+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, March 31, 2008

'Saya kerap jadi nombor dua'- Mat Said

Kosmo


AHMAD (kanan) memeluk Idris selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said mengaku beliau sentiasa menjadi orang nombor dua kepada Datuk Seri Idris Jusoh sejak zaman mereka di universiti lagi.

Justeru, beliau akan sentiasa merujuk kepada Idris dalam menjalankan tugas barunya walaupun sudah bergelar Menteri Besar menggantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh itu.

Sambil mengimbas zaman belajar di Universiti Sains Malaysia (USM) dahulu, Ahmad memberitahu, Idris lebih menonjol kerana pernah menjadi Presiden Persatuan Mahasiswa selain mendapat anugerah pelajar terbaik.

Pada waktu itu beliau pula hanya pelajar biasa dan menjadi Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa USM selepas dua tahun Idris menjadi Presiden.

"Beliau tetap sahabat yang saya kagumi dan sentiasa mendahului saya dalam apa bidang pun,'' katanya ketika berucap pada majlis penyerahan tugas Menteri Besar yang turut dihadiri Idris di Wisma Darul Iman, semalam.

Ahmad juga akan meneruskan projek-projek pembangunan yang telah dirancang oleh Idris kerana ia berguna kepada rakyat.

Pada masa yang sama, beliau mengajak pemimpin dan rakyat Terengganu kembali bersatu.

"Lupakan apa berlaku, sekarang masa kita laksanakan tugas yang telah diamanahkan oleh rakyat,'' katanya.

Idris pula enggan memberikan sebarang komen, sebaliknya mahu wartawan mengajukan semula soalan kepada Ahmad yang duduk di sebelahnya pada sidang akhbar tersebut.

Mereka berdua kemudian ke tingkat 16 wisma berkenaan yang menempatkan pejabat Menteri Besar untuk perbincangan ringkas secara tertutup kira-kira 10 minit.

Terdahulu, Ahmad, 51, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Pemangku Sultan Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Tuanku Mizan Zainal Abidin di Balairong Seri, Istana Maziah, tiga hari selepas Majlis Tertinggi (MT) UMNO membuat keputusan menyokong pelantikannya

Kesemua 22 ADUN yang sebelum ini tidak menyokong pelantikannya, menghadiri majlis itu.

Sementara itu, Ahmad berkata, senarai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dijangka dapat dimuktamadkan minggu depan.

Ditanya sama ada ia akan melibatkan banyak muka baru, Ahmad memberitahu, ia juga belum diputuskan lagi.

"Itu saya tidak boleh komen lagi kerana kita masih berbincang. Saya juga akan berjumpa Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan pihak-pihak lain sebelum senarai barisan exco dimuktamadkan,'' katanya.

Ahmad, yang merupakan bekas Ketua Pemuda UMNO Terengganu dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari USM, mula menyandang kerusi DUN Kijal pada pilihan raya umum 1990.

Beliau bagaimanapun gagal mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum 1999 setelah tewas di tangan calon Pas, Mehamed Sulong dengan majoriti 264 undi.

Pada pilihan raya umum 2004, Ahmad merampas semula kerusi DUN Kijal apabila menewaskan Mehamed dengan majoriti 3,496 undi.

Pada pilihan raya umum 8 Mac yang lepas, beliau berjaya mengekalkan kerusi berkenaan selepas mengalahkan calon Pas, Hazri Jusoh dengan majoriti 3,157 undi.

Ahmad pernah bertugas sebagai Penolong Pegawai Daerah di Kemaman dan Setiu, sebelum menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |