+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Tuesday, April 8, 2008

Ahli Umno sabotaj punca gagal raih dua pertiga


Berita Harian

Oleh Anwar Hussin dan Mohamad Farid Noh


BERSEMANGAT: Abdullah menyampaikan amanat kepada Ketua Penerangan Umno pada Majlis Penerangan Bersama Presiden Umno di PWTC, semalam.

Tindakan disiplin akan diambil terhadap pengkhianat: Abdullah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tindakan ahli Umno mensabotaj calon Barisan Nasional (BN) di 14 kawasan Parlimen dan 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menyebabkan BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan kalah di Kedah serta Perak.

Perdana Menteri berkata, berdasarkan analisis parti, beberapa kerusi itu adalah kawasan putih atau selamat yang sepatutnya dimenangi dan sekali gus memberi kemenangan dua pertiga kepada BN.

"Jika tiada masalah ditimbulkan (oleh ahli Umno) di dalam negeri berkenaan, 14 kawasan Parlimen dan 22 kerusi DUN yang dikenal pasti selamat, kita sepatutnya menang lebih dua pertiga, tidak hilang Kedah dan Perak," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penerangan bersama Presiden Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, semalam.


Dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, BN menang 140 kawasan Parlimen, kurang lapan kerusi untuk mengekalkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Abdullah yang juga Presiden Umno, menegaskan tindakan disiplin akan diambil terhadap ahli parti yang mengkhianati calon BN.

"Umno akan menjalankan siasatan terperinci mengenainya untuk diserahkan kepada Jawatankuasa Disiplin parti," katanya yang amat kesal dengan perbuatan itu.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya punca ahli parti itu bertindak mensabotaj BN sehingga kalah di 14 kerusi Parlimen dan 22 kerusi DUN terbabit.

Abdullah berkata, beliau tidak perlu menyatakan sebab-sebab ahli terbabit bertindak demikian, sebaliknya akan memberi maklumat yang diperlukan kepada Jawatankuasa Disiplin Umno untuk diambil tindakan sewajarnya.

Mengenai prestasi BN pada pilihan raya umum lalu, Abdullah berkata, beliau menganggapnya sebagai tanda rakyat mengingatkan kerajaan bahawa apa yang dilakukan setakat ini belum mencukupi.

"Oleh demikian, kita akan memperkukuhkan semula parti dan memperbaiki lagi pemerintahan. Saya tidak akan lari daripada tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan," katanya.

Abdullah berkata, lima negeri di bawah Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, iaitu Kelantan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, akan dilatih menjadi pembangkang yang berkesan bagi memenangi hati rakyat untuk me-rampas semula negeri terbabit.

Beliau menasihatkan ahli Umno supaya menyayangi Umno kerana "Umno adalah pentas perjuangan kita dan parti itu perlu dipelihara walau apapun yang terjadi."

Terdahulu, Abdullah menegaskan beliau akan terus menerajui kerajaan serta Umno dan perkara itu adalah antara inti pati taklimatnya kepada jentera penerangan parti.

Perdana Menteri berkata, beliau mahu penerangan dan mesejnya dibawa kepada peringkat akar umbi parti.

Abdullah berkata, rakyat sebenarnya tidak dapat menerima ahli Umno terus bersengketa sesama mereka dan mahu parti itu meneruskan usaha untuk menjayakan apa yang sudah dijanjikan kepada mereka secepat mungkin.

Beliau berkata, dalam pilihan raya lalu, BN ditolak di kawasan bukan Melayu tetapi masih diterima di kawasan pengundi yang majoriti Melayu dan ini berbeza dengan senario pilihan raya umum 1999.

Pada 1999, katanya, pemimpin Umno terpaksa berterima kasih kepada MCA dan MIC kerana tanpa kedua-dua parti itu Umno terpaksa 'berkubur'.

Beliau berkata, berikutan prestasi merudum BN pada pilihan raya umum kali ini, ramai ahli parti bertanya mengenai langkah yang akan diambil Umno.

"Semua orang cakap apa nak jadi dengan BN dan Umno... ketika semua parti mengambil langkah untuk mengukuhkan parti mereka dengan pelbagai cara.

"MIC dikatakan akan mahu menggabungkan semua parti kaum India di bawahnya, MCA pula sedang mengambil langkah untuk bergabung dengan Gerakan... ini yang saya dengar daripada ahli biasa walaupun peringkat atas belum lagi mengetahuinya.

"Bagi Umno pula, apa yang berlaku, terdapat usaha untuk merobohkannya," katanya.

Beliau berkata, kerajaan mendapat mesej daripada rakyat berhubung keputusan pilihan raya umum lalu, yang mana mereka mahu BN melaksanakan janji dalam manifestonya.

"Saya akui dalam masa empat tahun, kita tidak dapat melakukan perubahan sepenuhnya tetapi kita banyak melakukan perubahan dalam sektor ekonomi kerana ia amat penting sekali," katanya.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |