+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Thursday, March 20, 2008

Tengku Razaleigh ulangi kesediaan tandingi jawatan Presiden Umno

mstar online

20-03-2008 04:41:21 PM

GUA MUSANG: Tengku Razaleigh Hamzah mengulangi pandangannya bahawa perubahan dalam Umno perlu berlaku untuk memulihkan kembali imej Umno yang tercalar pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Anggota Parlimen Gua Musang itu berkata atas alasan tersebut, beliau bersedia untuk menggalas tanggungjawab besar, termasuk bertanding jawatan presiden parti.

"Perlembagaan dalam parti membenarkan sesiapa pun bertanding.

Ini demokrasi dan jika tidak, lebih baik kita tukar kepada presiden seumur hidup dan berkuasalah sampai bilabila," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan

Mesyuarat Jawatankuasa Umno Bahagian Gua Musang di sini, pada hari Khamis.

Semalam Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang telah membuat kejutan dalam sidang akhbarnya di Kota Baharu dengan mengatakan bahawa beliau bersedia bertanding sekali lagi bagi jawatan Presiden Umno pada persidangan agung parti akan datang.

Pemimpin veteran Umno itu berkata jika mendapat cukup pencalonan untuk bertanding, tiada sebab baginya untuk menolak "harapan" bahagian-bahagian yang mahukan perubahan pada peringkat pucuk pimpinan.

"Keputusan ini bergantung kepada sejauh mana anggota Umno mahukan perubahan dan jika tidak, tidak apalah (tidak bertanding)," katanya.

Pada 1987, Tengku Razaleigh mencabar presiden Umno ketika itu, Datuk Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad tetapi tewas dengan 43 undi.

Mengulas cadangannya supaya diadakan perhimpunan agung khas parti, Tengku Razaleigh berkata cadangannya itu perlu diambil kira oleh semua bahagian Umno di seluruh negara kerana ia penting untuk hala tuju perjuangan Umno selepas ini.

"Saya minta semua ketua Umno bahagian mengambil kira pandangan saya dalam surat itu kerana perhimpunan khas ini perlu diadakan untuk kita duduk semeja dan membincangkan mengenai prestasi buruk Umno dan kerajaan," katanya.

Perlembagaan parti telah menetapkan untuk diadakan perhimpunan khas itu, ia memerlukan persetujuan 50 peratus daripada 210 bahagian Umno seluruh negara.

"Kalau dapat 50 peratus ini, ia boleh diadakan tetapi terpulanglah kalau kata tidak payah, tidak payahlah buat," katanya.

Tengku Razaleigh berkata sebanyak 26,000 pucuk surat telah diedarkan kepada semua ketua Umno bahagian, anggota jawatankuasa bahagian dan ketua Umno cawangan di seluruh negara bagi mendapatkan persetujuan untuk diadakan perhimpunan khas itu.

Sehubungan itu, Umno Bahagian Gua Musang akan mengadakan mesyuarat khasnya pada 4 April ini untuk meluluskan usul mengadakan perhimpunan agung khas itu. BERNAMA

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |