+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, April 7, 2008

Melayu alami krisis besar 2023?

Malaysiakini

Fathi Aris Omar | Apr 6, 08 5:10pm

kemaskini 10:45pm Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Tan Sri Sanusi Junid meramalkan orang Melayu akan mengalami satu lagi krisis besar pada tahun 2023 selepas ketewasan teruk Umno dalam pilihanraya umum 2008.

"Ada tiga lagi pilihanraya umum - apakah orang Melayu akan hilang kuasa (pada 2023)?" katanya, mengulas keputusan pilihanraya umum 8 Mac, hari ini.

sanusi junidBekas setiausaha agung Umno itu mengemukakan "teori krisis 18 tahun" bangsa Melayu, yang terkini bermula pada 2005 selepas konflik yang memecahkan Umno pada 1987 hingga 1988.

Bercakap di majlis 'Fikir-fikirkan Bersama Tun Dr Mahathir' di sebuah hotel di Ampang, Sanusi berkata beliau mulai berasa cemas pada 2004 kerana meramalkan sesuatu yang buruk akan terjadi tidak lama lagi.

"Kalau saya cerita, tidak ada orang percaya," katanya.

Teori kitaran krisis bekas menteri besar Kedah itu dimulakan dengan peristiwa pemisahan empat wilayah orang Melayu di selatan Thailand pada 1887 daripada Semenanjung Tanah Melayu.

Katanya lagi, pada 1915, Johor menerima penasihat Inggeris dan bermulakan kempen menyuburkan semangat kenegerian di Tanah Melayu, antaranya dengan mencipta lagu negeri dan bendera negeri sehingga memecah-belahkan kumpulan-kumpulan masyarakat Melayu.

Pada 1933, muncul kemasukan pendatang Cina dan India secara lebih sistematik selepas kemerosotan besar ekonomi dunia, khususnya di Barat.

Kemudian, 1951, tidak lama selepas berdepan dengan Malayan Union dengan slogan "Hidup Melayu", Umno terpecah dua apabila ketua biro agamanya keluar parti dan melahirkan PAS.

Tambah Sanusi lagi, perpecahan itu akibat persaingan sengit antara Ahmad Fuad dengan Tunku Abdul Rahman untuk merebut jawatan presiden Umno. Ahmad tewas dengan 46 undi.

"Kemudian 1969, kecelakaan lagi. Kita hampir-hampir hilang kuasa. PAS mula mengkafirkan Umno (menjelang pilihanraya umum tahun itu)," katanya.

Teorinya itu diselang seli dengan kritikannya pada presiden Umno kini dan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sekarang terpaksa bergantung pada sokongan BN di Sabah dan Sarawak selepas pengundi di Semenanjung menolak parti itu.

"Nasib baik ada pemimpin bumiputera yang baik di Sabah dan Sarawak," kata bekas menteri pertanian itu.

"Kita hendak bercakap besar atau tidak? Kita sendiri sudah tidak bernafas di Semenanjung."

Beliau juga menegur Abdullah yang dianggap cuba mengelak daripada berdepan dengan masalah sebenar. "Bukan kita lari, tutup telinga. Waktu ada masalah, kita berdepan dengan masalah," katanya.

Sanusi berkata, beliau seharusnya menjadi orang tengah antara Dr Mahathir dengan Abdullah untuk menyelesaikan masalah antara dua tokoh negara itu tetapi akhirnya gagal berbuat demikian.

"(Laporan) masalah (dari Abdullah) tidak sampai. Saya sendiri tidak boleh bercakap dengan Tun (Dr Mahathir)," katanya.

umno 2007 khairy jamaluddin 061107 03"Saya sekarang presiden UIA. Dah tidak lama (pegang jawatan itu) dah. Mati syahid di situ, alhamdulillah," katanya, disambut ketawa hadirin.

Mengulas tentang menantu perdana menteri Khairy Jamaluddin, Sanusi berkata terdapat sebilangan mahasiswa yang memalukan universitinya sendiri.

"Universiti (Oxford) pintar, (tetapi) budak-budaknya tidak pandai," katanya.

Sebelum itu beliau berkata orang Melayu tidak senang dengan seseorang yang sombong. "Orang Melayu marah kepada mereka yang action (berlagak), konon mengaji di Oxford," katanya, dengan sorakan kuat para hadirin.

Beliau juga menyalahkan stesen televisyen RTM yang menyiarkan rakaman Anwar menari dan menyanyi secara bertubi-tubi menjelang pilihanraya umum baru-baru ini.

"Pada asalnya ditolak (oleh pengundi), kemudian (Anwar) diterima kerana kerenah media massa, tidak pandai mengendalikan media massa," tambah Sanusi.

Kira-kira 600 penyokong Umno, termasuk beberapa pemimpin lama, menyertai majlis tersebut.

Selain Dr Mahathir, turut berucap di majlis itu penganjur majlis, ketua cawangan Umno Pusat Bandar Taman Cempaka, Syed Saifuddin Syed Harman.

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |