+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, March 20, 2008

Ku Li dinasihat jangan cabar presiden

malaysiakini
Muda Mohd Noor | Mar 20, 08 4:08pm

Umno akan sekali lagi dilanda 'tsunami politik' sepertimana yang berlaku pada tahun 1987 jika jawatan presiden dipertandingkan dalam pemilihan Umno kali ini, kata seorang pemimpin kanan Umno Perlis.

umno perlis pc 120308 hashim subohKetua penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh menegaskan demikian ketika diminta mengulas hasrat bekas menteri kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah untuk mencabar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi jawatan presiden dalam pemilihan Umno yang dijangka diadakan Ogos ini.

Pada 1987, Tengku Razaleigh yang popular dengan panggilan Kuli Li, mencabar presiden Umno ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi kalah dengan majoriti kecil.

Akibatnya berlaku perpecahan dalam Umno sehingga parti diheret ke mahkamah yang kemudiannya mengisytiharkan parti orang Melayu sebagai haram.

Berikutan itu, Dr Mahathir menubuhkan Umno (baru) manakala Ku Li menubuhkan Semangat 46 (S46).

Bagaimanapun, S46 membubarkan dan Kuli serta pengikutnya kembali ke pangkuan Umno selepas pilihanraya umum 1995.

Hashim bimbang jika Ku Li sekali lagi mencabar jawatan presiden dalam perhimpunan akan datang, Umno akan menjadi punah ranah, malah lebih teruk dari tragedi 1987.

"Kita kena ingat setiap pemimpin ada penyokongnya. Apa akan berlaku jika penyokong Abdullah dan Ku Li bertembung dalam pemilihan kali ini?" katanya ketika dihubungi hari ini.

Sedia dicalonkan

tengku razaleigh 02Semalam, Ku Li menyuarakan secara terbuka hasratnya untuk menentang Abdullah untuk jawatan presiden jika pencalonannya cukup untuk melayakkannya bersaing merebut jawatan tertinggi Umno itu.

"Terpulang kepada bahagian-bahagian Umno, kalau mereka mencalonkan saya dan cukup 30 peratus maka saya sedia untuk bertanding jawatan presiden," katanya dalam satu sidang akhbar di Kota Bharu.

Menurut Ku Li, beliau bersedia memikul tanggungjawab untuk memulihkan Umno yang kalah teruk dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu di mana Barisan Nasional (BN) gagal mengekalkan penguasaan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan kehilangan empat negeri - Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Selangor - kepada barisan pembangkang.

Manakala PAS pula berjaya mengekalkan Kelantan dengan pertambahan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Lagi pula, tegas Hashim lagi, parti pembangkang yang pernah kalah teruk dalam pilihanraya umum tidak pernah menukar presiden parti.

"Kita (Umno) kena buat secara berhemah dan dalam keadaan sekarang tidak boleh bertindak untuk melemahkan lagi parti," katanya lagi.

Manakala timbalan menteri jabatan perdana menteri, Datuk Hassan Malek juga sependapat dengan Hashim bahawa Umno akan berpecah jika Ku li mencabar Abdullah untuk jawatan presiden parti sepertimana yang berlaku pada 1987.

Bagaimanapun, katanya, adalah hak Ku Li untuk bertanding jawatan presiden Umno dan pihak-pihak lain tidak boleh menghalangnya.

"Tetapi bagi saya, dalam keadaan Umno sekarang, sangat wajar jawatan presiden parti tidak dipertandingkan," kata Hassan yang juga timbalan ketua Umno bahagian Kuala Pilah.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |