+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Wednesday, April 2, 2008

Genius Matematik, Sufiah Yusof - Tersungkur di lembah hina

Harian Metro

LONDON: Dia dikenali sebagai kanak-kanak genius matematik dan mendapat tempat di Universiti Oxford ketika usianya baru 13 tahun.


Tetapi kini, satu-satunya perkara diminati Sufiah Yusuf ialah pendapatan diperolehnya dengan menjual tubuh.

Kisah kehidupan terkini Sufiah itu didedahkan dalam laporan edisi online News of the World keluaran semalam.

Menurut laporan itu, bagi Sufiah, penyelesaian matematik hariannya kini hanyalah menawarkan khidmat seks melalui Internet dengan bayaran 130 paun (RM845).


Wanita berusia 23 tahun itu dianugerah kepintaran semula jadi dan menarik perhatian dunia kira-kira 10 tahun lalu dan sepatutnya kaya-raya ketika ini.

Tetapi minggu lalu, kata laporan itu, dia menanggalkan pakaiannya untuk wartawan akhbar itu yang menyamar sebagai pelanggan di flet kos rendahnya.

“Adakah anda sudah mahu memulakan setengah jam pertama?” tanya Sufiah sambil dia menari di atas katil dalam keadaan telanjang bulat.

Dia memberitahu kepada wartawan itu apa yang boleh dia lakukan jika tawaran seks itu diterima.


Dengan menggunakan nama Shilpa Lee, bekas ‘bintang’ kanak-kanak itu mengiklankan khidmat seksnya di laman web pelacur dengan menggambarkannya sedia melayan pelanggan setiap hari dari dari jam 11 pagi hingga 8 malam.

Sufiah turut menggambarkan dirinya ‘amat seksi dan pelajar pintar’ yang gemar kepada lelaki lebih tua.

Seorang rakan lama yang melihat kejatuhannya sebagai kanak-kanak genius menyifatkan perkembangan Sufiah, yang ibunya berasal dari Malaysia, sebagai amat memilukan.

“Dengan kepintarannya, dia pasti boleh meraih pendapatan lumayan dengan pelbagai cara yang dimahukannya. Tetapi dia gagal mengawal hidupnya,” katanya.

Laporan News of the World itu juga menyifatkan kehidupan tidak menyebelahi Sufiah.

Pembabitan wanita itu dalam pelacuran di Salford, Manchester, adalah tragedi terbaru yang menimpa hidupnya sejak kegemilangannya ketika dia bergambar dengan topi graduan di depan wartawan di luar Kolej St Hilda yang berprestij.

Pendedahan akhbar itu berlaku serentak sewaktu bapanya, Farooq yang berasal dari Pakistan mula menjalani hukuman penjara kerana mencabul dua gadis berusia 15 tahun ketika memberi mereka tuisyen matematik.

Sebenarnya, Farooq yang menjadi segala punca kepada masalah yang dihadapi Sufiah, malah sejak dia lulus matematik pada peringkat A-Level yang diperlukan untuk membolehkannya memasuki Oxford pada usia 12 tahun.

Sufiah menjalani disiplin yang ketat diterapkan bapanya serta dipaksa bermain tenis bersungguh-sungguh.

Rutin itu begitu berkesan hingga membolehkan Sufiah menduduki tempat kelapan senarai pemain wanita bawah 21 tahun.

Tetapi selepas tiga tahun di Oxford, polis melancarkan gerakan besar-besaran untuk mencari Sufiah yang ketika itu berusia 15 tahun, selepas dia melarikan diri daripada keluarganya.

Farooq bermati-matan mendakwa Sufiah diculik dan dipengaruhi satu pertubuhan yang berusaha mencari punca kepintarannya.

Bagaimanapun, Sufiah menghantar e-mel kepada keluarganya dengan menyifatkan kehidupan bersama bapanya seperti ‘neraka’.

Satu mesej yang dihantar kepada adiknya berbunyi: “Saya sudah tidak dapat menahan pencabulan fizikal dan emosi yang saya lalui selama 15 tahun. Anda tahu apa yang saya maksudkan.”

Sufiah hilang dua minggu sebelum ditemui di sebuah kafe Internet di Bournemouth, tempat dia bekerja sebagai pelayan hotel.

Dia enggan kembali semula kepada keluarganya, sebaliknya diletakkan di bawah jagaan khidmat kebajikan.

Kemudian terbongkar kisah Farooq dipenjara tiga tahun pada 1992 kerana terbabit dalam penipuan wang berjumlah 1.5 juta paun (RM9.75 juta). Sebelum itu, pada usia 19 tahun, dia pernah dihantar menjalani pemulihan akhlak kerana terbabit dalam penipuan berjumlah 100,000 paun (RM650,000).

Selepas bebas daripada kawalan bapanya, Sufiah kembali ke Oxford untuk menamatkan pengajian tahun akhirnya dalam Ijazah Sarjana Matematik.

Tetapi dia lebih pentingkan untuk menghiburkan dirinya dan gagal menamatkan kursus itu selepas berkenalan dengan peguam pelatih, Jonathan Marshall.

Mereka berkahwin pada 2004 ketika Sufiah berusia 19 tahun dan Jonathan, 24. Namun, hubungan dengan keluarganya terus tegang.

Walaupun diundang, ibu bapa Sufiah dan saudara kandungnya yang lain tidak hadir.

Impiannya untuk hidup bahagia dengan Jonathan berkecai apabila mereka bercerai setahun kemudian.

Kini, wanita itu menjalani kehidupan di flet terbabit dengan menjual tubuhnya untuk membayar sewa.

Sufiah bertemu dengan wakil akhbar itu yang menyamar sebagai pelanggan di laluan masuk ke fletnya dengan hanya memakai skirt pendek, but kulit dan baju-T.

Dengan membawa tiga telefon bimbit, dia ketawa dan berjenaka sambil memimpin ‘pelanggan’ ke apartmen kecilnya.

Sebuah katil tersedia di ruang tamu. Sufiah memberitahu lelaki berkenaan, harganya 130 paun (RM845) sejam dan menawarkannya segelas air sebelum memasang muzik menerusi radio kecil murah dan dengan gementar, menanggalkan skirt serta baju-T.

Sufiah kemudian melucutkan seluar dalamnya dan menari di atas katil. Dia memberitahu wartawan terbabit bahawa dia melakukan seks dengan kondom dan seks oral tanpa perlindungan.


Selepas wartawan itu memberikan alasannya, Sufiah membuatnya terus bercakap dengan berkata, dia masih belajar untuk mendapatkan ijazah sarjana dalam bidang ekonomi menerusi kursus separuh masa selama dua tahun di London.

Pernah disifatkan ibu bapanya sebagai anak yang baik, Sufiah bekerja sendiri tanpa keselamatan atau perlindungan fizikal.

Sufiah yang kelihatan girang tidak menunjukkan sebarang tanda kesedihan mengenai nasib bapanya yang mula menjalani hukuman penjara sehari sebelum itu.

Farooq, 50, dihukum penjara 18 bulan oleh mahkamah di Conventry kerana meraba dua pelajar perempuan berusia 15 tahun.

Mahkamah diberitahu bagaimana Farooq, Mei lalu, tiba di rumah seorang mangsanya itu untuk memberi tuisyen matematik.

Dia mula berbisik pada telinga pelajar itu dan mencium rambut serta pipinya. Dia juga meraba payu dara pelajar itu sambil memujinya dengan berkata pelajar itu pintar dan cantik sebelum meletakkan tangannya pada paha pelajar berkenaan.

Peguam Farooq, Tim Hannam berkata: “Selepas ini, dia tidak akan dibenarkan mengajar dan sebarang harapan untuk memperoleh pendapatan tinggi menerusi teknik pengajarannya yang diasaskannya hingga terbukti kejayaannya, sudah hancur. Reputasinya sudah musnah.”

Kini, jelas, si anak yang melarikan diri daripada teknik belajar yang ketat dan keras, sudah hampir musnah.

Seorang rakannya berkata semalam: “Sufiah mengalami terlalu banyak tragedi dalam hidupnya.

“Saya berharap dia mampu keluar daripada kehidupan dilaluinya ketika ini. Dia orang baik dan sepatutnya memperoleh satu kehidupan lebih baik daripada ini. Anugerah semula jadi yang dimilikinya membawa kecelakaan pada dirinya,” katanya.


0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |