kecoh penyanyi tunjuk punggung

Mstar Online

07-07-2008 10:16:26 AM

AKSI kurang senonoh seorang artis yang menimbulkan kemarahan di kalangan hadirin ketika Perhimpunan Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) di Stadium Kelana Jaya petang semalam.

PETALING JAYA: Kecoh bukan kerana matlamat perhimpunan tetapi tindakan kurang senonoh penyanyi! Perhimpunan anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) di Stadium Kelana Jaya dekat sini hari ini kecoh apabila beberapa penyokong merusuh ketika berlangsungnya konsert di stadium berkenaan.

Kejadian kira-kira 6.50 petang itu berlaku setelah penyanyi utama daripada kumpulan Carburettor Dung melakukan aksi memalukan dengan menunjukkan punggungnya di hadapan penonton.

Penyanyi itu juga dikatakan menyanyikan lagu Mari Menyanyi Jilat dan menyebut perkataan "jilat, jilat, jilat".

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata ketika konsert itu berlangsung, dia nampak penyanyi terbabit menunjukkan punggung di hadapan penonton, menyebabkan mereka yang berada dekat dengan pentas membaling objek ke arah penyanyi itu.

Bagaimanapun keadaan dapat diredakan oleh penganjur kirakira setengah jam kemudian.

Penganjur program, Hishamuddin Rais ketika memberi penjelasan mengenai insiden itu mengakui segala yang berlaku adalah kesilapan dirinya dan beliau memohon maaf kepada semua penyokong.

"Apa yang berlaku adalah dari kesilapan diri saya sendiri dan saya mohon maaf. Saya telah memalukan anakanak muda penyokong perhimpunan ini sehingga boleh menyebabkan perkara sebegini berlaku.

"Apa yang berlaku bukan disebabkan oleh anggota-anggota parti Pakatan Rakyat tetapi disebabkan oleh kecuaian saya sendiri," katanya.

Keadaan kembali tenang apabila Anggota Parlimen Titiwangsa Dr Lo'Lo Mohd Ghazali meminta semua penyokong bersedia untuk menunaikan solat Maghrib.

Perhimpunan sehari suntuk ini bermula pukul 10 pagi dan berakhir kira-kira 11.30 malam dengan ucapan Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Penyanyi kumpulan Carburetor Dung yang dikenali sebagai Alak menyanyikan lagu Mari Nyanyi Menjilat dan menunjukkan punggung sehingga menimbulkan kemarahan hadirin semalam.


Gara-gara cuba melondehkan seluar, Alak terlentang di atas lantai kerana dibelasah oleh penyokong PKR di Stadium Kelana Jaya petang semalam.

Read More...

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |