+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Monday, April 7, 2008

PM jawab balik tuduhan

ABDULLAH semasa sidang akhbar yang turut dihadiri Najib
di PWTC semalam.

Kosmo

KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sebelum ini menegaskan tidak tunduk kepada desakan supaya meletakkan jawatan, semalam dengan lantang dan tegas menjawab kritikan-kritikan yang dilempar terhadapnya oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ketika bercakap pada sidang akhbar selepas Majlis Penerangan bersama Presiden UMNO mengenai keputusan pilihan raya umum lepas, Perdana Menteri yang lazimnya bersikap berdiam diri terhadap kritikan Dr. Mahathir, memberi isyarat sebaliknya.

Abdullah mengakui Tun Dr. Mahathir sebagai mantan Perdana Menteri memang mempunyai kekuatan dan pengaruh, tetapi beliau menyifatkan tokoh veteran UMNO itu telah menyalahgunakan kekuatannya sehingga merugikan parti.

"Tun Mahathir kata dia kuat, tetapi beliau telah menyalah gunakannya. Dulu masa kita (BN) menang pada pilihan raya 2004, beliau berkata kuat sangat, tak boleh, tak elok, kena ada pembangkang.

"Apabila keputusan pilihan raya 2008 pembangkang naik (menang 82 daripada 222 kerusi Parlimen) kita ingat dia nak celebrate (raikan), tapi kita kena hentam pula. Mengapa jadi begini?" soal Abdullah.

"Menang banyak tak boleh, dan menang sikit pun tak boleh," katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau akan berlawan dengan Dr. Mahathir daripada nada kenyataannya itu, Abdullah berkata: "Saya bercakap apa yang perlu saya cakap, dan saya tidak bercakap apa yang saya tidak perlu bercakap."

Abdullah juga menjawab tuduhan kononnya beliau merupakan pemimpin yang 'lembik' dan membiarkan segala-galanya diputuskan oleh menantunya, Khairy Jamaluddin.

"Masa saya (memerintah) tidak ada kebebasan, tetapi (dalam masa yang sama) kata saya lembik. Takut kat Si Lembik?" tanya beliau.

"Yang lain bodoh belaka, Khairy saja pandai," katanya merujuk kepada tuduhan Dr. Mahathir bahawa Abdullah membiarkan dirinya dipengaruhi oleh menantunya dalam membuat keputusan dan mentadbir negara.

"Tuduhan ini dibuat tanpa batasan dan terus hentam saja," kata beliau.

Abdullah berkata, semasa Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, kerajaan mengenakan sekatan tertentu termasuk meminta akhbar tidak menyiarkan gambar bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Hussein Onn.

Menyentuh tentang Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang telah menawar diri bertanding jawatan Presiden pada pemilihan UMNO, Disember depan untuk memulihkan parti itu, Abdullah berkata, pemimpin Kelantan tersebut perlu melihat dirinya sendiri dan apa yang menyebabkan BN gagal merampas semula negeri itu daripada Pas.

"Selama Pas menguasai Kelantan ada sekali beliau cuba bawa balik supaya BN menjadi kerajaan, itu pun gagal juga," katanya.

Abdullah berkata, beliau juga dimaklumkan bahawa Tengku Razaleigh tidak membantu BN Kelantan pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Beliau juga menegaskan bahawa hubungan beliau dengan timbalannya, Datuk Seri Najib Razak tidak mempunyai apa-apa masalah.

Beliau berkata, Najib adalah pengganti beliau apabila tiba masanya. - Bernama

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |