kemaskini 5:38pm Seorang ketua pemuda Umno dibawa keluar dari majlis forum anjuran kumpulan penyokong parti ketika beliau cuba membangkitkan persoalan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Belum sempat menghabiskan pertanyaannya, Hasnizan Adham (foto kanan) disorak kuat sehingga gagal bersuara lagi di tengah-tengah laungan "keluar, keluar".
Pemimpin peringkat cawangan itu terus dibawa ke luar pagar kawasan hotel tersebut, tempat berlangsung forum yang melibatkan tokoh-tokoh popular Umno - ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan exco Pemuda, Datuk Mukhriz Mahathir.
Forum bertajuk 'Umno Pasca Pilihanraya ke-12: Satu Penilaian', anjuran MyKmu.net disusuli ucapan dan sesi soal-jawab dengan mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Turut serta sebagai pembicara, ketua penerangan Umno Johor, Datuk Dr Mohd Fuad Zarkashi.
Kira-kira 1,000 penyokong parti itu menyertainya - termasuk 300 di luar dewan dan lobi hotel.
Suasana tidak menentu dan hingar-bingar selama beberapa minit sehingga peserta-peserta yang berang dengan soalan itu, termasuk menjerit-jerit dan memaki hamun, berjaya ditenangkan.
Pihak penganjur yang kesal dengan kejadian itu berkata jika keadaan semakin buruk, mereka tidak akan menganjurkan lagi program seumpama itu pada masa depan.
Suasana tegang mula kedengaran sewaktu sewaktu Dr Mohd Khir memberikan jawapannya, mengulas isu-isu di Selangor.
Walaupun tidak jelas maksud sebenar persoalan yang cuba dibangkitkan Hasnizan (foto kiri: beliau dibawa keluar), dipercayai beliau cuba mengulas dan bertanya isu yang dibangkitkan oleh bekas menteri besar Selangor itu ketika menganalisis ketewasan Umno.
Dr Mohd Khir berkata Umno dan BN mengalami krisis dan pertukaran kepemimpinan dalam tempoh 10 tahun sekali, bermula kekalahan teruk pada 1969 dan rusuhan kaum.
"Akibat kekalahan itu, kerajaan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk membantu ekonomi khususnya orang Melayu," katanya.
Umno juga, tambahnya, membuat pertukaran kepemimpinan pada 1981 selepas krisis politik hujung 1970-an, dan kemudian diikuti pertembungan kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah dengan presiden waktu itu Dr Mahathir pada hujung 1980-an.
Krisis dalam Umno muncul lagi, kata Dr Mohd Khir, pemecatan Anwar pada 1998 dan kemunculan gerakan reformasi dan kini parti itu berdepan krisis susulan ketewasan mengejut dan besar-besaran dalam pilihanraya umum lalu.
"Formula mana yang kita mahu guna? Formula 1969 atau formula 1999?" katanya lagi.
Dalam pilihanraya 1999, BN mengalami kekalahan teruk apabila Terengganu jatuh ke tangan PAS dan parti itu mula membuka langkahnya ke Perak, Pahang, Perlis dan Selangor.
Dalam sesi soal jawab, Dr Mohd Khir sendiri diganggu oleh peserta sehingga beliau menyebut beliau tahu ada percubaan pihak tertentu cuba merosakkan majlis tersebut.
Nama Anwar juga muncul sewaktu Dr Mohd Fuad menceritakan pengalaman Dr Mahathir cuba menganalisis ketewasan Umno pada pilihanraya umum ke-10.
Menurut ahli parlimen Batu Pahat itu, bekas presiden Umno memanggil mesyuarat tertutup yang dihadiri sekumpulan kecil pemimpin atasan dari setiap negeri, termasuk beliau sendiri, dan membentangkan pandangannya.
Katanya, Dr Mahathir mengakui secara jujur bahawa bekas timbalannya itu menjadi faktor utama kemerosotan teruk undi Umno, selain parti itu kehilangan pengaruh dari kalangan pengundi muda, kakitangan kerajaan dan ulama.
tengok video di sini
|
0 comments:
Post a Comment