+++++Blog dalam proses pembikinan semula....terima kasih... +++++++

Friday, April 25, 2008

PAS tidak rela Johor jadi 'Muzium Umno'

Harakahdaily

Salman Hussin

Fri | Apr 25, 08 | 12:11:23 pm MYT

KLUANG, 25 April (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Johor, Dato' Dr Mahfodz Mohamad, bertekad tidak akan merelakan negeri ini terus kekal sebagai kubu kuat Umno di negara ini, apatah lagi hasrat untuk menobatkan Johor sebagai 'Muzium Umno'.

"Bahkan sekarang ini pun istilah keramat ini sudah mulai luntur sedikit demi sedikit ditelan zaman, hanya menunggu masa dan ketikanya sahaja untuk pupus dan lenyap dari muka bumi Johor ini, Insya-Allah.

"Kita akan menyekat sebarang usaha untuk terus merealisasikan ungkapan ini di Johor dan kita akan memastikan bukan sahaja Negeri Johor tidak berjaya dijadikan sebagai 'Muzium Umno', sebaliknya kita berazam untuk meletakkan Umno sebagai 'artifak' yang hanya sesuai dipamerkan di dalam muzium sahaja," katanya di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas sindiran sesetengah pihak berikutan kegagalan PAS Johor menawan negeri ini pada Pilihan raya Umum Ke-12 lalu.

Pada PRU lalu, PAS Johor hanya mampu menawan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), iaitu Maharani dan Sungai Abong, DAP pula memperolehi satu kerusi Parlimen (Bakri) dan empat Dun (Bentayan, Mengkibul, Senai dan Skudai), manakala Dun tunggal dimenangi pembangkang (PAS) pada PRU Ke-11, iaitu Dun Senggarang, gagal dipertahankan.

"Walau pun sindiran ini sangat tajam bagi kita, namun, PAS Johor menganggap ianya satu gurauan yang perlu dijadikan iktibar dan cabaran yang perlu diterima secara positif oleh setiap pendokong Pakatan Rakyat di negeri ini, khususnya PAS.

"PAS Johor tidak sedikit pun berkecil hati atau marah terhadap sindiran sahabat-sahabat kita yang menang di beberapa negeri pada PRU baru-baru ini, sebaliknya kita akan menjadikan ianya sebagai satu cabaran yang perlu diberi perhatian serius dan tidak boleh dipandang enteng," katanya pada majlis perasmian tujuh cawangan baru PAS, di Parlimen Simpang Renggam, dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis ini Anggota Parlimen Jerai, Ustaz Mohamad Firdaus Jaafar, Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Atan Gombang, Ketua Dewan Ulamak PAS Johor, Ustaz Abdullah Hussein, serta 200 ahli baru dari cawangan Bukit Batu, Bukit Keremoiyang, Kampung Md Amin, Kampung Batu 6, kampung Penak, Empangan Macap dan Paya Mas, yang menyertai PAS selepas PRU lalu.

Katanya, penyertaan 200 ahli baru PAS di Parlimen Simpang Renggam ini menunjukkan PAS semakin mendapat perhatian dan sokongan rakyat, fenomena seumpama ini juga berlaku di semua kawasan selepas PRU lalu dan ini adalah petanda yang sangat positif bagi masa depan PAS Johor.

"Ini kerana rakyat hari ini terutama kalangan anak-anak muda dan juga golongan bukan Islam merasakan Umno-BN sudah tidak relevan lagi masa kini, sebab itu mereka beramai-ramai beralih sokongan kepada Pakatan Rakyat pula.

"Perkembangan menarik yang berlaku mutakhir ini di Johor jelas menunjukkan harapan yang sangat cerah bagi kita untuk menggagalkan usaha untuk menjadikan negeri ini sebagai 'Muzium Umno'," ujarnya lagi.

Sementara itu Anggota Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar, semasa berucap pada majlis yang sama, menyelar sikap pemimpin Umno yang tidak dapat menerima kekalahan mereka pada PRU Ke-12 lalu.

"Dalam apa-apa keadaan sekali pun, mereka seboleh-bolehnya mahu kemenangan sentiasa memihak kepada mereka, walaupun jelas rakyat sudah tidak mahukan mereka lagi, tetapi amat sukar bagi mereka untuk menerima kenyataan ini, sikap ini menggambarkan pemikiran yang jumud serta tidak profesional pemimpin Umno," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Kementerian Pelancungan, membatalkan hubungan dengan lima negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, baru-baru ini.

Katanya, mereka lupa bahawa lima negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat adalah atas kehendak rakyat, mereka wajar menghormati keputusan rakyat ini, bukan menafikannya.

"Tindakan memutuskan hubungan serta membatalkan peruntukan dalam sektor pelancongan di lima negeri di kuasai Pakatan Rakyat ini adalah satu tindakan yang sangat tidak cerdik dan angkuh, tindakan ini juga sekali gus akan menambahkan lagi kemarahan rakyat terhadap mereka," katanya.

Firdaus yang juga exco pemuda PAS Pusat, selanjutnya berkata, inilah sikap sebenar pemimpin-pemimpin Umno, mereka begitu angkuh dan sombong.

"Mereka lupa disebabkan keangkuhan dan kesombongan inilah yang menyebabkan rakyat menolak mereka pada PRU lalu.

"Jika perangai mereka ini berterusan maka tidak mustahil suatu hari nanti rakyat Johor juga akan mengikuti jejak langkah rakyat negeri-negeri lain yang dikuasai Pakatan Rakyat, menolak mereka pada PRU Ke-13 nanti," katanya. - mns

0 comments:

Carian dalam Tau Takpe

masukkan je apa-apa yg nak dicari

Tau takpe

Blog arkib berita dari pelbagai media dan blog-blog sebagai simpanan dan rujukan pemilik blog. Segala catatan pendapat dan pandangan adalah dari sudut kacamata dan tafsiran pemilik blog ini sendiri melalui pemerhatian dan kajian berkenaan isu dan fakta yang dikumpulkan. Anda dialu-alukan memberikan pendapat dan berkongsi idea dalam memantapkan blog ini.

- OrangKita (OK) -

Video mesti tengok!!!

| Web blog Tau Takpe dipaparkan sejak 20 Mac 2008 | Copyright 2007 © template by delang[at]delang-d.blogspot.com | Paparan terbaik dengan Firefox |