+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, March 25, 2008

Ahmad mula tugas MB

Berita Harian

Oleh Anwar Hussin, Hanneeyzah Bariah Baharin dan Rosli Ilham




Adun Kijal ingkar amaran kemungkinan dipecat daripada Umno

KEMAMAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Ahmad Said, yang menerima watikah pelantikan sebagai Menteri Besar Terengganu daripada Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) kelmarin, akan memulakan tugas rasminya hari ini � bercanggah dengan kehendak pucuk pimpinan parti.

Ahmad dalam ucapan sulung di hadapan lebih 1,000 penyokongnya setiba di rumahnya di Kampung Teluk Kalong, Kijal di sini selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Terengganu, Kuala Lumpur, berkata beliau akan memasuki pejabat Menteri Besar di Tingkat 16, Wisma Darul Iman pada jam 10 pagi ini.

"Saya diberi mandat untuk menjadi Menteri Besar semalam (kelmarin). Jawatan ini amanah yang perlu saya pikul sebaiknya. Terima kasih seluruh rakyat Terengganu. Saya tetap akan menghormati pucuk pimpinan Umno negeri," katanya.


Pagi semalam, Ahmad, 51, menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin selama sejam di Istana Terengganu, Kuala Lumpur.

Ahmad dikatakan memasuki perkarangan istana, kira-kira jam 10.30 pagi, diikuti Tuanku Mizan sejam selepas itu. Beliau dikatakan meninggalkan istana menerusi pintu lain, kira-kira jam 12.40 tengah hari tanpa disedari wartawan yang menunggunya di pintu utama.

Pelantikan Ahmad yang diumumkan Pejabat Sultan Terengganu, Sabtu lalu, mencetuskan kontroversi apabila 22 Adun Barisan Nasional (BN) negeri ini sebulat suara mahukan Datuk Seri Idris Jusoh dilantik semula.

Berikutan itu, semua 22 Adun berkenaan berikrar memulaukan majlis angkat sumpah Ahmad sebagai Menteri Besar dan akan meletak jawatan jika Idris tidak dilantik semula.

Dalam pertemuan dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin, semua Adun berkenaan juga membuat pengakuan untuk menyokong Idris sebagai Menteri Besar.

Perdana Menteri yang mengulas isu itu pula menganggap pelantikan Ahmad sebagai Menteri Besar tidak kena dari segi Perlembagaan kerana sebahagian besar Adun menyokong pelantikan semula Idris.

Ahmad sepatutnya mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar kelmarin, tetapi majlis itu ditangguhkan untuk memberi Ahmad peluang mengangkat sumpah bersama Ahli Exco yang akan dilantiknya.

Sumber istana ketika dihubungi semalam menjelaskan penerimaan watikah dan perisytiharan sebagai Menteri Besar sudah mencukupi untuk Ahmad menjalankan tugas berkenaan.

Beliau berkata, Ahmad juga hanya perlu melantik sekurang-kurangnya empat Ahli Exco bagi membolehkan majlis angkat sumpah Menteri Besar diadakan serentak bersama barisan Exco.

Dalam ucapan ringkasnya, Ahmad berkata tidak semua Adun menentangnya dan beliau percaya ada sebahagian yang menyokongnya.

Sambil bersyukur di atas pelantikannya itu, Ahmad berikrar untuk menjalankan kewajipan sebagai Menteri Besar dan mentadbir serta mengurus Terengganu sebaik mungkin.

"Saya tidak pernah meminta jawatan tertinggi ini. Ini bukan kehendak saya tapi ketentuan Allah SWT. Saya akan mula masuk pejabat esok (hari ini) dan menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.

"Walaupun saya mungkin tidak tahan lama, tidak ada seorang pun yang boleh menafikan saya adalah Menteri Besar ketika ini," katanya.

Pada sidang media selepas itu, Ahmad yang ditanya mengenai kemungkinan 23 daripada 24 Adun BN mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap kepemimpinannya, berharap pucuk pimpinan parti memikirkannya sebaik mungkin.

"Ini soal serius kerana saya juga ahli parti dan tahu mengenai Perlembagaan parti. Kita perlu sabar untuk mencari puncanya kerana pemecatan itu mudah, tetapi kesannya hanya tuan-tuan lebih mengetahui.

"Saya tidak pernah menderhaka kepada Umno. Saya berjuang dengan Umno sejak Allahyarham bapa saya dan Umno Kemaman adalah yang paling ramai keahliannya.

"Saya bekerja siang malam untuk pastikan Umno Kemaman kuat dan tidak timbul soal derhaka. Bagi saya mungkin berlaku kekeliruan dan sebagainya sehingga perkara ini berlaku," katanya.

Ahmad turut berharap Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno akan melihat permasalahan itu sebaik mungkin.

"Kita tidak mahu peristiwa sebegini berlaku. Ini bukan kehendak saya tetapi apa boleh buat ia ketentuan Ilahi dan kita perlu menerima hakikat itu. Saya yakin sekiranya diberi peluang, saya akan menyatukan semula Umno Terengganu berdasarkan pengalaman saya dalam parti dan kerajaan serta hubungan dengan rakyat," katanya.

Sementara itu, perkarangan rumah Ahmad dipenuhi penyokongnya termasuk Ketua Pemuda Umno bahagian Kemaman, Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid yang kini menjadi pegawai pengiringnya.

Wan Ahmad Nizam berkata, pelantikan Ahmad bukan bertujuan menentang Idris, sebaliknya sebagai menghormati keputusan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) yang memilih Adun Kijal itu bagi menerajui kepimpinan kerajaan Terengganu.

"Umno bahagian Kemaman menyokong penuh kepimpinan Datuk Ahmad Said dan kita perlu akur kepada keputusan MPPR melantik beliau sebagai Menteri Besar," katanya.

Ahmad, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), sebelum ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |